Monday, June 28, 2010

Pokok Kelapa, Beluncas & Kopi...


Ini kisah si pokok kelapa, beluncas dan kopi... Mari ambil ibrahnya bersama...


"Akak, nak tanya pendapat sikit boleh tak?" soal Hamie.

"Apa dia? Silakan. Insyaallah, akak cuba setakat yang akak mampu. Kalau tak pun, insyaallah sahabat-sahabat lain yang ada di sini mungkin boleh bagi pendapat mereka." Ujarku.

"Macam ni. Kita ada junior. Tapi sekarang dah tak sekolah kat sekolah kita lagi. Hari tu dia ada mengadu dengan kita pasal sekolah dia tu. Banyak program bercampur lelaki perempuan. Lepas tu semua orang macam pandang lain macam je dekat dia sebab dia pakai tudung labuh. Dia takut sangat kak! Dia takut dia tak kuat dan hanyut. Dia rindu sangat kat sekolah kami. Kalau ikutkan hati dia, dia nak je pindah balik sekolah kami. Tapi dia kesiankan mak ayah dia sebab diorang dah bayar yuran sekolah tu." Kata Hamie panjang lebar.

"Dia sekolah kat mana sekarang?" Soal Duke.

"A'ah, dia sekolah mana? Kita kenal dia tak? Sape ye nama dia?" Soal Meera bertalu-talu.

"Ish, banyaknya soalan. Okey, ana jawab satu-satu. Dia sekolah kat sekolah berasrama. Sekolah tu agak terkenallah. Student situ pun bukan calang-calang. Nama dia? Ana rasa tak perlu bagitahu nama dia kot." Jawab Hamie tenang.

"Ada sebab kenapa Allah letak dia kat sekolah tu." Kata Duke.

"Betul tu. Perancangan Allah itu yang terbaik. Mungkin bila dia ada kat sekolah tu, dia dapat ubah sesuatu." Kataku menyokong kata-kata Duke.

"Tapi kak, dia sorang kak. Dia tak ada kawan." Ujar Hamie.

Antara lobak, kopi dan telur, yang mana pilihan kita?


"Erm...pernah dengar cerita kopi tak?" Soalku.

"Kita tau citer pasal kopi tu." Balas Hamie.

"Okey, kalau dah tau, bagitau la kat adik junior tu pasal citer kopi."

"Eh, ana tak tau pun citer kopi ni? Ceritalah kak!" Pinta Duke.

"A'ah, kita pun tak tau. Citerlah kak!" Pinta Huda dan Meera.

"Okey, akak nak tanya kat korang. Antara 3 benda, lobak, telur dan kopi bila dimasukkan ke dalam air panas, apa yang akan terjadi?" Soalku meminta mereka berfikir.

"Kalau telur, jadi telur separuh masak!" Jawab Duke.

"Jadi telur rebuslah!" Kata Huda pula.

"Okey, telur tu jadi telur rebus. Lobak?" Soalku meminta jawapan.

"Lobak...masak kot!" Jawab Meera.

"Lobak jadi lembut..." ujarku.

"Kenapa tak jadi lobak rebus?" Soal Duke sambil tersengih.

"Ikut suka akak la. Lobak jadi lembut. Full stop! Haha.." Kataku sambil tertawa kecil.

"Kopi pulak?" Soal Huda.

"Kopi jadi air kopi la..." jawabku.

"Kenapa kopi? Kenapa tak horlicks ke, milo ke?" Soal Duke sambil tersengih.

"Milo boikot haha. Kopi tu kan bagus. Bagi orang hilang mengantuk. Wangi pulak tu dan hitam..." Jawabku sambil tertawa kecil.

"Hitam itu menawan hahaha.." Ujar Duke pula.

"Okey, serius ye. Antara 3 benda ni, nampak tak ibrahnya?" soalku. Masing-masing membisu. Berfikir barangkali.

"Telur dan lobak dah berubah bentuk bila dimasukkan dalam air panas. Maknanya, air panas tu dah berjaya merubah lobak dan telur. Tapi, cuba tengok kopi pulak. Air panas tak berjaya mengubah kopi tapi kopilah yang berjaya merubah warna air menjadi hitam. Pengajarannya kat sini, walau di mana pun kita dicampakkan, jangan biarkan persekitaran merubah diri kita, tapi usahakanlah supaya kita yang merubah persekitaran kita." Jelasku sambil tersenyum.

"Oooo..." Duke bersuara.

"Jadi Hamie bolehlah bagitau cerita kopi ni pada adik junior Hamie tu. Cakap kat dia, secara mata kasar memang dia sorang. Tapi dia kena ingat, Allah sentiasa dekat dengan hambaNya yang sentiasa ingat pada Dia. Jadi, dia tak sorang-sorang pun. Dia kena kuat. Dia yang kena ubah persekitaran kat sana, bukan persekitaran yang ubah diri dia. Dan Hamie pun kenalah selalu berhubung dengan dia. Jangan sesekali tinggalkan dia." Kataku panjang lebar.

"Betul kata Kak Yong tu. Lagi satu, jangan tinggalkan amalan-amalan yang dia biasa buat kat sekolah lama. Ma'thurat kena baca. Tilawah jangan tinggal, kalau boleh, ajaklah kawan-kawan dia solat berjemaah." Nasihat Duke pula.

"Yup. Biasalah kalau orang pandang pelik pun kat dia. Lama-lama nanti okeylah. Dia sendiri kenalah cuba rapatkan diri dengan orang lain. Dakwah bil hal wa bil hikmah!" Kataku sambil tersenyum lebar.

"Hurm...kenapalah kita tak terfikir nak bagitau macam tu kat junior kita tu?" Hamie mengeluh kesal.

"Nak tau tak cerita pasal beluncas pulak?" Soalku tiba-tiba.

"Ada apa dengan ulat?" Soal Duke.

"Bukan ulatlah, beluncas. B-E-L-U-N-C-A-S." kataku lagi.

"Jangan layan dia tu kak. Cepatlah cerita. Kita nak tau ni." Gesa Huda.

"Erm...beluncas bila besar jadi apa?" Soalku.

"Rama-rama." Jawab Hamie.

"Okey, sebelum nak jadi rama-rama dia kena jadi apa dulu?" Soalku lagi.

"Kepompong." Jawab Meera.

"Dari ulat jadi kepompong. Hidup tidur dalam kelongsong. Cukup masa kepompong pecah BOM!!! jadi rama-rama yang indah...lalalalala~"Duke menyanyi riang.

"Eeee...main-main je la dia ni!" Ujar Huda, geram.

"Haha...biarlah dia. Okey. Agak-agaklah hidup dalam kepompong tu best tak?" Soalku lagi.

"Erm..tak best kot. Gelap!" Jawab Huda.

"Entah. Tak pernah duk dalam kepompong haha!" Duke tertawa riang. Aku sekadar mampu tersengih sambil menggelengkan kepala.

"Okey. Dalam kepompong tu sempit, gelap. Then, bila nak keluar jadi rama-rama cantik tu, senang ke? Soalku lagi tanpa menghiraukan gurauan Duke.

"Susah, sebab sempit. Kita pernah tengok satu video, kesian kat rama-rama tu... Susah betul dia nak keluar." Ujar Huda.

"Ya, betul. Sangat susah. Kepompong dan bukaan kecil tu adalah ujian. Ujian yang perlu dilalui sebelum dia jadi rama-rama yang cantik dan boleh terbang tinggi. Nak tau tak? Ada satu eksperimen yang dibuat terhadap dua kepompong. Bila rama-rama ni nak keluar, satu kepompong dibiarkan tanpa diusik apa-apa pun. Tapi kepompong satu lagi ni, bukaan untuk rama-rama tu keluar dah dibesarkan. Jadi mudahlah rama-rama ni nak keluar. Rama-rama dari kepompong satu lagi memang terseksalah nak keluar. Tapi tau tak, hasil kajian menunjukkan, rama-rama yang dibantu untuk keluar dari kepompong tu tak mampu nak terbang sedangkan rama-rama yang dibiarkan keluar sendiri tu boleh terbang tinggi." Aku diam seketika membiarkan adik-adik itu berfikir.

"Pengajarannya, setiap ujian dan dugaan yang Allah berikan buat kita adalah latihan untuk kita. Allah nak melatih kita untuk menjadi lebih kuat sebab cabaran di dunia ini sangat besar. Dan Allah juga sedang melatih kita untuk menjadi 'rama-rama' yang mampu terbang tinggi. Tengok, dari beluncas yang hodoh, dia mampu menjadi rama-rama cantik yang boleh terbang tinggi." Kataku lagi.

Lihatlah bagaimana sukarnya menjadi rama-rama yang cantik...


Adik-adik itu sekadar menganggukkan kepala.

"Akhir sekali akak nak kongsikan kisah pasal pokok kelapa." Aku tersenyum lebar.

"La, ada lagi ke? Bekas cikgu tadika la katakan..." Duke tersengih.

"Okey, semua mesti tau kan, pokok kelapa ni pokok serbaguna. Dari batang sampailah ke lidi, semuanya boleh digunakan. Banyak sungguh manfaat pokok kelapa ni pada kita kan? Itu pokok kelapa, makhluk yang Allah cipta tanpa otak dan akal. Kita ni manusia yang Allah dah cipta sebaik dan secantik mungkin dengan nikmat terbesar iaitu akal. Akal yang membezakan kita dengan makhluk lain. Akal yang meletakkan darjat kita lebih tinggi dari makhluk lain. Jadi, kalau kita yang lebih mulia dan lebih tinggi darjat dari makhluk lain, tapi tak bermanfaat pada orang lain, agak-agak malu tak kat pokok kelapa tu?" Soalku kepada semua yang ada di situ.

"Ish, malulah kak. Tu pokok kelapa. Tak ada akal." Jawab Hamie.

"Haaa...malukan? Kalau kita ni jadi manusia tapi tak bermanfaat pada orang lain malah menyusahkan dan menganiaya orang lain, lagi baik jadi pokok kelapa, ye tak?" Soalku.

Banyak benar manfaat si pokok kelapa ini kepada kita.
Tetapi adakah kita ini bermanfaat kepada orang lain???


"Betul, betul!" Jawab Huda.

"Jadi kesimpulan dari kisah-kisah yang akak dah kongsikan tadi apa?" Soalku lagi.

"Jadilah macam kopi, beluncas, dan pokok kelapa." Jawab Meera.

"Bagus! Jadi Hamie jangan lupa kongsikan kisah-kisah ni pada adik junior tu ye. Jadi manusia ni kita kena selalu pesan berpesan kerana yang bernama insan itu seringkali terlupa. Okey, kena jadi apa Duke?" Soalku pada Duke sambil tersenyum.

"Jadi pokok kelapa, beluncas dan kopi!" Ujar Duke sambil bertepuk tangan. Kami semua tertawa kecil.




~ Perkongsian dari hati yang kukutip sepanjang permusafiran di jalanan menuju Ilahi~

[Kisah ini telah dikongsikan semasa sembang ukhwah di laman Remaja KL bersama beberapa adik-adik. Perbualannya lebih kurang seperti cerita di atas tetapi di sini kisah ini telah diadun mengikut citarasaku... Buat adik-adikku, Duke, Hamie, Meera, Huda Suhailah dan Luqman (menjadi pembaca tanpa menyampuk) syukran jazilan kerana sudi mendengar 'penglipur lara' ini bercerita ^_^]

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers