Friday, February 27, 2009

Pualam Di Pinggiran


Langit kirmizi di jihat barat direnungnya lama. ‘Subhanallah, indahnya ciptaan-MU!’ desis Maryam di dalam hati. Lama dia berteleku di situ. Entah mengapa, hatinya terasa bagaikan ditusuk sembilu tajam. Setitis demi setitis air jernih mengalir dari pelupuk matanya. Duhai hati, sabarlah dikau! Duhai kesedihan, pergilah... usah kau bermukim di ruangan fuadku!

“Maryam, kenapa duduk seorang diri di sini?” terasa bahunya disentuh lembut. Gesit dia menoleh.

“Balqis...” ujar Maryam separuh berbisik.

“Maryam, kenapa ni?” ada riak cemas dari raut wajah gadis manis bertudung litup itu. Balqis melabuhkan punggungnya bersebelahan Maryam.

Ukhti Maryam Ibtihal, kenapa dengan anti ni? Kenapa anti menangis?” soal Balqis sambil mengusap lembut belakang Maryam.

“Balqis...” Maryam kehilangan bicara. Tangisannya berlagu pilu. Perlahan, Balqis merangkul tubuhnya.

“Bersabarlah ukhti... Bersabarlah dengan sebaik-baik kesabaran...” suara pujukan Balqis kedengan begitu lembut di cuping pendengaran. Ya, Maryam masih ingat. Itulah ayat cinta DIA dalam al-Ma’arij ayat 5. Satu konotasi yang begitu membujuk atma. Namun dia masih gagal mengusir kesedihan yang bermukim di ruangan fuad. Masih lagi terngiang-ngiang suara itu. Suara yang menjadi asbab fuadnya menyanyikan lagu kesedihan.

“Izzat, kenapa anta tolak cadangan Akh Mu’ammar? Ana rasa tak ada celanya kalau anta digandingkan dengan Maryam Ibtihal. Dia bukan seperti gadis lain. Dia gadis yang telah ditarbiyyah. Atau anta ada pilihan lain?” soal Naqiuddin.

“Aqi, ini bukan soal ana dah punya pilihan lain atau tidak. Ana bukan sengaja nak tolak cadangan Akh Mu’ammar tu. Tapi hati ana ni mengatakan yang Maryam Ibtihal tak sesuai dengan ana. Dia bukannya datang dari keluarga yang ditarbiyyah. Dan dia pun masih baru lagi dalam tarbiyyah. Masih banyak lagi kelemahan dia yang ana lihat. Dia... arghh!!! Dia memang tak sesuai untuk ana. Asif jiddan...” Izzat meraup wajahnya dengan kedua belah tapak tangan.

“Apa masalahnya kalau dia bukan dari keluarga yang ditarbiyyah? Keluarga yang punya tarbiyyah pun asalnya tak punya tarbiyyah kan? Disinilah peranan anta sebagai seorang da'ie untuk berdakwah kepada keluarganya. Dan kalau benar masih banyak kelemahan dirinya, ia masih boleh diperbaiki. Ingat Izzat, tak ada manusia yang sempurna. Kita bukan maksum!” Naqiuddin kesal melihat sikap Izzat. Bagi dirinya, Izzat dan Maryam Ibtihal sangat secocok andai digandingkan sebagai pasangan suami isteri.

Maryam diam tidak berkutik di balik tabir yang memisahkan ruangan solat ikhwah dan akhwat. Dia bukan sengaja mencuri dengar hiwar itu. Hajatnya sekadar ingin mengambil Tafsir Pimpinan ar-Rahman yang tertinggal di musolla. Entah mengapa, matanya terasa berpasir. Kakinya terasa tidak mampu untuk berdiri lagi di situ. Dan gegendang telinganya sudah tidak tega untuk mendengar kata-kata itu lagi. Lantas dia berlalu pergi. Dan kakinya telah membawa dia ke sini.

Balqis masih setia di sisi, memeluk dan mengusap lembut belakangnya. Maryam membalas pelukan itu.

“Balqis, terlalu peritnya jalan ini... Sakitnya perjuangan ini...” dalam sedu Maryam bersuara.

“Apa maksud anti? Ana kurang mengerti.”

“Balqis, ana sedar diri ini tak ubah seperti pualam di pinggir jalan. Tak ada siapa yang sudi memandang. Tapi ana punya impian yang tinggi, ana nak menjadi seperti permata yang indah. Tapi jalannya terlalu sukar, terlalu menyakitkan... Jihad ini terlalu akbar... Ana khuatir ana akan kecundang.”

Shh... Bersabarlah ukhti. Ingatlah, seorang Maryam itu sangat kuat orangnya. Biarpun pelbagai tohmahan diterima, dia tetap sabar kerana dia yakin Tuhan sentiasa ada untuknya. Biarpun tika semua orang membuangnya, dia masih sabar kerana dia tahu dia benar. Ukhti, ingatlah Allah takkan membiarkan seseorang itu mengaku dirinya beriman sedangkan dirinya tidak diuji. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ingatlah, Dia tidak akan memberi beban yang melebihi kemampuan anti, tetapi Dia akan sesuaikan dengan batas usaha, kesanggupan dan kekuatan yang anti miliki. Allah tahu kemampuan anti dan Allah tahu anti boleh melaluinya. Perbanyakkanlah zikir illallah... Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Balqis memujuk penuh sabar.

Maryam menghela nafas berat. Dia melepaskan rangkulan di tubuh Balqis. Dipandangnya wajah rafik di sisi.

“Ya, benar kata anti. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Maryam mengukir senyuman tawar.

Ukhti, dalam al-Baqarah ayat 153 Allah telah berfirman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. Ukhti, berpegang teguhlah pada Allah kerana Dialah sebaik-baik pelindung dan penolong.” Balqis menggenggam erat tangan Maryam. Maryam memandang wajah Balqis lama.

Syukran jazilan ya ukhti... moga Allah membalas setiap kebaikan anti dengan ganjaran yang sebaik-baiknya… Allah yubarik fik.” Setitis air mata jernih mengalir di pipi Maryam.

Ameen... insyaallah Maryam, andai ukhti istiqamah, ana yakin anti akan berjaya. Ana tahu jihad ini terlalu besar, kerana jihad melawan ‘diri’ bukannya mudah. Tapi yakinlah ukhti, satu tika nanti pasti anti akan merasai kemanisannya... Halawatul iman...” Balqis menyeka air mata di pipi Maryam dengan tangannya.

Insyaallah, doakan ana ya ukhti. Ana terlalu lemah...” Maryam tunduk menekur ke tanah.

Ya Allah, pedihnya bila diri ini diperkecilkan. Ya, aku tahu aku ini tak ubah seperti pualam. Aku tahu diriku bukan datang dari keluarga yang ditarbiyyah, namun terlalu hinakah diri ini untuk menjadi sayap kiri seorang syabab? Kenapa yang bergelar insan itu lebih gemar menghukum tanpa punya keinginan untuk cuba memahami?

Ya Allah, janganlah Engkau pikulkan aku apa yang tidak sanggup aku memikulnya, kerana dengan itu hatiku akan menjadi lemah dan aku akan binasa. Ya Rabbi, Kau mudahkanlah urusanku sebagaimana Engkau telah memberi kemudahan kepada orang-orang sebelumku serta ringankanlah bebanku sebagaimana Engkau telah mengabulkan doa orang-orang yang memohon bantuan dari-Mu...

Ya Allah, Tuhan yang menciptakan hati, Tuhan yang memiliki hati ini, Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati, hilangkanlah resah dan gelisah dalam hati ini ya Rabbi... Sudilah Engkau memandang diriku ini... Pandanglah aku dengan pandangan rahmat-Mu... Pandanglah aku dengan pandangan kasih sayang-Mu... Ya Muhaimin, sinarilah hati ini dengan nur hidayah-Mu, tetapkanlah nikmat iman dan Islam dalam hati ini, kerana Engkaulah Tuhan yang menciptakan hati, kerana Engkaulah Tuhan yang memiliki hati ini.

Ya Rabbul Izzati, jangan biarkan sesekali aku jauh dari-Mu... Jangan Engkau biarkan aku terkapai-kapai dalam perjalanan panjang mencari cinta-Mu... Terangilah jalan hidupku... Permudahkanlah urusanku, tenangkanlah hatiku, berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi segala ujian dari-Mu ya Allah... Kurniakanlah aku dengan kesabaran yang tinggi kerana aku ini terlalu lemah... Ya Allah ya kareem, dengarlah rayuanku ini... Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang dhaif ini... Ameen ya rabbal ‘alamin.


**********

Langkah kakinya diatur perlahan. Sesekali tangannya menyeka keringat yang berbintik-bintik di wajah. Dia menyeluk saku jubahnya. Sehelai tisu dikeluarkan. Dikesatnya keringat di wajah dengan tisu itu. Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi kereta menghampir dari jihat belakang. Dia menoleh. Dia kenal pemilik kereta itu. Ummi Asiah, naqibahnya. Kereta itu berhenti di sisinya. Cermin kereta diturunkan.

Assalamualaikum Maryam.” Ummi Asiah memberi salam sambil tersenyum.

Waalaikumussalam... Ummi...” Maryam menjawab perlahan. Ummi Asiah menggamit Maryam menaiki keretanya. Perlahan, Maryam menurut. Tangan Ummi Asiah disalami penuh hormat. Ummi Asiah mengusap lembut kepala Maryam.

“Maryam sihat?”

Alhamdulillah, sihat Ummi...”

“Kita pergi minum dulu ya?” Ummi Asiah tersenyum dan Maryam sekadar membalas dengan anggukan. Ummi Asiah memandu keretanya dengan cermat. Setibanya di Selera Kafe, mereka mengambil tempat di ruangan yang agak jauh dari pengunjung lain. Setelah membuat pesanan, Ummi Asiah tersenyum memandang Maryam.

“Sebenarnya Ummi nak jumpa Maryam hari ini kerana bersebab. Ummi nak tanya sesuatu, tapi Maryam mesti jawab dengan setelusnya.” Ummi Asiah memulakan kata. Maryam mengangguk perlahan.

“Hati Maryam dah dimiliki?” soal Ummi Asiah lembut. Maryam kaget namun dia menggeleng perlahan.

Hurm... Sebenarnya tujuan Ummi bertemu Maryam hari ini kerana membawa hajat seseorang.” Senyuman Ummi Asiah melirik di bibir.

“Hajat?” soal Maryam, kurang mengerti.

“Ya, ada seorang akh yang berhajat menyunting Maryam untuk dijadikan zaujah. Insyaallah, akh itu seorang yang beragama dan baik budi pekertinya. Ummi yakin dia bisa menjadi zauj yang sesuai buat Maryam.”

“Tapi ummi, ana rasa tak layak untuk akh tu. Ana bukannya dari keluarga yang ditarbiyyah. Ana masih banyak lagi kekurangan dan kelemahan. Ana rasa akh tu dah tersilap andai ana yang menjadi pilihan.” Maryam bersuara perlahan. Entah mengapa, suara yang menghiris fuadnya lewat musim lalu kembali kedengaran di ruangan minda. Hatinya mula dipagut sayu.

“Maryam, akh tu tak silap. Memang anti yang dihajatkan untuk menjadi suri di hati. Dia sendiri dah mengakui kesediaannya untuk menerima anti sebagai zaujah. Dan dia sendiri sanggup menerima apa jua kekurangan diri anti.” ujar Ummi Asiah bersungguh-sungguh. Namun dia bimbang itu hanya sekadar mimpi yang indah.

“Kalau Maryam bersetuju, Ummi akan aturkan liqa’.” Maryam terus membisu.

Ya Allah, berikanlah aku petunjuk-Mu!


**********

Mabruk! Moga Baitul Muslim yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat. Moga dikurniakan zuriat yang bisa menjadi penyejuk di mata, penawar di hati. Barakallah ‘alaykum!” Balqis mengucup lembut pipi Maryam setelah tamam majlis akad nikah. Maryam mengukir senyuman nipis. Terasa wajahnya begitu hangat, dan kelopak matanya seakan berpasir. Ya Allah, terima kasih atas kurniaan ini!

“Minta laluan, pengantin lelaki nak masuk ni...” kedengaran suara Mak Itam di muka pintu. Debaran di dada semakin kuat. Maryam tidak tega untuk memandang insan yang kini berdiri di hadapannya itu. Pandangannya dihala ke lantai. Jemarinya disentuh lembut. Sebentuk cincin disarungkan ke jari manisnya. Tangan itu dikucupnya lembut penuh hormat , lama. Dia masih gentar untuk memandang wajah insan di hadapannya. Perlahan, dagunya disentuh dan dahinya dikucup lembut. Setitis demi setitis air jernih mengalir dari pelupuk matanya.

“Terima kasih kerana sudi menjadi isteriku, Maryam Ibtihal. Uhibbuki fillah... Abadan abada...” perlahan ungkapan itu dibisikkan ke telinga Maryam.

“Terima kasih suamiku atas kesudian memilih pualam di pinggiran ini untuk menjadi sayap kiri. Terima kasih kerana menerima diri ini seadanya. Bimbinglah diri ini dalam mencari cinta-Nya...” Bisik Maryam perlahan. Teragak-agak, Maryam memberanikan diri memandang wajah insan yang kini telah bergelar suami buat dirinya. Ada senyuman di wajah itu. Senyuman yang penuh makna!

Ya Allah, benarkah ini bukan mimpi?

“Maryam Ibtihal adalah seorang yang berjiwa akbar, tidak gentar untuk berjihad melawan diri. Maryam Ibtihal bukannya pualam di pinggiran. Bagi abang, Maryam Ibtihal adalah sebutir permata di dalam hati ini.” Tangannya di letakkan ke dada.



Ya Allah ya rabbi... Jika Engkau mengizinkan aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu. Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu. Ya Rabbul Izzati, jika Engkau halalkan aku merindui kekasih-Mu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku kepada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu. Ya Allah, jika Engkau menetapkan Ahmad Naqiuddin ini sebagai suamiku, kuatkanlah ikatan antara kami, kekalkanlah ikatan ini hingga ke akhir hayatku. Lapangkanlah dada kami dengan kurniaan iman dan indahnya tawakal pada-Mu. Ya Allah ya kareem, Engkaulah Tuhan yang Maha Agung... Terima kasih atas nikmat yang tidak ternilai ini ya Allah... Ameen ya rabbal ‘alamin...

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah, Dia menciptakan jodoh untukmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya. Dan dijadikan antaramu rasa kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada hari yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui...”

~Surah ar-Rum: ayat 21~




~TAMAT~



Tarian Pena:
F.H. Fansuri
2702090040
Tmn. Sri Kuching,
Jalan Sri Kuching,
Kuala Lumpur
27 Februari 2009
12.40 a.m



Glosari

Pualam – batu
Jihat – arah atau sisi
Atma - jiwa
Fuad – hati
Asif jiddan – maaf
Ikhwah – saudara lelaki (ramai)
Akh – saudara lelaki (seorang)
Akhwat – saudara perempuan (ramai)
Ukht - saudara perempuan (seorang)
Hiwar – perbualan
Akbar­ – besar
Zikir ilallah – zikir kepada Allah
Syukran jazilan – terima kasih
Allah yubarik fik – semoga Allah memberkati kamu
Halawatul iman – kemanisan iman
Syabab – pemuda
Naqibah – ketua usrah (perempuan)
Zauj – suami
Zaujah – isteri
Liqa’ – pertemuan
Mabruk – tahniah
Baitul Muslim – rumahtangga Islam
Barakallah ‘alaykum – moga Allah memberkati kamu berdua
Tamam – selesai
Uhibbuki fillah – saya sayangkan awak kerana Allah
Abadan abada – selama-lamanya

Wednesday, February 25, 2009

Baby KBM!!!


Bismillahirrahmanirrahim...
[Sengih...] Mesti teruja kan bila tengok tajuk entry Kak Yong kali ni? Ya... alhamdulillah 'Baby KBM'yang dinanti-nantikan telah selamat dilahirkan sekitar jam 11.30 malam 24 Februari 2009 dengan berat 3.28kg melalui pembedahan.

Alhamdulillah, petang tadi Kak Yong berpeluang untuk menziarah Kak Sodd dan 'Baby KBM' di Hospital Ampang. Habis kelas jam 3.30 petang, Kak Yong ditemani anak usrah, Fida 'terbang' bersama Kenari menuju ke Hospital Ampang. Walaupun tak tahu jalan nak ke sana, terima kasih yang tak terhingga kepada Inche Google Map sebab banyak membantu Kak Yong... [ketawa besar!!!]


View Larger Map


Kami tiba di Hospital Ampang pada jam 4.15 petang. Yang kelakar, kami salah masuk parking! Sesuka hati sesedap oren kami parking Kenari tu kat tempat parking yang bertulis 'Ketua Unit... apa entah'. Waa... apa lagi, pak guard pun datang... Kami tersipu-sipu la dalam Kenari tu... Ampun pakcik, kami tak perasan... [Dalam hati... 'Ish, aku ni takda gaya seorang doktor ker?' Wakaka...KY dah melalut...]

Selepas waktu melawat tiba, Kak Yong dan Fida pun naik ke tingkat 4, pergi ke Wad 4D. Masa nak masuk ada mak guard tanya, "Ni nak melawat siapa?" Kak Yong dengan confidentnya menjawab, "Saya nak tengok kakak saya, kat katil 21..." Mak guard tu pun angguk je la. Masuk je dalam tu, tengok-tengok kat katil 21... KOSONG!!! Apa lagi, Kak Yong pun call Abang Bai. Tapi coverage tak berapa nak okey, tetiba je terputus... Tak lama lepas tu dapat mesej.

Kak Sodd kat wad 4C katil 17

Kami pun bergegas ke wad 4C. Sampai-sampai kat sana, Kak Sodd dengan baby je. Abang Bai entah ke mana. Tengok muka baby...bulatnya!!! Macam biskut chipsmore!!! [ketawa giler-giler... Abang Bai kan masa Kak Sodd awal-awal mengandung giler dengan biskut BULAT!!!] Tiba-tiba Abang Bai muncul. Nampak muka Abang Bai je, Kak Yong terus tanya, "Apa nama baby?" Abang Bai sengih.

Kak Sodd senyum, "Izz..."

Kak Yong terkedu."Laa...betul-betul la Abang Bai taruh 3 huruf je?" "

"Kak Yong ada cadangan ke? Kami ada 3 pilihan, Hud, Nuh dengan Izz..."

Kak Yong sengih tunjuk gigi... "Tatau, tak ada idea..." [Dalam hati, 'kalau mintak nama panjang tu banyak la, tapi kalau 3 huruf je, tak leh nak fikir...kalah soalan final exam!']


Inilah dia... IZZ BIN MOHD HAFIZ


Kelakar je rasa bila tengok Abang Bai nak pegang Izz...serba tak kena. Tak apa, anak first... Kak Sodd cuba nak bagi Izz menyusu, tapi dia asyik sangat tidur...huhuhu... Lepas Abang Bai letak Izz semula kat baby coat, Kak Yong pun mulakanlah operasi 'kacau baby'.


Kak Yong tengah 'kacau' Izz...


Bila Kak Yong buka kain balutan, terus Izz mengeliat... Waa... Izz nak ber'Happy Chicky' ke? Tak puas lagi ber'Happy Chicky' dalam perut Ummi kat KBM Segamat ye? [Senyum] Lepas tu Izz pun buka mata... Waa... comelnya!!! Hehehe... tengok, Achik Yong datang, terus bukak mata... pandai...pandai... Ni yang buat Achik Yong sayang lebih kat Izz [hehe...sama je sayang untuk Aqi...]


Baik je Izz bila Achik Yong dukung


Kak Sodd senyum je... "Nasib baik ada Achik Yong ye Izz..."

"Akak nak cuba susukan dia ke?" Kak Yong angkat dan hulur Izz pada Kak Sodd. Tapi tak berjaya juga. Izz tak pandai lagi nak hisap susu. Izz masuk balik dalam baby coat. Abang Bai pergi beli losyen sebab losyen Izz entah mana pergi. Tengah main-main dengan Izz, rombongan Kak Nina sampai. Ada Mia, Andak, Biha dengan Alang Atie.


Achik Yong dan Mia tengah sapu losyen kat Izz


Sepanjang di hospital, Kak Yong dapat lihat sendiri macamana peritnya ibu yang melahirkan. Nampak dari raut wajah Kak Sodd kesakitan yang ditanggungnya sampaikan Abang Bai pun tak berani nak pegang Kak Sodd. Terimbau ingatan bila slot MAM 1 saat video kelahiran dipaparkan. Mesti macam tu juga keadaan Kak Sodd. Besarnya pengorbanan seorang ibu... mengandung... melahirkan... mengasuh... mendidik...

Tatkala jam menunjukkan tepat 5.30 petang, kami mengundur diri. Syukran jazilan buat Fida atas bantuan yang dihulur...


Bertolak balik...



Gambar-gambar Kak Yong dan Izz...




Izz dan Aqi... buah hati Achik Yong... =)



Kak Yong: Mak, terima kasih yang tak terhingga sebab sanggup kandungkan dan lahirkan akak ke dunia ni... Akak sayang emak sangat-sangat...


Monday, February 23, 2009

Hurm...




Apa yang Kak Yong nak cerita ye? Semalam ada kisah yang terjadi pada adik-adik serumah Kak Yong. Dipendekkan cerita, tiga orang adik rumah Kak Yong nak ke Hentian Pekeliling, beli tiket. Sewaktu tengah jalan kaki nak ke pondok bas, mereka bertiga telah disergah dek anjing besar! Tak cukup tanah budak bertiga ni lari.

Kejadian kedua pula berlaku sewaktu dalam bas dari Titiwangsa nak ke hostel kami. Waktu dalam bas tu ada pula orang Melayu dengan India bertekak. Dari hal yang kecik sampai jadi besar. Terkedu budak bertiga ni di tengah-tengah.

Kejadian ketiga pula berlaku sebaik sahaja mereka turun dari bas, satu kejadian samun berlaku di depan mata mereka. Mangsanya adalah seorang perempuan Cina. Yang malangnya, perempuan tu ditumbuk di bahagian muka. Menjerit-jerit perempuan Cina ni. Budak-budak bertiga ni tergamam di tengah-tengah kejadian.

Hurm...bila difikir-fikirkan semula, alhamdulillah sewaktu Kak Yong balik ke hostel jalan kaki seorang diri, tak ada apa-apa perkara yang tak elok terjadi. Hurm...jadi seriau pula nak jalan kaki seorang diri. Masalahnya kalau waktu-waktu petang teksi susah nak dapat kat kawasan tu. Jalan kaki je la pilihan yang ada. Selalu juga bila Kak Yong kata Kak Yong selalu pergi Puduraya seorang diri, ramai yang 'bising'. Mereka kata, ajaklah kawan untuk temankan. Tapi, Kak Yong ni jenis yang tak suka menyusahkan orang. Dan bukan semua orang sanggup nak temankan, kan? Tapi bagi Kak Yong, kalau kita letakkan seluruh pergantungan kita pada Allah, insyaallah kita akan selamat. Hurm...


Kak Yong: Transport tak ada, yang ada 'kaki' je la... "Cukuplah Allah bagiku, DIA yang terbaik tempat aku bergantung..."

Saturday, February 21, 2009

In Memoir...




Laicikang Vs Barli Suam...


Kak Yong: I'm really miss u!!!

Friday, February 20, 2009

Maafkan, Teman...

Sebuah puisi dedikasi buat insan bernama teman...



Maafkan, Teman...

Teman...
Pertemuan itu tidak pernah direncanakan...
Kau dan aku,
Bertemu dalam mengharap redha Tuhan...
Namun,
Aku khilaf...
Langkahku pincang...
Lantaran diri hanya kerikil di pinggir jalan...
Kerikil yang tidak dipandang insan...

Teman...
Kemaafan kupohon bertali temali...
Diri terpaksa pergi dari sisi...
Lantaran diri ingin berkelana,
Dalam perjalanan panjang mencari sebuah cinta...
Cinta yang hakiki...
Dan rindu yang abadi...

Teman...
Kupohon pengertian darimu...
Biarkanlah aku dengan kebisuanku...
Kerana itu yang bisa buat diri bahagia...
Biarkanlah aku dengan diriku...
Kerana aku adalah aku...
Kerikil di pinggiran,
namun punya mimpi untuk menjadi permata...
Menjadi permata di dalam peti...

Teman...
Sekali lagi kemaafan kupohon...
Diri terpaksa pergi...
Biarlah DIA yang menentukan,
Kapan lagi pertemuan kan terjadi,
Antara kau dan aku...

Teman...
Hanya satu...
Jangan dinanti kepulangan diri...
Kerana aku sendiri tidak pasti,
Apa aku akan kembali,
Atau aku terus akan mencari...
Doakan saja,
Agar diri tidak terjatuh dan tertatih,
Dalam perjalanan panjang yang entah bila kan bernoktah...

Maafkan,
Teman...



Titipan Rasa,
F.H.Fansuri
2002091150
Tmn. Batu Muda
Kuala Lumpur.
20 Februari 2009
11.50 a.m.

Monday, February 16, 2009

Kembara KBM ke Segamat

Alhamdulillah, pada 14 dan 15 Februari yang lepas, Kak Yong berkesempatan menyumbang tenaga di KBM IPT - UiTM Segamat bersama Abang Bai, Akh Fared, Kak Sodd dan Kak Im. Ikuti catatan kembara kami...

13 Februari 2009

Seperti yang dijanjikan, tepat jam 6.30 petang Abang Bai dan Kak Sodd sampai di 'Airport IIC' dengan menaiki 'Burung Kenari' mereka. Selepas itu kami bergerak ke rumah seorang pakcik JIM di Taman Selasih untuk tukar 'pesawat' kami dari Kenari kepada Avanza. Lepas tu kitorang singgah sekejap kat rumah Pak Kay untuk ambil beberapa peralatan. Lepas tu kami bergerak ke Stesen LRT Putra untuk ambil Im (Insyirah Mokri - Anak Pak Lang).







Kemudian kami teruskan perjalanan melalui MRR2 dan masuk lebuhraya PLUS untuk ke selatan. Lebih kurang pukul 8.30 malam, kami singgah sekejap rumah Pakcik Jusri (mertua Kak Ba - kakak Kak Sodd) untuk menziarah beliau yang bakal berangkat ke China untuk menjalani rawatan sakit buah pinggang (kalau tak silap la). Kemudian kami menyambung semula perjalanan ke selatan. Sepanjang perjalanan macam-macam yang kami bualkan. Abang Bai pulak tak habis-habis cerita pasal makanan, asam pedas la, sambal kerang la... almaklumlah, perut masing-masing dah menjerit minta diisi. Jam 10.15 malam, kami sampai di kediaman keluarga Abang Bai di Teluk Mas, Melaka. Kami makan malam hasil air tangan makcik Lisa... ada sambal goreng!!! Memang sedap! Teringat pula masakan emak kat kampung. Dan sempatlah Kak Yong jumpa dengan Aqi yang comel plus kiut tu... Tapi tak dapat lama jalankan ops kacau Aqi sebab kitorang dah lewat nak ke Segamat.









Lepas makan malam, kami teruskan perjalanan ke Segamat pukul 11.15 malam ikut jalan Air Molek. Pukul 11.33 malam kami singgah sebentar di stesen Petronas Jasin untuk menunaikan solat Jamak. Sepanjang perjalanan tu, selain berceloteh dengan Kak Sodd dan Abang Bai, sempat juga Kak Yong kerling papan tanda di sepanjang jalan. Pelik betul nama-nama tempat kat Melaka ni, ada Kandang, Tiang Dua... dan seingat Kak Yong kat Melaka ni ada tempat bernama Bukit Katil dan Tangga Batu. Im kat sebelah Kak Yong sempat melelapkan mata. Entah macamana, kami terlepas simpang ke Tangkak, salah jalan yang menuju ke Nyalas. Jam waktu itu menunjukkan tepat 12.30 malam. Abang bai pun patah balik semula dan akhirnya kami tiba di pekan Tangkak pada pukul 12.42 pagi. Dari pekan Tangkak kami melalui jalan Sagil untuk ke Segamat. Jalannya, betul-betul macam ular kena palu. Di pertengahan jalan, ada sebuah lori di depan kami tiba-tiba bergerak ke tengah dan ke tepi. Driver tu mengantuk agaknya. Abang Bai bunyikan hon beberapa kali untuk bagi amaran kat pemandu lori di depan. Seriau juga rasa masa tu. Tak lama lepas tu, pemandu lori di depan kami bagi peluang Abang Bai untuk memotong. Dan akhirnya kami selamat sampai di depan pintu pagar UiTM Segamat, Johor pada jam 1.29 pagi... alhamdulillah. Ketibaan kami disambut oleh Akh Radzi, Ukht Ida dan Ukht Hajar Mokri (Anak Pak Lang). Kak Yong, Kak Sodd dan Im menginap di Kolej Zamrud manakala Abang Bai di Masjid UiTM. Kesian Abang Bai 'dikejar' nyamuk sepanjang malam.



14 Februari 2009

Bermulalah KBM di UiTM Segamat Johor...





Airport: Dewan Seri Peria, UiTM Segamat
Tarikh: 14 & 15 Februari 2009
Pengendali: Kak Yong (laptop) dan Kak Im (video + edit)
KMKY: Abang Bai
InTeam: Abang Bai
MAM 1: Pak Uteh
MAM 2: Kak Yong & Akh Fared (Chef Wang)
Ketua Fasilitator: Akh Fared (Chef Wang)
Fasilitator: Akh Radzi, Akh Fahmi, Ukht Ida, Ukht Iqa dan Ukht Hajar
Penumpang: Ikhwah - 17++, Akhwat - 17++ Total - 30++

Seterusnya biar gambar-gambar yang berbicara...









15 Februari 2009

Hijrah: Abang Bai
Lafaz Tersimpan: Abang Bai







Alhamdulillah, program tamat lebih kurang jam 1.15 petang. Lepas berkemas, kami bergerak meninggalkan UiTM Segamat lebih kurang pukul 1.55 petang.


Bertolak balik...



Selamat tinggal UiTM...


Kami ikut jalan Jasin untuk ke Teluk Mas, singgah lagi rumah Pak Mid dan Makcik Lisa. Sampai je kat sana jam dah menunjukkan pukul 3 lebih. Masa tu nampak macam ada ramai orang kat dalam rumah. Rupanya ada Nek Chik dari Singapura datang. Bila Nek Chik tau Kak Yong ni cucu Atuk Sawal, habis kena peluk cium =) ... Kak Yong jumpa Nek Chik tak lama sebab diorang dah nak balik.





Dapatlah Kak Yong kacau AQi lama sikit. Kesian Aqi, Pak Itam tidur, Mak Itam solat, Oma pula sibuk kat dapur. Nasib baik ada Achik Yong tolong dukung kan? Tapi Aqi ni memang baik, senang je nak jaga dia. Seronok betul bila tengok dia buka mata dia yang sepet tu... kiut miut tul!!!




Siap je Makcik Lisa masak, kitorang makan la tengahari + petang... yang best tu ada sambal kerang!!! Seronok betul Abang Bai makan... Pukul 6.10 petang kami pun bertolak balik ke Kuala Lumpur. Singgah solat jamak kat R&R Seremban.


Subhanallah... cantiknya matahari senja...


Beli jagung manis!!!



Sampai di Wangsamaju, hantar Im dah pukul 9.30 malam. Lepas tu hantar Avanza, ambil Kenari, singgah rumah Pak Kay hantar barang dan last sekali hantar Kak Yong ke hostel. Masa tu dah pukul 10 malam. Penat memanglah penat, tapi kepuasan tu hanya DIA yang tahu!!! Maka berakhirlah kembara KBM ke Segamat tatkala mata Kak Yong terpejam rapat (Mengantuk tahap tak ingat... on the way balik langsung tak tidur...)


Kak Yong: Akhirnya dapat juga jumpa Aqi... comel betul... baik je bila Achik Yong dia ni dukung...

Thursday, February 12, 2009

Selamat... Selamat....



Nampak gayanya tahun ni tahun senior-senior Kak Yong tunggu turn nak makan 'nasi minyak'. Dikesempatan ini Kak Yong ingin mengucapkan selamat membina Baitul Muslim kepada;

  • Abang Nan & Kak Wa (28 Februari 2009)
  • Abang Wan & Kak Ita (7 Mac 2009)
  • Abang Haza & Kak Sue (7 Mac 2009)

Mabruk!!! Barakallahu 'alaykum

Semoga berkekalan ke akhir hayat dan dikurniakan zuriat yang bakal menjadi penyejuk di mata penenang di hati... ameen...

Kak Yong: hehehe... nampak gayanya kena travel jauh kali ni... 28hb ni nak kena gi Melaka, 7hb Mac nak kena hantar pengantin ke Perak... 15hb Mac kenduri belah pihak Abang Haza kat Sg. Besi... hurm...tiap-tiap minggu pekena nasi minyak nampak gayanya... Lepas ni turn Abang Fendy dan Abang Hairil lak naik pelamin...

Wednesday, February 11, 2009

Siapa Aku???

"Bismillahirrahmanirrahimalhamdulillah, setiap dari antunna dah bentangkan tugasan yang akak berikan iaitu objek yang mewakili diri antunna. Alhamdulillah, ada yang memilih pokok, mentol, lilin, air, kapal layar, labah-labah dan macam-macam lagi. Jadi sekarang ni tibalah giliran akak pula. Barulah adil, kan?" Aku tersenyum memandang wajah-wajah di hadapanku, anak-anak usrah yang sangat aku kasihi lantaran kami berpegang kepada aqidah yang sama.

"Insyaallah, objek yang akak pilih bagi mewakili diri akak adalah gelas yang berisi air. Diri akak diwakili oleh gelas itu sahaja manakala air itu melambangkan sebagai ilmu dan pengetahuan. Asalnya gelas tu kosong. Tapi saban hari ada air yang akan mengisi gelas, maksudnya diri akak pada asalnya waktu lahir ke dunia dulu, kosong… nothing… tak tau apa-apa. Tapi setiap hari banyak ilmu yang akak perolehi. Ilmu ni tak semestinya ilmu yang akak dapat dalam kelas. Ilmu ni mungkin ilmu menulis, membaca, memasak, membasuh, menjahit dan macam-macam lagi.
Tapi cuba kita fikirkan, kalau setiap hari air dalam gelas tu bertambah, pastinya air dalam gelas tu akan melimpah keluar. Jadi di sini air dalam gelas tu perlu diagih-agih pada gelas-gelas lain untuk mengelakkan air dalam gelas tu dari melimpah keluar. Samalah juga macam akak, ilmu yang akak perolehi wajib akak ajarkan pada orang lain. Tak kisah la walau sikit pun sebab hukum menyampaikan ilmu itu wajib. Sabda Rasulullah S.A.W., 'Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat...' Hadith ini menunjukkan betapa pentingnya kita menyampaikan ilmu. Dan kerana itulah juga Halaqah Cinta ini akak wujudkan agar ia menjadi wadah dan medan untuk kita saling bertukar dan menyampaikan ilmu." Adik-adik di hadapanku kelihatan khusyuk mendengar.

"Jadi, itulah diri akak… Baiklah, itu sahaja rasanya. Tapi akak suka nak mengulas tentang objek yang menjadi pilihan Ina, iaitu bunga mawar. Secara peribadi pilihan Ina itu adalah pilihan yang agak tepat." Wajah Ina kupandang. Ina tersenyum malu.

"Bunga mawar memang sinonim dengan wanita. Kebiasaannya bunga mawar ni menjadi pilihan untuk dihadiahkan kepada wanita. Mungkin kerana kecantikan dan keharuman si bunga mawar. Tapi bagi akak, kecantikan bunga mawar sebenarnya terletak pada duri-duri yang mengelilinginya. Duri-duri inilah yang menyebabkan nilai bunga mawar begitu tinggi. Begitulah juga dengan wanita. Seorang wanita tu akan tinggi 'nilai'nya andai ada 'duri-duri' yang menghiasi diri seseorang wanita itu." Aku menghadiahkan senyuman penuh makna buat adik-adik di hadapanku.

"Hurm... akak, boleh tak kalau ana nak tambah sikit?" Ain memandangku dengan wajah penuh mengharap.

"Silakan... tafaddhal..." Aku mengangguk.

"Erm... dulu masa ana sekolah, ada seorang akak senior ni cakap pada ana tentang nilai seorang wanita. Dia kata, sebagai wanita kita kena jadi bak bunga di atas puncak gunung. Nilai kecantikan seorang wanita tu bukan terletak pada kecantikan luarannya tapi terletak pada sehebat mana dia menjaga maruah diri."

"Baik. Bagus Ain. Akak setuju dengan pendapat Ain, tapi akak nak tambah sikit. Bagi akak, apa kata kalau kita upgrade sikit... dari menjadi bunga mawar berduri, sebagai wanita jom kita jadi seperti mawar berduri di puncak gunung. Kenapa akak cakap macam tu?" Kupandang setiap wajah-wajah di hadapanku. Masing-masing membisu.

"Seorang wanita yang tinggi nilainya boleh ditamsilkan seperti mawar berduri di puncak gunung kerana ia tidak mudah untuk dimiliki. Lokasinya yang terletak di atas puncak gunung ini menyukarkan si pemburu untuk memilikinya. Si pemburu perlu mengharungi pelbagai rintangan sebelum sampai ke puncak gunung contohnya batu-batu besar, binatang liar dan macam-macam lagi. Bila dah sampai di puncak gunung, si pemburu perlu menghadapi duri-duri yang mengelilingi bunga mawar sebelum berjaya memetik si mawar berduri.

Samalah juga andai seorang wanita menjaga maruah dirinya umpama mawar berduri di puncak gunung. Batuan keras di sepanjang gunung menunjukkan ketegasan seorang wanita dari pujuk rayu seorang lelaki. Duri-duri di sekitar bunga mawar pula menggambarkan bagaimana seorang wanita itu begitu memelihara aurat dan maruah dirinya dari menjadi tatapan mata-mata yang tidak halal untuk memandangnya." Aku berhenti seketika.

"Jadi, sebagai konklusinya, ayuhlah kita sama-sama menjadi seperti mawar berduri di atas puncak gunung. Kembalilah meletakkan nilai diri kita di anak tangga yang paling teratas kerana tingginya nilai diri seseorang wanita itu bukanlah terletak pada kecantikan luarannya, tapi bergantung kepada bagaimana hebat dia menjaga maruah dan kesucian diri."

"Kak, tak cukup ke kalau kita dah tutup aurat?" Soal Razia. Aku tersenyum memandangnya, seorang adik yang begitu kuat azamnya untuk menjadi seorang yang baru. Niqab yang menutupi kecantikan wajahnya menambahkan kekagumanku pada semangat dan tekadnya.

"Okey, maruah diri atau nilai seorang wanita bagi akak tak cukup dengan menutup aurat sahaja. Kita juga perlu menjaga pergaulan, akhlaq, dan yang paling penting hati kita. Suka akak nak ingatkan adik-adik dan diri akak juga, dalam kehidupan seharian kita pastinya ada antara kita yang terlalai dalam menjaga pergaulan dan juga hati. Akak nak tekankan di sini tentang ikhtilat antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Ikhtilat yang akak maksudkan di sini ialah dalam kita bermuamalah, kita kena jaga tingkah laku. Bila kita berkomunikasi dengan ikhwah, jaga jarak antara kita. Elakkan dari terlalu close sebab ia boleh menimbulkan fitnah apatah lagi ramai di antara adik-adik yang mengambil jurusan islamik kontemporari. Masyarakat di IIC memandang tinggi kepada antunna dan besar harapan akak untuk antunna dan semua ikhwah wa akhwat DIC menjadi qudwah hasanah, contoh ikutan bagi masyarakat IIC amnya. Dan yang paling penting, elakkan zina hati. Sebagai contoh, kita asyik berSMS dengan ikhwah tentang perkara-perkara yang tak penting dan lagha. Lama-kelamaan timbul perasaan yang tidak halal dalam hati. Itu boleh dikatakan sebagai zina hati. Memang perasaan itu fitrah manusia dan bukan senang untuk dikikis. Tapi, kita kena berbalik kepada yang menciptakan hati tersebut, iaitu Allah S.W.T.. Mintalah pada DIA agar menjaga hati kita kerana DIA yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati kita. Insyaallah, DIA pasti akan membantu kita." Aku berhenti sejenak.

"Dan di sinilah letaknya kepentingan tegur-menegur antara satu sama lain kerana kita adalah insan yang tidak dapat lari dari lupa dan lalai. Kalau akak sendiri buat silap, jangan segan-segan untuk menegur akak. Sebab akak pun tak lepas dari buat silap. Akak tak mahu jadi orang yang hanya pandai berkata-kata dan menasihat orang lain tapi dalam masa yang sama akak tak buat apa yang akak katakan. Allah S.W.T. ada berfirman dalam surah as-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud, 'Wahai orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.' Jadi kalau akak sendiri buat silap, akak mohon pada antunna untuk tegur akak atas dasar kasih sayang sesama mukmin." Terasa kelopak mataku seakan berpasir.

"Kak, kalau seseorang tu pernah buat silap satu masa dulu, boleh ke kalau nak jadi macam mawar berduri atas puncak gunung?" Syira tiba-tiba bersuara.

"Hurm...bagi akak, apa yang dah lepas tak perlu kita pandang lagi. Setiap dari kita pastinya tak terlepas dari buat salah dan silap macam yang akak cakap tadi. Akak sendiri secara peribadi, akui yang akak ni tak ubah macam batu kerikil kat tepi jalan. Tak ada nilai dan tak dipandang sesiapa pun. Tapi 'batu kerikil' ni ada cita-cita dan impian nak jadi macam permata dalam peti besi. Tak perlu nak hirau apa kata orang lain, yang penting keazaman kita untuk berubah. Jihad kita dengan diri sendiri itu adalah jihad yang paling besar. Insyaallah, andai kita berjaya dalam jihad itu, kita akan rasai kemanisan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata...." Aku melepaskan satu keluhan berat.

"Ya, akak ni cuma 'batu kerikil' dan betapa peritnya akak berjihad melawan nafsu, nak merubah diri, nak menjawab setiap persoalan-persoalan yang bersarang dalam kepala ni, hanya Allah yang tahu. Biarlah apa orang lain nak kata tentang akak, tapi akak lebih kenal siapa diri akak dan apa yang akak buat. Dan cukuplah akak punya DIA sebagai tempat bergantung dan mengadu." Empangan air mataku pecah jua akhirnya. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan... Kutarik nafas panjang lama.

"Satu yang akak nak ingatkan, bila berada di atas jalan dakwah ni, ujiannya bukan sedikit dan jangan sesekali kita mengimpikan 'permaidani merah' sebab jalannya penuh berduri. Dan sekali kita 'sign' kontrak untuk jadi seorang da'ie, tidak ada istilah cuti. Ingat, bergelar seorang pelajar, pelajaran tetap nombor satu tapi kerja-kerja dakwah bukan nombor dua. Kedua-duanya kena berlaku serentak." Kupandang lagi wajah-wajah di hadapanku satu-persatu.

"Insyaallah, rasanya setakat ini dulu untuk halaqah kita minggu ni. Sebelum bersurai seperti biasa, akak akan bacakan doa dan mohon antunna untuk aminkan bersama-sama. Insyaallah...."

"Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji hanya milik-MU ya Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan seluruh kaum keluarganya.
Ya Allah, Engkau mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-MU, bertemu untuk mematuhi perintah-MU, bersatu dalam memikul beban dakwah-MU, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-MU, maka eratkanlah ya Allah, eratkanlah ya Allah, eratkanlah ya Allah akan ikatannya...

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini, penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-MU yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-MU. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat tentang-MU, dan jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-MU, Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Wahai Tuhan yang menciptakan hati...
Wahai Tuhan pemilik hati-hati ini...
Wahai Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati ini...
Seandainya kami jatuh cinta, cintakanlah kami pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-MU agar bertambah kekuatan kami untuk mencintai-MU...
Ya Muhaimin... jika kami jatuh hati, izinkanlah kami menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-MU agar tak terjatuh kami dalam jurang cinta nafsu...
Ya Rabbana... jika kami jatuh hati, jagalah hati kami padanya agar tidak berpaling dari hati-MU...
Ya Rabbul izzati... jika kami rindu, rindukanlah kami pada seseorang yang merindui syahid di jalan-MU...
Ya Allah... jika kami menikmati cinta kekasih-MU, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-MU...
Ya Allah, jika kami jatuh hati pada kekasih-MU, jangan... jangan biarkan kami tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-MU...
Ya Allah, jika Engkau halalkan kami merindui kekasih-MU, jangan biarkan kami melampaui batas sehingga melupakan kami kepada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-MU...
Namun ya Allah, andai Engkau tidak menghalalkan kami merindui kekasih-MU, hilangkanlah resah gelisah di hati-hati ini kerana Engkaulah Tuhan yang mencipta hati-hati ini... kerana Engkaulah Tuhan pemilik hati-hati ini... kerana Engkaulah Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati ini...

Ya Allah, kami berlindung pada-MU dari rasa sedih dan gelisah... kami berlindung pada-MU dari sikap bakhil dan pengecut... Ya Allah, jangan Engkau biarkan kami jauh dari-Mu ya Allah... jangan Engkau biarkan kami terkapai-kapai dalam perjalanan mencari cinta-MU... pandanglah diri kami ini... terangilah jalan hidup kami... tetapkanlah hati-hati ini untuk terus berada di atas jalan yang Engkau redhai... cucurilah hati-hati ini dengan nur hidayah-MU... tetapkanlah nikmat iman dan Islam di dalam hati-hati ini ya Allah.. sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Besar, Tuhan yang Maha Tinggi, Tuhan yang Maha Berkuasa... Perkenankanlah doa kami ini ya Allah... perkenankanlah ya Allah... Amin ya rabbal ‘alamin..." Setitis demi setitis air mataku mengalir di pipi. 'Ya Allah, perkenankanlah doa kami ya Allah...'



Usai berdoa dan melafazkan tasbih kafarah dan surah al-'Asr, aku bersalaman dengan setiap anak-anak usrahku.

"Akak, terima kasih banyak-banyak untuk halaqah hari ini... Ana sayang akak... Uhibbuki fillah... Kalau ana ada buat silap, tolonglah tegur ana..." bisik Aida.

"Akak pun sayang Aida juga. Sayang kerana Allah, insyaallah abadan abada..."




Kak Yong: moga halaqah cinta ini kan terus subur dalam hati-hati kami dan moga ikatan hati-hati ini akan berkekalan hingga ke Jannah nanti... ameen... uhibbukum fillah abadan abada...

Wednesday, February 4, 2009

Konsert Palestine In Our Heart III



Jom datang beramai-ramai!!!

Masuk adalah percuma!!!

Artis jemputan:

Nazrey Johani, All One, Varian, Stellar, Thewans, Razin Mestica, Algebra, Along Zaimi (Bintang Kecil), Hanimzah Jalaludin (AQ), & Ezad Lazim

Tarikh:
7hb Februari 2009

Masa:
8.00 - 11.00 malam

Tempat:
Kolej Islam Antarabangsa (IIC)
-berhadapan Taman Koperasi Polis-


Jom pakat datang beramai-ramai sambil menderma untuk Palestin!!!


Pelan Lokasi:



View Larger Map

Sunday, February 1, 2009

Penerbangan KRJ 310109 Di SMI Al-Amin Gombak





No. Pesawat: KRJ 310109
Airport: SMIAAG
Tarikh: 31 Januari & 1 Februari 2009
Pengendali: Kak Yong (laptop), Kak Mia (laptop), Kak Im (video + edit), Kak Mus, Pak Kay, Pak Ngah, Abang Bai dan Pak Andak
KMKY: Abang Bai, Pak Ngah & Kak Yong
InTeam: Abang Bai
Riadah:
Anjang Kila (kasih) & Ubadah (sayang)
MAM 1: Pak Ngah
MAM 2: Pak Ngah, Abang Bai & Kak Mus
Hijrah: Abang Bai & Anjang Kila
MKMS: Pak Andak
Pertemuan: Abang Bai
Ketua pramuraga: Anas KU (Intisar)
Paramugara: Ubadah (Intisar), Eming (Intisar), Hazim (Intisar), Rifaah (Intisar) & Anuar (UiTM)
Ketua pramugari: Anjang Kila (IIC)
Pramugari: Aida (IIC), Isma (IIC), Nurull, Zarina, Syazana (USIM) & Syikin
Penumpang: Sayang –41, Kasih–57 Total– 98 orang

Catatan Kak Yong:

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kerana DIA masih memberi kesempatan dan peluang buat Kak Yong untuk terus menyumbang bakti dan tenaga dalam program KEINDAHAN BERSAMA MU bertempat di SMI Al-Amin Gombak. Ini merupakan kali kedua Kak Yong berkunjung ke SMIAAG bagi menjayakan program KBM. Dua kali KBM di lokasi yang sama namun berbeza peserta dan pengalaman yang Kak Yong perolehi. Sejujurnya, biarpun keletihan namun semuanya terubat dengan mutiara-mutiara ilmu yang Kak Yong perolehi bukan sahaja dari otai-otai KBM KL malah dari adik-adik peserta juga.

KBM kali ini melibatkan 98 orang pelajar tingkatan 5 SMIAAG. Kali ini Kak Yong ditugaskan untuk mengendalikan laptop. Biarpun bukan pertama kali, namun debarannya tetap ada. Sewaktu slot KMKY, Kak Yong berkesempatan untuk menjadi fasi kumpulan sewaktu sesi Army Yell sementara Abang Bai mengambil alih tugas Kak Yong menjaga laptop. "Air Hangus" itulah nama kumpulan Kak Yong yang terdiri dari adik-adik Asma', Farhana, Ecot, Roy, Afiqah, dan Ina. Nama yang cukup unik, lain dari yang lain. Bak kata adik-adik ini, air mana boleh hangus...jadi, kami nak "Be extraordinary! Expect the unexpected things!" Dan pastinya "Air Hangus" akan segar dalam ingatan dan hati Kak Yong. Mengenali kalian merupakan sesuatu yang sangat berharga. Syukran jazilan atas kerjasama yang antunna berikan pada Kak Yong.

Dalam sesi In-Team, tersentuh sangat hati ini bila melihatkan wajah-wajah di hadapan Kak Yong menitiskan air mata. Titisan air mata yang inginkan ukhwah antara mereka terus kukuh dan berpanjangan. Antara perkongsian yang sempat Kak Yong rakamkan, dari adik-adik ini:

Sayang 1: Bahagia! Satu perkataan yang mewakili perasaan ana sekarang ni. Ana tak ada kata-kata lain untuk menyambung perkataan "Bahagia" itu
Sayang 2: Ana dah target, yang ana takkan menangis. Tapi, ana tak tau kenapa ana gagal. Mungkin kerana muka-muka di hadapan ana ni turut mengalirkan air mata.
Sayang 3: Buat apa nak keraskan hati kita? Ini saja peluang yang kita ada... takkan kita nak tunggu 9 bulan lagi? Biarlah kita tinggalkan al-Amin ini dengan ukhwah yang kukuh!!!
Ya Allah, betapa ikhlasnya luahan hati adik-adik ini. Namun secara keseluruhannya, Kak Yong sangat-sangat tersentuh apabila melihat rata-rata adik-adik sayang berebut-rebut untuk berkongsi setiap kali sesi perkongsian. Terharu juga kerana adik-adik sayang ini begitu mudah menitiskan air mata kerana lazimnya bukan mudah bagi seorang insan bergelar "lelaki" menitiskan air mata.

Biarpun sudah hampir saban minggu Kak Yong berKBM, tidak pernah rasa jemu itu bertandang, kerana terlalu banyak mutiara ilmu yang dapat Kak Yong kutip, yang mungkin tidak dapat Kak Yong perolehi dari tempat lain. Seorang ibu dalam perkongsiannya semalam ada menyatakan, "Kami ini adalah hamba Allah, ikut suka Allah la bagaimana nak tentukan hidup kami. Kami redha..." Hiba sungguh di lubuk hati. Ya, setiap insan pastinya beroleh ujian yang tersendiri. Yang paling penting, kesabaran yang tinggi dalam menghadapi setiap ujian itu.

Di sini, ingin sekali Kak Yong kongsikan doa dari seorang adik kasih...

Ya Allah dengan berkat Nabi-Mu dan berkat guruku
Luruskanlah hatiku, agar agamaku lurus
Betulkanlah hatiku, agar ku ikhlas selalu
Tetapkanlah hatiku, agar ku tak tergugat
Dengan ujian yang menimpa

Ya Allah, Tuhan yang mencipta hati
Bersihkanlah hatiku, agar mazmumahku
Tidak merosakkan agamaku
Dan juga tidak merosakkan kehidupan orang lain

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati
Kuatkanlah hatiku
Agar keyakinanku tak berubah
Supaya aku sentiasa tabah

Tuhan, Engkau rasakanlah hatiku
Sentiasa bersama-Mu
Supaya aku rasa, ada kawan melindungku
Agar aku tak rasa sepi di dalam hidupku

Aku merasa malu melanggar perintah
Dan aku sentiasa siap siaga menunaikan suruhan-Mu

Ya Allah, Tuhan yang menjaga hati
Baikilah hatiku, agar seluruh hidupku menjadi baik
Supaya tidak khianat, dan tidak hasad dan tidak berdendam sesama manusia

Tuhan, limpahkan kedalam hatiku
Ilmu dan hikmah
Hingga aku dapat menyuluh hati dan menyuluh kehidupanku
Supaya lahir batinku bersyariat
Agar lahir batinku menjadi taat
Tuhan aku harap Engkau kabulkanlah doaku ini

Moga terus... “Menyerlah Jauh Dari Yang Biasa!"

Kak Yong: buat Kak Nina, moga cepat sembuh...sakit itu nikmat...nikmat yang hanya kita dan DIA tahu...erm, dulu pertama kali jejak kaki lat SMIAAG untuk KBM, Sakeena turut sama, tapi kali ni dah tak ada... apa pun SMIAAG punya tempat yang istimewa di hati Kak Yong sebab di sinilah pertama kalinya Sakeena menjadi keluarga KBM KL dan di sinilah Kak Yong mengenali Una... miss u all so much!!! Uhibbukum fillah abadan abada...


PRK plus SRC...


Salam perjuangan buat semua yang bergelar pejuang. [senyum] Insyaallah untuk entry kali ini Kak Yong nak highlight tentang dua perkara yang sedang hangat diperkatakan di IPTA dan IPTS iaitu PRK [Pilihanraya Kampus] dan SRC [Students Representative Council].

Berdasarkan pengalaman Kak Yong selama dua tahun lebih menuntut di IIC, PRK atau lebih dikenali dengan General Election di IIC sedikit berbeza. Mungkin disebabkan jumlah pelajar yang lebih kecil berbanding IPTA lain. Secara jujurnya setelah dua kali menyaksikan PRK di IIC, Kak Yong tidak begitu ambil pusing tentang janji-janji manis yang ditabur waima pembentangan memorandum oleh calon-calon yang bertanding. Pasti ada hairan bagaimana Kak Yong hari ini bisa memegang jawatan dalam SRC hampir sepenggal, kan? Sejujurnya, jawatan yang Kak Yong galas hari ini bukan melalui PRK namun melalui majlis syura dan temuduga. Selesai PRK tahun lalu, Kak Yong ditawarkan oleh Timbalan Dekan School of Education [kini ditukar kepada School of Social Science] untuk dicalonkan sebagai ahli SRC gara-gara dua kerusi dari S.Ed kosong. Sebelum membuat sebarang keputusan, Kak Yong telah meminta pandangan dan nasihat dari Ust. Abu Muadz al-Fauzani, Ustazah Idha dan Mr. Kaunselor S.Ed. Setelah menimbang baik buruk dari keputusan yang bakal dibuat, akhirnya Kak Yong bersetuju.

Ujian pertama yang perlu Kak Yong hadapi adalah sesi temuduga oleh Pengurus Bahagian HEP, Mr. Campro. Kak Yong merupakan calon pertama dan debaran menunggu saat temuduga hanya Allah yang tahu. Naik ketar lutut dibuatnya. Pelbagai soalan diajukan oleh Mr. Campro termasuk yang berkaitan politik dan pengetahuan am. Ujian kedua adalah temuduga oleh Da Big Boss of STADD. Alhamdulillah lebih santai. Seminggu kemudian Kak Yong dimaklumkan tentang perlantikan Kak Yong sebagai salah seorang ahli SRC Kolej Islam Antarabangsa bagi sesi 2008/2009 dengan memegang portfolio Assistant Women Affairs Division.


Alhamdulillah, jawatan ini memberi peluang kepada Kak Yong untuk membawa program KBM di IIC biarpun cabaran dan dugaannya bukan sedikit. Seterusnya berlaku pertambahan kumpulan usrah di kalangan akhwat IIC hasil dari program KBM dan K-IIC telah ditubuhkan. Pengalaman bekerja bersama rakan-rakan lain dalam SRC merupakan pengalaman yang cukup berharga. Pelbagai aktiviti telah dijalankan di kolej dengan kerjasama dari President Council. Antaranya Kempen Derma Darah, lawatan ke Tasputra PERKIM untuk pelajar-pelajar DICE yang mengambil subjek Special Needs, Survey Campaign, McLead di Kem Sri Raudhah, KBM, juga bertugas sepanjang sesi ta'aruf dan bai'ah di IIC.





Memegang portfolio Assistant Women Affairs Division mencetuskan idea untuk Kak Yong melahirkan buletin bulanan untuk pelajar-pelajar di IIC khususnya golongan akhwat.




Rentetan dari buletin “Searching 4 The True Love” yang dilahirkan setiap bulan, Kak Yong mengambil inisiatif mewujudkan “Halaqah Cinta” memandangkan ada segolongan akhwat yang setia mengikuti buletin Kak Yong setiap bulan. Alhamdulillah, ukhwah yang terjalin semakin erat berkat halaqah yang diadakan saban minggu dan sedikit demi sedikit kepercayaan dari adik-adik telah Kak Yong perolehi. Sukar untuk digambarkan perasaan di hati apabila adik-adik ini tidak sabar-sabar untuk bertemu dalam halaqah. Syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat ini biarpun sedikit ujian dan cabaran dititipkan di awal pertemuan.



Sedar tak sedar, hampir sepenggal Kak Yong memegang jawatan ini dan alhamdulillah akademik dan proses tarbiyyah diri berjalan seiring. Benarlah janji DIA, jika kita membantu dalam urusan agama-NYA insyaAllah DIA akan membantu kita. Bulan hadapan, Kak Yong bakal melepaskan jawatan ini kepada adik-adik lain untuk mereka meneruskan perjuangan kami yang belum selesai di IIC. Dan semester ini juga merupakan semester terakhir Kak Yong berada di IIC kerana pada semester hadapan Kak Yong akan menjalani latihan industri dan bakal menamatkan pengajian pada awal Julai 2009. Moga lajnah yang baru nanti dapat memperkasakan seluruh warga IIC setanding dengan pertambahan pelajar-pelajar baru dalam jurusan Diploma Pengajian Islam dan Sains Kontemporari.

“Brighter Youth For Greater Ummah”

Sekalung penghargaan buat teman-teman seperjuangan dalam SRC terutamanya Alan, Mr. President, Keena dan Nabil yang banyak membantu diri ini. Buat naqibahku, Kak Teh Misah, keluarga KBM KL, adik-adik se'usrah' dan adik-adik se'halaqah', kehadiran kalian memberi kekuatan untuk diri ini terus berjuang. Uhibbukum fillah abadan abada... Ukhwah fillah takkan musnah...


Kak Yong: ada sendu yang bertandang tatkala mengenangkan saat perpisahan yang hampir tiba...

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers