Showing posts with label Coretan Hati. Show all posts
Showing posts with label Coretan Hati. Show all posts

Wednesday, July 25, 2012

P.E.N.A.T.

Bismillahirrahmanirrahim ~

Assalamualaikum w.b.t ~

-Sekadar gambar hiasan-


Syukur!
Masih mampu bernafas dalam ‘ruh’ Ramadhan
Dan diri terus ber’jihad’
Jihad untuk menjadikan Ramadhan kali ini jauh lebih baik

Namun entah mengapa
Tiba-tiba terasa P.E.N.A.T. yang teramat
Air jernih bergenang di kelopak mata
Dan laju membasahi pipi tatkala dahi mencecah sejadah
Ada rasa berat yang menghimpit jiwa
Tangan segera mencapai telefon
Nombor sahabat kudail pantas
Ada bunyi yang berlagu
Namun panggilan tidak berjawab
Kucuba lagi berulang kali
‘Please…jawablah…”
Air mata mengalir lagi
‘I need your shoulder…’

Allah…
Mushaf berwarna merah jambu kutarik keluar dari tas tangan
Satu persatu ayatNya meniti di bibir
Allah… berikanlah aku ketenangan…
Kelopak mata kupejam erat
Nafas kutarik sedalam-dalamnya sebelum dilepaskan keluar

Telefon kucapai kembali
Aplikasi Google Talk kuaktifkan
‘Dia’ sedang online
Salam kuberi dan dibalas beberapa saat kemudian


+ Tengah buat apa?
Hehe.. tengah buat kerja sekolah. Kakak kat mana?
+ Rumah
Sihat?
+ Entah
Kenapa ni kakak?
+ Penat
Pagi tadi sahur apa?
+ Sup Ayam, sayur campur, tempe
Tempe??? Alaaaa sedapnye!! Hurm… Akak penat lagi ye?
+ Penat perasaan, penat otak, penat badan
Banyak kerja ye? Dah hampir siap ke?
+ Yup banyak kerja. Tak siap pun lagi
Bismillah… Kejap lagi doa kat Allah ye. Bagitau Allah, dah penat buat kerja ni dan penat segalanya… Tapi bagilah sedikit kekuatan kudratMu untuk aku habiskan urusan ini… Dan dari Hanum, sikit je lagi tu. Untuk menghasilkan yang paling terbaik, perlukan pembayaran penat dan lelah. Moga Allah dan penduduk langit rahmati kakak… Kesian kakak… Kalau Hanum dekat, bolehlah urut-urut sikit… Buang ‘Raja Angin’ dalam badan tu =)
+ Ameenn..
Senyumlah sikit… Kan kakak lawa dengan senyuman kakak tu…



Tahukah dirimu, 
dengan kata-katamu itu
 mampu membuat aku tersenyum 
biar ada air jernih bergenang di kelopak mata.
Terima kasih ya Allah atas ‘penawar’ yang Kau titipkan 
lewat sahabatku ini…





“To Kakak…
Dah, usah menangis
Payung-payung kenangan kita kan ada
Untuk menemani rindu antara kita
Mungkin ada lubang sedikit
Terpaksa kau basah sekejap
Tetapi jangan risau
Ia takkan lama
Sebentar lagi ia akan tertutup
Dengan kebersamaan kita
Insyaallah…”

--------------------------------------------------------------------------
Allah, kuatkan aku dalam menuntun langkah menuju kepadaMu...
Ameenn..



[SHE] 
Orang kata nak buang tatu di kulit itu perit,
tapi hakikatnya nak buang tatu jahiliyyah
di hati lebih perit!!!
-Mujahadah itu PAHIT kerana syurga itu MANIS- 

Tuesday, May 22, 2012

Kita Yang Terlupa

Bismillahirrahmanirrahim ~

Assalamualaikum w.b.t. ~

Syukur bila mana kita dikurniakan sahabat-sahabat yang menghulur salam ukhwah atas dasar lillahi Ta'ala. Kasih sayangnya tidak bersyarat. Bantuannya tidak minta dibalas. Saat kita tergelincir, pantas tangannya menarik kita semula. Silap kita tidak dikeji, tapi dinasihati dengan cinta. Sakit kita, gelisah kita, sedih kita, semuanya dikongsi bersama biarpun khalayak melihat betapa kuatnya kita.

Tapi adakalanya bila kita dikurniakan sahabat seperti ini, rasa risau sering bertamu. Pelbagai persoalan mengasak minda. Adakah keadaan akan tetap sama sampai bila-bila? Adakah mereka akan sentiasa ada bila mana aku memerlukan mereka? 

Mengapa ini yang terjadi?

Jawapannya cukup mudah. 

Kerana kita takut kita ditinggalkan. Kita takut berseorangan. Kita takut kita tiada tempat mengadu. Kita takut hilang kasih sayang.

Tahukah bahawa kita sebenarnya terlupa? Kita terlupa bahawa kita tidak pernah sendiri. Kita terlupa bahawa mereka adalah makhluk yang diciptakan. Kita terlupa bahawa kita ada DIA. DIA yang tidak pernah meninggalkan kita. DIA yang tidak pernah putus mengasihi kita. DIA yang tidak jemu-jemu menunggu kita mengadu padaNya. Dan kita juga terlupa bila mana DIA mengambil sesuatu dari kita, DIA akan menggantikannya dengan yang lebih baik lagi.

Semuanya kerana kita terlupa.

Kerana kita terlupa, kita sering gundah gulana. Kerana terlupa, kita sering berendam air mata. Kerana terlupa, kita sering mencari cinta dusta.

Sedarlah bahawa DIA yang menciptakan kita. Mana mungkin DIA akan meninggalkan kita sendiri. Mana mungkin DIA berhenti mencintai kita sedangkan si pendosa mendapat ampunanNya.

Astaghfirullahal'azim... Ampunkan diriku yang terlupa ya Allah...

  
-------------------------------------------------------------------------
Kusedari kadang kulupa mungkin ini nafasku yang terakhir,
Ampuni kurangnya syukurku,
Maafkan kuragu kasihMu,
Nanti suatu hari saat duniaku usai berakhir,
Di akhir hayat kumohon KAU redha padaku...

[Tuntunku Kepada-Mu by Maher Zain]



[SHE]
Orang kata nak buang tatu di kulit itu perit,
tapi hakikatnya nak buang tatu jahiliyyah
di hati lebih perit!!!
-Mujahadah itu PAHIT kerana syurga itu MANIS-

Wednesday, May 16, 2012

S.A.Y.U.

Bismillahirrahmanirrahim ~

Assalamualaikum w.b.t. ~


Kekadang kita terasa sayu,
disebabkan banyak faktor.
Ujian, kepayahan atau cabaran boleh membuat kita berasa sayu. 
Ada ketika kita rasa sayu tanpa sebab-sebab yang jelas.
Kesayuan itu akan menyebabkan kita terasa untuk mengadu
kepada Allah S.W.T.
Bila kita mengadu pada Allah S.W.T,
maka kita akan pandai untuk memohon kepadaNya pelbagai perkara. 
Kita akan pandai merayu kepadaNya.

Menurut ilmu yang diajar oleh Ibnu Athaillah,
selepas beliau menguasai ilmu Islam dan pengalaman sebagai hambaNya,
beliau ada mengunggkapkan:

مَتَى أَطْلَقَ لِسَانَكَ بِالطَّلَبِ، فَاعْلَمْ أَنَّهُ يُرِيْدُ أَنْ يُعْطِيَكَ

"Ketika Allah Meringankan lidahmu utuk memohon dan meminta kepadaNya,
maka ketahuilah bahawa Dia ingin mengurniakan kepadamu"

Berhati-hatilah kalau ada ketika dalam hidup ini,
kita tidak pandai meminta dan merayu kepada Allah S.W.T...

Dalam perjuangan dan perjalanan hidup ini; 
ketika berdakwah,
ketika melaksanakan tarbiah,
ketika beraktivisma bermesyuarat dan bersyura,
ketika berkerjaya,
belajar,
berniaga...
jangan sampai kita kering dan putus idea untuk memohon kepadaNya.

Kalau hati kita keras
dan tidak boleh mencipta permohonan kepada Allah S.W.T,
atau tidak khusyu' ketika memohon dariNya;
itu tanda Allah S.W.T tidak mahu "mengurniakan" kepada kita....

[Prof. Madya Ust. Hasanuddin Mohd Yunus] 

---------------------------------------------------------------------------
Astaghfirullahal'azim...
Moga lidah ini akan sentiasa 'basah' meminta
dan merayu padaNya...
Ameenn...  
 

[SHE]
Orang kata nak buang tatu di kulit itu perit,
tapi hakikatnya nak buang tatu jahiliyyah
di hati lebih perit!!!
-Mujahadah itu PAHIT kerana syurga itu MANIS-

Monday, May 7, 2012

Angka 2 Dan 7

Bismillahirrahmanirrahim... 
Assalamualaikum buat yang membaca... 
Lama tak 'kemas' ruangan ni. 
Lama. 
Minda seolah-olah terhenti seketika. 
Apa yang ada, gagal diterjemahkan dalam bentuk tulisan. 
Masalah kronik barangkali. 

Alhamdulillah, semalam tanggal 6 Mei 2012. 
Dan ia juga menandakan umurku sudah bertambah setahun lagi menjadi 27 tahun. 
Alhamdulillah, syukur atas nikmat usia yang dikurniakan. 
Dan kali ini tanggal 6 Mei itu sekali lagi kusambut tanpa keluarga (ada program di Putrajaya). 
Subuh yang hening itu, entah kenapa sayu yang amat terasa di hati hinggakan tangan yang kutadah tatkala berdoa, basah dengan air mata. 
Sukar ditafsir apa yang ada di hati. 

DUA PULUH TUJUH! 
Pelbagai cerita, kisah, peristiwa, tragedi (agaks tragis perkataan ini) yang telah dilalui sepanjang 27 tahun itu. 
Ada ketawa, ada senyuman, ada air mata, ada ke'blur'an, ada kesakitan... 
Pelbagai! 
Macam rojak! 
Rasa PENAT itu mahu kuusir jauh-jauh! 
Kerana apa? 
Kerana KEHIDUPAN adalah ujian. 
Dan ujian itu pastinya memenatkan. 
Hanya perlu sentiasa ingatkan diri bahawa kerehatan yang abadi telah dijanjikan oleh DIA di negeri yang abadi. 

DUA PULUH TUJUH! 
Sebenarnya rasa tidak percaya bahawa itu umurku saat ini. 
Terasa kadang-kadang sifat keanak-anakkan itu tersangatlah tinggi...hoho... 
Namun, sampai bila nak jadi 'kanak-kanak' kan? 
But it's okay kalau sesekali nak jadi 'kanak-kanak' sebab itu salah satu cara untuk mengubat gundah dan resah di hati. 

DUA PULUH TUJUH! 
Perkara yang paling utama kulakukan adalah, mengucapkan terima kasih yang tak terhingga buat Emak yang telah bersusah payah dan bersabung nyawa untuk melahirkanku pada 6 Mei 1985. 
Emak, 
TERIMA KASIH! 
Dan mohon maaf andai selama 27 tahun usia kakak ini, banyak tingkah dan lisan kakak yang mengguris hatimu. 
Maaf kalau kedegilan kakak meresahkanmu. 
Sometimes, I need to fight for my life hoho... 

DUA PULUH TUJUH! 
Terima kasih kuucapkan kepada semua yang mengucapkan ucapan selamat sempena ulangtahun kelahiranku. 
Dan buat mereka yang di kejauhan, maaf andai air mataku menitis tatkala mendapat ucapan darimu... Ianya begitu mengusik hatiku. 
Betapa kalian sentiasa menguatkan diriku!
Betapa kalian begitu menghargaiku! 
Kalian adalah hadiah terindah dari Allah buatku! 
Adik-adik sahabat [K.A.M.I], moga Allah terus kukuhkan kasih sayang kita hingga ke syurga. 
Moga Allah tambah-tambahkan cinta di hati kita. 

Terima kasih Ecah atas ingatan dan kasih sayang ini!
Senyumku bersama air mata tatkala membaca e-kad lewat whatsapp ini. 

DUA PULUH TUJUH! 
Sahabat, saya sayang kalian kerana Allah! 
Terima kasih yang tak terhingga kerana membuatkan hidupku begitu bermakna! 
Terima kasih atas sokongan, doa, semangat dan segala-galanya! 
Moga Allah yang membalas kebaikan-kebaikan kalian. 
Andai tiada ruang untuk kita bertemu di dunia, moga DIA pertemukan kita di syurga. 
Ameenn... 
Kalian adalah adik, sahabat, kekasih yang sangat kucinta~ 


*just a short entry* 

-SHE- 
Muar, Johor

Monday, April 2, 2012

..KOSONG..

*Tenggelam dalam ramai*

Bismilahirrahmanirrahim...


Lama rasanya tidak meninggalkan sesuatu di laman ini. KOSONG! Hurm... Adakah ia satu keluhan? *tak baik tau mengeluh!* Namun ia tiada kaitan dengan lagu Kosong oleh Najwa Latif si-cinta-mukabuku tu.

Sesi menghitung hari bermula lagi. Dan bila tiba ke saat itu, digit terakhir bakal bertambah lagi. Pantasnya masa berlalu. Namun bagaimana dengan masa yang telah berlalu dan ditinggalkan? Adakah kuisi dengan sebaiknya? Astaghfirullahal'azim...

Terasa KOSONG di benak fikiran. Kadangkala rasa tenggelam dalam ramai. Allah! Berikan aku kekuatan! Allah! Bantu aku melakar hidupku agar ia selari dengan kehendakMu!

Dimana kekuatan? Cari!
Dimana kesabaran? Bina!
Dimana senyuman? Jemput!

Hidup ini tidak cukup dengan mengatakan saya Khalifah. Kerana ia tidak lengkap sebagai Khalifah sahaja, tetapi ia perlu disertai dengan khalifah.

Rindu! Rindu teramat padaNya. Rindu ingin menitiskan air mata mengadu padaNya!

*petikan dari buku Batu Bata Kehidupan oleh Hilal Asyraf*
Kenapa manusia jarang menggantungkan harapannya kepada Allah? Kerana dia rasa Allah itu jauh! Dia tidak 'nampak' Allah. Itu yang membuatkan dia kurang yakin. Seakan-akan Allah itu sangat jauh dan mungkin lambat sampai untuk membantunya.
Allah! Rasa macam kena tampar! Astaghfirullah... Husnuzhan... DIA lebih tau apa yang terbaik buat kita. Apa jua ujian, itu adalah tarbiyyah, mendidik diri untuk terus tabah dan kuat!


SHE : Baiknya DIA kerana mengizinkan hambaNya yang sering khilaf ini terus bernafas di atas bumi. Baiknya DIA kerana nikmat hidup di hari yang baru sebagai peluang dan ruang untuk memperbaiki diri dan bertaubat atas dosa dan kesilapan lalu...



Cari semangat yang hilang with Ecah.

Tika PENAT dan LELAH itu bertandang,
SYUKUR!!!
Allah pinjamkan 'dia' untuk buat aku tertawa...
Untuk buat aku mengalirkan air mata tanpa punca...
Untuk buat aku berkongsi cerita...
Walau jarak antara kami tak terjangkau dek mata...
Dia, yang kucinta kerana DIA - Aisahtull Jamiza Abd Jamil

Thursday, November 24, 2011

Menjemput Senyum ^^



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum buat semua yang sudi bertandang ke laman yang lama menyepi ini. Alhamdulillah, syukur! Akhirnya Allah izinkan jemari ini mengetuk papan kekunci (baca: post new entry) Bila jenguk akaun blogger, banyak benor yang berstatus DRAFT. Satu persatu di-klik. Ada yang bertajuk, tapi tak berentry. Ada yang cuma sebaris dua ayat. Bila fikir-fikir balik, tak ingat apa benda sebenarnya yang nak disampaikan. Hihi! Akhirnya kata putus diambil. Klik! Klik! Klik! -DELETE-

Kalau diturutkan rasa hati, laman ni nak ditutup je. Tapi terasa sayang! Dah lama. Ada sentimental value. Ada kenangan. Ada senyuman. Ada air mata. Semuanya ada. Bermula pada tanggal 22 Julai 2008 <---zaman ketika masih menuntut di IIC. Saya masih ingat, seorang pensyarah yang juga saya anggap sebagai kakak pernah menyampaikan kata-kata dari seorang Ustaz. "Dia tu laptop pun tak ada, tapi boleh manage website forum!" Tu tak termasuk sakan berblog hoho... Nak tau macamana saya buat??? Ho.ho.ho. saya menggunakan sepenuhnya 150% kemudahan komputer kat library kolej. Kalau tengok kat buku 'booking' PC, hari-hari ada nama saya. Sampai abang kakak kat library tu dah kenal muka saya ^_^

Sebelum menggunakan BLOGSPOT, saya terlebih dulu menggunakan BLOGDRIVE. Nak tau sejarah saya mula berblog? Ringkasnya, saya suka menulis. Dan pada waktu yang sama saya suka membaca cerpen atau novel. Melalui website forum UPMU, saya menenemui blog seorang senior medik yang mengandungi e-novel. Apa yang buat saya teruja ialah dia budak medik dan dia seorang LELAKI!!! (Takjub kot lelaki boleh hasilkan e-novel yang best amat). Dari senior ini (saya panggil dia DrMeow hoho) jugalah saya mengenali HLOVATE ^^, Entah macamana akhirnya saya pun membina laman blog saya sendiri di BLOGDRIVE dengan tunjuk ajar DrMeow. Waktu itu tahun 2007. DrMeow juga la yang sikit sebanyak mengajar saya membuat html code untuk pautan di bahagian tepi blog. And the rest is history. Untuk DrMeow, walaupun nampak simple dan kecil, ilmu tu sangat besar nilainya tau! Saya doakan Dr dan Kak Noza dikurniakan zuriat yang soleh solehah dan bait Muslim yang di bina kekal hingga ke syurga. Ameennn... Klik SINI untuk ke laman blog DrMeow. Tapi sekarang DrMeow pun dah pindah 'rumah' ke BLOGSPOT hoho...

So berbalik semula kepada maudhu' (baca: tajuk). Ada banyak asbab sebenarnya yang menyebabkan blog ni lama menyepi. Tapi tak perlu rasanya dicanangkan di sini melainkan cerita-cerita itu ada nilai komersil dan boleh menghasilkan royalti yang berkoyan-koyan untuk saya hoho!!! Apa pun yang berlaku, saya terima ia sebagai satu proses pembelajaran yang Allah telah aturkan buat saya. Ye, ada masanya rasa sangat down! Rasa macam nak lari jauh-jauh! Rasa macam nak pinjam je pintu suka hati Doraemon tu supaya saya boleh pergi tempat lain sekelip mata! Tapi persoalannya, sampai bila saya nak lari dari masalah? LARI itu takkan dapat menyelesaikan apa-apa. Apa yang perlu dilakukan ialah berhenti berlari, dan hadapi apa pun ujian yang mendatang dengan berani! Dalam waktu yang sama jangan pernah berhenti menembak doa agar DIA Yang Menciptakan memberi kekuatan dan kesabaran buat diri. Oleh kerana DIA Yang Mencipta, maka DIA jugalah yang berkuasa ke atas diri ini. That's a lesson actually. Dan alhamdulillah, setiap hari bila menjenguk laman FB atau website Langit Ilahi, pasti ada saja pujukan-pujukan dari DIA yang disampaikan melalui sahabat-sahabat di LI.
"Untuk orang mu'min, dugaan adalah keceriaan. Kerana dia mengambil manfaat daripada cabaran, sebagai batu loncatan yang menguatkan."

Akhirnya, keputusan diambil. Start a new chapter of life! Alhamdulillah, hati semakin tenang. Ada senyuman terpancar di mata. Syukur atas nikmat ujian! Ujian yang semakin mendekatkan dengan cinta yang SATU!

Telah lama pasang azam nak hidupkan semula blog ni. Apatah lagi bila menjenguk blog adik-adik yang kat bumi sebelah sana. Yang tak nampak oleh mata. Jenguk blog Sakeena, ada senyum terukir di bibir. Ada bahagia bermukim di hati. Moga dakwah terus subur di bumi Manchester. Jenguk pula blog Aie Si Budak AsQalan yang senyap-senyap je dah terbang sampai ke Birmingham. Akak JELES ok! But I'm really proud ada junior macam kamu walaupun kamu dah buat harta nota mind map akak yang comel tu haha. Cari dan galilah PERMATA di sana. Sebab Allah dah bagi peluang pada Aie. Grab the opportunity coz u're LOGAM! Kalau tak faham, pi tanya Kak Keena apa benda LOGAM tu hoho... Jenguk pula blog Ecah Pencinta LongBean kat Kacang (baca: Walnut), California. Rindu oooo... Teruskan menulis dan berkongsi ye dik! Sangat memberi inspirasi buat akak. I luv u so much for the sake of Allah! Untuk adik-adik yang lain tu; HoneyBee dan Hanum, sila rajin-rajin update blog yek hihi...

Dan akhirnya, alhamdulillah, syukur!!! Allah beri peluang! Allah beri kesempatan! Allah beri ruang dan Allah izinkan jari-jemari ni bergerak untuk mengetuk papan kekunci dan akhirnya, terupdate juga laman blog ini. Buat Hilal Asyraf - pengasas LangitIlahi.com, teruskan memberi tips-tips yang bermanfaat untuk para blogger. Dan jangan jemu mengajak manusia kembali menjadi HAMBA. Semoga Allah redha~

Terakhir sekali, suka saya berkongsi pujukan Allah yang disampaikan melalui Akhi Hilal Asyraf yang sangat bermakna buat diri ini,
"Bangun dan berusaha menjemput senyum! Janji-janji Tuhan mendidik diri untuk terus TABAH!!!"


Jom menjemput SENYUM!!! Senyum lebaq-lebaq naaa!!! ^________^




DIA Itu Dekat!

Penat!
Lelah!
Hilang segala kudrat untuk berlari
Terbaring keletihan di dataran kehidupan
Air jernih mengalir laju
Aku penat untuk berjuang!
Angin semilir terasa di pipi
Membisikkan kata-kata menenangkan gejolak jiwa
"Ikutlah gerak kakimu yang didasari oleh gerak hatimu..
Susurilah irama kehidupan barumu
Dicoretkan oleh DIA yang paling dekat di hati...
Ingatlah,
DIA selalu DEKAT
LEBIH DEKAT dari urat lehermu...


[SHE]
1059
271011
Secrets
Puisi DIA Itu Dekat!

Wednesday, June 1, 2011

Soal Hati





Kali ini, ingin kubicarakan soal hati...
Kerana hati itu begitu dekat dengan diri kita...
Kerana hati itu begitu halus sifatnya...
Bila hati itu gelisah, seluruh afal jadi gundah...

Hati seperti lautan...
Luas, tidak kelihatan pesisirnya...
Ia juga dalam, tidak terduga dasarnya..
Jangan sampai tersesat,
bimbang tidak akan ketemu jalan pulang ke pangkalan...

Pernahkah kita koreksi kondisi hati kita?
Bersihkah?
Hitamkah?
Berkaratkah?
Atau hati kita sedang gelisah?
Atau pun hati kita sudah mati?
Astaghfirullah...

"Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku
maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit."
(Taha:124)

Mungkinkah kerana kita berpaling dari DIA, maka hati menjadi gelisah?
Mungkinkah kerana kita jauh dari DIA, maka hati menjadi gundah?

Ayuh kita koreksi kondisi hati kita...
Hati bisa jadi keras andai kita biarkan ia lalai dari mengingati Allah dan Rasulnya...
Percayalah...
Ianya benar bukan sekadar omongan kosong...

Cuba kita imbas kembali sirah Rasulullah...
Sebelum hadirnya sinar Islam,
kebanyakan sahabat berhati keras, degil...
Hingga ada di antara mereka yang tergamak menanam
anak perempuan sendiri hidup-hidup...

Namun, setelah sinar Islam muncul
mereka berubah menjadi manusia yang punya jiwa lembut...
Bagaimana ini bisa terjadi?
Kerana Rasulullah terlebih dahulu telah mendidik hati-hati mereka...

Andai hati itu mati,
pohonlah pada yang menciptakan hati...
Agar diberikan hati yang baru...

Andai hati itu sakit,
rawatlah ia...
Carilah penawarnya...

Ayuh bangunkan hati!!!




Tuesday, May 10, 2011

It's Hard to Say Goodbye



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum buat yang membaca. Terlalu lama rasanya blog ini terbiar tanpa sebarang update. Sejak post terakhir, banyak sekali yang ingin dikongsikan di sini, tetapi masa yang agak terbatas seringkali membuatkan 'semangat' menulis itu luntur. Nukilan-nukilan yang berlegar di kotak minda, akhirnya terkubur begitu sahaja.

Hari ini, 31 Mei 2011. Dan hari ini juga merupakan hari terakhir diri ini bertugas sebagai Pegawai Operasi di KRJ Motivasi atau lebih dikenali sebagai KBM Kuala Lumpur. Alhamdulillah, setahun 4 bulan menyandang jawatan itu terlalu banyak ilmu dan mutiara-mutiara berharga yang telah kukutip. Terlalu ramai yang menjadi guru tak rasmiku sama ada dalam bidang video editing, grafik design, pengurusan dan sebagainya. Terlalu mahal nilainya...


Kuala Lumpur. Sehingga kini, hampir 4 tahun diri ini berkelana di bawah langit kota besar ini. Terlalu banyak yang kupelajari dari 'universiti kehidupan' di kota ini. Susah payah, pahit manis, semuanya diharungi dengan tabah dan yakin bahawa Allah itu sentiasa ada di sisi. Dan di sini juga diri ini mula mengenal TARBIYYAH. Indahnya aturan Allah! Kalau dulu DIA meletakkan diri ini di bawah, dan dititipkan berbagai-bagai ujian sepanjang pendakian untuk ke puncak semula, hari ini diri ini telah bangkit menjadi sesorang yang berbeza. Benar kata guruku, DIA menitipkan kesemua ujian itu tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk melatih diri ini menjadi seorang yang lebih kuat dan tabah.

Dalam tempoh 4 tahun ini juga, tanpa sedar diri ini sudah punya KELUARGA BESAR biarpun diri ini hanya bersendiri saat mula-mula melangkah kaki di Kuala Lumpur. Dan kini, it's really really hard for me to say goodbye. Hanya Allah yang tahu apa yang ada di dalam hati ini. Terlalu banyak kenangan di sini. Namun, aku yakin aturan Allah itu adalah yang terbaik. Kerana apa? Kerana DIA mengatur dengan cintaNYA sedangkan aku bahkan kita semua mengatur dengan CITA.


Insyaallah, selepas ini kembaraku bakal bermula di Terengganu. Moga tarbiyyah dan dakwah di sana semakin subur dan terus subur. Biarpun payah, akan kukuatkan semangat untuk mengharunginya. Insyaallah, ini yang terbaik buat diriku. Buat semua yang bakal kutinggalkan, adik-adikku, sahabat-sahabatku, insyaallah ada rezeki kita akan berjumpa lagi. Jauh di mata, dekat di hati, senantiasa dalam untaian-untaian doa... Insyaallah... Yakinlah, kalian sangat-sangat kusayang sepenuh hati for the sake of Allah. Mohon kuundurkan diri seketika. Insyaallah, ini bukan titipan terakhir dariku.It's hard for me to make this decision and it's hard for me to say goodbye. Bergelen-gelen air mata telah tumpah. Doakan diri ini terus kuat sahabat...

Berjalan, melihat, mentafsir sepanjang permusafiran Kasih Ilahi...

Thursday, March 10, 2011

Susun-susun...




Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum buat anda yang membaca. Moga kita hari ini luar biasa hebat dari hari-hari sebelumnya.

Masa kecik-kecik dulu, kita pernah main jigsaw puzzle. Ala, yang main susun-susun tu. Dan mungkin ada antara kita sehingga ke hari ini masih bermain jigsaw puzzle.

Jiwsaw puzzle = susun-susun


Lately boleh dikatakan saya sering diajukan dengan ayat-ayat yang lebih kurang sama maksudnya dengan ayat ini :- "Dah susun?" Dan jawapan saya? Hurm... Errr... Tengah... Dan hari ini, saya paksa diri saya untuk S-U-S-U-N. Perkara pertama yang saya buat ialah, saya selongkar rak buku saya dan cari hadiah pemberian walid. Ya! Sebuah P-L-A-N-N-E-R! Planner ni dihadiahkan oleh walid sewaktu saya berziarah ke Kerteh, Terengganu.

Planner Aqsa Syarif hadiah dari walid


Setiap barang hak milik saya terutamanya buku-buku akan dilekatkan dengan
pelekat nama ini di bahagian kanan sebelah atas. At least kalau tercicir,
bolehla orang yang jumpa tu pulangkan semula kepada saya


Kalau ikut hati, saya sayang nak guna. Tapi kalau tak diguna, membazirla! Ish, ish, ish... Membazir tu kawan siapa? Jadi hari ini saya mula memasukkan aktiviti-aktiviti saya ke dalam planner. Salah satu tujuannya, supaya saya tak terlupa program-program yang perlu saya hadiri. Dan saya nak tambah job-to-do list dalam planner itu. Supaya apa? Supaya kerja-kerja saya lebih tersusun dan tidak tercicir. Inilah namanya susun-susun.

Baru isi sikit jer...


Bila saya cakap saya nak belajar susun-susun, walid kata orang sistemik macam saya sepatutnya dah tak payah nak susun-susun. Erk... Sistemik tu apa? Sistematik pernahla dengar. Jadi saya pun tanyalah kepada Pakcik-Hensem-Google. Rupa-rupanya pemikiran sistemik ni adalah kaedah memandang sesuatu secara keseluruhan manakala sistematik adalah kaedah memandang sesuatu secara berturutan atau berdikit-dikit. (Sumber) Tapi adakah saya ni berfikiran sistemik? Erm...

Bila diintai-intai semula ke dalam diri, memanglah saya ni failed bab susun-susun. Tu yang selalu jadi serabut. Dan bila diintai pula pada Muwasofat Tarbiyyah, dush!!! Salah satu sifat tak berapa nak settle lagi. Walaupun takde la nampak macam kronik sangat, tapi kalau 10 muwasofat tarbiyyah pun tak settle, macamana nak melepasi tangga Individu Muslim dalam Maratib 'Amal (Turutan Amal)? Terasa seperti kena ketuk-lagi-hantuk di situ.

Inilah 10 Muwasofat Tarbiyyah yang merupakan ciri-ciri penting dalam
pembentukan peribadi Muslim yang perlu dipenuhi oleh setiap individu Muslim.


Dan ini pula adalah Maratib Amal, turutan amal.


Apa dia muwasofat yang masih belum selesai tu?? Munazzamun fi syu'unihi, tersusun urusannya. Seorang Muslim tu kan sepatutnya lebih tersusun urusannya. Hurm... Tiba-tiba teringat kisah tentang semut. Kita semua sedia maklum, semut ni binatang yang namanya Allah sebutkan di dalam al-Qur'an dan menjadi nama bagi salah satu surah iaitu an-Naml.



Semut adalah binatang yang hidup berkelompok dan selalu bekerjasama. Semut tak hidup sekor-sekor sebab semut sedar dirinya kecik dan lemah. Namun, kebersamaan dan kerjasama membuatkan semut menjadi binatang yang tak boleh dipandang rendah. Seekor gajah pun, kalau diserang semut yang sangat banyak, gajah tu boleh mati. Macam tu la hebatnya semut yang hidup berkelompok. Selain tu semut adalah binatang yang sangat teratur hidupnya dan berdisiplin. Cuba kita tengok sekelompok semut yang berjalan. Teratur je kan? Tak ada pun semut yang nak potong baris. Sangat berdisiplin mengalahkan tentera. Kalau semut, binatang kecil yang tak berakal tu boleh hidup teratur dan berdisiplin, kenapa saya seorang manusia yang Allah dah kurniakan akal ni masih tak berjaya nak susun-susun? Dush!!! Waaaaa....malunya pada semut!

Konklusinya, saya dan anda kena lebih giat dan paksa diri untuk belajar susun-susun sampai saya dan anda berjaya. Jika tidak, lebih baik saya dan anda jadi semut (baca: malu kepada semut).

Wednesday, March 2, 2011

Entah. Dush!!!




Bismillahirrahmanirrahim...

Lama rasanya blog ni dah dibiarkan 'berhabuk' tak 'berkemas'. Mana larinya Pakcik Semangat nih? Entah. Dush!!!

Lately,kerja dah makin bertambah. Tanggungjawab pun dah makin bertambah. Konon-konon nak lepaskan sikit, sekali datang pulak tanggungjawab yang baru. Masa 24 jam yang Allah dah bagi tu terasa macam tak cukup je. Padahal, setiap manusia Allah dah bagi jumlah masa yang sama. Mana ada orang dapat 26 jam sehari, 22 jam sehari... Ade ke? Masa-masa ni barulah terasa kebenaran kata-kata As-syahid Imam Hassan Al-Banna, "Kerja kita melebihi masa yang kita ada..." Alhamdulillah, sekarang ni masih pegang title as Miss. Tapi dah rasa macam dunia ni dah jadi up-side down. Kalau dah pegang title Mrs nanti macamana pulak? Entah. Dush!!!

Bila difikir-fikirkan semula, selama ni asyik failed je dalam bab susun-menyusun ni. Pelik binti Ajaib! Bilanya la nak lulus? Kalau dah failed, nak kena buat apa? Nak jawab entah ke? Berani la jawab macam tu. Memang nak kena DUSH! So what is the best solution? Repeat la. Repeat, repeat, repeat dan repeat sampai lulus! Tak kisah la dalam bab nak susun apa pun kena susun betul-betul. Susun tugasan ke, susun emosi ke, sama je. Susun emosi? Ade ke? Entah. Dush!!!

Dalam bab susun emosi ni, memang ramai pun yang failed (termasuk yang menulis ni). Tapi kalau tengah failed nak susun emosi tu, satu perkara yang sangat penting perlu diingat. Jangan sesuka hati nak lepaskan emosi yang tak tersusun tu merata-rata (sila baca sebagai: pada sesiapa sahaja). Sila lepaskan emosi yang tak tersusun tu secara sihat (sila baca sebagai: selamat). Macamana? Entah. Dush!!!

Bila emosi tak dapat disusun dengan baik, apa nak buat? Cuba fikir. Siapa kita? Siapa cipta kita? Siapa tuan kita? Siapa susun hidup kita? Tau kan jawapannya? Jadi, mengadulah pada yang mencipta kita. Ceritalah pada tuan kita. Maklumkan pada yang mengatur hidup kita walaupun tanpa kita beritahu, DIA sudah sedia maklum. Sebab apa? Sebab DIA Maha Mengetahui. DIA Maha Melihat. DIA Maha Mendengar. Sebab DIA Maha Mendengar, adukanlah. DIA takkan pernah jemu nak dengar aduan kita. Malah, DIA menunggu-nunggu kita mengadu pada DIA. Pernah dengar tak, selangkah kita menghampiri DIA, seribu langkah DIA menghampiri kita. Kalau rasa-rasa dah tak ada kekuatan, mintaklah pada DIA. Tak susah sangat kan? So, sila jangan jawab ENTAH lagi. Noktah.



Me: Akhirnya terupdate gak blog ni. Maaf kalau entry kali ni macam makan kerepek dan menyukarkan neuron-neuron di medula oblongata anda yang membaca untuk menghantar impuls.

Monday, November 22, 2010

Tiup Habuk. Fuh!!!~


Assalamualaikum buat semua yang membaca dan sudi jenguk blog ni. TIUP HABUK??? Haha, first of all nak mohon maaf buat yang menjengah blog ni sebab dah lama sangat kot tak ada update. Kalaulah blog ni boleh diandaikan sebagai sebijik rumah, ntah berapa inci agaknya tebal habuk yang bertapak hehe. So sekarang, time to blow the dust!!! One, two, three!!! Fuhhh!!!



Kenapa ye dah lama tak ada update kat sini? Penangan Facebook? Sibuk? Lappy meragam? Chup! Enough! Jangan la nak jadi macam bangau. Tak habis-habis tuding telunjuk pada orang lain. Bila dikatakan kurus, salahkan ikan yang tak nak timbul. Ikan pulak salahkan rumput. Rumput salahkan kerbau. Hello~ kalau macam tu bilanya nak habis? Semua tu hanyalah ALASAN... Kalau kita ni duk nak bagi alasan je, serupa la macam bangau. Nak jadi bangau ke? Haha [bila buat gelak macam ni, my HoneyBee kata gelak tak ikhlas hohoho ikhlas tak perlu nak bagitau kat orang kan? hahaha]



Alhamdulillah thummalhamdulillah... Kerja makin bertambah, portfolio yang dipegang pun agaks la... huhuhu... walaupun kadang-kadang rasa macam dunia nak terbalik tapi sebab itulah benda yang aku minat, obses [haha mengade!] dan yang seangkatan dengannya, pejam mata je la redah semua tu. Bak kata orang, alang-alang tengah bujang. Sekarang ni agaks la... Bangun, VEGAS... Tidur, VEGAS... Makan, VEGAS... Kadang-kadang, sebab VEGAS ni juga la aku tak tidur malam. Pernah juga la rasa beberapa kali macam 'nak muntah' jek mengadap VEGAS. Sampai pernah aku tinggalkan VEGAS ni berhari-hari. Eh, apa dia VEGAS ni? Actually VEGAS ni salah satu software untuk video editing.



Aku gunakan Sony Vegas Pro 9.0 untuk buat kerja-kerja editing untuk hasilkan video-video KBM, video untuk jamaah, video untuk kawan-kawan, video untuk suka-suki hohoho... Sekarang ni makin hari, makin bulan aku semakin jatuh chenta pada VEGAS ni. Macam-macam teknik aku kutip dari cfoo aku. Entah bila la aku dapat sampai tahap macam dia tu. Gempak tul video-video dia. Tapi aku selalu ingat pesan cfoo, "Practice, practice, practice! Coz practices make perfect!"



Ni video terbaru aku untuk my boss, Pak Long. Video ni ditayangkan waktu majlis walimah anak lelaki sulung Pak Long yang diadakan pada 20hb Nov lepas kat CAC IIUM. Untuk kawan-kawan yang nak suruh aku buat video cenggini, harga boleh runding ye ^_^

Bila sebut pasal video editing, perasan tak ada ibrah atau pengajaran yang boleh kita ambil? Cuba fikir. Bila guna software editing, kita boleh edit satu video tu dengan cantik tanpa cacat cela. Mana bahagian yang buruk, kita boleh CUT dan buang. Kita boleh cantikkan lagi video tu dengan menambah effect-effect yang gempak lagi mengancam. Dan akhirnya 'sisi cantik' yang kita tayang dan tunjukkan pada orang lain. Tapi kat padang mahsyar nanti sewaktu amal-amal kita di dunia ni ditayangkan di hadapan semua umat manusia yang macam lautan tak bertepi tu, boleh ke kita nak edit-edit 'video' yang ditayangkan tu? Mana bahagian yang buruk, boleh ke kita 'tutup' dengan effect yang menarik? Fikir-fikirkanlah... [Pesanan yang bernilai 2 kupang dariku huhu]

Insyaallah, doakan aku berjaya mengemas 'rumah' ni dengan sebaik-baiknya. Taknaklah simpan-simpan habuk bebanyak ni. Letih nak mengemas. Satu lagi, dah berlaku tak adil la pada blog nih. Blog ni fungsinya untuk diupdate. Kalau tak nak update, baik tak payah ada blog. Hahaha... Pesanan ni hanya untuk diri sendiri je ye. Tak ada kena-mengena dengan orang lain dan sepupu-sepapat mereka.

Harap maaf kalau post TIUP HABUK kali ni macam 'makan kerepek' je. Sekadar nak lari dari jadi budak skema. ^__^ Maaf kalau ada terkasar bahasa. Kerja kita makin banyak , jadi jangan bermalas-malas ye sebab masa kita lagi sikit dari kerja kita.Yosh!!!

Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidilfitri 1431 Hijrah


[Sila klik pada gambar untuk imej lebih besar]


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah thummalhamdulillah, madrasah Ramadhan hampir sebulan telah kita lalui bersama. Pelbagai aktiviti dan program menjadi pengisian untuk Ramadhan kali ini. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi madrasah tarbiah terbaik untuk kita semua. Mungkin selepas ini tidak ada lagi Ramadhan, atau mungkin selepas ini kita yang tidak berkesempatan untuk bertemu Ramadhan... Semoga dengan hadirnya 1 Syawal 1431H, kita menjadi hamba Allah yang lebih baik, menyerlah jauh dari yang biasa.

Dikesempatan ini, Kak Yong ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua yang mengenali diri ini seandainya sepanjang ukhwah yang terjalin Kak Yong ada tersilap kata, terkasar bahasa atau tersilap tingkah. Halalkan apa jua yang termakan dan terminum. Syukran jazilan atas ukhwah yang terjalin dan kasih sayang yang tak bersyarat. Moga Ramadhan yang bakal berlalu tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya. Taqabalallah minna wa minkum... amiinn...

Kepada yang pulang ke selatan, jemputlah bertandang ke teratak mak dan ayah Kak Yong di Muar, Johor.

Dengan ingatan tulus ikhlas, Maaf Zahir dan Batin...

"Kullu 'am wa antum bikhair..."

~ Kak Yong ~

FIZA HASNI BINTI MD EHSAN
Pegawai Operasi KBM KL,
JK TPSM Remaja KL,
JIM/IKRAM Daerah Batu, Kuala Lumpur
Taman Batu Muda,
Kuala Lumpur

Thursday, August 12, 2010

Kisah Di Balik Filem Pendek 3R


Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah wa syukurillah... Hari ini sudah masuk hari kedua kita diberi kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk hidup dan menghirup udara di bulan Ramadhan yang penuh barakah. Dan Ramadhan kali ini juga mencipta sejarah tersendiri buat diri saya kerana pertama kalinya saya terlibat dengan team sekretariat Kempen Remaja Raikan Ramadhan khusus untuk menghasilkan filem pendek yang bertemakan Ramadhan.

Bagi saya, pertama kali bekerjasama dengan dua orang adik yang cukup kreatif telah memberikan saya satu pengalaman yang cukup besar dan penuh bermakna. Kalau diikutkan, ana bukanlah orang yang sepatutnya terlibat dengan projek ini. Tetapi apa bila adik-adik ini, Duke dan Atif meminta saya untuk membantu mereka dalam proses editing, hati ini terpanggil untuk membantu walaupun saya tidak ada pengalaman dalam menghasilkan filem pendek. Namun saya yakin dengan sedikit kemahiran menggunakan perisian Sony Vegas Pro 9.0, saya dapat menyumbangkan sesuatu untuk Islam dan juga dakwah.

Rupa-rupanya untuk menghasilkan filem pendek yang tidak sampai 10 minit ini tidak semudah yang disangka. Dan ujian yang harus kami tempuhi sepanjang usaha untuk menyiapkan filem pendek ini juga bukan sedikit. Dengan berbekalkan kelengkapan yang tidak seberapa, Duke dan Atif membuat penggambaran di Sekolah Islam Al-Amin sewaktu sedang berlangsungnya Super Camp pada 7 Ogos yang lalu manakala saya pula ketika itu berada di Kuantan kerana terlibat dengan program di sana. Alhamdulillah dan syukran jazilan atas kesudian Abang Bai dan Kak Nina yang menjadi pelakon pembantu. Walaupun scene yang melibatkan kalian berdua tidak banyak, insyaallah ia menyumbangkan sesuatu yang sangat besar.



Di balik tabir filem pendek

Kemudian, sewaktu sesi editing hendak dilakukan, sekali lagi kami diuji. Laptop Abang Bai yang sepatutnya digunakan oleh Atif dan Duke telah diserang virus dan membantutkan proses penghasilan filem pendek ini. Dan disebabkan itu juga, filem pendek ini yang sepatutnya dipertontonkan ketika majlis pelancaran kempen 3R tidak dapat ditayangkan.

Dan seterusnya kerja-kerja editing itu diambil alih oleh saya. Dengan waktu yang menghambat, juga kekangan-kekangan kerja yang lain, malah cabaran yang cukup besar bagi saya sebenarnya apabila kebingungan untuk mencari sound effect yang bersesuaian dan bagaimana untuk memperolehinya. Filem pendek ini akhirnya berjaya disiapkan di waktu hening subuh hari ini, 12 Ogos 2010. Alhamdulillah, akhirnya usaha kami membuahkan hasil. Sesungguhnya usaha yang baik itu pastinya beroleh pertolongan dari Allah...

Bagi saya secara peribadi, filem pendek ini sudah cukup baik buat kami dalam percubaan pertama ini. Insyaallah segala kelemahan dan kekurangan akan kami perbaiki. Almaklumlah, kami budak baru belajar. Kalau ada kekurangan tu, normallah. Ayuh, saksikan hasil usaha kami...



Ramadhan Kareem!!!


Tuesday, August 10, 2010

Marhaban Ya Ramadhan!!!

Bismillahirrahmanirrahim...

Bulan Ramadhan telah datang menjelang,
Sebuah kesempatan untuk meraih maghfirahNya...
Mari bersihkan hati untuk menyambut Ramadhan nan suci.
Mohon dimaafkan segala salah dan khilaf,
serta janji yang terabaikan...
Salam Ramadhan Kareem!
Moga kita dipertemukan dengan Ramadhan tahun ini...
Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya...
Jadikan ibadah Ramadhan bukan kerana mengejar pahala tetapi kerana tunduknya kita kepada Allah S.W.T.


Checklist kita ~ jom enjoy Ramadhan kali ini dengan pesta ibadah!






Tuesday, July 27, 2010

Emak Ingin Naik Haji




'Emak Ingin Naik Haji' yang diangkat dari karya pendek Asma Nadia dan diolah ke layar perak oleh Aditya Gumay telah dibawakan oleh Mizan Productions dengan kerjasama Smaradhana Pro, pastinya bisa meruntun hati sesiapa jua yang menontonnya.



Filem ini mengisahkan tentang Emak, seorang wanita tua berumur 61 tahun yang sudah kematian suami. Seperti umat Islam lainnya, Emak memasang impian untuk menunaikan ibadah Rukun Islam yang kelima iaitu pergi haji, seperti yang dilakukan setiap tahun oleh keluarga Juragan Haji, jiran Emak yang kaya raya. Tetapi sayangnya, Emak tidak memiliki kemampuan kewangan yang cukup untuk merealisasikan impiannya. Kehidupan Emak sehari-hari hanya bergantung pada hasil jualan kuih yang dihantar di warung atau pesanan orang yang mengadakan keramaian. Kalau bernasib baik, ada juga sedikit tambahan wang dari Zain, anaknya yang menjadi seorang pelukis dan menjual lukisannya keliling kota.

Biarpun Emak tahu bahawa fardhu Haji adalah salah satu perkara yang mungkin sukar untuk dicapai, Emak tidak pernah berputus asa. Dia tetap mengumpulkan wang untuk disimpan ke tabungan haji di bank. Zain, yang melihat kegigihan Emaknya, turut terpanggil untuk membantu dengan berbagai cara.

Dalam kisah ini kita dapat melihat perbezaan yang sangat ketara di antara golongan yang berkemampuan, golongan berkepentingan, dan juga golongan miskin yang memandang ibadah haji itu dari sudut pandangan yang berbeza. Dalam pada itu juga satu-persatu ujian datang menimpa keluarga Emak. Apakah ada jalan bagi Emak untuk mencapai keinginannya? Adakah masih ada lagi peluang buat Emak untuk pergi menunaikan ibadah haji?



Apa pun, kisah ini pastinya mengajar para penonton bahawa apa yang paling penting adalah niat dan keazaman yang dizahirkan melalui usaha. Selainnya, berbalik kepada izin dan kehendak dari-Nya. Mungkin kita punya wang yang banyak, namun jika Allah tidak mengizinkan pastinya kita tidak mampu untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Dan mungkin juga kita dari golongan yang kurang berkemampuan, namun seandainya Dia sudah menjemput pastinya ada peluang untuk kita ke sana. Yang pasti, urusan ini adalah urusan Dia untuk melayangkan 'undangan' untuk kita ke sana. Kata-kata Emak yang membuat empangan air mata ini pecah akan sentiasa terkesan di sudut hati...

"Biayanya 30 jutaan... Emak nabung lima tahunan baru dapat lima juta. Berarti kalo biar cukup 30 juta mesti nabung dua puluh lima tahun lagi... Sekarang Emak umurnya enam puluh satu... Berarti baru bisa naik haji umur... lapan puluh enam... Masih ada umur nggak ya?"

"Ya, kalau pun Allah keburu memanggil Emak sebelum Emak sempat ke sana, Emak ikhlas kok. Raga emak mungkin enggak mampu buat ngelewatin samudera yang luas begitu untuk ke Tanah Suci... Tapi Emak yakin, Allah pasti tau... Hati Emak udah lama ada di situ... Udah lama ada di situ..."

Ya, Allah pasti tahu... Yakinlah... Berdoalah dengan bersungguh-sungguh... Berdoalah dengan sebanyak-banyaknya... Mintalah kepada Dia agar kita menjadi antara yang mendapat 'undangan' untuk ke sana... Adukanlah kepada Dia kerana Dia itu Maha Mendengar...

Melihat wajah tua 'Emak' dan suara tuanya tatkala mengalunkan ayat-ayat suci al-Qur'an, ia mengingatkan saya kepada nenek. Suaranya saling tak tumpah tatkala mengalunkan ayat-ayat suci itu. Namun alhamdulillah, nenek dan atuk sudah berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci lewat 12 tahun yang lalu sewaktu saya menuntut di tingkatan satu.

Atuk dan nenek, insan yang amat kusayang...


Buat sahabat-sahabat pembaca blog ini, jangan lepaskan peluang untuk menonton kisah 'Emak Ingin Naik Haji'. Moga ada manfaatnya untuk diri-diri kita... Insyaallah, ameenn...

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers