Tuesday, July 28, 2009

KGN '09 [Part I]

Alhamdulillah, pada 25 hingga 26 Julai 2009 yang lalu ana berkesempatan menghadiri Konvensyen Graduan Nasional 2009 (KGN '09) yang bertempat di Masjid Mu'adz bin Jabal, Setiawangsa. Biarpun ana merupakan satu-satunya wakil dari IIC, ia tidak menjadi halangan atau masalah buat diri ana (KBM KnL tahun lepas pun ana jadi wakil tunggal IIC).

Memulakan perjalanan seorang diri seawal jam 7 pagi dari Bandar Anggerik dengan bas Rapid KL, ana dikejutkan dengan satu insiden di Stesen Bas Klang (bersebelahan Stesen LRT Pasar Seni). Melihatkan kelibat ramai anggota polis berpakaian seragam dan tagline kuning tertera "FORENSIK", hati ana tertanya-tanya. Menyedari masa kian suntuk (pendaftaran bermula jam 8.30 pagi sedang ketika itu waktu telah menunjukkan jam 8.15 pagi) ana bergegas menuju ke eskelator. Setelah membeli tiket ke Setiawangsa, ana tergerak hati untuk melihat ke bawah... dan... astaghfirullahal 'azim... ana melihat seorang lelaki berlumuran darah di celah-celah gerai Stesen Bas Klang. Tak sanggup mata ini untuk berlama-lama memandang, lantas ana segera mengatur langkah menuju ke platform.

Jam 8.45 pagi, ana selamat tiba di perkarangan Masjid Mua'adz bin Jabal. Dalam mencari-cari tempat program berlangsung, ana bertemu dengan seorang akhwat yang tidak ana kenali. Setelah bertegur sapa, kami bersama-sama menuju je dewan utama di tingkat bawah. Kedatangan kami disambut oleh Kak Mus dan para urusetia KGN '09. Usai sesi pendaftaran, ana melangkah ke dalam dewan.

Majlis yang dipengerusikan oleh Akh Dhany dimulakan tepat jam 9.38 pagi. Akh Amirul sebagai Pengarah KGN '09 mengalu-alukan kehadiran para peserta dan menerangkan objektif program. Seterusnya Dr. Zainudin Abdullah selaku Pengerusi JIM IPT telah memberikan ucapan sebelum Hj. Zaid Kamarudin yang merupakan Presiden JIM menyampaikan ucapan sekaligus merasmikan KGN '09 dengan tema 'Thabat Berjuang Menempuh Cabaran'.

Friday, July 24, 2009

Tentang Dia...

Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, ana mulakan bicara ini setelah agak lama diri ini menyepi. Entri ini khusus ana tujukan buat seorang insan yang sangat ana kagumi. Mungkin ramai yang tidak menjangka bahawa 'dia' yang ana maksudkan di sini akan menjadi seperti hari ini. 'Dia' yang ana kenal setahun yang lalu cukup berbeza jika dibandingkan dengan 'dia' pada hari ini. 'Dia' yang satu ketika dahulu mungkin tidak pernah terfikir akan bersama-sama ana dalam jalan juang yang penuh duri ini. Namun, inilah kuasa Allah! Alhamdulillah, Allah bukakan mata hati ana untuk melihat potensi dan 'kemahuan' dalam diri 'dia' yang tidak pernah orang lain dan 'dia' sendiri sedari.

'Dia' pernah berkata kepada ana... "Dulu waktu akak tengah 'tarik' saya, saya pernah terfikir bahawa diri saya ini tak layak untuk berada atas jalan ni. Tapi akak tak serik juga nak 'tarik' saya, akak ajak juga saya, bawa juga saya pergi program-program..."

Tapi, 'dia' yang ana kenal hari ini sungguh berbeza! Semangat dan keazamannya untuk berjuang atas jalan ini kadangkala melebihi diri ini yang suatu tika dulu pernah menjadi naqibahnya. Alhamdulillah syukur... 'dia' sudah menjadi permata yang berkilau indah!Tempoh 6 bulan permusafiran 'dia' di bumi Preston banyak mengubah peribadinya. Syukur jua kerana Allah masih memberikan peluang untuk ana bertemu dengannya setelah hampir 6 bulan terpisah. Terubat jua rindu di hati ini... Moga dirimu terus tsabat di atas jalan juang ini!!!



** 'Dia' yang dimaksudkan adalah anak usrah pertama ana... Sakeena Zahidah Mohd. Shah yang kini melanjutkan pelajaran di Preston, UK **



Gambar kenang-kenangan bersama Sakeena yang sempat menjenguk ana di KBM SMAKL 18 Julai yang lalu...



Buah tangan dari Sakeena yang balik bercuti di Malaysia sekarang ini...

Friday, July 17, 2009

Terbanglah Rama-ramaku!




"ILMI NAFISAH, KENAPA TAK TIDUR LAGI NI?" Mariam melangkah masuk ke bilik. Senyuman manis terukir di bibirnya.

"Eh, Mar... " Nafisah yang tika itu berdiri di balkoni tersenyum nipis. Mariam menghampiri Nafisah.

"Nana tak boleh tidurlah Mar. Penangan kopi Mar tadi kot... "

Mariam tertawa kecil. Bahu Nafisah dipegangnya lembut. "Apa yang Nana fikirkan?" Tanya Mariam.

"Tu... " Nafisah menudingkan jari telunjuknya ke arah sebutir bintang di langit malam. "Cantikkan?"

Mariam menalakan matanya ke arah yang ditunjukkan oleh Nafisah. "Sejak bila pula Nana jadi peminat bintang ni?" usik Mariam lembut. Tangan Nafisah dicapai dan digenggam erat.

Nafisah tertawa senang. "Mar, ingat tak dalam Al-Qur'an ada ayat yang menyebut tentang bintang?"

"Ya, surah Al-An'am ayat 97." Mariam memandang Nafisah. "Kenapa?"

"Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut." Nafisah senyum segaris. "Setiap yang Allah jadikan ada peranannya yang tersendiri. Macam bintang-bintang kat langit tu, bukan setakat menyerikan kegelapan malam malah menjadi panduan untuk sang musafir yang berkelana. Dan sebenarnya alam ni Allah jadikan untuk kita berfikir tentang kebesaran-Nya, betul tak?"

"Betul Nana. Bukan setakat bintang-bintang je, malah penciptaan malam dan siang, bulan dan matahari, bukit dan gunung, terkandung banyak tanda-tanda kebesaran Allah seperti yang telah termaktub dalam Al-Qur'an."

Mariam memandang Nafisah. "Mar nak tanya sesuatu, boleh?"

Nafisah tidak menjawab. Dia hanya memandang wajah Mariam dengan senyuman.

"Nana ada masalah ke?"

"Eh, mana ada. Pandai-pandai je Mar ni. Sejak bila pula dah jadi tukang tilik ni?" Nafisah melarikan mukanya ke arah lain.

"Pandangan Mar tak pernah silap, Nana. Mar tahu Nana ada masalah, kan? Mar dapat lihat kesedihan itu dari wajah dan mata Nana. Mata itu kan jendela kepada hati. Luahkanlah Nana, agar beban di hatimu berkurangan..."

"Mar, Nana tak ada apa-apa. Mar janganlah risau."

"Nana, kita bukan baru sehari dua kenal. Suka dan sedih Nana, Mar turut merasakannya. Mungkin ia terlalu peribadi, dan sewajarnya Mar tak layak nak memaksa. Tapi tak salah kan kalau Mar nak berkongsi rasa?"

Nafisah tidak segera menjawab. Lama dia membisu. Sama sekali dia tidak menduga rahsia hatinya dapat dibaca. Selama ini segala keluh kesah dan derita hatinya disimpan sendiri. Sedaya mungkin dia cuba berlagak ceria di hadapan semua orang bagai tiada berlaku apa-apa. Tapi hari ini, dia tewas pada temannya itu. Mariam seolah-olah dapat membaca isi hatinya.

"Nana, terlalu memendam rasa kadangkala bisa merosakkan diri kita."

Nafisah meneguk liur. Wajah Mariam dipandangnya lama. "Mar, Mama dan Papa..." Lidah Nafisah terasa kelu untuk meneruskan kata-katanya.


ENTAH MENGAPA MATA terasa sukar untuk dilelapkan. Jarum jam menghampiri angka dua belas. Nafisah menghela nafas panjang. Perlahan, dia bangkit dari pembaringan. Dia duduk berlunjur dan tubuhnya disandarkan ke kepala katil. Dia teringatkan perbualannya dengan Doktor Asma' pagi tadi.

"Macam mana doktor?" soal Nafisah. Tidak sabar ingin mengetahui hasil ujian
x-ray yang baru dijalankan.

"Saya harap awak bersabar dengan berita yang saya nak sampaikan ni." Dengan lembut Doktor Asma' bersuara namun ia tidak bisa meredakan debar di hati Nafisah. Dia menarik nafas dalam-dalam, mencari kekuatan diri.

"Berdasarkan ujian yang telah dijalankan, ada sedikit ketumbuhan
di kepala awak. Itulah sebabnya awak sering berasa pening dan adakalanya
menyebabkan awak pengsan. Tapi awak jangan risau, sebab ia masih di peringkat
awal. Kalau awak segera menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu, insyaAllah penyakit ini boleh sembuh."


Mata yang terasa basah pedih tiba-tiba mengembalikan Nafisah ke alam sedar. Terasa seperti ada sesuatu tersekat di kerongkongnya. Air mata tiba-tiba menjadi seperti tidak berharga lantas luruh membasahi pipi. Ya Allah, dugaan apakah ini?

Bunyi bising di tingkat bawah tiba-tiba menyapa gegendang telinga! Nafisah menekup telinganya, benci untuk mendengar bunyi-bunyi itu. Namun telinganya masih dapat menangkap bunyi-bunyi itu.

"Awak tu yang tak pernah ada kat rumah! Sibuk memanjang!"

"Saya sibuk bekerja, awak tau tak? Itu tanggungjawab saya! Awak tu sebagai isteri sepatutnya duduk di rumah! Ini tidak, sibuk ke sana ke mari! Rumah ke mana, anak-anak ke mana, apa nak jadi dengan awak ni?"

"Sibuk bekerja konon, entah-entah awak ada perempuan lain kat luar sana tu!"

"Jaga sikit mulut awak tu! Dasar perempuan keras kepala!"

"Eh, awak ingat awak tu baik sangat ke? Malaikat? Saya dah tak tahan hidup dengan awak!"

Air mata semakin laju mengalir di pipi. Nafisah bangkit berdiri. Dengan longlai dia menapak ke bilik air. Pili air di buka, lalu dia mengambil wudhuk. Saat kakinya melangkah keluar dari bilik air, tiada lagi kedengaran bunyi-bunyi yang mengasak gegendang telinga tadi. Nafisah mengambil telekung di ampaian. Sejadah dihamparkan.

Penuh khusyuk dia menunaikan solat sunat. Usai solat, lama dia duduk berzikir. Nafisah masih ingat kata-kata Mariam, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Ya, memang hatinya saat itu memerlukan ketenangan!

Allahumma ya Allah,
Aku menadahkan tanganku yang penuh dosa dan noda ini, mengemis kepadaMu ya Allah... Janganlah Engkau biarkan tangan yang menadah ini kosong dari pemberianMu...
Kasihanilah daku ya Allah...
Seandainya Engkau palingkan wajahMu dariku, kepada siapa lagi aku hendak menuju?
Tiada Tuhan melainkan Engkau, tiada yang berkuasa melainkan Engkau, tiada yang dapat memberikan kebaikan yang sebenarnya melainkan Engkau...

Ya Muhaimin,
Rahmatilah seluruh keluargaku, jadikan kami hamba-hambaMu yang Engkau redhai, payungilah kami dengan dengan rahmatMu...
Ya Allah, Engkau satukanlah kami dan jangan Engkau pecahbelahkan kami, jadikanlah kami berkasih sayang antara sesama kami dan janganlah Engkau tanamkan sifat benci-membenci antara kami, dan jauhkanlah kami dari segala persengketaan serta permusuhan...
Damaikanlah kami dengan rahmatMu ya Allah...

Ya Allah...
Apa jua yang menimpaku adalah dari kemahuanMu...
Maka seandainya Engkau menetapkan untuk mengujiku dengan kesakitan ini, jadikanlah penyakit yang kutanggung ini sebagai penghapus dosa-dosaku yang lalu...
Dan sekiranya penyakit ini akan membawa kepada kematianku, maka jadikanlah matiku itu sebagai tempat istirehat untukku...

Ya Allah, Tuhan pemilik hati ini...
Kuatkanlah hatiku ini untuk menghadapai apa jua cubaan dan ujian dariMU...
Titipkanlah kesabaran yang jitu di hati ini ya Allah...

Nafisah meraup mukanya. Dan empangan air matanya pecah lagi, berlagu sendu tika dinihari. Dibiarkannya air mata itu membasahi pipinya. Biarlah!


"HIDUP KITA DI DUNIA ini umpama satu kembara. Adakalanya kita perlu mendaki bukit yang tinggi. Untuk berada di atas puncak, umpama kita mendaki menggunakan dua kaki. Namun untuk kita menuruni puncak itu, umpama kita menggunakan berjuta-juta kaki. Terlalu sukar untuk mencapai kesenangan tapi terlalu mudah untuk menuju kesusahan." Ustaz Muadzam diam seketika.

"Ikhwah wa akhwat sekalian, kita harus sedar bahawa dunia ini sememangnya diciptakan Allah sebagai negara ujian dan dugaan. Maka, mahu atau tidak kita mestilah memilih untuk terus bersabar, berlatih untuk bersabar atau memaksa diri untuk bersabar dalam menanggung segala ujian, dugaan dan keperitan hidup itu kerana di sana tiada jalan lain untuk kita meraih keampunan, kejayaan, kemuliaan dan syurga dari Allah SWT.

Menurut sebahagian ulama', kemuncak sifat sabar itu adalah sifat redha kepada Allah. Bermakna, lebih tinggi kesabaran seseorang maka lebih lebat dan subur jugalah sifat redhanya. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi: "Sesungguhnya besar ganjaran pahala itu berserta ujian yang menimpa. Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, nescaya Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang redha dengan ujian tersebut maka baginya ganjaran keredhaan dan sesiapa yang membencinya, maka baginya balasan kebencian."

Nafisah menghela nafas panjang. Tiada yang tidak benar dalam kata-kata Ustaz Muadzam itu. Dia mengakui bahawa setiap ujian Allah itu adalah tanda kasih sayang dari-Nya. Dunia ini sekadar pinjaman dan setiap dari saat yang berlalu adalah ujian dari Allah SWT. Nafisah menundukkan wajah, namun telinga tetap setia mendengar untaian-untaian hikmah yang disampaikan oleh Ustaz Muadzam.

"Pengajaran utama yang boleh kita kutip dari hadis yang telah ana nyatakan sebentar tadi ialah dalam kehidupan beragama, kita dianjurkan dan digalakkan supaya redha dengan setiap ketentuan Allah SWT dalam menghadapi segala dugaan hidup. Sekalipun sifat redha itu sangat tinggi kedudukannya di sisi Allah dan sukar untuk dicapai, namun kita turut diajar oleh Rasulullah SAW untuk sentiasa memohon kepada Allah agar dikurniakan sifat redha. Berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW pernah berdoa: "Aku memohon pada-Mu agar dikurniakan keredhaan selepas datangnya ketentuan-Mu." Ustaz Muadzam diam seketika memandang wajah-wajah syabab di hadapannya.

"Ikhwah wa akhwat sekalian, mengapa kita dianjurkan untuk berdoa kepada Allah? Bukankah Allah itulah yang menciptakan hati kita? Bukankah Allah itu pemilik mutlak hati kita? Sudah tentulah hanya Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati kita ini. Moga kita sekalian diberikan keteguhan oleh-Nya dalam menghadapi ujian dan dugaan."

Nafisah memejamkan matanya beberapa detik. Terasa dadanya sesak menghimpun realiti derita dan ujian yang ditanggungnya. Entah mengapa mata terasa seakan berpasir. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan! Nafisah meraup mukanya, bimbang ada teman-teman yang melihat. Telinganya menangkap bacaan doa penutup yang dibacakan oleh Ustaz Muadzam tanda kuliah mingguan kali ini sudah tiba ke titik akhir.

"Nana..." Nafisah merasakan ada tangan yang menyentuh bahunya lembut. Dia memalingkan wajah.

"Wafa..."

"Mar dah tunggu dalam kereta." Wafa menuturkan lembut. Nafisah mengangguk perlahan. Dia bingkas bangun dan mencapai beg sandangnya lantas diletakkan ke bahu. Nafisah dan Wafa jalan beriringan menuju ke tempat meletak kereta.

Langkah Nafisah terhenti seketika. Dia merasakan kepalanya tiba-tiba berdenyut dan matanya berpinar-pinar.

"Nana, kenapa ni?" Terdengar suara Wafa menyapa gegendang telinganya. Ada nada kebimbangan. "Mar! Amni!"

Pandangan Nafisah menjadi gelap, dan akhirnya dia tidak sedar apa yang berlaku.


NAFISAH MEMBUKA MATANYA perlahan-lahan tatkala sayup-sayup suara orang memanggil namanya menyapa di cuping telinga. Kepalanya masih lagi berdenyut-denyut walaupun tidak seteruk tadi. Nafisah memandang sekeliling. Segala-galanya kelihatan asing di pandangan matanya.

"Nana..." Mariam melemparkan senyuman. Tangan kanan Nafisah digenggamnya lembut. Amni di sebelahnya nampak tenang.

"Mar, Nana kat mana ni?" Nafisah gagah bersuara.

"Nana sekarang ada kat hospital. Tadi Nana tiba-tiba pengsan. Kami bawa Nana ke hospital..." terang Mariam tenang. Nafisah memandang wajah Mariam dengan pandangan mata yang redup, kemudian beralih ke wajah Amni di sebelah.

"Nana, kenapa sembunyikan hal ni dari kami?" Soal Amni, kesal. Wajah Amni dipandang penuh tanda tanya.

"Kami dah tahu semuanya Nana. Doktor Asma’ dah terangkan semuanya pada kami. Mar tak sangka Nana terlalu berahsia..." Ada sendu dalam bicara Mariam. Nafisah diam membisu. Ya, rahsia yang disimpan kemas selama ini akhirnya terbongkar!

"Nana... Kenapa?" Ada air jernih bergenang di kelopak mata Amni. Mariam menggosok lembut bahu Amni. Nafisah memandang sayu wajah-wajah di hadapannya. Hati entah mengapa dipagut rasa sayu. Berkali-kali dia cuba menelan air liur yang terasa seakan berpasir. Suasana sepi seketika.

"Aaa... Amni nak keluar sekejap..." Kata-kata Amni memecahkan kesunyian. Perlahan dia melangkah keluar. Mariam menggenggam erat tangan Nafisah.

"Nana... Kenapa sampai jadi macam ni?" Soalan Mariam dibiarkan tidak berjawab. Nafisah menengadah syiling. Matanya merenung kosong kipas yang berputar laju.

"Papa dan Mama nak bercerai Mar... Keluarga Nana dah berpecah..." Setitis demi setitis air jernih keluar dari tubir mata Nafisah.

"Papa dan Mama dah tahu penyakit Nana ni?” Tanya Mariam. Nafisah menggeleng perlahan.

“Mar rasa, lebih baik Nana bagitau Papa dan Mama tentang hal ni. Mungkin ia dapat menyelamatkan keluarga Nana..."

"Kalau mereka tahu pun belum tentu lagi keluarga kami boleh diselamatkan. Selama ini pun mereka tak pernah ambil peduli hal kami adik-beradik. Sakit pening kami semuanya Bik Zah yang uruskan. Masing-masing tak pernah lekat di rumah. Kalau mereka ada di rumah pun, kami adik-beradik ni macam tak wujud! Nana cuma kesiankan adik-adik... Sampai bila mereka nak menumpang kasih dari Bik Zah?"

"Nana... Sabar ya... Mar tahu, Nana seorang yang kuat!" Mariam menggenggam erat tangan Nafisah. Nafisah memandang wajah teman di sisinya.

"Mar jangan risau. Nana tahu, semua ini adalah ujian dari Allah. Dia sedang membentuk diri Nana untuk menjadi ‘seseorang’. Nana yakin tentang itu..." Nafisah kembali menengadah syiling.

"Mar ingat tak kisah rama-rama kecil? Rama-rama kecil yang berasal dari beluncas hodoh ini perlu melalui kepompong yang sempit sebelum berubah menjadi seekor rama-rama kecil yang cantik! Ya, kepompong yang sempit, gelap dan jijik. Tapi sebenarnya kita tidak sedar bahawa kepompong yang sempit, gelap dan jijik telah menukar beluncas hodoh tadi kepada seekor rama-rama kecil yang cantik! Malah pergelutan sang rama-rama kecil untuk keluar dari kepompongnya melalui bukaan yang kecil itulah yang membolehkan rama-rama kecil terbang tinggi!" Nafisah berhenti sejenak. Wajah Mariam dipandangnya.

"Nana, Mar akui sebagai insan kita memang selalu lupa. Kita selalu mengeluh tatkala ujian Allah bertamu. Sedangkan ujian yang kita terima itu terlalu kecil nilainya jika nak dibandingkan ujian dan dugaan yang diterima oleh para nabi dan rasul. "

"Ya Mar. Sebenarnya kita tak sedar hakikat bahawa semakin sempit dan gelap 'kepompong' kita, semakin kuat diri kita. 'Kepompong' yang Allah jadikan untuk kita adalah demi untuk kebaikan di dunia dan akhirat." Nafisah mengesat air mata yang meleleh di pipi dengan belakang tapak tangan.

"Nana nak jadi seperti rama-rama kecil yang kuat dan mampu untuk terbang tinggi! Doakan Nana kuat untuk melawan penyakit ni! Nana perlu jadi kuat untuk adik-adik..." Air mata Nafisah merembes lagi.

"Shh... Nana masih ada Mar, Amni, Wafa dan sahabat-sahabat yang lain. Kami akan sentiasa memberi sokongan yang tak berbelah bagi." Lembut Mariam memujuk sambil tangannya menggosok lembut bahu Nafisah. Nafisah tersenyum nipis. Tangannya mengesat saki-baki air mata dengan kedua belah tangannya.

"Macamana persediaan majlis walimah Mar? Bertuah sungguh Akh Naqiuddin bakal memiliki Mar sebagai zaujah!" Soal Nafisah tersenyum meleret.

"Nana! Sakit-sakit pun masih nak mengusik!" Mariam menjegilkan matanya. Rona mukanya berubah menjadi merah. Bagikan kelopak mawar! Malulah tu! Mariam menghulurkan sekeping kad. Nafisah menyambut huluran Nafisah sambil tersenyum.



"Mabruk!" Nafisah tertawa senang.


KAMAR RAJA SEHARI ini dihias sebegitu indah. Tampak menarik dengan gabungan warna ungu lembut dan putih.

"Assalamualaikum." Nafisah tersenyum manis melihat wajah sahabat di hadapannya. Salamnya disambut mesra. Perlahan dia melangkah mendapatkan Mariam yang duduk di birai katil.

"Mabruk! Moga baitul muslim yang terbina kekal ke akhir hayat. Barakallah ‘alaykum!" Bisik Nafisah tatkala mereka berpelukan.

"Terima kasih sebab datang." Mariam tersenyum senang. Wajahnya tampak berseri dengan sepasang jubah moden bersulam rona ungu lembut lengkap dengan selendang organza.

"Cantik sungguh Mar hari ni. Cocok sungguh bila digandingkan dengan Akh Naqiuddin!" Nafisah berseloroh. Wajah Mariam merona merah.

"Apa yang seronok sangat ni?" Mariam dan Nafisah memandang ke arah empunya suara.

"Tak ada apa-apalah Wafa, Amni. Nana saja mengusik pengantin baru ni. Dah lama ke sampai?" Senyuman Nafisah melebar.

"Dari pagi tadi lagi kami sampai. Mar, rombongan pengantin lelaki dah sampai." Wafa bersuara girang. Mariam memandang satu persatu wajah sahabat-sahabat di hadapannya. Nafisah menggenggam erat tangan sahabatnya itu. Dingin tangan Mariam dapat dirasai Nafisah. Dia tertawa kecil.

"Kenapa?" Soal Mariam hairan.

"Tak ada apa-apa..." Senyuman Nafisah meleret lagi.

Detik-detik penting dalam hidup Mariam berjalan dengan lancar. Tepat jam sebelas setengah pagi, Mariam Ibtihal dan Ahmad Naqiuddin sempurna diijabkabulkan sebagai pasangan suami dan isteri. Pasangan pengantin baru itu kelihatan malu-malu. Nafisah tumpang gembira. Syukur, sunnah Rasul terlaksana sudah. Pertemuan dua hati yang telah ditetapkan oleh Ilahi. Penyatuan dua insan yang tidak dinodai cinta terlarang. Moga rumahtangga kalian dilimpahi rahmah dan mawaddah! Ketika pasangan pengantin baru itu sibuk melayani tetamu yang hadir, Nafisah, Wafa dan Amni bergerak ke khemah bahagian muslimah untuk menjamu selera.

Usai menjamu selera, mereka bertukar-tukar cerita. Tiba-tiba Nafisah merasakan kepalanya berdenyut-denyut. Sedaya-upaya dia cuba berlagak seperti biasa.

"Erm... Nana tak boleh lama ni. Ada hal sikit. Insyaallah, kita jumpa lagi ya! Nana nak pergi jumpa Mar sekejap." Nafisah tersenyum nipis, memohon untuk mengundur diri. Setelah bersalaman dan berpelukan, Nafisah menemui Mariam dan suaminya yang sedang sibuk melayani para tetamu.

Nafisah mendakap tubuh Mariam erat-erat. Ahmad Naqiuddin di sampingnya sekadar memerhati penuh pengertian.

"Nana, terima kasih sebab sudi datang." Mariam bersuara perlahan. Entah mengapa ada sendu yang bertamu.

"Terima kasih Mar sebab sudi menjadi sahabat terbaik Nana. Moga persahabatan ini bukan sahaja di dunia, tapi di akhirat jua." Air mata Nana berguguran di pipi. Entah mengapa debaran di dadanya kian menggila. Kepalanya berdenyut-denyut lagi. Lebih teruk dirasakannya berbanding tadi.

"Ukhuwwah fillah... Uhibbuki fillah abadan abada..." Empangan air mata Mariam turut pecah. Berat rasa di hati untuk melepaskan Nafisah pulang. Dia dapat merasakan tudungnya sedikit lembap dengan titisan air mata Nafisah. Mengapa berat hati ini untuk melepaskan dirimu pergi wahai sahabat? Ya Allah, Kau berikanlah kekuatan kepada sahabatku ini untuk menghadapi apa jua ujian dari-Mu...

Nafisah meleraikan pelukannya perlahan. "Nana balik dulu ya?"

"Nana..." Mariam menggenggam erat tangan Nafisah.

Nafisah menarik lembut tangannya. Dia menggeleng perlahan. "Jangan macam ni Mar. Ramai tetamu ni. Nana balik dulu. Insyaallah kita akan berjumpa lagi. Kalau tak di dunia ini, moga di akhirat nanti..." Nafisah berpaling dan pantas melangkah pergi. Entah mengapa dia menuturkan kata-kata itu. Biarlah... Yang paling utama, dia harus segera beredar. Bimbang kesakitannya saat itu disedari oleh sahabat-sahabatnya.

"Nana... " Air mata Mariam menitis lagi. Dia menghantar Nafisah dengan pandangan matanya. Tiba-tiba ada tangan yang menggosok lembut bahunya. Dia berpaling dan melihat wajah suaminya ada di sisi.

"Mariam, sudahlah tu. Tak elok menangis macam ni. Insyaallah Nafisah tak akan apa-apa. Mungkin dia ada urusan penting." Lembut Naqiuddin cuba menenangkan hati isterinya. Mariam tunduk membisu.


YA ALLAH, SAKITNYA! Nafisah memegang kuat kepalanya dengan tangan kiri. Tangan kanan masih kejap memegang stereng kereta. Kepalanya berdenyut semakin kuat. Matanya mula berpinar-pinar. Pandangannya mula kabur, gelap... Dan akhirnya dia tidak sedar apa yang berlaku!


ILMI NAFISAH, aku bangga punya sahabat sekuat dan setabah dirimu. Setiap ujian dan dugaan yang Allah titipkan buatmu tidak pernah kau persoalkan. Semuanya kau telan dengan tenang. Kau sering katakan bahawa ujian dan dugaan Allah itu merupakan satu proses untuk Dia membentuk dirimu. Ya, aku akui kata-katamu itu.

Ilmi Nafisah, tahukah dirimu bahawa keluargamu dapat diselamatkan dari hancur! Adik-adikmu telah merasai kasih sayang dari Papa dan Mamamu. Papa dan Mamamu kian prihatin hal ehwal anak-anak. Namun aku cukup kesal kerana nilai kebahagiaan itu dibayar dengan nyawamu!

Ilmi Nafisah, aku tahu semuanya ketetapan Allah. Namun aku rasa cukup kehilangan. Ya, kehilangan sahabat sepertimu. Dan akhirnya aku akur... Mungkin ini yang terbaik untukmu. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati! Moga rohmu ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh... ameen...

"Sayang..." Ada suara yang berbisik memanggilnya.

Mariam menyeka air matanya perlahan. Dipandang sayu wajah suaminya di sisi. Naqiuddin tersenyum nipis. Mengerti kesedihan isterinya. Perlahan bahu isterinya diraih dan diusap.

"Abang, tengok rama-rama tu! Cantikkan?" Mariam bersuara perlahan. Kepalanya dilentokkan ke bahu suaminya. Naqiuddin mengangguk.

"Dulu, arwah Nana selalu cakap dia nak jadi seperti rama-rama kecil yang kuat dan mampu untuk terbang tinggi. Dia dah melalui pergelutan dan perjuangan untuk keluar dari kepompong. Cita-cita Nana dah tercapai. Dia sudah menjadi rama-rama kecil yang kuat dan mampu terbang tinggi. Tapi sayang, usia rama-rama kecil tak panjang..." Air mata Mariam merembes lagi.

"Sayang... Hidup ini hakikatnya terlalu singkat. Pagi hari adalah permulaan hidup kita, siang harinya kita sibuk mencari rezeki, dan petangnya tiba-tiba kita terpaksa menemui Pencipta. Hanya itulah yang dinamakan 'hidup' kita. Hidup ini adalah pinjaman semata-mata. Bila tiba saatnya untuk kita kembali pada-Nya, kita harus akur." Naqiudin diam seketika.

"Abang yakin, bukan Nafisah sahaja yang mampu untuk menjadi seperti rama-rama kecil. Isteri abang ni pun boleh. Sayang mesti jadi kuat seperti Nafisah kerana kita sama-sama berada di atas jalan dakwah. Jalan dakwah tak pernah menjanjikan permaidani merah untuk kita. Sayang faham kan?"

Mariam tersenyum nipis. Hatinya sedikit terubat dengan kata-kata suaminya itu. Dia memandang rama-rama kecil yang hinggap pada sekuntum bunga. Terbanglah rama-ramaku! Terbanglah setinggi mungkin!



**TAMAT**


Tatkala Pena Menulis,
F.H.Fansuri
Desa Sri Anuar,
Muar, Johor
14 Julai 2009
10.55 p.m
-1407091055-

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers