Wednesday, January 28, 2009

Si Mad'u Kecil

Kumulakan bicara bisu ini dengan kalimah suci bismillahirrahmanirrahim... Salam kasih salam sayang buat semua sahabat-sahabat serta adik-adik kasih dan sayang... Moga tautan ukhwah yang terjalin lantaran kita berkongsi aqidah yang sama ini berkekalan hingga ke Jannah.

Hampir seminggu blog ini menyepi gara-gara Si-Tuan-Rumah balik ke kampung. Kepulangan itu sebenarnya tidak dirancang begitu awal namun segalanya adalah ketetapan dari-Nya. Asif jiddan buat naqibahku, Kak Teh kerana Kak Yong tidak dapat turut serta dalam Mukhayyam IPT-KL seperti yang dijanjikan. Untuk makluman, Kak Yong terpaksa balik ke kampung lebih awal dari perancangan atas sebab datuk saudara Kak Yong sedang nazak dan pada 22hb Allahyarham telah kembali ke rahmatullah. Moga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah...

Semenjak tiga bulan kebelakangan ini, bila tiba saat Kak Yong akan pulang ke kampung entah mengapa hati begitu teruja. Teruja ingin bertemu Si-Mad'u-Kecil; Amirul. Di kampung, emak Kak Yong mengajar anak saudara sepupu dan tiga orang adik sepupu Kak Yong mengaji. Namun dalam mereka berempat, telatah Amirul begitu menarik hati Kak Yong.

Amirul merupakan anak saudara sepupu Kak Yong [emak dia sepupu Kak Yong] dan baru berusia empat tahun. Setiap kali Kak Yong pulang bercuti di kampung, Kak Yong diamanahkan oleh emak untuk mengajar Amirul. Alhamdulillah, peluang latihan secara tak langsung. Ada beberapa tabiat Amirul yang sering mencuit hati Kak Yong. Antaranya:

1. Bila tak ingat huruf yang Kak Yong tanya, dia akan jawab... "Huruf apa ek?" dengan gaya manja
2. Amirul takkan betah mengaji lebih dari 15 minit dan dia akan mula merengek...
"Ala...kita nak baca sampai sini je..."
3. Tak reti duduk diam, sekejap buka kopiah, kejap tukar penunjuk dengan Kak Yong...
4. Pernah dia jawab bila Kak Yong tunjuk huruf 'ya' dengan
"Huruf...huruf...macam kepala itik..."
5. Bila habis mengaji dah tengahari, dia pernah cakap pada Kak Yong... "Haa...kan kita dah cakap ngaji cepat-cepat...kan dah panas..."
6. Bila dia nak balik, Kak Yong pasti pesan macam-macam... "Jalan, jangan berlari tau...nak melintas toleh kiri kanan dulu..." dan dia akan ikut tapi bila dah melintas jalan dia akan berlari [bukan jalanraya]
7. Dan pastinya Kak Yong tak mampu nak marah dia sebab dia asyik buat lawak...

Selain Amirul, adik sepupu Kak Yong yang bernama Alya juga punya gelagat tersendiri bila mengaji. Bila mengaji, ada masanya dia nak berhenti rehat, dia akan kata... "Wak, jap ek...lampu merah..." bila mak Kak Yong suruh sambung bacaan, adakalanya dia akan jawab, "kejap, belum lampu hijau lagi..." [lampu trafik mana la yang dia tengok...tak tau pulak dalam rumah Kak Yong ada lampu trafik.... =)]

Apapun, inilah mad'u kecil yang perlu disantuni kerana merekalah generasi pelapis, generasi yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan. Dan mereka ibarat kain putih yang perlu sama-sama dicorakkan bukan sekadar sentuhan dari ibubapa sahaja. Kerana apa? Kerana secantik mana pun corakkan dan sentuhan dari ibubapa namun jika persekitaran mereka tidak membantu, segalanya akan menjadi sia-sia. Suka Kak Yong mengingatkan semua, jangan kita lupa prinsip orang lama... "Anak orang, anak kita... Anak kita, anak orang..." Fikir-fikirkanlah...









Gelagat-gelagat Amirul...


Kak Yong: kelu lidah bila mak tanya, "Macamana kalau anak murid akak semua macam diorang ni?"... pastinya Kak Yong akan merindui Amirul, Alya, Dina dan Amalia...

Wednesday, January 21, 2009

Bicara Bisu Buat Ayah...


Kumulakan bicara bisu ini dengan lafaz,
Bismillahirrahmanirrahim…

Ayah,
Masih terlakar pada kenangan yang lewat
Saat diriku membesar
Hasil asuhan emak tanpa dirimu di sisi
Dirimu yang jauh di seberang lautan
Berusaha keras mencari rezeki
Buat kami anak-anakmu yang kian membesar

Ayah,
Sebentar minda tertoleh pada kenangan semalam
Saat diri kian meniti kedewasaan
Antara diriku dan dirimu mula terbina sebuah tembok
Tembok yang yang menyebabkan kita sering kekok tatkala bersama
Tembok yang terbina lantaran sedikitnya pertemuan yang tercipta

Ayah,
Kehidupan akhirnya mengajarku sesuatu
Dirimu sesungguhnya terlalu bernilai buat diriku
Diri ini terlalu bertuah memilikimu sebagai ayah
Dirimu yang sungguh hebat
Berkorban segalanya untuk kami
Anak-anak yang dahulunya jarang sekali menghargai

Ayah,
Pada diskusi minda
Mampukah diriku membahagiakanmu?
Sedang deru ombak cubaan melanda
Membolak balik kita pada lautan duga
Menggempur kolek kecil kita
Kau titipkan semangat dan harapan
dalam sinar beku matamu
dalam bicara bisumu
Dan kusisir kembali semangat yang lerai
Mengatur kembali langkah yang terhenti

Ayah,
Usai fajar menyapa hari baru
Diriku kini terdampar di pantai dewasa
Izinkan diriku menyatakan lafaz yang tersimpan
Sesungguhnya diriku terlalu menyayangimu
Doaku
Moga Rahmah-Nya, hidayah-Nya dan inayah-Nya
Kan mengiringi dirimu
Hingga ke negeri abadi…

Titipan Rasa Seorang Anak:
F.H. Fansuri
2001092243
Tmn. Sri Kuching,
Jalan Sri Kuching,
Kuala Lumpur
20 Januari 2009
10.43 p.m


Disebalik “Bicara Bisu Buat Ayah”

Sebuah puisi dedikasi buat seorang ayah. Setiap kali berKBM entah kenapa hati ini begitu sayu tatkala soal ‘AYAH’ disentuh. Mungkin kerana sejarah silam, mungkin… Namun tatkala berkumandangnya lagu “AYAH” pastinya mutiara air mata pantas berguguran di pipi. Apatah lagi tatkala bibir melafazkan kata-kata ini…


“Bayangkanlah pula wajah ayah… Wajah yang sering senyum dalam penat lelah… Wajah insan yang rela kepenatan di medan pekerjaan untuk menyara kehidupan keluargamu… Pernahkah? Pernahkah kau bayangkan kesulitan dan kesusahan ayah yang saban hari bekerja keras untuk membesarkanmu?”
Saat itu, pastinya terimbas segala kesusahan dan kepenatan yang harus ditanggung oleh ayah siang dan malam. Ya, ayah yang siang dan malam bekerja, ayah yang sanggup berkorban segala-galanya untuk anak-anak sehinggakan seringkali tiada apa yang tinggal buat dirinya. Terlalu mulia hatimu ayah… Pastinya tiada insan lain yang sanggup berkorban sebesar itu untuk diriku dan adik-adik…

Ayah, aku bangga punya ayah yang hebat seperti dirimu. Tatkala insan lain hanya mampu bekerja di siang hari, namun kau tegar berpanas di siang hari dibakar terik mentari, dan sanggup pula berteman kegelapan dan kesejukan di malam hari. Pernah aku bermimpikan ayah pada satu malam. Dalam mimpiku itu, kulihat ayah pulang ke rumah dalam keadaan luka teruk namun ayah kulihat masih tersenyum. Aku menangis melihat keadaan ayah. Dan saat aku terjaga, aku benar-benar sedang menangis bukan sekadar tangisan dalam mimpi. Kebimbangan memuncak di hati terkenangkan dirimu. Kudirikan solat sunat dengan air mata yang bercucuran. Saat itu, aku sedar betapa aku begitu menyayangi dirimu ayah…
Ayah, kakak sayang ayah sangat-sangat!!!

Kak Yong: Syukran jazilan buat SAHABAT, kata-katamu menjadi asbab terciptanya "BICARA BISU BUAT AYAH"...

Penerbangan SRIAAKL


No Pesawat: KRJ 170109
Airport: SRIAAKL
Tarikh: 17 & 18 Januari 2009
Pengendali: Kak Yong (laptop + video), ML (Laptop + video + edit), Pak Long, Pak Ngah, Ummi Ida dan Anjang Kila
KMKY: Pak Ngah & Anjang Kila
InTeam: Pak Ngah
Riadah: Kak Ngah (kasih) & Yasser (sayang)
MAM 1: Ummi Ida
MAM 2: Pak Ngah & Kak Yong
Hijrah: Anjang Kila
MKMS: Ummi Ida
Pertemuan: Ummi Ida
Ketua pramuraga: Yasser
Paramugara: Safwan (USIM), Eming (Intisor), Ku Man (USIM), & Khairudin (USIM)
Ketua pramugari: Alang Atie (IIC)
Pramugari: Zati (IIC), Mira (IIC), Kak Ngah (IIC), Ika (CJ) & Fida (CJ)
Penumpang: Sayang – 59, Kasih – 42, Total – 101orang

Catatan Kak Yong:

Kembara perjalanan KBM Kak Yong kali ini menjadikan SRIAAKL sebagai destinasi, dalam perjalanan dan dalam perjuangan untuk membantu dan mendekati adik-adik kasih dan sayang. Kali ini adik-adik kasih dan sayang yang telah diberikan peluang dan kesempatan oleh Allah S.W.T. untuk Kak Yong dekati dan bantu adalah adik-adik kasih dan sayang tahun 6 SRIAAKL. Kali ini Kak Yong berperanan sebagai “Kak Laptop” dan juga “Kak VideoCam” bergilir-gilir dengan ML. Secara keseluruhannya, KBM kali ini cukup menguji kami barisan pengendali dan fasilitator. Sifat keanak-anakan dalam diri adik-adik kasih dan sayang ditambah dengan “talkative”nya mereka ini benar-benar menguji kesabaran kami apatah lagi bagi Kak Yong dan teman-teman yang mengambil kursus pendidikan awal kanak-kanak. Cuba bayangkan bila Anjang dan Pak Ngah di depan bercakap, hampir kesemua adik-adik sayang turut bercakap. Bila Anjang berkata, “Kalau Anjang bercakap kat depan, siapa yang nak dengar?” dan serentak adik-adik sayang menjawab, “Ali!!!” Entah siapa gerangan Si-Ali ini hanya adik-adik sayang ini sahaja yang tahu. Jenuh para fasilitator berusaha menarik perhatian mereka. Namun dalam kenakalan mereka ini, hati mereka tetap mudah tersentuh terutamanya dalam slot In-Team. Adik-adik ini juga turut mudah berkongsi di akhir setiap slot tanpa perlu kami menunggu lama, malah sampai berebut-rebut untuk berkongsi. Berbeza sungguh dengan KBM tahun lalu di mana pesertanya adalah senior-senior mereka yang kini sudah di tingkatan 1.

Dalam slot pertemuan, inilah kali pertama di sepanjang KBM yang telah Kak Yong ikuti hampir setahun, fasilitator ikhwah goyang kaki dalam slot Pertemuan kerana semua ibubapa adik-adik sayang hadir di majlis penutup. Tak pernah lagi berlaku dalam sejarah KBM KL. Bagi adik-adik kasih pula, hanya tiga orang adik kasih sahaja yang ibubapanya tidak hadir. Lazimnya dalam siri KBM kami tidak pernah melupakan saudara-saudara kita di Palestin di mana turut diselitkan slot Palestin dan kutipan derma untuk Palestin. Alhamdulillah, kutipan derma untuk Palestin dalam KBM kali ini melebihi RM3000!!! Satu jumlah yang cukup besar. Moga ia dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin sana.

Apa pun, setiap kali KBM pastinya ada cerita menarik yang tersendiri. Kalau KBM SRIAAKL tahun lalu turut dihadiri bekas pelakon Noor Kumalasari (selepas KBM tahun lalu, beliau telah menawarkan diri untuk menjadi fasilitator), tahun ini KBM SRIAAKL dengan pesawat bernombor KRJ 170109 telah dihadiri oleh Dr. Harlina Harliza Siraj. Dan bagi diri Kak Yong sendiri, biarpun letih namun KBM tetap memberi ‘sesuatu’ kepada Kak Yong. Di sinilah platform untuk Kak Yong me’recharge’ hubungan Kak Yong dengan Allah, Rasulullah, Emak & Ayah dan sahabat.

Moga terus... “Menyerlah Jauh Dari Yang Biasa!”

Kak Yong: kenangan terindah... thanks ML banyak bagi tunjuk ajar pada KY pasal bab-bab rakam video dan buat video KBM guna uleads walaupun kadang-kadang rasa macam kena buli je dengan budak kecik nih... huhuhu

Monday, January 19, 2009

Pelik bin Ajaib!!!


Pertama-tamanya nak mohon maaf, entry ini mungkin agak berbeza dengan yang sebelum ini... dan mungkin entry ini agak kasar bunyinya. Yang pastinya hati Kak Yong memang tengah panas menggelegak! Sakit hati! Geram, geram, geram...

Kenapa Kak Yong jadi macam ni? Sebab penat sangat ke? Yup, memang Kak Yong penat sangat-sangat. Starting from last two weeks memang Kak Yong teramatlah sibuk. Jadual Kak Yong memang sangat pack! Assignment yang satu ni [Business Plan Managing] memang sangat mencabar ditambah dengan ahli kumpulan yang 'mimpi' plus 'tidur' [nasib korang la, it's okay I do it alone but wait for industrial training...waktu tu tau la langit tinggi ke rendah] yang menyebabkan Kak Yong tak tidur malam beberapa hari, PIOH III, Solat Hajat dan the latest KBM. Tapi Kak Yong tak kisah sangat pasal benda-benda ni walaupun hari ni, esok dan lusa Kak Yong ada exam mid-term.

Pagi tadi waktu dalam bas on the way nak ke kolej, budak driver bas tu buka siaran radio "PANAS" fm. Masa tu Kak Yong tengah dok selak-selak nota sebab pukul 8.30 pagi Kak Yong ada exam. Nak tau apa yang buat Kak Yong geram sangat? Masa tu ada panggilan dari pendengar radio "PANAS" tu. Topik pagi tadi pasal event yang berlangsung malam tadi - AJL. Sakit telinga Kak Yong bila dengar beberapa pemanggil yang bagi komen pasal AJL. Antara komen diorang; best sangat-sangat, macam konsert, kalau selalu macam ni kan bagus... Dan yang paling Kak Yong panas bila dengar adalah pernyataan ini,
"Saya rasa nak menangis bila dengar dia menyanyikan lagu tersebut, betul-betul
menusuk kalbu"
bila mamat-nak-jadi-superman tu nyanyi. Hello!!! Tak sedar ke saudara-saudara kita kat PALESTINE tu tengah menderita? Diorang tu sentiasa dihujani peluru-peluru Yahudi laknatullah? Itulah akibatnya bila HEDONISME dah melarat di kalangan masyarakat kita.

PELIK BIN AJAIB!!!


Kenapa? Peliklah bila dunia Islam sedang bersedih mengenangkan nasib saudara-saudara kita di Palestin, ada sebahagian dari umat Islam yang boleh berseronok, berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Masyarakat kita memang SAKIT!!! Betul-betul SAKIT!!! Cuba bayangkan, kalau tengah mereka berseronok menonton AJL tu... tiba-tiba hari kiamat tiba? Tak ke MATI KATAK? Rasanya katak yang mati tu pun lagi bagus kan? Fikir-fikirkan...

Kak Yong: Palestine In My Heart... Ardhu Falastin!!!


Monday, January 12, 2009

Catatan PIOH III


12 Januari 2009

Alhamdulillah, hari ini bahan-bahan untuk exhibition telah bertambah. Malah atas usaha jawatankuasa PIOH, kami telah mereka monumen jenazah anak-anak Palestin untuk menarik perhatian warga IIC terhadap isu Palestin. Banting-banting juga telah turut dipamerkan malah beberapa bahan pameran turut bertambah hasil sumbangan K-UKM KL. Syukran jazilan atas bantuan antum. Barakallahu 'alaykum... Moga Allah membalas jasa antum... insyaallah...



Monumen jenazah kanak-kanak Palestin menarik perhatian warga IIC



Bendera Palestin



Artikel-artikel perkembangan di Palestin



13 Januari 2009

Alhamdulillah, hari ini Kak Yong serta ikhwah wa akhwat di IIC masih diberi ruang dan peluang untuk terus bernafas di muka bumi milik Allah ini. Biarpun dihambat dengan kesibukan yang teramat, syukur Kak Yong masih lagi mampu menggagahkan diri membantu adik-adik ikhwah dan akhwat meneruskan kempen PIOH III di bahagian stall dan exhibition. Biarpun terasa badan sudah tidak mampu untuk bertahan, Kak Yong pujuk diri untuk turut menyumbang tenaga. Biarlah andai Kak Yong terpaksa menjaga stall dan exhibition dengan laptop di atas riba semata-mata ingin menyiapkan assignment. Biarlah, asalkan Kak Yong dapat menyumbang sesuatu buat saudara-saudara Kak Yong di bumi Palestin sana.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari keempat stall dan exhibition berlangsung di IIC sempena PIOH III. Alhamdulillah, sambutan dari warga IIC sangat menggalakkan. Jualan juga turut memberangsangkan. Apa yang menarik hati Kak Yong adalah kreativiti adik-adik ikhwah yang memberi peluang kepada warga IIC untuk bermain satu permainan iaitu baling dart! Gambar pemimpin Israel dan Bush adalah antara gambar-gambar yang dilekatkan di papan dart. Permainan ini menarik minat warga IIC khususnya dari golongan brothers. Selain itu, beberapa bendera Israel turut dilekatkan di lantai di ruangan lobi yang mana bendera-bendera ini menjadi mangsa 'tapak kasut' warga IIC.

Pelbagai perancangan demi perancangan sedang diatur untuk memantapkan kempen Palestine In Our Heart kali ini. Apa yang Kak Yong harapkan, doakan kami ikhwah dan akhwat di IIC terus 'gagah' untuk meneruskan usaha kecil kami ini lantaran bermula 16 Januari ini sehingga 30 Januari peperiksaan pertengahan semester bakal berlangsung di IIC. Moga kesibukan untuk menelaah dan mengulangkaji tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan kempen...


PALESTINE IN OUR HEART III!

Amiinn....



Proses membuat monumen...


Suasana PIOH III di IIC



14 Januari 2009

Alhamdulilah, bertambah sehari lagi usaha kami menjalankan kempen Palestine In Our Heart. Hari ini, telah bertambah beberapa jenis barangan di booth kami sumbangan dari pihak Nasyeed.Com, syukran jazilan... Antaranya CD dan VCD dari kumpulan AlGebra, CD Smart Taranum dan sebagainya juga barangan dari PACE iaitu t-shirt dan button badge. Sambutan dari warga IIC cukup mengalakkan. Apa yang cukup membanggakan adalah sokongan dari para pensyarah. Ada di antara mereka yang turut menyelitkan kempen boikot produk USA di dalam kelas. Insyaallah, pada hari Jumaat ini akan berlangsungnya acara SOLAT SUNAT HAJAT & QUNUT NAZILAH di IIC pada jam 10 hingga 11 pagi. Pada hari Jummat ini stal dan exhibition akan ditutup dan warga kerja PIOH 3 akan membuat sedikit persembahan selepas selesai solat sunat.



ARDHU FALASTIN: We Care!!!

"Allahumma ya mujriyas sahab, wa yahazimal
ahzab, ihzimhum kaumalkafirin wa laknat
a'laiihim, wan surna 'ala qaumal kafirin..."

Saturday, January 10, 2009

Demonstrasi Bebaskan Palestin!!!


Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang lepas, sahabat-sahabat ikhwah dan akhwat dari IIC telah berpeluang untuk turut serta dalam perhimpunan demonstrasi bebaskan Palestin. Bagaimanapun, sedikit terkilan di hati kerana Kak Yong tidak dapat turut serta kerana kondisi diri yang tidak berapa mengizinkan. Namun alhamdulillah, kekecewaan itu terubat jua sedikit di mana Kak Yong dapat sama-sama menyumbang tenaga dalam kempen PIOH III (Palestine In Our Heart) yang diadakan di kolej, IIC.

Buat pertama kalinya PIOH bakal berlangsung untuk tempoh yang agak lama di IIC iaitu selama sebulan. Antara aktiviti yang telah berlangsung ialah kutipan derma, gerai jualan buku-buku Palestin dari JIMEDIA, button badge, sticker, car sticker, bookmark, barangan HPA, dan mafla. Mafla mendapat permintaan yang paling tinggi setakat ini di IIC sehingga kami kehabisan stok. Selain itu, tayangan video-video Palestin turut dilakukan selain keratan-keratan akhbar yang ditampal di sekitar notis board kolej. Kempen boikot produk Amerika turut dijalankan dan beberapa sampel turut dipamerkan. Warga IIC turut berpeluang untuk mengetahui produk alternatif untuk menggantikan produk yang perlu diboikot.


Demonstrasi Bebaskan Palestin di Kedutaan Amerika


Antara akhwat dari IIC yang turut serta dalam demonstrasi


Ikhwah dari IIC yang bersemangat memegang banner

FREE PALESTINE


Insyaallah, kami ikhwah dan akhwat IIC sedang dalam perancangan untuk mempelbagaikan kempen PIOH kali ini. Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama padu dari adik-adik junior terutamanya dari jurusan Diploma Pengajian Islam dan Sains Kontemporari. Terselit rasa bangga di hati Kak Yong tatkala melihat semangat adik-adik ini untuk menjayakan PIOH apatah lagi ramai di kalangan adik-adik akhwat yang terlibat ini merupakan anak-anak usrah Kak Yong. I'm really proud with all of you!


Gerai jualan PIOH III


Kak Yong bersama anak-anak usrah


ARDHU FALASTIN: We Care!!!

"Allahumma ya mujriyas sahab, wa yahazimal
ahzab, ihzimhum kaumalkafirin wa laknat
a'laiihim, wan surna 'ala qaumal kafirin..."


Friday, January 9, 2009

Palestine In Our Heart III





Palestine In Our Heart

~PIOH III~

Venue:
International Islamic College

Date:
1st January 2009
until
31st January 2009


Stall and exhibition:
kindly contact Sis Hasni (013-3060673)
or Sis Syira (013-2125203)



NGOs are kindly invited to lend your hand on helping us to
COLLECT DONATION

Pictures during PIOH III:








ARDHU FALASTIN: We Care!!!


"Allahumma ya mujriyas sahab, wa yahazimal
ahzab, ihzimhum kaumalkafirin wa laknat
a'laiihim, wan surna 'ala qaumal kafirin..."



Tuesday, January 6, 2009

Kembara Mahabbah

Titt...titt...


...Slm. Akk sy g daurah tp hr ahad sy kna blik awl ckit. Sy amik akk kul 6 nant...


Terukir senyuman di bibirku. Alhamdulillah...syukur ya Allah, terima kasih atas kurniaan ini...

“Akak tau kan jalan nak ke Surau al-Ansar tu?”

“Akak tak pasti tapi surau tu dekat area LRT Damai. Tak apa, nanti akak cari map. Rasanya boleh ikut Jelatek.”



View Larger Map

Titt...titt...

...Kak, sy da smpi...


Langkah kaki kuatur menuruni anak-anak tangga apartment. Wira kelabu miliknya setia menanti namun kulihat wajahnya agak sugul. Kerisauan mula bertandang di hatiku.

“Assalamualaikum...okey tak ni?”

“Eh, akak...waalaikumsalam. Tak berapa la kak. Saya serabut giler hari ni. Kelam kabut sampai tafsir dan ma'thurat saya tertinggal. Tadi saya patah balik rumah. Tu yang lambat ni. Sori sangat...”

“Tak apalah..akak cuma risau kalau apa-apa jadi tengah jalan je. Ni boleh drive tak ni? Kalau tak boleh, biar akak je yang drive...”

“Tak apa, boleh insyaallah...”

“Kita pergi Masjid Saidina Hamzah dulu. Keena solat Maghrib dulu ye. Najiha pun ada kat sana."

“Hmm...”

Simpati aku melihat keadaan dirinya. Namun, terselit juga rasa bangga melihat kesungguhannya untuk mengikuti daurah kali ini biarpun kesibukan benar-benar menghambatnya saat ini. Barakallah alayk... moga Allah merahmatimu... ameen...

Setibanya kami di perkarangan Surau al-Ansar, para jamaah sedang menunaikan solat Isyak. Lantas, kami memasuki Surau al-Ansar melewati pintu belakang. Kelihatan wajah-wajah yang tidak kami kenali.

"Jom, ambik wudhu'. Kita solat Isyak dulu. Lepas tu kita cari adik-adik yang lain."

Solat Isyak kami tunaikan bersama. Usai mengerjakan solat Isyak, barulah kelihatan wajah adik-adik yang lain, Andak, Ucu, Aisyah, Yus, Alang, Liza, dan DT. Malam di Surau al-Ansar kami penuhi dengan solat hajat, solat sunat tasbih dan halaqah Qur'an. Usai segalanya, kami mencari tempat untuk melelapkan mata... [tersenyum]. Keadaan tak ubah seperti di khemah perlarian [sesak] lantaran bilangan akhwat yang agak ramai. Kami mengambil tempat berhampiran dinding. Dia mengambil tempat di sebelahku. Malam yang sepatutnya kami gunakan untuk beristirehat kami isi dengan perbualan. Pelbagai kisah kami imbas kembali... suka, duka, lucu...

Ya Allah, adakah ini kali terakhir aku bisa menghabiskan masa bersamanya?

Tatkala jam menunjukkan pukul 3.15 pagi, barulah kami melelapkan mata. Seawal 4.35 pagi, kami bangun untuk bermunajat pada-NYA sehingga Subuh menjelma. Bacaan ma'thurat dialunkan usai solat Subuh. LDK pula menyusul memberi peluang kepada kami untuk membincangkan isu Palestin. Air mata mula bergenang tatkala mengenangkan nasib saudara-saudaraku di Palestin.

Ya Allah, betapa tidak bersyukurnya aku. Aku baru diuji tidur dalam keadaan yang tidak selesa di sini sedangkan saudara-saudaraku di Palestin barangkali tidak bisa melelapkan mata barang sepicing pun... barangkali tiada langsung tempat untuk mereka berteduh... Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku...

Solat sunat dhuha menyusul dan diteruskan dengan Daurah Fiqh Haji dan Umrah. Gaya penyampaian Ustazah Anisah yang menarik dan bersahaja, menghalang rasa mengantuk dari bertandang biarpun lelapku tidak sampai 2 jam. Di akhir majlis, lagu Doa Perpisahan berkumandang sayu...

Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci

Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah diatas suratan
Kutetap pergi jua

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Alloh bantulah hamba-Mu

Mencari hidayah dari pada-Mu
Dalam mendidikan kesabaranku
Ya Alloh tabahkan hati hamba-Mu
Diatas perpisahan ini

Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga... Tuhan berkatimu


Entah mengapa, aku gagal membendung air mataku dari gugur ke pipi.

Ya Allah, inilah program terakhirku bersamanya...
Ya Allah, tak dapat aku bayangkan bahawa dia akan pergi jauh meninggalkanku...
Ya Allah, aku tidak pasti adakah aku kuat untuk menghantar pemergiannya...

Air mata kian laju mengalir di pipi. Wajahnya di sebelah kupandang. Pautan di bahunya kueratkan.

"Kak..." Tubuhku dipeluknya erat.

"Kak, janganlah macam ni..."

"Ini program terakhir kita bersama... Entah ada lagi peluang macam ni lagi atau tak..."

"Kak..."

"Berat akak nak lepaskan Keena pergi..."

"Kak..."

"Akak sayangkan Keena... uhibbuki fillah abdan abada..."

Ya Allah, inilah kembaraku... Kembara ini adalah kembara mahabbah. Dalam kembara ini kumencari cinta-MU dan dalam kembara ini kutanamkan mahabbah di hati adik-adikku...

Sakeena,
Biarpun dirimu kan pergi meninggalkan Kak Yong, ingatlah ikrar kita... NAHNU ANSARULLAH... Kitalah penolong-penolong Allah... Pastikan hadirnya dirimu di tanah bertuah itu kau gunakan sebaik-baiknya kerana dirimu adalah permata berharga...

Sakeena,
Jangan kita lupa, dahulu ISLAM pernah menguasai dua pertiga dunia. Gunakan peluang ini untuk kau bantu melebarkan sayap daulah Islam... dan disamping itu, jadilah seindah mawar berduri, harum dan cantik namun tidak bisa dipetik sewenang-wenangnya lantaran duri-duri yang berceracakan...

Ukhwah fillah takkan musnah...



With Love: Kak Yong & Sakeena


Nahnu Ansarullah

Kembara mencari tarbiyah
Ditemani sahabat setia
Bagai ansar muhajirin menyulam cinta
Ukhuwwah diikat kasih kerana-NYA

Aral dan rintangan kami tempuhi
Berpenat lelah kami tak peduli
Masa tenaga kami korbankan
Harta dan jiwa jadi taruhan

Kami bulatkan tekad
Melangkah di jalan dakwah
Jangan diimpikan permaidani merah
Ujian menerpa kami tak goyah

Bagai bongkah bata tersusun kukuh
Membentuk bangunan teguh
Nahnu ansarullah...
Nahnu ansarullah...
Nahnu ansarullah...
Nahnu ansarullah...


Kak Yong: Syukran jazilan buat Kak Teh dan Along Suraya atas bantuan kalian untuk penerusan tarbiyah Sakeena di bumi United Kingdom... Barakallah alaykum...

Friday, January 2, 2009

Warkah Buatmu...

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Menemui adikku Sakeena Zahidah yang sangat Kak Yong kasihi. Moga dirimu senantiasa di bawah rahmat dan kasih sayang Ilahi.

Sakeena,
Terus terang Kak Yong katakan, sewaktu dirimu diuji dengan sedikit halangan untuk menamatkan pengajian di IIC, Kak Yong turut merasai kesedihanmu. Kerana apa? Kerana ukhwah yang terjalin antara kita. Namun, tatkala Kak Yong menerima perkhabaran bahawa dirimu bakal melanjutkan pelajaran ke University of Central Lancashire, Preston, United Kingdom pada bulan Januari 2009, hati ini meronta-ronta enggan melepaskan dirimu pergi. Namun, atas kasih sayang yang terjalin, Kak Yong doakan jua agar Allah permudahkan urusanmu. Kak Yong sanggup bangun di tengah malam, memohon agar urusanmu dipermudahkan.

Namun, sekali lagi hati ini diuji lagi tatkala dikhabarkan bahawa dirimu bakal berangkat ke UK pada 10hb ini. Ya Allah, terlalu berat rasanya untuk Kak Yong merelakan dirimu pergi. Air mata mula berguguran di pipi mengenangkan dirimu yang bakal pergi.

Sakeena,
Ingin Kak Yong mengimbas kembali detik perkenalan kita. Amanah yang sama-sama kita terima dalam SRC membuatkan kita saling berkenalan. Kita bekerja bersama-sama untuk menjayakan program-program yang telah di amanahkan. Namun, KBM telah merubah segala-galanya. Dirimu diletakkan di bawah jagaan Kak Yong untuk follow-up dalam halaqah. Alhamdulillah, halaqah itu telah mengeratkan ukhwah antara kita. Dan halaqah juga telah membuatkan diri ini mengenali dirimu yang sebenar. Atas rasa tanggungjawab melihatkan semangat dan kehendakmu kepada Ad-Din, ku ajak dirimu menjadi fasilitator dalam KBM. Program-program bersama KARISMA dan JIM juga turut kubawa kau bersama. Dan melalui itu semua, ukhwah yang terjalin semakin erat dan erat. Rasa cinta dan kasih lantaran kita berpegang pada aqidah yang sama membuatkan kita semakin rapat.

Sakeena,
Gunakanlah peluang berharga ini sebaik-baiknya kerana bukan semua orang beroleh peluang seperti ini. Dan Kak Yong sendiri mungkin tidak akan beroleh peluang ini. Sakeena, biarpun realitinya kita kan berpisah jauh di mata, namun di hati Kak Yong dirimu tetap dekat. Jarak tidak kan mampu memisahkan kita.

Sakeena,
Biarpun berat untuk hati ini melepaskan dirimu pergi, namun doa dari Kak Yong tetap mengiringi pemergianmu. Kak Yong akan tetap mendoakan kejayaan Sakeena dunia dan akhirat. Bitaufiq wannajah. Andai kita tidak berpeluang untuk bertemu lagi di dunia ini, doaku moga kita kan bertemu di JANNAH-NYA nanti, insyaallah. Moga Halaqah Cinta kita kan terus subur mewangi. Salam ukhwah fillah abadan abada. Uhibbuki fillah... Selamat berjuang adikku...

Ilal liqa'
Wassalamualaikum...

Yang menyayangimu,
Kak Yong



Kak Yong: Pertemuan telah ditakdirkan, ia tidak pernah dirancang... Kemesraan memekar di akhir perkenalan, sayu menitiskan air mataku... Uhibbuki fillah abadan abada...

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers