Tuesday, April 20, 2010

[K.A.M.I] - Bab 1 Mencari Damai Di Hati


“ASSALAMUALAIKUM...” suara seorang kanak-kanak perempuan menarik perhatiannya. Earphone di tangan disimpan kembali ke dalam poket beg galas. Maryam berpaling ke arah suara yang memanggilnya.

Seorang anak kecil memandangnya dengan sebuah senyuman manis. Matanya bulat, dihiasi dengan alis mata yang tebal dan lesung pipit di pipi kirinya membuatkan matanya enggan beralih dari memandang wajah comel itu.

“Assalamualaikum kak...” sekali lagi lafaz salam dihulur setelah salam yang pertama dibiarkan sepi.

“Err... Waalaikumsalam... Kenapa dik?” Maryam jadi malu sendiri gara-gara dia terlupa membalas ucapan salam anak kecil itu.

“Akak, kenapa kakak tak tutup aurat betul-betul? Kakak pakai tudung tapi kenapa pakai baju lengan pendek? Tangan kita kan aurat...” Butir-butir perkataan yang keluar dari bibir anak kecil itu bagaikan belati yang menghiris hati. Kata-kata itu umpama peluru yang mengenai sasarannya. Ucapan itu bagaikan batu besar yang menghempap kepala saat itu.

Maryam kehilangan kata. Wajahnya merona merah. Andai dia punya pintu suka hati atau mantel halimunan saat ini, ingin saja dia segera menghilangkan diri dari pandangan anak kecil itu.

“Err... aaa... Aakkakk... Akak...” Dalam gugup Maryam cuba bersuara. Dia menelan air liur.

“Nusaibah, kenapa kacau kakak tu?” Satu suara yang tiba-tiba kedengaran menjadi penyelamat. Maryam mengucap syukur. Dia berpaling ke belakang mencari empunya suara. Seorang wanita bertudung litup dan berjubah warna polos sedang memandang mereka berdua sambil tersenyum. Maryam gugup. Bibirnya mengukir senyuman kelat.

“Eh, ummi...” anak kecil itu tersenyum girang. Pantas dia berlari mendapatkan wanita yang dipanggil ummi itu. Tangannya merangkul mesra pinggang wanita itu. Nusaibah dan umminya melangkah mendekati Maryam. Sebuah senyuman dilemparkan.

“Maafkan anak makcik ni kalau dia mengganggu adik... err...”

“Maryam. Saya Maryam Ibtihal.”

“Nama makcik Safiyyah. Ini anak bongsu makcik, Nusaibah. Makcik minta maaf ye kalau Nusaibah ni mengganggu Maryam. Dia ni memang macam ni. Terlebih peramah...” Makcik Safiyyah tertawa kecil.

Maryam mengukir senyum bergaris lurus. Kepalanya menggeleng perlahan. “Tak ada apa pun makcik. Nusaibah tak ganggu saya sikit pun.”

“Maryam buat apa kat sini? Maryam tunggu orang ke?” soal Makcik Safiyyah.

“Saya tunggu kawan. Dah janji nak jumpa dia kat sini. Kami ada perbincangan sikit.”

“Oh...” Makcik Safiyyah mengangguk perlahan.

“Eh, Ummi Safiyyah! Apa ummi buat kat sini?” Balqis tiba-tiba muncul bagaikan jatuh dari langit. Maryam mengerut dahi.

“Laa... Maryam ni kawan Qis ke?” Makcik Safiyyah tertawa kecil.

“Ha'ah, Mar ni kawan Qis. Kami ada perbincangan sikit. Ummi buat apa kat sini?”

“Ni haa... Melayan si Nusaibah la. Dia minta ummi buatkan puding karamel dan kek coklat. Ummi tengah ralit baca senarai bahan-bahan yang nak dibeli, dia pula menghilang. Tengok-tengok dia sibuk mengacau Maryam ni.”

“Eh, tak adalah makcik. Nusaibah tak ganggu saya pun.” Cepat-cepat Maryam memintas.

“Eh, ummi minta diri dulu ye. Insyaallah lain kali kita jumpa lagi. Jemputlah datang ke rumah. Qis bawalah Maryam ni datang rumah ummi. Boleh kita eratkan lagi ukhwah.” Makcik Safiyyah menghulur tangan bersalaman diikuti oleh Nusaibah sebelum mengundur diri.

Maryam termangu seketika.

“Mar, awak okey ke?” Suara Balqis mematikan lamunannya. Maryam tersenyum tawar. Pantas dia mengangguk.

“Betul ke ni? Kalau macam tu, jom kita pergi sekarang!” Balqis tersengih menayangkan giginya yang putih bersih. Maryam angkat kening sebelah. Earphone di tangan disumbat ke telinga. Dan Evanescence pun berlagu.

How can you see into my eyes like an open doors?
Leading you down into my core where I’ve become so numb
Without a soul, my spirit sleeping somewhere cold
Until you find it there and lead it back home *


“BALQIS, BETULKAH ALLAH boleh menegur kita dengan menghantar sesiapa pun?” soal Maryam.

Dahi dan kening Balqis berkerut serentak. “Maksud awak?”

“Sebenarnya tadi waktu saya tunggu awak, tiba-tiba Nusaibah muncul kat depan saya. Macam jatuh dari langit. Lepas tu, dia tanya pada saya kenapa saya tak tutup aurat sepenuhnya. Dia kata tangan ni pun termasuk dalam aurat wanita. Could you imagine budak seusia dia boleh cakap macam tu?” Maryam menggeleng perlahan.

“Atau Allah sedang menegur awak melalui perantaraan Nusaibah? Macam tu maksud awak?” Balqis mengukir senyum nipis. Maryam mengangguk perlahan. Wajahnya muram.

“Mar, saya tak nafikan yang teguran Allah tu datang dalam pelbagai bentuk. Hidup kita atas dunia ni tak ubah macam kita sedang berjalan di atas sebatang jalan. Bila kita mula tersasar atau mulai tergelincir, Allah yang Maha Penyayang mengutuskan perantara untuk menarik kita agar kembali semula ke atas jalan yang benar itu. ‘Penarikan’ itu mungkin berbentuk teguran seperti yang awak terima melalui Nusaibah. Perantara itu mungkin manusia, mungkin haiwan yang mana awak akan memahami teguran-teguran itu apabila awak berfikir.”

Balqis menarik senyum segaris. Wajah muram Maryam dipandangnya lama. Ada simpati yang bertandang di hati saat ini. Dia tidak boleh menyalahkan Maryam atas apa yang berlaku. Maryam dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Balqis sedar, sebagai sahabat dan saudara seagama dia bertanggungjawab menyedarkan dan membantu Maryam. Bukankah menjadi tanggungjawab seorang sahabat untuk menegur kesilapan dan kesalahan sahabatnya?

Rasulullah SAW ada bersabda, ‘Khairunnas anfa’uhum linnas’. Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaat bagi orang lain.” Ya, dia mahu menjadi seorang manusia yang memberi manfaat kepada orang lain apatah lagi buat sahabat yang berada di sampingnya saban ketika. Dia tahu, Maryam perlu dibantu dan dia yakin setiap orang ada potensi yang tersendiri.

Balqis masih ingat, panglima Khalid al-Walid sebelum memeluk Islam adalah seorang panglima perang yang sangat tinggi potensinya dalam bidang ketenteraan termasuk strategi peperangan. Rasulullah sendiri mengagumi potensi yang ada pada dirinya. Setelah sinar Islam sampai kepadanya, potensi yang ada padanya terus meledak! Dia begitu ikhlas dalam berjihad menegakkan kalimah Allah. Malah sewaktu dilucutkan jawatan dari panglima menjadi askar biasa, dia tetap ikhlas berjuang dan syahid di medan perang menjadi cita-cita tertingginya.

Balqis yakin jika potensi yang ada pada Maryam berjaya digilap, dia akan menjadi permata yang bersinar indah di medan dakwah. Dan untuk itu dia harus membina kepercayaan dalam diri Maryam terhadap dirinya dan memperkukuhkan ukhwah yang terbina di antara mereka.

“Mar, tapi tak mustahil juga anak kecil seusia Nusaibah tu boleh cakap macam tu. Itulah hasil didikan dan tarbiyyah yang Ummi Safiyyah dan Ustaz Zulhilmi terapkan dalam jiwa anak-anak mereka. Anak-anak diajar konsep ubudiyyah sejak kecil lagi.”

Ubudiyyah? Apa tu?” Dahi Maryam berkerut seribu. Dia membetulkan posisi duduknya. Wajah Balqis dipandangnya penuh tanda tanya. Balqis tersenyum manis. Dia membetulkan posisi duduknya agar bertentangan dengan Maryam.

“Konsep ubudiyyah ni adalah konsep kehambaan. Secara mudah, kita ini dicipta oleh Allah. Jadi sebagai makhluk yang dicipta, kita wajib tunduk dan patuh kepada Allah. Hanya Dia yang layak kita sembah, bukan selain Dia. Patuh kepada Allah juga bermakna kita harus menunaikan segala perintah, dan meniggalkan semua larangan.”

“Tapi, kenapa saya tak pernah tahu semua ni? Kenapa ibu dan ayah tak pernah ajar saya semua ni?” Maryam memandang Balqis. Ada air jernih yang bertakung di kelopak matanya. Perlahan, Balqis mencapai lembut tangan Maryam dan menggenggamnya erat.

“Mar, husnuzhan. Bersangka baiklah pada ibu dan ayah. Mungkin mereka sendiri tidak mendapat pendedahan sewajarnya. Dan mungkin juga mereka cetek dari segi ilmu pengetahuan agama. Pada saya, tak terlambat lagi untuk awak perbaiki diri.”

“Qis, secara jujurnya banyak perkara tentang Islam yang saya tak tahu. Banyak perkara yang saya tak betul-betul faham. Saya jahil Balqis! Saya malu sangat! Saya malu pada Nusaibah! Saya malu pada Allah! Selama ni saya hidup tanpa saya mengerti tujuan saya diciptakan atas muka bumi ni...” Tangisan Maryam terhambur jua. Balqis merapati tubuhnya mendekati Maryam. Belakang tubuh Maryam diusap perlahan.

Shh... sabar Mar. Tak terlambat lagi untuk awak perbetulkan semua ni. Insyaallah, saya sanggup bantu awak. Kita sama-sama perbaiki diri kita. Dan kemudian kita bantu orang lain di sekeliling kita.” Balqis berusaha menenangkan Maryam yang semakin tenggelam dalam tangisan.

“Ma...mak..maksud Qis?” soal Maryam dengan suara tersekat-sekat. Balqis tersenyum senang mendengar namanya bermain di bibir Maryam. Tiada lagi saya-awak. Moga hari ini dan detik ini akan merapatkan lagi hubungannya dan Maryam.

“Mar perbaiki diri Mar, dan kemudian Mar bantu perbaiki ibu dan ayah pula. Imam Hassan al-Banna ada berpesan, ‘perbaikilah dirimu kemudian serulah kepada yang lain’. Insyaallah, berdoa dan pohonlah pada Allah agar Dia membantu kita.” Balqis menyeka sisa-sia air mata di wajah Maryam dengan tapak tangannya.

“Qis, terima kasih banyak-banyak...” Maryam merangkul tubuh Balqis kejap. Air matanya tumpah lagi. Balqis membalas pelukan Maryam perlahan.

“Inilah namanya sahabat. Seorang sahabat tidak akan membiarkan sahabatnya yang lain terkapai-kapai dalam kesusahan. Mar, saya sayangkan awak kerana Allah... Izinkan saya membantu awak...”

“Terima kasih Qis, terima kasih. Awak sahabat saya dunia akhirat. Saya sayangkan awak juga kerana Allah!”



Terkapai-kapai diri dihanyut arus waktu...
Kegelapan hati sering membuatku terkeliru...
Dalam menguji pergolakan emosi diri...
Tak siapa tahu ada yang memerhati...
Tuhan, terima kasih atas kurnia seorang sahabat itu...
Yang memaut tanganku saat aku hampir kelemasan...
Lemas dalam lautan jahiliyyah yang semakin memberat...


“BAGAIMANA KITA MAHU MERASA ‘IZZAH dengan Islam? Kalau kita nak rasa ‘izzah dengan Islam, kalau kita nak rasa mulia dengan Islam, kita kena ada asasnya, kita kena ada sumber. Kalau kita nak merasa mulia kita perlu ada sumber yang menyebabkan kita mulia. Apakah sumber yang boleh menyebabkan kita rasa mulia dengan Islam? Cuba kita lihat dalam surah ali-Imran ayat 85, dan barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama daripadanya, dan dia di akhirat... dan di akhirat Allah menjanjikan dia termasuk orang-orang yang rugi. Jadi orang-orang yang menerima Islam itu adalah orang-orang yang beruntung, orang-orang yang berjaya.”

Ustaz Zulhilmi memandang wajah-wajah tenang di hadapannya. Fathil Mu‘ammar, anak sulungnya yang baru saja menamatkan pengajian di Universiti Islam Antabangsa Malaysia duduk bersila di sebelah kanan sekali. Di sebelahnya pula ada Ahmad Naqiuddin, Izzat Irfan, Ameer Fikri, Izzul, Mus’ab dan Hafeez. Di bahagian belakang pula isterinya Safiyyah, dan anak perempuan bongsunya Nusaibah setia mendengar. Turut sama beberapa orang akhwat yang merupakan anak usrah kepada isterinya.

“Kemudian kita tengok pula dalam surah al-Baqarah ayat 132, Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”

“Kenapa ayat ini sepatutnya menjadikan kita rasa ‘izzah dengan Islam? Ada sesiapa yang nak jawab? Kalau salah tak apa. Biar salah hari ini, jangan salah di kemudian hari.” Ustaz Zulhilmi tersenyum manis. “Fathil?” Ustaz Zulhilmi memandang anak sulungnya. Fathil Mu’ammar membetulkan duduknya.

“Insyaallah, kalau kita tengok pada ayat 132 surah al-Baqarah ini, kita dapat lihat Nabi Ibrahim telah mengamanatkan kepada anak-anaknya, dan begitu juga Nabi Ya’qub juga berbuat perkara yang sama. Jika kita lihat, kedua insan ini adalah seorang Nabi. Jadi agama yang kita anuti ini adalah agama para Nabi. Jadi sepatutnya kita merasa bangga kerana sudah menganut dan mewarisi agama para Nabi.” Fathil memandang wajah sahabat-sahabat di sebelahnya sebelum memandang wajah ayahnya.

“Bagus Fathil. Ya, kita ini mewarisi agama para Nabi. Disebabkan itu kita perlu merasa ‘izzah dengan Islam. Selain itu kalau kita perhatikan dari ayat yang sama, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu. Allah telah memilih agama Islam ini untuk kita. Ini adalah merupakan satu penghormatan untuk kita. Seharusnya kita merasa bangga, merasa mulia dengan agama Islam yang merupakan agama para Nabi dan agama yang dipilih oleh Allah untuk kita.”

Wajah Ustaz Zulhilmi yang jernih itu kelihatan tenang. Wajahnya sedikit bujur dan dagunya dihiasi janggut nipis. Hidungnya sedikit mancung dan kulitnya agak cerah. Dia mengenakan serban dan berjubah dari warna polos. Wajah Nusaibah saling tak tumpah seperti Ustaz Zulhilmi. Berbeza sedikit dengan Fathil Mu’ammar yang banyak mengikut wajah Ummi Safiyyah. Empat orang lagi anak-anak Ustaz Zulhilmi dan Ummi Safiyyah masih menuntut di universiti dan sekolah berasrama penuh. Anak keduanya, ‘Aliyah Zinneerah sedang mengambil kursus perubatan di Jordan University of Science and Technology. Anak ketiganya, Saif Hamzah pula menuntut di Teesside University. Anaknya yang keempat, ‘Ainul Jannah berada di matrikulasi UIAM dan anaknya yang kelima, Alif Naufal belajar di Maahad Tahfiz di utara tanah air.

“Anak-anak yang dikasihi… Jika kita mengamalkan Islam, jika kita hidup dalam Islam, kita nampak keindahan Islam, baru kita akan rasa mulia, barulah kita rasa bangga dan kita akan rasa ‘izzah dengan Islam. Sesudah itu barulah kita boleh berkongsi dengan orang lain keindahan Islam itu sendiri. Seandainya kita tidak dapat merasai keindahan Islam, bagaimana kita mahu menyampaikan kepada orang lain tentang keindahan Islam. Analoginya, Fathil makan buah durian D24. Dia bagitau Izzat durian D24 tu sedap. Jadi bagaimana Izzat nak bagitau pada orang lain durian D24 itu sedap sedangkan dia tak pernah lagi makan durian D24? Begitulah dengan Islam itu. Hanya orang yang merasai keindahan Islam saja yang boleh bagitau orang lain tentang keindahan Islam sebab dia sendiri dah merasainya.”

“Jadi anak-anak, ayuh kita amalkan Islam secara keseluruhannya dalam hidup kita. Bukan Islam yang diambil secara separuh-separuh. Dengan itu kita akan merasai keindahan Islam dan halawatul iman, kemanisan iman…” Kata-kata akhir Ustaz Zulhilmi begitu menyentuh hati Maryam. ‘Amalkan Islam secara menyeluruh, kelak kamu akan merasai keindahan Islam dan kemanisan iman…’


“CUBA KITA TANYAKAN pada diri kita, siapakah Allah itu? Benarkah kita mengenalNya? Siapakah Allah di hati kita? Mar, dalam Islam, mengenal Allah itulah yang Rasulullah ajarkan dulu. Apabila kita mengenal Allah, pastinya ketaatan bukan lagi omongan kosong tapi dibuktikan dengan amalan sebagai tanda kepatuhan. Menjadi seorang muhsin bukannya mudah...” Balqis tersenyum manis namun tumpuannya tetap diberikan sepenuhnya kepada pemanduan.

Muhsin tu apa? Boleh Qis terangkan? Mar tak faham.” Dahi Maryam berkerut seribu.

“Ni bukan Muhsin yang kat pawagam tu ya!” Balqis tertawa kecil.

“Qis, janganlah main-main!” Maryam mengetap bibir, geram.

“Okey, Qis serius ni. Muhsin ni maksudnya orang yang berihsan. Rasulullah sendiri menjelaskan ihsan itu adalah apabila kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya walaupun kamu tidak melihatnya. Akan tetapi Allah melihat kamu. Jadi orang yang muhsin telah mencapai kenikmatan ibadah seolah-olah dia melihat Allah melihat ketika dia melakukannya.” Balqis memberhentikan keretanya apabila lampu trafik bertukar warna merah. Wajah Maryam dipandang sekilas.

“Mar, orang yang muhsin ini mereka sentiasa memperbaiki ibadatnya, tidak kira ibadat yang wajib ataupun sunat. Mereka melakukannya dengan penuh rasa gerun dan takut seolah-olah dia melihat Allah sedang memerhatikannya.” Sebuah senyuman indah dihadiahkan oleh Balqis buat Maryam. Tangan kanan Maryam diraih dan digenggam erat.

“Mar, Qis sayangkan Mar sepenuh hati. Qis yakin, Mar adalah permata di lembahan. Permata yang jika digilap akan menjadi permata yang bersinar indah. Cahaya dari permata itu boleh meruntun hati insan-insan lain yang tercari-cari cinta hakiki untuk sama-sama berada di jalan ini. Qis mahu kita sama-sama melangkah ke Raudhatul Jannah. Saat salah seorang dari kita tersungkur, yang seorang lagi akan memaut dan membantu untuk bangkit kembali. Janji?" Balqis angkat kening sebelah.

“Eh, ni apa gaya ni? Tak comel langsung.” Maryam tertawa melihat afal Balqis. Sifat keanak-anakannya masih menebal tatkala bersama Maryam.

“Janjilah…” Balqis mula merengek manja.

“Ya, Mar janji sebab Mar sayang banget sama kamu!” Maryam tertawa senang.

“Eh, ni sejak bila pula jadi orang seberang ni? Ke ada hati nak cari orang sana?” Balqis sudah terkekek-kekek ketawa.

“Amboi, bukan main dia kenakan Mar ya. Ni nak kena cubit ni...” Maryam pura-pura mencubit Balqis.

“Aduh, sejak bila pula ada ketam dalam kereta Qis ni? Mana Mar belajar cubit-cubit orang ni hah?” Balqis menggawang-gawangkan tangannya mahu menepis tangan Maryam yang mahu menyakatnya. Dan mereka akhirnya tertawa riang.


AKU MASIH INGAT PERBUALANKU dan Ummi Safiyyah tempohari. Aku mendengar darinya kisah seorang insan yang berkelana mencari cinta. Tentu saja cinta pada yang selayaknya, Allah. Sejarah hidupku dan dia mungkin berbeza tapi akan kuambil semangat dan ketekunannya untuk mengenal Dia dan merasai nikmat dalam Rahman dan RahimNya. Mutiara-mutiara berharga yang dikongsikan oleh Ustaz Zulhilmi juga takkan mungkin aku sia-siakan.

Dan pesan-pesan dari Balqis akan dipahat kukuh di dalam hati. Duhai hati, adakah damai itu sudah bertandang? Aku meletakkan tangan di dada sebelah kiri dan aku dapat merasakan degupan jantungku. Ya, jantung ini masih berdegup. Jantung ini masih patuh pada Tuhannya selama ini sehingga ke detik ini. Tetapi bagaimana dengan aku? Ya Allah, sesungguhnya hati ini ciptaanMu... Sesungguhnya hati ini milikMu... Sesungguhnya hati ini di bawah kekuasaanMu... Dan Engkaulah yang berkuasa membolak balikkan hati ini... Ya Allah, sehitam-hitam hatiku ini, Kau putihkanlah ya Allah... Sekotor-kotor hatiku ini Kau sucikanlah ya Allah... Ya Muhaimeen, maafkanlah bila hati ini masih belum sempurna menyintaiMu... Bantulah aku untuk meletakkan diriMu di hati ini. Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan beribadah kepadaMu..Ya Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu dan ketaatan terhadapMu…




Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

(Opick – Rapuh)




Friday, April 16, 2010

Demi Masa...




Masa ibarat pedang... Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotongmu...


Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian...
Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh...

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara...
Sihat sebelum sakit...
Muda sebelum tua...
Kaya sebelum miskin...
Lapang sebelum sempit...
Hidup... sebelum mati...

Lagu Demi Masa dari kumpulan Raihan ini pernah 'meletup' satu ketika dulu. Bagi ana, lagu bukan hanya untuk dijadikan halwa telinga, tetapi perlu juga diambil kira dan dihayati bait-bait liriknya.

Sihat Sebelum Sakit

Moga kita semua boleh mengambil ibrah dari keadaan semasa pada hari ini. Kenapa kita perlu memanfaatkan waktu sihat itu sebaik mungkin? Jika kita lihat, orang yang sihat boleh melakukan kerja secara produktif. Muslim yang sihat dapat melaksanakan tuntutan ibadahnya dengan sempurna. Seorang da'ie yang sihat mampu memperkasakan kerja-kerja dakwah. Sebaliknya apabila seseorang itu sakit, bagaimana prestasi dirinya? Adakah dia mampu melakukan kerja secara produktif? Bagaimana pula dengan seorang muslim yang sakit? Adakah mutu ibadahnya terjaga? Dan akhirnya bagaimana seorang da'ie yang sakit dapat melancarkan gerak kerja dakwahnya?

Katak sakit perut...


10 Muwasafat Tarbiyah

Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan beberapa sifat yang perlu dimiliki oleh seorang individu dalam memenuhi kerangka sebagai seorang muslim yang benar-benar beramal dengan Islam.


Sihat atau kuat tubuh badan merupakan salah satu daripada 10 muwasafat tarbiyah. Untuk memenuhi muwasafat ini, seorang Muslim yang benar-benar mahu beramal dengan Islam bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri melalui pemeriksaan kesihatan, rawatan, pencegahan fizikal dan juga bersukan.

Untuk itu bagi kita sebagai individu yang meletakkan matlamat menjadi 'individu muslim' dan mahu benar-benar mengamalkan Islam, penjagaan kesihatan dan fizikal tubuh amat penting. Ia adalah hak tubuh badan yang perlu kita tunaikan. Sebagai contoh, kita tidak mendapatkan tidur dan rehat secukupnya, dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya ketika sakit. Ini jelas menganiya tubuh badan atau secara tepatnya tidak menunaikan hak tubuh badan.


An Apple A Day...

Pernah dengar pepatah Inggeris yang berbunyi, "An apple a day makes doctor away"? Sebiji epal sehari akan menjauhkan doktor dari kita. Untuk pemahaman yang lebih jelas, mungkin kita boleh katakan sebagai mencegah itu lebih baik dari merawat. Untuk itu langkah-langkah penjagaan kesihatan dan tubuh badan perlu dilakukan demi mencapai salah satu daripada 10 muwasafat tarbiyah.


Di kala negara kita dilanda gelombang kedua H1N1 ini, ambillah langkah-langkah pencegahan dan keselamatan. Banyakkan minum air masak, vitamin C, makan buah-buahan, madu, pastikan tempat persekitaran anda bersih dan dapatkan rawatan dengan segera jika anda tidak sihat.


Doktor Epal.. ^__^


My Story...

Kenapa ya tiba-tiba Kak Yong bercerita tentang sakit, tentang kesihatan, tentang muwasafat tarbiyah, tentang epal??? Ini gara-gara peristiwa yang berlaku kebelakangan ini. Seorang kakak, sahabat dan murobbi tersayang yang terpaksa ditahan di wad gara-gara asma berat dan tiba-tiba terpaksa dikuarantin kerana disyaki dijangkiti H1N1. Berita ini agak gempar di kalangan kami. Alhamdulillah, thummal hamdulillah berkat usaha sahabat-sahabat dan saudara-saudara yang lain menembak doa untuk kesihatan dan keselamatannya, beliau disahkan NEGATIF H1N1 dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Tapi, selepas itu Kak Yong pula yang demam tapi tidak begitu serius. Apabila melakukan koreksi diri, mungkin gara-gara hak tubuh badan yang tidak ditunaikan. Kebelakangan ini jadual tidur tidak begitu betul, waktu makan juga tidak teratur. Kenapa? Terlalu banyak kerja. Alasankah? huhuhu...

Bila sakit, gerak kerja agak terbatas. Fikiran pun tidak begitu waras, hoho. Dan setelah dimarah dan dibebel oleh sahabat yang Kak Yong sayang, barulah ditelan segala macam benda (kopi Radix, madu, buah-buahan). Kenapa tidak ambil vitamin atau ubat-ubatan dari klinik atau farmasi? Jawabnya, tak mahu banyak bahan kimia masuk ke tubuh badan. Tak apa kena marah pun. Bukankah marah itu tanda prihatin, tanda sayang? Sharing is caring, and caring is loving... Right?


Hujung mingguku, berprogram dengan adik-adik remaja demi mencapai moto 'Ke Arah Remaja Soleh Wa Musleh'


Apa pun, gerak kerja dakwah tidak harus berhenti. Dan tiada istilah rehat untuk seorang da'ie. Siapakah da'ie? Kita. Setiap dari kita adalah da'ie (penyampai). Sepertimana firman Allah dalam surah Aali Imran ayat 110 yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah."


Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa kita adalah umat yang terbaik sekiranya kita menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Amar makruf nahi mungkar ini dengan kata lain adalah dakwah. Jangan jemu untuk menyampaikan dan nasihat-menasihati dalam perkara kebaikan dan taqwa.

"Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab dengan azab yang amat keras? Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Rabbmu, dan supaya mereka bertaqwa." (QS. Al-A'raaf: 164)

Insyaallah, di lain hari Kak Yong akan berkongsi bagaiman caranya untuk merasa 'izzah atau bangga dengan Islam. Moga ada manfaat yang dapat diambil untuk kebaikan bersama.



~ Berjalan, melihat dan mentafsir di sepanjang jalanan permusafiran Kasih Ilahi agar hidup lebih bermakna ~

Thursday, April 15, 2010

Syafakillah Ya Ukhti...




Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah Ya Muhaimeen...
Hanya milikMu Asma'ul Husna yang tak terbanding dengan segala sesuatu...
Disaat ini seorang sahabat, kakak dan murobbi yang amat kusayang ini sedang KAU uji dengan kesakitan...
Dengan belas ihsan dariMU ya Allah, aku bermohon KAU sembuhkanlah dia dari sakitnya..
Kau pancakkan iman yang kukuh dalam hati dan jiwanya..
Kau gencarkan semangat agar terus berjuang sebagai serikandi JihadMu..
Kau jauhkanlah segala unsur-unsur kejahatan dan segala perkara-perkara
mudharat dari murobbi, kakak dan sahabatku ini...
Maha kasihnya Engkau..Maha Agungnya Engkau..
Maha Penyembuhnya Engkau..
Izinkan kami bertemu semula selepas ini,
untuk meneruskan perjuangan kami dalam menegakkan syiarMU di atas muka bumi ini..
Pandanglah diriku ini dengan pandangan rahmatMU...
Pandanglah diriku ini dengan pandangan kasih sayangMU...
Jangan KAU biarkan tangan yang menadah ini kosong ya Allah...
Perkenankanlah rayuan dan permintaanku ini...
Ameen..ya Rabb..


Me: Kak Nina kini ditahan dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh kerana suspek H1N1. Sebab asal dimasukkan ke hospital adalah asma berat dan sesak nafas. Diagnose awal menunjukkan ada jangkitan kuman pada paru-paru. Ayuh sahabat-sahabat... Teruskan menembak doa untuk sahabat, kakak dan murobbi kita ini. Moga dengan doa-doa kita, Allah permudahkan dan ringankan bebanannya... Insyaallah

Tuesday, April 6, 2010

Menjemput Bidadari


“Mungkin…” Aku tersenyum. Namun hati sebenarnya tengah berdetak-detuk.Macam mana boleh melencong masuk bab kahwin-kahwin ni? Salah putar stereng ke?

“Suka sangat dengan mungkin dia tu” Dia mengerutkan dahi. Aku jadi pelik. Kenapa pulak ada gaya merajuk semacam ni?

“Ei cik kak, hidup ni memang penuh dengan kemungkinan. Mana tahu tak dapat buat… ha, nanti kata saya mungkir janji” Aku cuba berseloroh.Aku fikir itu akan menenangkan keadaan.

“Awak memang suka macam tu kan?” Dia memalingkan tubuhnya.

“Suka macam mana? Orang Jepun?” Aku rasa pelik.

“Main-mainkan hati saya” Dia masih tidak memandangku.

Aku terdiam.

****

Suasana bilik terlalu dingin. Sekarang ni musim sejuk. Maka keadaan aku yang berbungkus dengan baju sejuk berlapis-lapis, memakai sarung tangan dan kaki juga berlapis-lapis, adalah keadaan biasa yang boleh dilihat ketika musim ini datang.

“Kau memang tak kisah ke?” Munzir sahabat serumah dengan aku mencelah menung.

Aku menoleh. Kelihatan dia membawa bersama dua cawan. Aku dapat jangka itu adalah cawan yang berisi Kopi Radix. Munzir ni memang peminat kopi popular tu. Kat Jepun pun dia mesti dengan Kopi Radix dia.

“Kau memang tak kisah ke?” Munzir meletakkan kedua buah cawan itu di atas meja rendah di tengah ruang tamu rumah.

Aku angkat kening. Ni kenapa pulak tiba-tiba tak kisah?

Munzir tersengih. “Kau jangan buat tak faham. Kau tak kisah ke dia kahwin?”

Aku mendekatkan diri ke meja. Aku tarik selimut tebal bagi menghangatkan lagi badan. Selepas itu cawan berisi kopi radix terus kugapai. Airnya kuhirup. Hangat…

Sedap.

“Nak buat macam mana. Aku pun tak cakap aku suka kat dia”

“Tapi kau suka kat dia kan?” Munzir angkat kening sambil tersenyum. Ekspresi ada makna tersirat.

“Mungkin” Aku tersenyum. Munzir menjulingkan mata ke atas siling.

“Mungkin dia tu lagi” Dia mendengus. Aku ketawa.

Aku tunduk memandang kopi radix di dalam cawan. “Aku syok sendiri” Kopi itu aku hirup.

“Kenapa tak cakap kau suka?”

“Sebab aku jauh… dan…”

“Dan…?” Munzir masih memandang aku. ‘Dan’ dari mulutnya itu macam menekan untuk aku bersuara.

Aku menghela nafas.

“Aku tak tahu dia suka aku atau tak… Tambah dengar dia nak kahwin, rasanya dia tak ada perasaan pada aku”

Suasana senyap sebentar.

“Kau bodoh” Munzir bersuara.

“Mungkin”

Dan Munzir menghela nafas.

****

Bolehkah kita menjadi penyambung

Menyambung dua hati manusia yang tak berhubung

Seperti hujan menyambungkan langit dan bumi

Yang keduanya itu nyata terpisah dalam jarak yang realiti

Sepi. Perpustakaan menjadi memang satu tempat yang sesuai untuk menghindari hirup pikuk kota. Rakyat jepun memang rakyat yang baik. Tetapi kotanya tetap sama seperti kota-kota lain di dunia. Sesak.

Aku membaca barisan sajak jepun di dalam buku himpunan sajak negara matahari terbit itu. Kebelakangan ini jiwa aku agak kurang tenteram. Jadi aku suka membaca bait-bait sajak yang sudah menjadi darah dagingku semenjak aku sekolah menengah. Namun setelah aku menghabiskan masa hamper tiga jam di sini, aku tetap tidak mendapat apa yang aku mahu. Dan akhirnya aku terhenti di bait sajak tentang hati. Dan rasa sakit yang tidak dapat aku tafsirkan di dalam hatiku timbul lagi.

“Oh, dia nak jumpa?”

“Ya,”

“Kenapa?”

“Tak tahu, dia ada masalah kut”

Aku menghela nafas. Aku melihat dia sedang berjalan mendekati kami berdua. Dia membawa seorang teman.

“Baiklah. Kau tunggu sini teman aku” Aku menepuk bahu temanku itu. Ahmad namanya.

“Baik”

Aku melangkah mendekati wanita yang sedang merapati tempat aku berdiri tadi. Aku mengalihkan wajah keluar.

“Assalamu’alaikum” Lembut suara itu kedengaran.

“Wa’alaikumussalam” Aku mengangkat tangan dengan gaya melambai.

Dia tersenyum.

Manis. Entah kenapa, hati aku rasa berbunga. Tertarik juga segaris sengih di bibirku.

“Kenapa sengih? Saya ada silapkah?”

“Mungkin” Aku bersahaja.

“Erm, awak memang suka cakap mungkin ya”

“Mungkin” Dan dia tergelak kecil. Telapak tangan kanannya menutup mulut.

Bidadari….

“Saya ada hal nak cakap dengan awak…” Dia bersuara.

“Pihak universiti minta saya buat satu projek, dan saya perlukan pembantu. Jadi saya rasa awak adalah orang yang paling sesuai untuk bantu saya. Boleh tolong?”

Riak wajahnya serius walaupun dia sedang tersenyum.

“Projek apa?”

“Projek Bulan Mahabbah”

“Kenapa perlukan saya?”

“Sebab awak ni pengerusi Kelab Pengurusan kan?”

“Mungkin”

Dan dia tertawa indah.

Kenangan lalu menyinggah. Aku menghela nafas. Sejak hari itu, memang benar-benar aku mengenalinya. Projek itu memakan masa selama dua bulan. Sebulan untuk persediaan, dan sebulan lagi semasa projek itu berjalan. Dan selama dua bulan itu aku mengenalinya dengan sebenar-benar pengenalan. Walaupun atas nama teman projek, tetapi aku tetap rasa bertuah, kerna aku sudah lama menyimpan hati terhadapnya.

Dia adalah bidadari. Suaranya lembut, wajahnya menyejuk kalbu, menutup aurat, menjaga batas-batas syara’, tutur katanya sopan, tingkahnya beradab, walaupun kuat merajuk, tetapi tetap menceriakan, walaupun suka bergurau, tapi pandai menjaga batasan. Aku rasa dia bukan wanita masa kini, tetapi dia adalah wanita abad lepas. Sungguh menarik hati. Seorang yang solehah.

Aku selak lagi buku himpunan sajak jepun. Namun hatiku telah tawar. Malah bait yang terakhir tadi seakan mencabar diriku. Hujan dengan diriku, kenapa hujan mampu dan aku tidak?

“Sebab dia pastinya tak ada perasaan terhadap aku”

Itulah jawapan hatiku yang selalu bergema. Memang, kami tiada hubungan istimewa, selepas projek itu, kami boleh kata langsung tidak berhubung. Aku hanya melihatnya dari jauh. Dan dia hanya bercakap denganku semula pada jamuan perpisahan sebelum aku menyambung pelajaran ke Jepun ini.

“Nanti pergi Jepun seorang diri ke?”

“Erm,tak”

“Pergi dengan siapa?”

“Munzir”

“Oho, Munzir yang genius dalam engine tu?”

“Mungkin”

“Ha ha…”

“Kenapa tanya?”

“Ya la, mana tahu pergi dengan buah hati”

“Oh… Mungkin cari orang jepun la. Orang Malaysia mana best”

“Serius?”

“Mungkin”

“Orang dakwah macam awak, minat juga dengan orang-orang cantik ya”

“Aik, macam merajuk je?”

“Tak adalah. Bukan ke dalam daurah yang lepas awak cakap nak kahwin dengan wanita yang juga faham dengan dakwah dan tarbiyyah?”

“Ya, saya dakwah la orang jepun tu biar dia betul-betul faham tentang ISLAM, tentang dakwah dan tarbiyyah”

“Serius?”

“Mungkin…” Aku tersenyum. Namun hati sebenarnya tengah berdetak-detuk.Macam mana boleh melencong masuk bab kahwin-kahwin ni? Salah putar stereng ke?

“Suka sangat dengan mungkin dia tu” Dia mengerutkan dahi. Aku jadi pelik. Kenapa pulak ada gaya merajuk semacam ni?

“Ei cik kak, hidup ni memang penuh dengan kemungkinan. Mana tahu tak dapat buat… ha, nanti kata saya mungkir janji” Aku cuba berseloroh.Aku fikir itu akan menenangkan keadaan.

“Awak memang suka macam tu kan?” Dia memalingkan tubuhnya.

“Suka macam mana? Orang Jepun?” Aku rasa pelik.

“Main-mainkan hati saya” Dia masih tidak memandangku.

Aku terdiam.

Dari sembang-sembang itu, aku macam dapat rasa dia ada hati dengan aku. Tetapi memandangkan aku hendak pergi jauh, aku tak berani hendak menyuarakan rasa hatiku pada dia. Tambahan, ibuku melarang keras untuk aku menyuarakan rasa cinta kepada orang lain sebelum habis belajar. Ibuku kata, ia mungkin akan membawa kepada keburukan, apabila sesuatu yang kita tidak sangka terjadi, seperti putus cinta dann sebagainya. Akhirnya aku pergi tanpa berkata apa-apa. Jadilah aku apa yang aku jadi hari ini.

****

Aku bergerak keluar dari perpustakaan.

Musim sejuk mengundang salji yang indah. Kristal kecil dari langit itu membukit menjadikan tanah jepun ini putih dengan salji. Kiri kanan kota diselaputi salji. Rimbunan pohon juga berhias putih. Awal-awal aku tiba di sini adalah musim ini. Memang ketika itu agak jakun, namun sekarang suasana ini adalah normal, malah kadangkala aku tidak suka kerana leceh. Perlu pakai tebal-tebal dan sukar mengambil wudhu kerana terlalu sejuk.

Tapi aku tahu, aku berada di sini bukan untuk melancong. Maka kesusahan menghadapi sesuatu bukanlah sesuatu yang suka aku rungutkan. Aku di sini adalah untuk menimba ilmu, sambil berusaha memuka peluang berdakwah kepada masyarakat matahari terbit yang majoritinya tidak mengenali dan megambil ISLAM sebagai cara hidup. Namun itu bukanlah sesenang bahasa diuntai, bukan seperti kulit kacang dibuka.

Masyarakat di Jepun adalah masyarakat yang beradab, bertata susila, menghormati orang lain dan berilmu. Kadar jenayah juga adalah rendah dan mereka benar-benar masyarakat yang jujur dan amanah. Suasana bandar mereka yang bersih, rumah mereka yang bersih benar-benar menggamit hati dan menyentuh jiwa. Dalam keadaan ummat ISLAM sendiri tidak mengamalkan ajaran ISLAM, mereka menjadi tidak tertarik kerana mereka tidak nampak apa yang istimewa di dalam ISLAM. Mereka sendiri yang tidak mengamalkan ISLAM jauh lebih baik dari segi adab dan tatasusila. Hal ini memang menyedihkan. Tak hairanlah kenapa Hassan Al-Banna berusaha memperbaiki ummah. Kerana ummat ISLAM sendiri menjadi fitnah kepada ISLAM yang syumul dan indah.

Benarlah kata-kata seorang ulama’

“ISLAM hari ini, dikelambu ummatnya sendiri”

Aku menghela nafas. Aku sudah hampir dua tahun duduk di sini. Berdua bersama sahabat karibku Munzir. Berdua mengambil Master, dan berdua juga menjalankan pelbagai usaha dakwah. Kami berdua sudah cuba pelbagai cara, namun memang sukar sungguh untuk membuka hati penduduk tanah matahari terbit ini. Kadang-kadang rasa kecewa timbul juga. Namun mengingatkan Seerah Rasulullah yang kubaca di dalam Raheeq Al-Makhtum, kenangan Sheikh Adil Shuwaikh dengan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, disuntik pula dengan perjuangan Al-Banna, aku menolak kekecewaan dan putus asa di dalam kamus dakwahku. Aku harus terus mengibarkan panji perjuangan.

Dakwah dan Tarbiyyah. Itulah darah dagingku. Berusaha mengajak manusia agar kembali mengambil ALLAH sebagai RABB dan ILAH. Tetapi perjalanan di atas jalan ini, bukanlah dibentangi dengan permaidani merah, malah seorang ulama’ berkata,

“Jalan ini adalah jalan yang ditaburi duri yang terpacak”

“Issam-san, konichiwa” Satu suara lembut mencelah. Menghentikan langkahanku, memadamkan lamunanku.

Aku mengangkat wajah. Sayako, jiran sebelah rumah mengangkat tangan melambai. Tangan sebelahnya memegang bola sepak. Aku tersengih sambil membalas lambaiannya.

“Konichiwa” Ucapan selamat tenghari juga kubalas di dalam bahasanya.

Dia mendekatiku. Di dalam hati aku mula rasa tak senang. Sayako adalah perempuan yang cantik, dan dia juga merupakan actress di dalam drama jepun. Dan dia sama university dengan aku. Aku sebenarnya tidak senang kerana dia suka mendekatiku. Malah dia kadangkala cuba menyentuh aku. Aku memang berusaha untuk tidak berjumpa dengannya, tetapi apa kan daya, rumah kami adalah bersebelahan.

“Daigaku no guraundo de sakka wo yarun desukedo, sanka shinai?” Dia mengajak aku bermain bola. Perempuan main bola? Ish… Pelakon kadang-kadang pelik, atau… perempuan Jepun memang pelik?

“No thanks, nemui” Aku menolak lembut sambil menyatakan aku mengantuk.

Sayako tersenyum. Dia mengucapkan selamat tinggal dan menyatakan bahawa dia nak mengajak aku keluar malam nanti.

“Sorry, I’ve work to do” Aku memberikan alasan. Sayako sekadar mengangguk dan meninggalkan aku dengan senyuman.

Huh… Susah hidup ni.

“Kena mengorat?” Munzir bersuara sebaik sahaja aku memasuki rumah.

“Mungkin” Aku menarik sengih. Munzir sudah tahu akan kebiasaan aku di sini. Walaupun dia berhadapan dengan lap topnya, dia dapat meneka dengan tepat. Munzir satu kelas dengan Sayako, mengambil jurusan komputer. Aku hormat Sayako tentang satu perkara, walaupun dia seorang pelakon, namun dia masih mengambil berat tentang pelajarannya. Sesuatu yang patut dicontohi ramai selebriti di tanah airku, Malaysia.

Munzir tertawa sambil menumpukan wajahnya dengan lap top Applenya.

“Aku rasa kau kena jemput bidadari kau”

Aku menoleh ke arah Munzir. Kening aku terangkat.

“Jemput… Bidadari?”

Munzir berpusing di atas kerusi. Dia tersengih.

“Ya, jemput, sebab bidadari kau menunggu”

Aku mengerutkan dahi.

Munzir senyum penuh rahsia.

“Mana kau tahu bidadari aku tunggu? Bidadari aku bagitahu kau ke?” Aku membalas. Aku kira dia berseloroh sahaja. Apa bidadari-bidadari tengah hari buta kat Jepun nih. Kena serang angin sejuk ke apa kawan aku seorang ni.

“Mungkin” Dua kali dia mengangkat kening. Meniru gaya ‘mungkin’ aku yang popular. Wajah Munzir mencurigakan hatiku.

“Aku pun tak kenal bidadari aku yang mana satu, kau boleh kata dia tunggu aku pulak” Aku melangkah masuk ke bilik.

“Kau tak kenal?” Munzir melaung sambil ketawa.

Aku menggeleng kepala. Terus masuk ke bilik.

Sebaik sahaja pintu bilik tertutup, hatiku berdetak-detup.

Menjemput Bidadari? Bidadari sedang menunggu?

Kau sakit ke Munzir?

Atau… aku yang sakit?

****

“Ya ALLAH, hambaMu ini sedang sakit. Maka aku kembali kepadaMu, mengadu tentang sakitnya hati ini. Aku menyukai salah seorang dari hambaMu, hatiku sudah dicuri olehnya, dan aku benar-benar cinta kepadanya, dan aku rasa aku mencintainya hanya keranaMU, kerana padaku dia boleh menjadi teman untuk aku menujuMu, untuk aku memikul tanggungjawab dakwah yang KAU berikan kepadaku, dan tanggungjawab tarbiyyah untuk diriku.

RABBI, kalaulah aku ada teman yang lebih hebat daripadaMU, nyata aku akan pergi ke arahnya, tetapi KAU adalah satu-satunya ILAH, KAU memahamiku lebih dari diriku memahami diriku, KAU tahu hambaMu ini YA ALLAH, maka aku memohon kepadaMU, berikanlah aku jalan keluar dari kesakitan ini, aku mendengar dia hendak berkahwin, sepatutnya aku merasa gembira atas kegembiraannya, mengapa hatiku sakit seakan-akan dia juga turut menangis?

Ya RABB, kasihanilah aku, pertemukanlah aku dengan wanita yang KAU janjikan untuk aku. Berikanlah aku isteri yang solehah, mujahidah, barakah, dan menyejukkan mataku memandangnya. Ya RABB, KAUlah satu-satunya pemakbul doa, KAU menyatakan di dalam kalamMu kau amat dekat, maka kasihanilah aku. Kasihanilah aku. Aku memohon belas kasihanMu untuk meniti kehidupan ini.”

Doaku di hujung malam sejuk, mujur sahaja air mataku yang meleleh tidak membeku. Tak pernah kusebut nama orang yang kusukai bila mengadu kepada ALLAH, kerana aku tidak jatuh cinta ke atas manusia, tetapi aku jatuh cinta terhadap peribadi dan aku sering berdoa kepada ALLAH agar aku berjumpa dengan peribadi yang aku suka, yang ALLAH redha.

Tetapi kenapa hati ini masih sakit?

****

Aku macam tak percaya.

Aku menggosokkan mata seperti orang bodoh. Memastikan yang aku benar-benar melihatnya. Dan matanya pula tajam memandangku. Di tengah bandar Shibuya ini, mengapa dia boleh muncul?

“Asyraff!!!” Aku menjerit.

“Issam!!!” Dia pula menjerit. Sahabatku Asyraff berlari mendapatkan aku.

Kami berpelukan. Sahabat karib di universiti lama.

“Kenapa dalam banyak-banyak tempat kat dunia ni, Festival Komik Sedunia jugak tempat aku jumpa kau?” Aku menolak tubuhnya.

“Kau pun sama. Minat dengan komik lagi ya? Tak sedar diri dah tua bangka” Asyraff menumbuk perlahan dada aku.

“Wei, kau pun sama jugak” Aku meniru perbuatannya.

“Wei, aku lain. Aku kartunis, kartunis beb” Dia menepuk-nepuk dada.

Aku menepuk dahi teringat. “Aha, betul jugak ya… Oh, kau dah jadi kartunis?”

“Weh, aku punya komik baru meletup tau, aku sekarang orang popular tambah kaya di Malaysia” Asyraff bersuara bangga. Dengan wajahnya yang kelakar, kata-katanya mengundang ketawa.

“Woi, kau ketawa kenapa? Tak percaya ke?”

“Mungkin” Aku menahan tawa.

“Kau tak berubah ya, lurus je dengan mungkin kau tu”

Aku menarik sengih. “Erm, apa kau punya tajuk komik? Cerita fasal apa?”

“Kau gerenti terkejut biawak punya”

“Kenapa?”

Asyrafff menarik sesuatu dari begnya…

“Tadaaa…” Sebuah buku didekatkan pada wajahku.

Gambar hadapannya….

“Solehah” Dia menarik buku itu sambil tersenyum nakal.

“Kenapa dia jadi orang kulit hadapan komik kau?”

“Dah aku ambil nama dia jadi tajuk, sebenarnya kau pun ada saham tau dalam komik aku ni”

Aku mula rasa tak seronok. Berada di Negara ini, aku langsung tidak membawa gambar Solehah, walaupun aku asyik terbayangkan wajahnya yang dahulu, aku sering menyatakan pada diriku bahawa dia sudah berubah mungkin, tetapi melihat dia menjadi gambar kulit depan komik Asyraff, hatiku terusik. Dia masih lawa, malah lebih menawan.

“Kenapa aku ada saham pulak?” Aku cuba menyisihkan rasa di hatiku. Sudahlah Asyraff, dia milik orang sekarang.

“Sebab aku ambil cerita kau dengan Solehah la”

“Oh, ni kira cerita sedih la ni. Hero tinggal heroin dalam keadaan dua-dua tak luah perasaan apa-apa, lepas tu heroin kahwin dengan orag lain” Aku cuba berseloroh walaupun pahit untuk disebut.

“What? Heroin kahwin lain? Kau gila ke?” Asyraff tolak aku dengan kuat. Aku terdorong sedikit ke belakang.

“Kenapa?” Aku bertanya pelik. Bukan macam tu ke penamat kisah aku dengan Solehah?

“Weh, Solehah sanggup batalkan perkahwinan yang bapa dia susun sebab tunggu kau bodoh!”

Mata Asyraff seakan api yang membakar. Aku berkerut dahi.

Apa dia?

“Dia tunggu kau! Kau tak tahu ke?”

Dia tunggu aku?

“Aku rasa kau kena jemput bidadari kau” Kata-kata Munzir minggu lepas….

“Kau tak tahu?”

Aku berfikir sejenak. Sungguh aku tidak menyangka. Adakah aku aku akan membiarkan sahaja?

Teringat doa-doa istikharahku…

Mungkinkah ini….

….Jawapan?

“Kau balik Malaysia bila?” Aku bertanya dengan nada tergesa-gesa.

“Esok”

“Aku balik dengan kau”

****

“Assalamu’alaikum”

“Walaikumussa…” Dan suara lembut itu terhenti. Aku sekadar memandang sahaja di luar pagar melihat wajah seorang perempuan beriak terkejut melihatku. Seperti melihat raksasa yang menyerang jepun sebelum dikalahkan ultraman.

“Issam?” Dia bersuara tidak percaya. Namun aku lihat dia tetap keluar. Mungkin untuk memastikan.

“Mungkin” Aku menjawab selamba, walaupun hati dah meletup-letup macam bunga api pesta kemerdekaan. Kenapa dia boleh ada di rumah? Ayo…

Kami dipisahkan pagar. “Lamanya tak jumpa awak” Dia bersuara sambil memandangku.

Aku jadi segan. Pantas membuang pandangan ke arah lain.

“Kenapa datang?” Dia bertanya pelik. Ya la, aku bukan saudara mara dia.

Aku mula berkira hendak meneruskan perancangan aku atau tidak. Terus… atau tidak?

Hati aku nekad.

Terus!

“Ayah ibu ada?” Hatiku berdegup-degup.

Wajah indah Solehah berkerut. “A..Ada… kenapa?”

Degupan di hati makin berombak kencang. Namun aku cuba bertenang dengan berzikir. Aku sudah hampir terlepas bidadariku sekali, dan aku tidak mahu ada kali kedua.

“Sebab…” Aku cuba bersuara, namun agak sukar diluahkan. Solehah memandangku dengan pandangan yang sukar aku tafsirkan.

“Sebab…?” Dia mengulang ‘sebab’ dengan suara pertanyaan.

Aku menarik nafas. YA ALLAH, KAUlah yang menggerakkan kakiku ke sini, maka kuatkanlah hatiku.

“Sebab saya nak menjemput bidadari saya” Aku menjawab yakin.

Suasana hening sebentar.

Dan titisan permata yang meleleh di tepi pipi Solehah, kemudian dia berlari anak masuk ke dalam, dan bukaan pintu pagarnya secara automatik, dan senggulan wajahnya keluar, dan bicaranya…

“Masuklah, ayah ibu ada di ruang tamu”

Dan semua itu… aku tafsirkan sebagai ‘ya, jemputlah saya’

Ya ALLAH, Alhamdulillahi kathira.

Dan dalam langkahan memasuki rumah itu, air mataku merembes.

Air mata gembira, kerana aku tidak terlepas waktu untuk menjemput bidadari hatiku.

Dan aku menjadi lebih baik dari hujan yang menghubungkan langit dan bumi dengan sementara, tetapi aku menghubungkan hatiku dengan hati bidadariku selama-lamanya hingga ke syurga insyaALLAH.

Ya ALLAH, rahmatilah aku.

Bila yakin telah tiba,
Teguh didalam jiwa
Kesabaran menjadi bunga

Sementara waktu berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Zulaikha jalani hari
Sabar menanti Yusuf sang tambatan hati
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Segera kan kujemput engkau bidadari
Bila tiba waktu kutemukan aku
Ya Ilahi Robbi keras ku mencari diri sepenuh hati
Teguhkanlahku dilangkah ini
Dipenantian hakikat diri
Dan izinkan kujemput bidadari
Tuk bersama menuju Mu sepenuh hati…

Kini yakin telah tiba
Teguh didalam jiwa
Kesabaran adalah permata

Dan waktu terus berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Adam dan Hawa
Turun kebumi terpisah jarak waktu
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Bidadari telah menyentuh hati
Teguhkan nurani
Bidadari telah menyapa jiwa
Memberikan makna

-Menjemput Bidadari~Epicentrum-


By: Hilal Asyraf


Kak Yong: actually empunya badan tengah 'giler' dengan Menjemput Bidadari then tetiba terjumpa cerpen Hilal Asyraf ni. Neway, 'sesuatu' mengetuk hati bila dengar lagu ni huhu (ni apa kes?) TQVM to VERSUS~HLOVATE kerana ia empunya badan tergerak nak google lagu ni and the rest is history hahah! Moga empunya badan kan menjadi seperti bidadari dalam gayanya yang tersendiri dan menanti dengan sabar saat-saat diri ini di'jemput' oleh Inche yang empunya badan bisa luahkan, "Akulah tulang rusukmu yang hilang..." ~ terasa pelik bila empunya badan tulis benda macam ni... *sigh* ~


The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers