Alhamdulillah, semalam
(28 Februari 2009) Kak Yong berpeluang membantu Ummi Ida menjayakan program
‘Lonjakan Bestari’ bertempat di
Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Batu 10 atau lebih dikenali sebagai
SAMTEN. Program ini telah dianjurkan oleh Badan Kaunseling SAMTEN dan buat julung-julung kalinya KRJ Motivasi telah dijemput untuk menjayakan program motivasi selain KBM. Program ini telah disertai oleh sekitar 80 orang pelajar putera dan puteri tingkatan 3 dan tingkatan 5 SAMTEN.


Selain Kak Yong dan Ummi Ida, kami turut dibantu oleh dua orang anak usrah Kak Yong iaitu Ina dan Sofiyya. Program dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan sesi
ta’aruf dan
Ice Breaking yang dikendalikan oleh Ummi Ida. Seterusnya, slot pertama; '
Remaja Sayangi Diri' pula menyusul. Dalam slot ini, para peserta ditekankan dengan aspek mengenali diri, apa itu
REMAJA, tanggungjawab mereka sebagai
khalifah dan hamba Allah, dan para peserta turut didedahkan dengan penyakit sosial yang melanda golongan remaja hari ini. Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan kisah perjuangan Rasulullah dan para sahabat di awal kebangkitan Islam serta tokoh-tokoh ilmuan Islam terkenal seperti
Ibn Sina,
Khawarizmi dan sebagainya. Slot pertama tamat pada jam 11.20 pagi.

Setelah program berhenti rehat, program diteruskan dengan sedikit permainan kepekaan oleh Ummi Ida dan disambung dengan slot kedua iaitu
‘Menuju Kejayaan’. Dalam slot ini, para peserta didedahkan dengan punca-punca halangan minda, dan faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan seseorang iaitu
IQ (intelek),
EQ (emosi) dan
SQ (spiritual). Dipertengahan slot, para peserta dihiburkan dengan permainan kepekaan yang dikendalikan oleh Kak Yong. Slot diteruskan dengan sesi para peserta menulis target mereka dalam peperiksaan PMR dan SPM. Program diakhiri dengan sesi bersalaman di antara wakil KRJ Motivasi dengan guru-guru dan para peserta.
Di sini, suka Kak Yong untuk berkongsi sedikit dari pengisian sepanjang program
‘Lonjakan Bestari’ bersama adik-adik kasih dan sayang alumni KBM juga buat pengunjung blog ini. Terdapat beberapa punca halangan minda iaitu;
1. Terlalu banyak kata-kata negatif dalam diri seperti ‘susahlah’, ‘mustahil’, ‘tak mungkin’ dan lain-lain lagi.
2. Lebih suka mengenang kegagalan yang lalu (tindakan ini boleh menyekat kejayaan)
3. Muda menerima pendapat orang lain tentang kebolehan diri sendiri
4. Terlalu sayangkan ‘bantal busuk’ (kebiasaan yang membuatkan kita selesa dan bermalas-malasan)
5. Perasaan TAKUT GAGAL lebih besar daripada KEINGINAN untuk BERJAYA
Setelah selesai program, Kak Yong telah dikunjungi beberapa orang peserta lelaki antaranya Adik Amirul. Kak Yong sempat memberikan kata-kata semangat kepada adik-adik ini untuk mereka memacu semangat untuk melakukan perubahan dalam hidup mereka.
“Kuatkan azam, lakukan perubahan. Abaikan kata-kata negatif orang lain kepada diri kita kerana NILAINYA TERLALU KECIL! Pekakkan telinga dengan kata-kata yang boleh mematahkan semangat kita. Anggap setiap kata-kata negatif itu sebagai pembakar semangat kita. Andai kita pernah menemui kegagalan, jangan putus asa. Kegagalan bukan satu penamat, tapi kegagalan adalah iftitah kepada kejayaan yang lebih AKBAR!!! Allah takkan ubah nasib kita kalau kita tak ubahnya sendiri. Dan orang lain pun takkan boleh ubah diri kita, tapi KITAlah yang mesti mengubah diri kita. Biarkan kalau semua orang pandang rendah pada kita, kerana kita yang kenal diri kita, Allah yang lebih kenal dengan diri kita. Mintalah pada DIA sebab DIA senantiasa menanti-nanti doa dari hamba-hambaNYA. Ingat, belajar tetap nombor SATU, tapi tugas yang lain BUKAN NOMBOR DUA! Tugas lain ini adalah tugas sebagai anak, sahabat, pelajar, da’ie dan sebagainya. Semuanya kena berjalan seiringan. INGAT, Allah yang mencipta hati kita, Allah yang memiliki hati kita dan Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati kita, jadi jangan jemu-jemu untuk minta pada DIA! Insyaallah, Kak Yong yakin adik-adik semua boleh berjaya. Akak doakan kejayaan kalian dunia dan akhirat... ameen...”
Kak Yong: akhirnya KY meninggalkan ‘tapak kaki’ di lokasi telemovie See U Di IPT... =)