Showing posts with label Catatan Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Catatan Ramadhan. Show all posts

Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidilfitri 1431 Hijrah


[Sila klik pada gambar untuk imej lebih besar]


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah thummalhamdulillah, madrasah Ramadhan hampir sebulan telah kita lalui bersama. Pelbagai aktiviti dan program menjadi pengisian untuk Ramadhan kali ini. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi madrasah tarbiah terbaik untuk kita semua. Mungkin selepas ini tidak ada lagi Ramadhan, atau mungkin selepas ini kita yang tidak berkesempatan untuk bertemu Ramadhan... Semoga dengan hadirnya 1 Syawal 1431H, kita menjadi hamba Allah yang lebih baik, menyerlah jauh dari yang biasa.

Dikesempatan ini, Kak Yong ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua yang mengenali diri ini seandainya sepanjang ukhwah yang terjalin Kak Yong ada tersilap kata, terkasar bahasa atau tersilap tingkah. Halalkan apa jua yang termakan dan terminum. Syukran jazilan atas ukhwah yang terjalin dan kasih sayang yang tak bersyarat. Moga Ramadhan yang bakal berlalu tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya. Taqabalallah minna wa minkum... amiinn...

Kepada yang pulang ke selatan, jemputlah bertandang ke teratak mak dan ayah Kak Yong di Muar, Johor.

Dengan ingatan tulus ikhlas, Maaf Zahir dan Batin...

"Kullu 'am wa antum bikhair..."

~ Kak Yong ~

FIZA HASNI BINTI MD EHSAN
Pegawai Operasi KBM KL,
JK TPSM Remaja KL,
JIM/IKRAM Daerah Batu, Kuala Lumpur
Taman Batu Muda,
Kuala Lumpur

Wednesday, September 16, 2009

Inilah Ramadhanku!

PEJAM CELIK, pejam celik, sedar tak sedar hari ini kita sudah memasuki hari ke 26 dalam bulan Ramadhan. Entah mengapa, ana merasakan Ramadhan kali ini terlalu pantas berlalu jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang sudah. Adakah kerana rutin harian ana yang terlalu padat? Seawal 7 pagi sudah menguruskan anak-anak sehingga jam menunjukkan pukul 7 malam. Atau inikah salah satu tanda kiamat sudah semakin dekat? Astaghfirullahal 'azim... Sayu terasa di hati, menitis air jernih dari kelopak mata... Ya Allah, benarkah Ramadhan ini akan berakhir tidak lama lagi?

KBM (Keindahan Bersama Mu) VERSI RAMADHAN

Alhamdulillah, pada 5 dan 6 September yang lalu ana turut sama menyumbang khidmat bakti dalam KBM IPT di Technology Park Malaysia College, Bukit Jalil. KBM kali ini membawa sedikit kelainan kerana dijalankan di bulan Ramadhan dan beberapa perubahan waktu untuk beberapa slot. Alhamdulillah, kali ini seramai 40 orang adik-adik pelajar di TPMC telah menyertai KBM kali ini yang bagi ana sangat berjaya dan memberi impak yang besar. Ana sendiri terkena tempiasnya gara-gara penangan Ummi Ida tersayang. Dua tiga kali juga ana terpaksa keluar ke tandas gara-gara sesi 'hujan lebat' dan 'banjir' yang melanda. Hati ana juga turut bergetar hebat. Moga-moga hati yang bergetar dan air mata yang mengalir di pipi itu sebagai tanda hidayah itu telah dilimpahkan oleh Allah buat diri ana. Moga nikmat IMAN dan ISLAM ini terus tetap di dalam hati.



Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Hiswadi aka Mr Campro atas keterbukaan dan kerjasama baik yang diberikan. Moga Allah membalas setiap usaha dan sumbangan Ustaz Hiswadi dengan balasan yang sebaik-baiknya.

Dan rasanya KBM kali ini permusafiran ana lebih panjang dan jauh dengan menaiki pengangkutan awam. Seawal jam 6 pagi ana sudah keluar dari rumah menuju ke stesen komuter Padang Jawa. Syukran jazilan buat teman serumah ana di IIC dulu yang kini menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam atas kesudian menghantar ana ke stesen komuter. Insyaallah, akan ada balasan dan ganjaran untukmu lantaran bantuan yang dihulur demi melestarikan kerja-kerja dakwah. Dari Padang Jawa menuju ke stesen Bank Negara, bertukar ke LRT STAR menuju ke Bukit Jalil untuk bertemu Kak Muss, Kak Wani dan Kak Jannah, dan akhirnya tiba di TPMC. Moga Allah memberkati perjalanan ini.



Apa pun sedikit kenangan ana bersama Kak Muss sewaktu sama-sama bertugas sepanjang KBM TPMC kali ini sangat-sangatlah indah. Pastinya tatkala ana melihat meja, akan terlintas wajah Kak Muss di ruangan kotak pemikiran ana... Dan apabila Kak Muss melihat loker/almari pastinya wajah ana yang terlintas (^__^)/" Biarlah hanya kami yang mengetahui rahsia antara kami...






Berita lanjut di sini


MESYUARAT AGUNG JIM DAERAH BATU

Selesai sahaja berKBM di TPMC pada 6hb September, ana 'terbang' pula ke Sekolah Al-Amin Gombak bagi menghadiri Mesyuarat Agung JIM Daerah Batu. Ana selaku ahli baru JDB pun melaksanakan tanggungjwab ana dengan hadir ke majlis tersebut dan mengundi untuk AJK sesi baru bagi JDB, JIM KL dan JIM Pusat. Alhamdulillah, Pak Long telah dilantik sebagai YDP JDB, Pak Kay sebagai setiausaha agung, dan Kak Nina sebagai AJK JDB. Nampak gayanya makin sibuklah Pak Long...boleh jadi YB nampaknya lepas ni...hehe... Mabruk!




ZIARAH MUJAHID KECIL

Pada 7hb September yang lalu, ana dan adik-adik yang lain beserta Kak Nina dan Damia berkesempatan menziarahi Kak Teh Misah (ex-naqibah ana) yang telah selamat melahirkan seorang mujahid kecil yang diberi nama Ammar Mujahid bin Azahari pada 30 0g0s yang lalu. Bayangkan kami seramai 7 orang (Alang Atie, Kak Chik, Kak Yong, Uda, Andak, Adik, dan Ihsan) menaiki sebuah kereta... hehe... macam sardin cap ayam kot... ahaks (^__^)/" Apa pun syukran jazilan kepada Alang Atie atas kesudian menumpangkan kami ini.



Mabruk kepada Kak Teh Misah atas kelahiran yang dinanti-nantikan. Moga kedua-dua mujahid dan mujahidah ini akan menyerikan lagi kehidupan Kak Teh Misah... ameen...



IFTAR

Ramadhan pastinya meriah dengan aktiviti iftar bersama keluarga, sahabat serta rakan sekerja. Malangnya bagi diri ana, sehingga ke hari ini ana masih tidak berpeluang beriftar malah bersahur bersama keluarga di kampung disebabkan beberapa kekangan. Insyaallah, besar harapan ana untuk bersahur dan beriftar bersama keluarga pada hari Sabtu ini; 19hb September bersamaan 29hb Ramadhan 1430H kerana insyaallah ana akan pulang ke desa terchenta pada 18hb September ini menaiki bas menuju ke Batu Pahat (ana bukan orang BP tapi rumah dah dekat-dekat sempadan BP-Muar) pada jam 6 petang.

Pada 4hb September yang lalu, Dzul Iman Islamic Kidergarten tampat ana bertugas telah menganjurkan Iftar bersama anak-anak serta staff Dzul Iman cawangan lain. Lebih 50 orang yang hadir memeriahkan majlis. Program ini juga turut dihadiri oleh petugas dari Khalifah Institute yang sudi menjadi imam bagi solat Isyak dan solat sunat tarawih serta memberikan sedikit pengisian yang bertajuk; Manusia.



Seterusnya pada 7hb September yang lalu ana berkesempatan menghadiri Iftar Mahabbah Akhawat IIC yang diadakan di rumah Makcik Nor di Taman Koperasi Polis Fasa 2. Alhamdulillah ramai akhwat yang menghadiri diri sama ada yang lama mahupun yang baru dalam sistem tarbiyyah KARISMA IIC. Syukur ke hadrat Ilahi kerana iftar ini berjaya menemukan kami kembali setelah ramai di antara kami yang sudah menamatkan pengajian di IIC dan sudah bertebaran di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Walau bagaimanapun, terasa ada kekurangan iftar kali ini iaitu adik yang ana kasihi; Anjang Kila tidak dapat turut serta kerana berada di Teluk Intan, Perak. Terasa sangat ketidaklengkapan kami bila mana insan yang sering membuatkan kami tertawa dengan gelagat dan tingkahnya tiada bersama.



Seterusnya pada 12hb September sekali lagi ana menghadirkan diri ke Majlis Iftar Hidayah Center yang bertempat di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Precint 3 buat kali yang kedua. Seperti tahun lalu, ana turut membantu persiapan dan perjalanan program walaupun nama ana tidak tertera sebagai salah seorang jawatankuasa. Bagi ana, nama itu tidak penting kerana yang lebih utama adalah sumbangan yang ana hulurkan. Jika tahun lalu ana menjadi penyambut tetamu tidak bertauliah, tahun ini ana membantu mengagihkan minuman dan sedikit juadah kepada para tetamu yang hadir untuk mereka membatalkan puasa sebelum solat Maghrib berjamaah dan jamuan makan. Apa yang paling menggembirakan ana ialah kehadiran Anjang Kila. Terubat rasanya rindu di hati setelah lebih dua bulan kami tidak bersua muka. Syukur alhamdulillah padaMu ya Allah atas kurniaan pertemuan yang indah ini.




IKTIKAF

Usai iftar Hidayah Center dan solat tarawih di Kompleks Perbadanan Putrajaya, ana dan sahabat-sahabat yang lain menuju ke Masjid Wilayah untuk beriktikaf. Alhamdulillah, tertunai jua niat ana untuk beriktikaf. Walau bagaimanapun, kami sedikit diuji dalam perjalanan menuju ke Masjid Wilayah. Disebabkan ingin membeli makanan untuk bersahur, kami membuat keputusan ke Hentian Duta. Entah macamana, kereta yang dipandu Ukhti Nurull terlepas simpang ke Hentian Duta. Atas pandangan Damia, kami memilih untuk mengikuti jalan Taman Duta. Waktu itu jam menunjukkan pukul 12 malam.

Sampai di satu simpang tiga, kami hilang punca. Jalan mana yang perlu diambil? Ana pun kata, "Kanan lebih afdal." Damia pula berkata, "Kalau ikut logik akal, sebelah kiri." Ukhti Nurul hanya pandang wajah ana. Dan akhirnya ana pun berkata, "Okey, kiri." Kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai lagi ke satu simpang tiga. Ana pun bertanya, "Sekarang nak pilih mana?" Damia penuh rasa yakin berkata, "Kiri." Ukhti Nurul pun membelok ke kiri dan AKHIRNYA................ JALAN MATI!!! Hahaha... Ana pun berkata kepada Damia sambil tersengih, "Kananlah Mia..." Kami berpatah balik semula dan mengambil jalan ke arah kanan. Dan akhirnya kami sampai lagi di satu simpang tiga (berapa banyak simpang tiga daa???) Namun ada sesuatu yang membantu kami di situ... papan tanda HENTIAN DUTA ---->

Kami mengikut arah yang ditunjukkan dan entah macamana terjumpa lagi JALAN MATI. Nasib menyebelahi kami bila ana nampak ada beberapa orang pemuda di hadapan sebuah rumah. Kami bertanya arah kepada salah seorang pemuda itu dan akhirnya kami bertemu jalan yang betul untuk ke Hentian Duta. Wah...macam-macam sungguh! Selesai membeli makanan, kami bertanya pada Abang Gerai Wafer dan Jagung Manis jalan menuju ke Masjid Wilayah almaklumlah kami menaiki kereta. Kalau jalan kaki bolehlah kami sekadar menyeberang jalan dari Hentian Duta. Kini giliran ana pula untuk memandu. Dan akhirnya kami selamat sampai di Masjid Wilayah sekitar jam 1 pagi.



Ana sempat solat sunat dan tilawah Al-Qur'an sebelum melelapkan mata. Sekitar jam 3.30 pagi ana terjaga dan waktu itu hujan renyai-renyai. Sewaktu ana melangkah kaki ke bilik wudhuk, ana sempat memandang ke arah langit. Kelihatannya begitu cerah. Waktu itu ana tidak memikirkan apa-apa dan terus berlalu ke bilik wudhuk. Selesai bersahur, solat Subuh berjamaah dan mengikuti kuliah Subuh, kami berkemas-kemas untuk berangkat balik. Pagi itu sungguh nyaman. Udaranya pun sejuk. Tiba-tiba terlintas sesuatu di fikiran, 'malam tadi Lailatul qadar ke?'


MAKAN ANGIN

Setelah meninggalkan perkarangan Masjid Wilayah, kami (Ana, Anjang, Damia dan Nurull) memutuskan untuk membeli kain ela di Jalan Masjid India untuk dibuat tudung. Namun oleh sebab jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi, dan kedai-kedai masih belum beroperasi, kami sepakat untuk berehat di Taman Tasik Perdana.



Kami sakan melepaskan geram bermain buaian di taman permainan walaupun jika dihitung umur masing-masing, dah terlebih had. Sesekali, apa salahnya kan? Hehe... Sempat juga kami termenung melihat air pancut yang ada di situ. Geram je... rasa macam nak mandi je... Lebih kurang sejam di Taman Tasik Perdana kami menuju pula ke Masjid As-Syakirin di KLCC. Ana mengambil kesempatan untuk membersihkan diri, solat sunat dhuha, tilawah al-Qur'an dan tidur sebentar. Jam 11 pagi kami bergerak menuju ke Jalan Masjid India. Jalan raya sangat-sangatlah sesak!!! Letih sungguh menunggu dalam kereta. Akhirnya kami berjaya juga meletakkan kereta di tempat meletak kereta di bangunan Semua House. Niat di hati nak belikan kemeja untuk ayah, brooch untuk emak, jubah dan kain ela (nak buat tudung) untuk diri ana sendiri. Tetapi apabila melihat orang yang terlalu ramai, ana akhirnya membeli barang-barang yang dihajatkan itu di PKNS Shah Alam. Letih memang letih, tapi yang buat ana rasa seronok ialah apabila dapat menghabiskan masa dengan sahabat-sahabat juga bersama Anjang Kila.


Alhamdulillah, ana masih lagi diberikan peluang oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Tetapi, akan adakah lagi Ramadhan untuk ana tahun hadapan? Adakah akan ada lagi Ramadhan untuk orang lain di tahun hadapan? Apakah akan ada lagi Ramadhan tahun depan? Ana sendiri merasakan bahawa Ramadhan kali ini alhamdulillah lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Ana diberi peluang untuk solat tarawih berjamaah di surau A-Rayyan, di Masjid Sultan Salahuddin, di Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Masjid Wilayah malah ana juga diberi peluang oleh Allah untuk beriktikaf tahun ini di Masjid Wilayah. Namun sesuatu yang buat ana cukup terkilan ialah ana merasakan Ramadhan tahun ini terlalu pantas berlalu. Terasa bagaikan baru semalam ana bertemu dengan 1 Ramadhan 1430H namun beberapa hari saja lagi, Ramadhan akan meninggalkan diri ana. Entah mengapa air mata bagaikan mahu luruh bila memikirkan Ramadhan yang bakal pergi. Ianya sesuatu yang diluar kebiasaan ana. Apa pun, moga segala amal ibadah ana diterima oleh Allah, insyaallah ameenn... RAMADHAN, pemergiamu ditangisi...


Kak Yong: maaf, entry kali ini sangatlah panjang kerana ini merupakan entry terakhir sebelum ana pulang ke kampung pada hari Jumaat ini (18hb September). Doakan perjalanan ana selesa dan selamat sampai ke desa terchenta. Rindu teramat di hati pada kelarga, atuk dan juga nenek yang hampir 2 bulan tidak ditemui.

Wednesday, September 2, 2009

Selamat Berjuang Adik-adikku..

Bismilahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, semalam berkesempatan menghadiri Iftar KBM KL dan juga meraikan perpisahan beberapa orang fasilitator generasi 'lama' dan 'baru' yang bakal berangkat meneruskan perjuangan sebagai khalifah Allah di bumi Yaman, Mesir, Jordan dan Madinah. Alhamdulillah syukur, Allah memberikan kesempatan dan peluang untuk ana menghadirkan diri walaupun agak lewat sedikit tiba dari Bandar Anggerik.

Mengimbau kembali saat-saat bertautnya ukhwah yang terjalin, segalanya kerana KBM; Keindahan Bersama Mu. Amir Hudzaifah (Hud), Hilmi (Eming), Hazim dan Anas (KU) merupakan generasi 'lama' fasilitator KBM KL di mana kami sama-sama bermula bergerak dalam KBM KL di awal-awal penubuhannya. Pahit manis berprogram sama-sama dirasai. Walaupun amat jarang sekali kami berkomunikasi terus secara lisan, ukhwah ini tetap terjalin dan tetap dirasai sehingga kini. Memetik kata-kata dari Hud,

Seandainya hati ini boleh diberikan sebagai hadiah, pastinya sudah kuberikan padamu... tetapi manakan mungkin ia terjadi, kerna hati ini adalah milik mutlak Allah yang Maha Khalik...





Belakang dari kanan: Hud & Eming


Ya, dalam KBM KL mahabbah ini tersemai. Kita semua bagai satu keluarga yang besar biarpun kita datang dari negeri dan latar belakang yang berbeza namun aqeedah dan perjuangan yang menyatukan hati-hati kita. Dan seiring waktu yang berlari, keluarga besar kita semakin bertambah besar dengan kehadiran generasi 'baru' iaitu Ubadah, Rifa'ah, Luqman (Hamra') dan turut diikuti oleh Nusaibah dan Husna (Una).


Anas (dua dari kiri), Hud (empat dari kiri), Eming (enam dari kiri), Ubadah(empat dari kanan), Hazim (tiga dari kanan) dan Luqman (dua dari kanan).



Rifa'ah (lima dari kiri)



Gambar kecil bawah sekali sebelah kiri; Nusaibah (tudung hijau) & Husna (tiga dari kiri)


Walau bagaimana berat pun untuk melalui perpisahan, inilah yang dinamakan kehidupan. Setiap pertemuan pastinya disusuli dengan perpisahan. Namun antara kita tiada JARAK yang memisahkan. Dunia kan dah maju, teknologi pun dah moden, segala-galanya di hujung jari. Biar di dunia sebelah sana pun, kita masih dapat berhubung, insyaallah jika diizinkanNya.

Dikesempatan ini, Kak Yong ingin memohon ribuan ampun dan maaf andai di sepanjang jalinan ukhwah ini ada lisan yang mengguris hati dan ada tingkah yang tidak enak dipandangan mata. Maaf juga andai selama ini kalian melihat diri Kak Yong sebagai seorang yang agak 'dingin' dan susah untuk berkomunikasi dengan kalian kerana itulah afal akak... agak lambat untuk bergaul mesra. 'Asif kathiran.

Apa pun buat adik-adiku Nusaibah, Husna, Hud, Eming, Anas, Hazim, Ubadah, Rifa'ah, dan Luqman, Kak Yong doakan semoga apa jua yang kalian lakukan akan dipermudahkan Allah dan moga cita-cita kalian akan tercapai. Syukran jazilan atas ukhwah yang terjalin ini. Akhirul kalam, moga kalian terus MENYERLAH JAUH DARI YANG BIASA!!! All the best!!! Bitaufiq wannajah. Barakallahu 'alaikum.



KY: ...kemesraan memekar di akhir perkenalan, sayu menitiskan air mataku...

Thursday, August 27, 2009

Aduhai...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, jemari ini masih mampu menari-nari di lantai keyboard setelah tamam solat sunat tarawih di Surau Ar-Rayyan. Syukur ke hadrat Allah, masih diberi nikmat bernafas di muka bumi ini, dan masih di beri peluang untuk menunaikan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

LUKA

Hari ini seperti hari-hari dalam cuti sekolah, ana dan guru-guru lain bergotong royong membersihkan kawasan sekolah. Waktu tengah sibuk mencuci, terpandang pada sebuah akuarium lama. Apa lagi, teruja rasa di jiwa sebab ada la tempat nak letak kura-kura (dah pasang niat nak bela kura-kura dalam kelas). Disebabkan akuarium tu dah lama tak digunakan, ana pun cucilah. Sedang asyik membasuh, tiba-tiba... ADUH!!! Dan darah merah pun mengalir. Tak perasan pula di bahagian bucu akuarium itu 'retak menanti belah' dan akhirnya tapak tangan ana yang menjadi mangsa. Pedih dan bisanya usah dikata. Darah asyik mengalir walaupun sudah dilap dengan tisu. Tak cukup tanah ana mencari First Aid kit. Alhamdulillah, dulu ana ambil subjek First Aid Course jadi barang-barang dalam kotak tu taklah kelihatan seperti 'alien'.



Pengajaran dari peristiwa di atas,

1. Perlu lebih berhati-hati di lain masa
2. Jangan excited sangat bila buat kerja sampai tak toleh kiri kanan
3. Dah tau rabun tu, pakailah cermin mata (hehehe...)

Sebenarnya kalau ana melihat peristiwa ini pandangan mata hati, mungkin ia merupakan satu 'teguran' dari Allah. Mungkin tangan ini ada mengambil sesuatu yang bukan hak... Mungkin tangan ini tidak digunakan dengan sebaiknya... Ya, mungkin tangan ini ada 'terbabas' singgah pada anak-anak... (ada ke? hurm...) Apa pun, yang pentingnya sentiasa cermin-cerminkan diri. Lihatlah 'cermin-cermin' di sekeliling kita. Muhasabah diri... Dan lakukanlah perubahan... Ramadhan; Time To Transform!


TARAWIH

Alhamdulillah, malam ini merupakan malam kedua ana berkesempatan menunaikan solat tarawih di Surau A-Rayyan, Seksyen 7 setelah dua hari solat di rumah sahaja (sebab tak ada kawan nak dibuat teman jalan kaki ke surau). Saat ayat-ayat cinta Allah yang dialunkan indah oleh imam menyapa cuping telinga, terasa sebak di hati. Indahnya nikmat iman dan Islam! Dan peluang nak berinfaq di bulan Ramadhan ini terbentang luas di depan mata. Di Surau Ar-Rayyan ini sendiri terdapat dua jenis tabung, iaitu tabung kebajikan surau dan tabung sumbangan untuk pembinaan masjid Seksyen 7. Apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang merebut pahala berinfaq di bulan Ramadhan!



Jika dalam entry yang lalu, ana ada menceritakan bahawa kami terpaksa solat di bawah khemah yang disediakan di perkarangan surau gara-gara jamaah yang terlalu ramai, tapi malam ini ana bersolat di dalam surau. Kenapa agaknya ya? Adakah kerana ana datang awal? Jawapannya tidak. Ini adalah kerana jamaah malam ni tidak ramai seperti tempoh hari. Nampaknya keadaan yang ana jangkakan telah mula menampakkan diri. Erm... tapi yang sebaiknya, husnudzon. Mungkin disebabkan petang tadi hujan lebat hingga ke waktu Maghrib menyebabkan ramai jamaah yang tidak hadir. Mungkin mereka ada majlis iftar di tempat kerja masing-masing... mungkin...


TADARUS



Bulan Ramadhan merupakan bulan di mana setiap umat Islam berlumba-lumba melakukan amal ibadat termasuklah bertadarus Al-Qur'an. Ana ingin kongsikan satu kisah yang mungkin dapat kita jadikan ingatan buat diri-diri kita. Sejuk rasanya hati ana bila melihat anak-anak seawal usia 7 dan 9 tahun mampu bertadarus Al-Qur'an seawal pagi. Tapi kadang-kadang kita yang lebih dewasa ini tak mampu pun nak lakukan perkara seperti itu. Ya, hambatan kerja seringkali menjadi alasan kita. Apa yang mengecewakan ana, ada sesetengah dari kita yang mengisi waktu siang di bulan Ramadhan dengan tidur dengan alasan keletihan berpuasa. Tidur di waktu tengahari sehingga terlajak waktu Zuhur. Bukankah lebih elok andai kita qailullah dalam setengah jam kemudian bangun dan solat Zuhur serta bertadarus? Satu juzu' sehari mungkin terasa berat bagi sesetengah orang, tapi kita boleh bertadarus sekurang-kurangnya 4 muka surat setiap kali lepas solat fardhu. Andai kita konsisten, 1 juzu' itu pastinya tidak menjadi sebarang masalah. Bagi golongan muslimah mungkin perlu melebihkan sedikit bacaan, satu juzu' setengah misalnya untuk cover 'waktu istimewa' itu. Dan bagi yang sudah biasa mengkhatamkan 30 juzu' setiap kali Ramadhan, apa kata Ramadhan tahun ini kita cantikkan lagi dengan khatam 30 juzu' al-Qur'an beserta terjemahannya. Bagaimana? Menarikkan? Bertadarus disamping mengetahui maksud ayat-ayat cinta Allah yang kita alunkan itu. (ye la, bagi ana yang tak bisa berbahasa Arab bagai air mangalir ni, memang menarik!)


CINTA SEMPURNA

Kelmarin sewaktu ana 'menerjah' laman Ustaz Hasrizal (Saifulislam.Com), terbaca entry beliau mengenai 'Cinta Sempurna' yang merupakan sebuah drama 20 episod yang ditayangkan di saluran Astro Oasis. Cerita asal drama ini adalah buah tangan Ustaz Hasrizal sendiri.



Bagi yang tidak memiliki connection Astro, pilihan yang ada adalah melalui YouTube. Berdasarkan komen para penonton, ramai yang sedikit kecewa dengan beberapa perkara. Oleh kerana drama ini dikatakan sebagai salah satu medium dakwah, feedback dari para penonton perlu diambil serius. Setelah menonton sendiri drama ini melalui YouTube, ana akui apa yang dikatakan oleh sebilangan penonton itu benar belaka. Baik dari segi pakaian para pelakon yang ditampilkan, beberapa dialog yang sedikit boleh mengelirukan masyarakat umum yang cetek pemahaman atau kurang terdedah dengan beberapa isu perlu dihuraikan dengan lebih jelas agar tidak berlaku kekeliruan atau salah faham. Dan lebih menyedihkan lagi, aksesori yang dipakai oleh peran utama terpapar lambang salib. Perkara ini perlu dipandang serius.

Mungkin ada pengikut setia Saifulislam.Com mahupun insan-insan yang mengenali Ustaz Hasrizal secara dekat yang kecewa saat menyaksikan drama bersiri Cinta Sempurna ini sebagaimana kecewanya penonton filem Ayat-ayat Cinta. Mudah-mudahan filem terbaru yang diangkat dari novel Ustaz Habiburrahman iaitu Ketika Cinta Bertasbih mampu mengubati kekecewaan para peminat filem berbentuk dakwah dan islamik.


Dan ana bersetuju dengan salah satu komentar dalam Saifulislam.Com yang mengatakan seharusnya drama ini dikatakan sebagai perkongsian idea dari Ustaz Hasrizal, bukannya cerita asal kerana ada beberapa scene yang tidak berapa kena. Sebagai contoh adegan Ustaz Nazri dan Doktor Najihah 'dating' sewaktu masih dalam ikatan pertunangan. Ia menggambarkan seolah-olah ia dibenarkan atau dihalalkan oleh Islam. Perkara seperti ini mungkin kelihatan kecil tetapi boleh memberi salah tafsir kepada masyarakat yang menonton drama ini. Apa pun, tahniah buat Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zabidi Muhamed (penulis skrip) atas usaha menghasilkan drama bercorak islamik sebagai medium dakwah.


KES SEBAT KARTIKA


Ini satu lagi isu yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia sekarang ini. Bagi ana secara peribadi, inilah bahana masyarakat tidak memahami kaedah hukuman hudud itu sendiri. Apa yang tergambar di fikiran mereka apabila disebut hukum huduh ialah potong tangan, rejam sampai mati, sebat dan sebagainya tanpa mereka cuba memahami konsep hudud itu sendiri. Hukum hudud itu tidak sewenang-wenangnya dijatuhkan. Sebagai contoh kes rogol, mungkin berlaku kesukaran untuk mencari 4 orang saksi (mengikut syarat-syaratnya seperti lelaki, Islam etc). Dan jika di dalam konteks dunia moden hari ini, mungkin kita boleh menggunakan bantuan rakaman CCTV namun ia akan jatuh kepada kategori hukum ta'zir. Hukum ta'zir ialah hukum yang diputuskan oleh manusia berdasarkan kemaslahatan umum di sesuatu tempat dan masa. Hukumannya akan menjadi berbeza.

Bagi ana secara peribadi, mungkin golongan ilmuan agama di Malaysia boleh menggunakan peluang ini untuk menjelaskan atau menerangkan konsep sebenar hukum hudud itu agar salah tafsir di kalangan masyarakat Islam negara ini dapat diatasi. Sedikit pandangan dari ana yang dhaif lagi cetek ilmu ini. Wassalam `ala man ittaba`a al-huda.

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhanku...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah
, tahun ini DIA berikan lagi peluang buat ana untuk bertemu dengan Ramadhan. Syukur yang tidak terhingga ya Allah kupanjatkan ke hadratMU...


KEMATIAN

Dua tiga hari ini ana banyak dikhabarkan dengan berita kematian. Ramadhan pertama yang lalu, ana dikejutkan dengan SMS dari emak yang memaklumkan Nek Ngah (nenek saudara Abang Bai) telah meninggal dunia jam 3 pagi. Kelu lidah ini. Hanya Al-Fatihah yang mampu kuhadiahkan. Terimbas kembali kenangan sewaktu kecil dahulu bersama-sama arwah. Rumah Nek Ngah lebih kerap kami ziarahi berbanding rumah Nek Maria (nenek Abang Bai). Ana suka benar bermain di tangga batu rumah Nek Ngah. Rumah itu terlalu istimewa... rumah tradisional Melaka. Beranda... tangga batu... segalanya menggamit memori yang indah... Kali terakhir ana bertemu muka dengan Nek Ngah sewaktu walimah Abang Bai di Teluk Mas, Melaka tahun lalu. Nek Ngah tampak sudah uzur. Dia juga hampir tidak mengenali ana. Apabila disebut nama emak, barulah dia tersenyum. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman... ameen...

Ramadhan kedua juga ana dikhabarkan dengan dua berita kematian di kampung ana. Seorang warga tua dan seorang lagi remaja berusia 15 tahun. Remaja itu seusia adik ana. Belum sempat menduduki peperiksaan PMR. Menurut cerita emak, remaja ini menunggang motorsikal ke rumah jirannya (arwah warga tua) untuk menghantar gula bersama kakaknya. Balik dari rumah jirannya, motorsikal yang ditunggang remaja itu dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta kenari. Adik sepupu ana yang berada di tempat kejadian berusaha untuk membantu remaja terbabit tetapi Allah telah menetapkan bahawa remaja itu akan kembali padaNYA. Kakak remaja terbabit mengalami kecederaan patah kaki.

Ramadhan ketiga, ana mendengar khabar seorang pelajar UIA meninggal dunia gara-gara lemas di kolam renang pada jam 3 pagi. Lihatlah bagaimana Allah hendak mengambil nyawa kita. Kadang-kadang orang yang sihat walafiat tiba-tiba dijemput kembali dengan tidak disangka-sangka. Dari kisah-kisah di atas mungkin kita dapat lihat punca kematian yang berbeza namun pengakhirannya tetap sama iaitu -----> MATI. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sudah bersedia? Bagaimana dengan amalan kita? Adakah kita yakin kita dapat menjawab soalan-soalan malaikat Mungkar dan Nakir dengan mudah? Adakah bila ditanya, 'MA ROBBUKA?' lidah kita mampu membalas 'ALLAHU RABBI'? Sesungguhnya setiap yang bernama insan itu pasti akan merasai mati...


GURU

Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan pertama ana setelah bergelar seorang guru. Walaupun Ramadhan bermula pada cuti sekolah, bagi ana yang bertugas di sektor swasta, cuti ana hanya dua hari. Tetapi oleh kerana nak menggantikan cuti hari raya (ana cuti lebih awal), ana harus bekerja sepanjang cuti sekolah. Walaupun cuti sekolah, tadika tempat ana bertugas menyediakan perkhidmatan 'Day Care'. Lebih dari sepuluh orang anak-anak yang dihantar untuk Day Care. Nak tergelak rasanya melihat gelagat anak-anak kecil ini belajar berpuasa. Puasa Aisyah akhirnya 'lebur' dek coklat Nazmi. Terngiang-ngiang lagi kata-kata Aisyah tatkala ana bertanya sama ada dia masih berpuasa atau tidak...

Aisyah : Kita tak nak, tapi Nazmi yang bagi...
KY : Habis tu awak makan tak coklat tu?
Aisyah : Makan... tapi kita tak nak...
KY : (Sengih je la)


Gelagat Abang Danish pun tak kurang hebatnya...

KY : Abang puasa tak? (waktu tu jam dah menunjukkan pukul 4.00 petang)
Abang Danish : Puasa...
KY: Abang makan tak tengahari tadi?
Abang Danish : Makan...
KY : Aik??? Macamana pulak abang kata abang puasa, tapi tengahari tadi abang makan?
Abang Danish : Ye la, abang puasa la ni...
KY: Abang, puasa ni kita tak boleh makan dan minum dari pagi sampai masuk waktu maghrib... Macam Upin dan Ipin tu... Abang kan suka tengok Upin dan Ipin, betul tak apa teacher cakap?
Abang Danish : (merah muka - malu agaknya)



Apa pun, ana yang beruntung. Waktu berbuka tak perlu masak. Panaskan saja lauk yang Kak Sham (tukang masak) dah masak waktu tengahari untuk anak-anak... "\(^__^)/"


TARAWIH

Oleh kerana semua rakan setugas pulang ke kampung masing-masing, ana menyambut Ramadhan pertama di rumah sewa ex-housemate ana di IIC dulu yang kini belajar di UiTM kampus Shah Alam. Tarawih Ramadhan pertama ana di rumah sahaja. Seawal pagi Sabtu, kami bertolak ke rumah pakcik teman ana itu di Perumahan PDRM, Kelompok Cempaka, Setiawangsa. Malam Ramadhan kedua, ana bersolat tarawih di Surau At-Taqwa, Perumahan PDRM. Pada hari Ahad, selepas solat Zohor kami bertolak pulang ke Shah Alam. Malam Ramadhan ketiga, ana bersolat tarawih sendirian di rumah (sebab tinggal sorang-sorang je kat rumah). Alhamdulillah, malam Ramadhan keempat ana dan Ukht Zarina berkesempatan solat tarawih di Surau Ar-Rayyan, Seksyen 7. Surau agak sesak sehinggakan kami terpaksa solat di bawah khemah yang di pasang di perkarangan surau. Tamam solat sunat tarawih, ana sempat bertegur sapa dengan dua orang anak murid ana; Naema dan Mumtaz (international student - Nigeria) yang turut bersolat tarawih di Surau Ar-Rayyan bersama ibunya. Pastinya jamaah di Surau Ar-Rayyan kehairanan melihat ana dan Ukht Zarina berbual dengan foreigner (speaking tu!).


Harapnya, suasana seperti di Surau Ar-Rayyan ini akan kekal sehingga ke akhir bulan Ramadhan. Bukan sekadar meriah di permulaan sahaja. Lazimnya kita melihat rata-rata masjid dan surau meriah hanya di permulaan Ramadhan tetapi lama-kelamaan jamaah yang ramai itu, M.I.A (Missing In Action). Di penghujung Ramadhan, apa yang biasanya dapat kita saksikan ialah semakin bertambahnya jamaah yang 'solat tarawih' di shopping complex dan bazaar Ramadhan. Dan jangan dilupakan amalan-amalan sunat yang lain seperti tadarus al-Qur'an, solat berjamaah, solat sunat dhuha, mathurat, infaq, menjamu orang lain berbuka puasa dan banyak lagi. Akhirul kalam, moga MADRASAH RAMADHAN tahun ini akan menjadi medan tarbiyyah terbaik buat setiap dari diri kita. Selamat beramal!!! (^__^)/"


KY: azam tahun ni nak khatamkan lagi 30 juzu' Al-Qur'an...

Monday, August 17, 2009

Semarak Ramadhan...




Ramadhan datang lagi!!!

Countdown Ramadhan!!!

4 hari lagi...



Bagaimana dengan persiapan menyambut kedatangannya? Hmm... ana dah survey tempat nak solat tarawih... di surau berhampiran... okeylah boleh jalan kaki je... Moga ana diberi kesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan tahun ini... Ameen....





[Klik gambar untuk image lebih besar]

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers