Showing posts with label Taman-taman Syurga. Show all posts
Showing posts with label Taman-taman Syurga. Show all posts

Tuesday, January 6, 2009

Kembara Mahabbah

Titt...titt...


...Slm. Akk sy g daurah tp hr ahad sy kna blik awl ckit. Sy amik akk kul 6 nant...


Terukir senyuman di bibirku. Alhamdulillah...syukur ya Allah, terima kasih atas kurniaan ini...

“Akak tau kan jalan nak ke Surau al-Ansar tu?”

“Akak tak pasti tapi surau tu dekat area LRT Damai. Tak apa, nanti akak cari map. Rasanya boleh ikut Jelatek.”



View Larger Map

Titt...titt...

...Kak, sy da smpi...


Langkah kaki kuatur menuruni anak-anak tangga apartment. Wira kelabu miliknya setia menanti namun kulihat wajahnya agak sugul. Kerisauan mula bertandang di hatiku.

“Assalamualaikum...okey tak ni?”

“Eh, akak...waalaikumsalam. Tak berapa la kak. Saya serabut giler hari ni. Kelam kabut sampai tafsir dan ma'thurat saya tertinggal. Tadi saya patah balik rumah. Tu yang lambat ni. Sori sangat...”

“Tak apalah..akak cuma risau kalau apa-apa jadi tengah jalan je. Ni boleh drive tak ni? Kalau tak boleh, biar akak je yang drive...”

“Tak apa, boleh insyaallah...”

“Kita pergi Masjid Saidina Hamzah dulu. Keena solat Maghrib dulu ye. Najiha pun ada kat sana."

“Hmm...”

Simpati aku melihat keadaan dirinya. Namun, terselit juga rasa bangga melihat kesungguhannya untuk mengikuti daurah kali ini biarpun kesibukan benar-benar menghambatnya saat ini. Barakallah alayk... moga Allah merahmatimu... ameen...

Setibanya kami di perkarangan Surau al-Ansar, para jamaah sedang menunaikan solat Isyak. Lantas, kami memasuki Surau al-Ansar melewati pintu belakang. Kelihatan wajah-wajah yang tidak kami kenali.

"Jom, ambik wudhu'. Kita solat Isyak dulu. Lepas tu kita cari adik-adik yang lain."

Solat Isyak kami tunaikan bersama. Usai mengerjakan solat Isyak, barulah kelihatan wajah adik-adik yang lain, Andak, Ucu, Aisyah, Yus, Alang, Liza, dan DT. Malam di Surau al-Ansar kami penuhi dengan solat hajat, solat sunat tasbih dan halaqah Qur'an. Usai segalanya, kami mencari tempat untuk melelapkan mata... [tersenyum]. Keadaan tak ubah seperti di khemah perlarian [sesak] lantaran bilangan akhwat yang agak ramai. Kami mengambil tempat berhampiran dinding. Dia mengambil tempat di sebelahku. Malam yang sepatutnya kami gunakan untuk beristirehat kami isi dengan perbualan. Pelbagai kisah kami imbas kembali... suka, duka, lucu...

Ya Allah, adakah ini kali terakhir aku bisa menghabiskan masa bersamanya?

Tatkala jam menunjukkan pukul 3.15 pagi, barulah kami melelapkan mata. Seawal 4.35 pagi, kami bangun untuk bermunajat pada-NYA sehingga Subuh menjelma. Bacaan ma'thurat dialunkan usai solat Subuh. LDK pula menyusul memberi peluang kepada kami untuk membincangkan isu Palestin. Air mata mula bergenang tatkala mengenangkan nasib saudara-saudaraku di Palestin.

Ya Allah, betapa tidak bersyukurnya aku. Aku baru diuji tidur dalam keadaan yang tidak selesa di sini sedangkan saudara-saudaraku di Palestin barangkali tidak bisa melelapkan mata barang sepicing pun... barangkali tiada langsung tempat untuk mereka berteduh... Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku...

Solat sunat dhuha menyusul dan diteruskan dengan Daurah Fiqh Haji dan Umrah. Gaya penyampaian Ustazah Anisah yang menarik dan bersahaja, menghalang rasa mengantuk dari bertandang biarpun lelapku tidak sampai 2 jam. Di akhir majlis, lagu Doa Perpisahan berkumandang sayu...

Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci

Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah diatas suratan
Kutetap pergi jua

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Alloh bantulah hamba-Mu

Mencari hidayah dari pada-Mu
Dalam mendidikan kesabaranku
Ya Alloh tabahkan hati hamba-Mu
Diatas perpisahan ini

Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga... Tuhan berkatimu


Entah mengapa, aku gagal membendung air mataku dari gugur ke pipi.

Ya Allah, inilah program terakhirku bersamanya...
Ya Allah, tak dapat aku bayangkan bahawa dia akan pergi jauh meninggalkanku...
Ya Allah, aku tidak pasti adakah aku kuat untuk menghantar pemergiannya...

Air mata kian laju mengalir di pipi. Wajahnya di sebelah kupandang. Pautan di bahunya kueratkan.

"Kak..." Tubuhku dipeluknya erat.

"Kak, janganlah macam ni..."

"Ini program terakhir kita bersama... Entah ada lagi peluang macam ni lagi atau tak..."

"Kak..."

"Berat akak nak lepaskan Keena pergi..."

"Kak..."

"Akak sayangkan Keena... uhibbuki fillah abdan abada..."

Ya Allah, inilah kembaraku... Kembara ini adalah kembara mahabbah. Dalam kembara ini kumencari cinta-MU dan dalam kembara ini kutanamkan mahabbah di hati adik-adikku...

Sakeena,
Biarpun dirimu kan pergi meninggalkan Kak Yong, ingatlah ikrar kita... NAHNU ANSARULLAH... Kitalah penolong-penolong Allah... Pastikan hadirnya dirimu di tanah bertuah itu kau gunakan sebaik-baiknya kerana dirimu adalah permata berharga...

Sakeena,
Jangan kita lupa, dahulu ISLAM pernah menguasai dua pertiga dunia. Gunakan peluang ini untuk kau bantu melebarkan sayap daulah Islam... dan disamping itu, jadilah seindah mawar berduri, harum dan cantik namun tidak bisa dipetik sewenang-wenangnya lantaran duri-duri yang berceracakan...

Ukhwah fillah takkan musnah...



With Love: Kak Yong & Sakeena


Nahnu Ansarullah

Kembara mencari tarbiyah
Ditemani sahabat setia
Bagai ansar muhajirin menyulam cinta
Ukhuwwah diikat kasih kerana-NYA

Aral dan rintangan kami tempuhi
Berpenat lelah kami tak peduli
Masa tenaga kami korbankan
Harta dan jiwa jadi taruhan

Kami bulatkan tekad
Melangkah di jalan dakwah
Jangan diimpikan permaidani merah
Ujian menerpa kami tak goyah

Bagai bongkah bata tersusun kukuh
Membentuk bangunan teguh
Nahnu ansarullah...
Nahnu ansarullah...
Nahnu ansarullah...
Nahnu ansarullah...


Kak Yong: Syukran jazilan buat Kak Teh dan Along Suraya atas bantuan kalian untuk penerusan tarbiyah Sakeena di bumi United Kingdom... Barakallah alaykum...

Wednesday, December 31, 2008

Taman-taman Syurga...

“Apabila kita berada di dalam majlis ilmu, kita umpama berada di dalam taman-taman syurga. Para malaikat akan memayungi kita.”

Taman-taman Syurga muncul kembali setelah seketika menyepi. Syukur ke hadrat-MU atas nikmat tak ternilai ini. Sukar untuk digambarkan perasaan yang terbuku di hati. Gembira, bahagia, teruja, terharu...semuanya bercampur menjadi satu. Halaqah Cinta yang masih bertatih, kini bertemankan Taman-taman Syurga yang bisa mencantikkan lagi perjalanan Halaqah Cinta.



Barakallahu 'alayk ila Ustaz Abu Muadz al-Fauzani di atas kesudian memperuntukkan sedikit waktu buat kami para du'at yang dahagakan ilmu. Setiap dari kita wajib untuk mencari ilmu dan wajib juga untuk menyampaikan ilmu berdasarkan hadith Nabi s.a.w.:

“Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim.”

[Riwayat Ibn Majah & Abu Ya'la dari Anas b. Malik r.a.]


“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.”

[Riwayat al-Bukkhari dari Abdullah bin Amr r.a.]


Dalam kita menyampaikan ilmu, kita tidak perlu untuk menunggu sehingga kita menjadi 'alim tetapi kita perlu ada ilmu untuk disampaikan. Sesungguhnya ganjaran untuk orang yang menyampaikan ilmu itu sangat besar. Namun dalam keghairahan kita untuk menyampaikan ilmu, kita juga harus berhati-hati kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Siapa yang mengadakan ikutan yang baik dalam Islam, ia mendapat ganjaran amalan itu dan ganjaran orang yang mengamalkan selepasnya tanpa kekurangan sedikit pun. Dan siapa yang mengadakan ikutan yang buruk dalam Islam, ia mendapat dosa daripada amalan itu dan dosa orang yang mengamalkan selepasnya tanpa kekurangan sedikit pun.”

[Riwayat Muslim]

Lantaran itu kita seharusnya mengelakkan diri dari menyampaikan ilmu secara membabi buta tanpa kita mengkaji akan kesahihannya, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan Sunnah kerana Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan:

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta dengan namaku, maka dia telah mempersiapkan tempat duduknya dalam api neraka.”

[Riwayat Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah]


Inilah asbab kita dilarang bertaqlid buta (mengikut tanpa mengetahui sumber). Ramai di kalangan masyarakat Islam hari ini yang lebih selesa bertaqlid buta gara-gara budaya instant-isme yang kian menular. Masing-masing suka mengambil perkara yang mudah dan segera tanpa perlu mengkaji dan menyelidik.

Perkara yang paling utama untuk kita lakukan dalam kehidupan ini ialah kembali kepada wahdatul fikr kita iaitu al-Qur'an dan Sunnah tanpa mengambil kira faktor apa jemaah kita waima apa ideologi politik kita. Insyaallah, andai kita berpegang teguh kepada al-Qur'an dan Sunnah kita akan selamat. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Aku tinggalkan kamu yang mana kamu tidak akan sesat selepasnya selagi mana kamu berpegang dengan kitab Allah dan Sunnah Rasul.”

Alhamdulillah, dengan kehadiran Taman-taman Syurga dan Halaqah Cinta, telah kutemui kembali spirit yang hilang... Moga kita semua kan beroleh halawatul iman (kemanisan iman)... amiinn...

“Dapat merasai kemanisan iman, orang yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Rasul.”

[Riwayat Muslim]


Kak Yong: Berlaku 'adillah dalam menilai manusia kerana 'adil itu dekat dengan taqwa... Moga diri ini tergolong dalam golongan hamba yang bertaqwa...amiinn...

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers