Thursday, July 29, 2010

Kempen Remaja Raikan Ramadhan (3R) 2010




:: Muqaddimah ::

Kempen Remaja Raikan Ramadhan (3R) ini merupakan suatu insiatif pembangunan sakhsiah khas untuk para remaja di sekitar Kuala Lumpur. Kempen ini julung-julung kali diadakan dan ianya merupakan Kempen pertama bertemakan ramadhan khas untuk para remaja.

Kempen 3R ini mengambil bulan Ramadhan sebagai konsep dan pembangunan remaja sebagai tema utama, 3R akan diaturkan dengan sebaik mungkin bagi mencapai objektif-objektif seperti yang telah digariskan. Bagi mengumpulkan dan mendidik jiwa-jiwa remaja ini supaya taat dan patuh kepada Allah SWT, mengambil seberapa banyak fadhilat dalam bulan ramadhan dan sebagainya.

Kempen 3R ini terbuka kepada semua remaja yang berminat untuk melalui atau mengalami ‘madrasah’ yang serba mencabar dan berminat untuk mengisi masa di bulan Ramadhan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat.


:: Objektif ::

2.1 Menghayati bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah di kalangan remaja.
2.2 Memakmurkan bulan ramadhan dengan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.
2.3 Mempertingkatkan ukhuwwah di kalangan remaja.
2.4 Menyemarakkan pewaris kepimpinan masa hadapan yang menghayati Islam sebagai satu cara hidup.
2.5 Menyelami sejarah islam yang berlaku ketika bulan ramadhan.


:: Tema ::

"Ramadhan : I'm lovin' it


:: Anjuran ::

Kelab Remaja JIM
IKRAM Wilayah Persekutuan KL
JAWI


:: Kempen yang akan diadakan ::


1. FACEBOOK
2. Poster
3. Banner
4. Short Film ( Competition )
5. Program “ Perang Badar “
6. Program “3R”
7. Ifthar Remaja
8. Grafiti Ramadhan
9. Wallpaper ( Competition )
10. BLOG
11. Paintball
12. Kempen ROQ’


sebarang musykilah, hubungi sekretariat Kempen 3R.

- Abang Bai ( 019-7517051 ) -
- Abg Duke ( 013-670745 ) -
- Kak Yong ( 013-3060673 ) -
- Kak Yatt ( 013-6298720 ) -

Tuesday, July 27, 2010

Emak Ingin Naik Haji




'Emak Ingin Naik Haji' yang diangkat dari karya pendek Asma Nadia dan diolah ke layar perak oleh Aditya Gumay telah dibawakan oleh Mizan Productions dengan kerjasama Smaradhana Pro, pastinya bisa meruntun hati sesiapa jua yang menontonnya.



Filem ini mengisahkan tentang Emak, seorang wanita tua berumur 61 tahun yang sudah kematian suami. Seperti umat Islam lainnya, Emak memasang impian untuk menunaikan ibadah Rukun Islam yang kelima iaitu pergi haji, seperti yang dilakukan setiap tahun oleh keluarga Juragan Haji, jiran Emak yang kaya raya. Tetapi sayangnya, Emak tidak memiliki kemampuan kewangan yang cukup untuk merealisasikan impiannya. Kehidupan Emak sehari-hari hanya bergantung pada hasil jualan kuih yang dihantar di warung atau pesanan orang yang mengadakan keramaian. Kalau bernasib baik, ada juga sedikit tambahan wang dari Zain, anaknya yang menjadi seorang pelukis dan menjual lukisannya keliling kota.

Biarpun Emak tahu bahawa fardhu Haji adalah salah satu perkara yang mungkin sukar untuk dicapai, Emak tidak pernah berputus asa. Dia tetap mengumpulkan wang untuk disimpan ke tabungan haji di bank. Zain, yang melihat kegigihan Emaknya, turut terpanggil untuk membantu dengan berbagai cara.

Dalam kisah ini kita dapat melihat perbezaan yang sangat ketara di antara golongan yang berkemampuan, golongan berkepentingan, dan juga golongan miskin yang memandang ibadah haji itu dari sudut pandangan yang berbeza. Dalam pada itu juga satu-persatu ujian datang menimpa keluarga Emak. Apakah ada jalan bagi Emak untuk mencapai keinginannya? Adakah masih ada lagi peluang buat Emak untuk pergi menunaikan ibadah haji?



Apa pun, kisah ini pastinya mengajar para penonton bahawa apa yang paling penting adalah niat dan keazaman yang dizahirkan melalui usaha. Selainnya, berbalik kepada izin dan kehendak dari-Nya. Mungkin kita punya wang yang banyak, namun jika Allah tidak mengizinkan pastinya kita tidak mampu untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Dan mungkin juga kita dari golongan yang kurang berkemampuan, namun seandainya Dia sudah menjemput pastinya ada peluang untuk kita ke sana. Yang pasti, urusan ini adalah urusan Dia untuk melayangkan 'undangan' untuk kita ke sana. Kata-kata Emak yang membuat empangan air mata ini pecah akan sentiasa terkesan di sudut hati...

"Biayanya 30 jutaan... Emak nabung lima tahunan baru dapat lima juta. Berarti kalo biar cukup 30 juta mesti nabung dua puluh lima tahun lagi... Sekarang Emak umurnya enam puluh satu... Berarti baru bisa naik haji umur... lapan puluh enam... Masih ada umur nggak ya?"

"Ya, kalau pun Allah keburu memanggil Emak sebelum Emak sempat ke sana, Emak ikhlas kok. Raga emak mungkin enggak mampu buat ngelewatin samudera yang luas begitu untuk ke Tanah Suci... Tapi Emak yakin, Allah pasti tau... Hati Emak udah lama ada di situ... Udah lama ada di situ..."

Ya, Allah pasti tahu... Yakinlah... Berdoalah dengan bersungguh-sungguh... Berdoalah dengan sebanyak-banyaknya... Mintalah kepada Dia agar kita menjadi antara yang mendapat 'undangan' untuk ke sana... Adukanlah kepada Dia kerana Dia itu Maha Mendengar...

Melihat wajah tua 'Emak' dan suara tuanya tatkala mengalunkan ayat-ayat suci al-Qur'an, ia mengingatkan saya kepada nenek. Suaranya saling tak tumpah tatkala mengalunkan ayat-ayat suci itu. Namun alhamdulillah, nenek dan atuk sudah berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci lewat 12 tahun yang lalu sewaktu saya menuntut di tingkatan satu.

Atuk dan nenek, insan yang amat kusayang...


Buat sahabat-sahabat pembaca blog ini, jangan lepaskan peluang untuk menonton kisah 'Emak Ingin Naik Haji'. Moga ada manfaatnya untuk diri-diri kita... Insyaallah, ameenn...

Friday, July 23, 2010

L.E.A.D.E.R.S 2010


Bismillahirrahmanirrahim...
Lama rasanya tak 'mengemas' blog ni. Kalau ikutkan hati, banyak je perkara yang nak dikongsikan tapi banyak kerja-kerja lain yang perlu didahulukan. Dan untuk entry kali ini sebenarnya pun dah lama terpasang niat di hati untuk dikongsikan tapi tertangguh.



Latihan Ekstensif Dakwah dan Kepimpinan Remaja Soleh wa Musleh atau L.E.A.D.E.R.S 2010 telah berlangsung dari 14 hingga 16 Jun 2010 di De' Teratai Beach Resort, Rantau Abang, Terengganu. Apa ye yang istimewa dengan program ini? Istimewanya kerana diadakan di Terengganu! Setelah hampir 13 tahun akhirnya KY diberi kesempatan dan keizinan oleh Allah untuk kembali semula ke sini, ke bumi Terengganu. Di bawah ini KY kongsikan beberapa klip video montaj dan aktiviti sepanjang L.E.A.D.E.R.S 2010.

Montaj L.E.A.D.E.R.S 2010 dari Akh Munzir Muzahar


Ketibaan para peserta dan slot ice breaking


League of Leaders pada hari kedua


Tak puas rasanya tiga hari berada di sana. Mungkin sebab pantai, laut dan ombak itu sangat menenangkan hati. Terimbau kembali kenangan di bumi Kuantan lewat 4 tahun yang lalu. Saban petang, pantai, laut dan deruan ombaklah yang membisikkan pujukan-pujukan agar diri ini terus tabah menghadapi ujian hidup. Segala duka, kegalauan dan kerinduan di bawa pergi. Mungkin atas sebab itu pantai itu begitu menenangkan dan dekat dengan hati ini.

Alangkah indahnya ciptaan Allah...


Apa pun kenangan 3 hari di De' Teratai Beach Resort takkan luput dari ingatan. Kesempatan melihat dan memegang penyu, bertemu sahabat-sahabat seperjuangan dari serata negeri pastinya menjadi memori indah.

Wednesday, July 7, 2010

[Cerpen] Menunggu Di Sayup Rindu




“HAH! AKAK BUAT APA TU?” Hanan kaget. Pensel dalam genggamannya terlepas. Dia mengusap dadanya dan beristighfar panjang. Wajahnya dipalingkan ke belakang. Hatinya mendesak ingin tahu siapakah gerangannya yang membuatkan dia terkejut.

“Amni!!!” Hanan menjerit kecil lantas hidung mancung Amni ditariknya geram.

“Arghhh....akak...ampun kak... Lepaslah... Ampun, janji tak buat lagi...” Amni menyeringai kesakitan dan cuba melepaskan hidungnya dari pegangan Hanan. Wajahnya yang putih bersih kelihatan mula kemerah-merahan. Hanan melepaskan tangannya perlahan-lahan.

“Buatlah macam tu lagi. Kalau akak ada sakit jantung tadi macamana?” Hanan mencebik dan mencapai semula penselnya yang terjatuh tadi. Tangannya kembali menarikan pensel di atas buku lakaran.

“Gurau pun tak boleh ke? Eh, akak lukis gambar siapa ni?” Amni berdiri tegak di belakang Hanan yang sedang sibuk menyiapkan lakarannya.


“Bukan gambar sesiapa pun. Saja mengisi waktu lapang. Lagipun dah lama akak tak melukis. Dah keras tangan ni.” Jawab Hanan sambil tangannya lincah menarikan pensel di atas buku lakaran.

Amni melabuhkan punggungnya di atas katil Hanan yang terletak bersebelahan meja tempat Hanan asyik melukis. Tangannya mencapai anak patung Nemo di sebelahnya dan dibawa ke dalam pelukan.

“Akak, bila akak nak makan nasi minyak ni? Belajar dah habis, kerja dah ada. Apa yang akak nak tunggu lagi?” Soal Amni tiba-tiba sambil bibirnya mengukir senyuman manis.

“Makan nasi minyak? Jom! Bukan setakat nasi minyak, beriani gam pun akak boleh belanja Amni tau!” Hanan tertawa kecil. Amni menarik muncung panjang.

“Ish, akak ni! Amni seriuslah. Akak ni main-main pula. Bila akak nak kahwin ni?” Amni masih tidak berputus asa. Dia masih lagi menanti jawapan yang bakal meniti di bibir Hanan.

“Erm, bila ya? Kena tunggu Son Goku berubah jadi Super Saiya dulu kot. Lepas tu dia kena pinjam awan terbang dulu dari Pendekar Penyu, barulah dia boleh turun ke bumi untuk meminang akak!” Ujar Hanan sambil tersenyum simpul. Dia mengenyitkan sebelah matanya kepada Amni.

“Akak!!!” Amni menjerit kecil dan Hanan tertawa senang.

“Tapi lambat lagi rasanya. Son Goku kena cari tujuh biji mutiara naga dulu. Lepas tu nak tunggu dia besar dulu. Berguru sana-sini, barulah dia boleh jadi Super Saiya.” Selamba tutur Hanan sambil membelek-belek lukisannya yang sudah siap. Dia kemudian mengemas segala alat tulis yang bertaburan di atas meja.

“Akak ni demam ke terlebih ambil ubat? Aduh, kronik kakakku nan seorang ni!” Amni pantas menepuk tangannya ke dahi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ish, apa pula kronik? Betullah ni. Kalau Son Goku lambat sangat, Bezita pun bolehlah. Cuma dia tu macam serius sikit. Tak pun boleh je dengan Pikor. Comel kan?” Hanan tayang muka tak bersalah.

“Akak ni kan! Ish, malaslah nak layan. Amni keluarlah dulu.” Amni bingkas bangun dan menuju ke pintu bilik. Dia melangkah keluar dengan perasaan tidak puas hati. Hanan tertawa panjang melihat afal Amni Hifzah, teman serumahnya.


HANAN MENEKAN PUNAT DI KOMPUTER RIBANYA. Sementara menunggu, tangannya lincah mengemas helaian kertas yang berselerak di atas meja. Selesai mengemas, dia mengaktifkan akaun Yahoo Messengernya. Matanya pantas melihat satu persatu senarai nama yang tertera di tingkap Yahoo Messenger. Coklat panas dalam mug comel kegemarannya dihirup perlahan. Akhirnya, anak matanya terhenti pada satu nama yang memang dicari-cari. Bibirnya mengukir senyum. Tangannya pantas menggerakkan tetikus. Dan jari-jemarinya terus lincah menari di atas papan kekunci.

DurratulH: Assalamualaikum.

Sambil menanti pesanannya dibalas, Hanan menghirup lagi coklat panas dari mugnya.

Qis_zaharah: Waalaikumsalam. Hanan sihat?
DurratulH: Alhamdulillah
DurratulH: Akak?
Qis_Zaharah: Alhamdulillah semua sihat.
DurratulH: Macam mana program kat sana?
Qis_zaharah: Program dah surut sebab semua tengah exam termasuklah Abang Fathil.
DurratulH: Oh, jadi akak buat apa?
Qis_zaharah: Akak sibuk dengan DF.
Qis_zaharah: Kena juga tolong sesiapa yang tak dapat cater usrah adik-adik
Qis_zaharah: Sibuk dengan baby Zaid ni juga
Qis_zaharah: Tapi yang seronoknya dapat berjalan sana sini
Qis_zaharah: ^_^
DurratulH: Haha
DurratulH: Jauh berjalan luas pengalaman
DurratulH: Mesti baby Zaid seronok ikut ummi dia pergi usrah, pergi program
Qis_zaharah: Dia dah makin lasak sekarang ni...
Qis_zaharah: Eh, Hanan apa cerita?
DurratulH: Hanan macam inilah. Kerja, usrah, program, balik rumah...
DurratulH: Tak ada apa pun yang menarik.
DurratulH: Huhu
Qis_zaharah: Betul? Akak dengar adik akak ni dah ada yang bertanya.
Qis_zaharah: Betulkah?

Hanan terkedu. Bagaimana Kak Balqis tahu hal ini? Hurm, pastinya Kak Balqis sudah membaca e-mel yang dihantarnya pagi tadi.

DurratulH: Emm
DurratulH: Tapi...
Qis_zaharah: Kenapa? Hanan ada masalah?
Qis_zaharah: Hanan dah istikharah?
DurratulH: Dah. Tapi Hanan masih tak dapat buat keputusan.
Qis_zaharah: Hanan istikharahlah lagi
Qis_zaharah: Lagi dan lagi
Qis_zaharah: dan berdoalah banyak-banyak
Qis_zaharah: sangat banyak
Qis_zaharah: insyaallah, Allah akan tunjukkan dan bimbing Hanan dalam membuat keputusan
DurratulH: Insyaallah kak
DurratulH: Cuma sekarang ni Hanan rasa macam hulur leher di tali gantung kalau Hanan terima lamaran tu
DurratulH: ngeeee
Qis_zaharah: Sebab?
DurratulH: Orang yang melamar tu bukan orang yang ikut tarbiyyah
DurratulH: dan dia tak suka kalau isteri dia aktif di luar
DurratulH: Hanan risau kalau Hanan terima dia, selepas kahwin Hanan tak dapat nak bergerak langsung
Qis_zaharah: Apa yang Hanan fikir waktu terima lamaran tu?
DurratulH: Dakwah
Qis_zaharah: Alhamdulillah.
DurratulH: Akak pun tahu kan macamana sukarnya untuk Hanan berada di atas jalan ni?
Qis_zaharah: Akak faham Hanan. Bukan Hanan sahaja, tapi kita semua ada sejarah yang hampir serupa.
Qis_zaharah: Akak, Kak Maryam, Arwah Kak Nana, Wafa, Mai...
Qis_zaharah: Sekarang ni, Hanan istikharah sebanyak-banyaknya.
Qis_zaharah: Tanyakanlah pada yang empunya hati kita ini.
Qis_zaharah: Jangan terburu-buru.
Qis_zaharah: Kalau Hanan nak menikah atas sebab nak ikut-ikut atau kerahan sahabat-sahabat dan orang sekeliling,
Qis_zaharah: maka akak akan katakan tidak.
Qis_zaharah: Beramallah untuk cinta Allah semata-mata.
Qis_zaharah: Itulah yang terbaik.
Qis _zaharah: Dan yakinlah, Allah sudah menetapkan jodoh yang terbaik untuk Hanan.
DurratulH: Kak, entah kenapa hati ini rasa sungguh tak tenang
Qis_zaharah: Kalau macam tu, semak balik hubungan kita dengan Allah
Qis_zaharah: Apa pun, moga semua urusan dipermudahkan Allah
DurratulH: Ameen
Qis_Zaharah: Hanan...
Qis_Zaharah: Doa banyak-banyak ya ^_^
DurratulH: Insyaallah
Qis_Zaharah: Baiklah, akak nak mandi ni. Lepas tu nak tengok baby Zaid
Qis_zaharah: Apa-apa hal jangan segan-segan bagitahu akak atau Kak Maryam.
DurratulH: Tak mandi lagi?
DurratulH: Patut bau masam sampai ke sini
Qis_zaharah: Haish, di sini petang bukan macam di Malaysia dah lewat malam
DurratulH: Okey, jangan lupa nak balik Malaysia pula
Qis_Zaharah: Haha, ya balik insyaAllah
Qis_zaharah: Jaga diri, iman dan amal
DurratulH: Insyaallah. Akak pun sama. Jaga diri, baby Zaid dan Abang Fathil tu hehe
Qis_Zaharah: ^_^
Qis_zaharah: Assalamualaikum…
DurratulH: Waalaikumsalam…

Hanan termenung panjang. Ya Allah, sukarnya nak membuat keputusan! Dia bingkas bangun. Langkahnya di atur menuju ke bilik air. Sebaik kakinya melangkah keluar dari bilik air, telekung dan sejadah di ampaian terus dicapai. Ya, dia ingin mengadu pada Tuhannya. Dia ingin mengadu pada yang empunya sekeping hati ini.


“EH, KAK MAR! Jemputlah masuk. Akak sorang je ke? Husna mana?” Hanan merangkul tubuh Maryam erat. Kemudian mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Hanan mempersilakan Maryam mengambil tempat di sofa.

“Husna ikut Abi dia. Pergi cari barang sikit. Yang lain mana?” Soal Maryam. Dia memandang sekitar ruang tamu.

“Amni ada perbincangan kumpulan. Wafa ada program remaja kat Shah Alam. Mai pula balik kampung. Jadi tinggallah Hanan seorang diri. Eh, akak duduk kejap ya. Hanan nak ke dapur sekejap.” Hanan bingkas bangun dan menuju ke dapur. Dia mengeluarkan kek coklat yang dibuatnya pagi tadi dari peti ais. Dengan cermat dia memotong kek coklat itu dan meletakkannya ke dalam piring. Teh o limau kegemaran Maryam pantas dibancuh. Dia masih ingat, dulu dia sering mengusik Maryam kononnya Maryam ingin berdiet kerana gemar minum air teh o limau panas. Hanan tersenyum sendiri.

“Hah, tu kenapa senyum sorang-sorang? Makruh tau!” Hanan kaget. Maryam tersenyum di sisinya.

“Akak ni buat Hanan terkejut je!” Ujar Hanan pura-pura marah. Tangannya mencapai dulang dan menyusun dua biji cawan serta teko di atasnya.

“Kek coklat ni biar akak bawak.” Maryam mengambil piring yang berisi kek coklat dan membawanya ke ruang tamu.

“Rajin Hanan buat kek coklat?” Soal Maryam sebaik saja melabuhkan punggungnya.

“Amni dari kelmarin sibuk minta Hanan buat. Akak bukan tak tau, dia tu hantu kek coklat. Sampai tidur pun mengigau makan kek coklat.” Hanan tertawa kecil.

“Akak ingat lagi, dia pernah merajuk sebab kita belikan dia kek blueberry masa hari jadi dia. Kelakar sungguh la Amni tu.” Maryam menggelengkan kepalanya.

“Suka makan, tapi tak nak belajar buat. Akhirnya, Hananlah yang jadi mangsa. Tak pasal-pasal jadi chef peribadi dia.” Hanan menuang air teh o limau ke dalam cawan dengan cermat dan menghulurkannya kepada Maryam.

“Akak, dah lama rasanya tak dengar perkongsian dari akak. Boleh tak akak bagi perkongsian sikit berkenaan hati?” Hanan memandang tepat wajah Maryam penuh mengharap.

“Ermmm...insyaallah boleh. Mungkin perkongsian ni biasa-biasa je. Tapi kalau kita ikhlas, insyaallah ia pasti jadi luar biasa.” Maryam tersenyum manis.

“Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah, hati ni ada tiga jenis. Hati yang sihat, sakit dan mati. Tapi yang akak nak kongsikan dengan Hanan ialah hati yang sihat.” Maryam berhenti sejenak.

“Ramai orang tanya bagaimana nak dapat rasa cinta kepada Allah sepertimana kita cinta kepada insan yang kita kasihi? Bagaimana nak rasa Allah sentiasa berada di samping kita dan melihat perbuatan kita? Bagaimana nak rasa takut kehilangan cinta Allah? Jadi, akak ambil mutiara ilmu dari Ibn Qayyim al-Jauziyyah iaitu hati yang cinta dan takut kepada Allah dan rasa akan kehadiran ALLAH dalam nyawanya ialah hati yang sihat.”

“Bagaimana rupa hati yang sihat itu? Hati yang sihat ialah hati yang lembut. Untuk melembutkan hati, mulakanlah dengan berzikir. Bukankah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Bila hati selalu mengingati Allah, secara semulajadi tubuh badan yang lain juga akan begitu. Bukankah hati itu raja di kerajaan diri?” Maryam memandang wajah Hanan lama. Perlahan dia menggenggam erat tangan Hanan.

“Hanan, hati akak dapat merasakan bahawa Hanan ada masalah kan? Bila ukhwah antara kita berpaksikan iman, kita dapat merasakan apa yang ada di dalam hati sahabat-sahabat kita. Dan akak yakin dengan gerak hati akak. Sebab itu jugalah akak datang ke sini.” Hanan membalas genggaman tangan Maryam. Ada air yang menakung di tubir matanya.

“Kak, entah kenapa sejak kebelakangan ini, hati Hanan sangat tak tenang. Dah macam-macam Hanan buat. Tapi...” Akhirnya empangan air mata itu pecah jua. Esakan Hanan mula kedengaran.

Shhh... Hanan, Allah sedang mengujimu. Allah sedang merindui rintihan dan doa-doa dari Hanan. Sabarlah Hanan. Sabarlah dengan sebaik-baik kesabaran. Bagi orang yang hatinya telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah, ketika menerima dugaan yang maha hebat sekalipun, hati mereka tetap tidak berpaling dari cinta Allah. Apa yang ada di hati dan fikiran mereka hanya saat bertemu dengan Allah di syurga kelak. Menunggu kata-kata cinta dari Allah. Ujian ini baru sedikit Hanan. Jangan mudah mengalah.” Maryam merangkul tubuh Hanan ke dalam pelukannya.

“Hanan, jalan hidup yang mencari cinta Allah pada akhirat semata-mata lebih mudah dari jalan hidup mereka yang memilih untuk mencari cinta Allah pada dunia dan akhiratnya. Cuba fikir. Allah yang menciptakan Hanan. Jahilkah Allah tentang keupayaan Hanan? Pastinya tidak kan? Apakah ujian itu bagi insan yang bergelar mukmin? Bukankah ujian itu tanda sayang Allah pada kita? Bukankah ujian itu tanda Allah sedang memandang kita? Sesungguhnya kita ini manusia merancang dengan cita-cita, namun ketahuilah Allah merancang dengan cinta-Nya. Penat Hanan, runsing Hanan, semuanya Allah tahu. Begitu juga dengan sabar Hanan yang sedang Allah nilai. Allah dah janjikan cinta dia untuk Hanan andai Hanan berjaya melepasi semua ujian yang Dia titipkan.” Maryam mengusap lembut belakang Hanan.

“Cukuplah Hanan yakin dan faham ALLAH sayangkan Hanan dan kita semua, pasti insyaallah segalanya akan terpelihara dek rahmat-Nya. Ihfazhallah yahfazhuk. Jika kamu menjaga Allah, Allah akan menjagamu. Kosongkan hati Hanan hanya untuk Allah, maka apa yang tinggal kelak hanyalah hakikat cinta agung sang pencinta Allah...” Hanan tekun mendengar kata-kata yang keluar dari bibir Maryam. Hatinya dipukul kesayuan. Kepalanya bagaikan diketuk dengan batu besar.

‘Ya Allah, bagaimana aku boleh lupa akan hal ini? Di mana silapnya aku dalam menjalin cinta buat-Mu? Ampunkanlah segala kekhilafan diri ini ya Allah!’ Hanan menyeka air mata di pipinya dengan belakang tapak tangan. Dia menghela nafas panjang.

“Akak, minggu lepas ibu ada beritahu Hanan. Ada orang datang melamar Hanan. Orang kampung Hanan juga. Insyaallah, dia baik orangnya. Cuma dia bukan orang yang ikut tarbiyyah. Dan bila Hanan tanya sendiri dengan dia, kalau boleh dia nak isteri dia duduk rumah. Dia tak selesa ada isteri yang aktif dengan program-program di luar. Akak sendiri pun tahu macam mana sibuknya kita dengan program, usrah, tak termasuk kerja lagi. Dan akak pun tau macam mana susahnya Hanan nak berada di atas jalan ini. Hanan tak nak begitu mudah untuk Hanan tinggalkan jalan ni. Hanan takut kak kalau Hanan terima dia, lepas kahwin nanti Hanan jadi macam kelip-kelip. Kelip-kelip kusangka api, kalau api mana sumbunya...” Hanan kehilangan kata-kata.

“Hilang ghaib kusangka mati, kalau mati mana kuburnya...” Maryam menyambung pantun yang diucapkan Hanan. Pantun itu sangat sinonim dengan mereka. Kegalauan di kalangan akhwat andai memilih pasangan yang bukan dari kalangan ikhwah.

“Hanan, Allah sedang mengujimu. Allah nak tahu sejauh mana Hanan yakin pada keputusan Allah dan mujahadah Hanan untuk dapatkan yang terbaik dari Allah. Sekarang ni Allah sedang memberi Hanan dua pilihan. Sama ada Hanan nak yang tak berapa elok tapi cepat tanpa perlu sabar dan mujahadah, atau Hanan nak yang terbaik dari-Nya tapi lambat sedikit dan perlu banyak bersabar dan bermujahadah.” Ujar Maryam sambil tersenyum.

Istikharahlah Hanan. Tanyakan pada Allah. Ingat, izhas ta'inta fastai'nbillah.. Jika kamu memerlukan pertolongan, mintalah kepada Allah. Jangan terburu-buru membuat keputusan. Utamakan pandangan Dia dari pandangan manusia. Pada pandangan Allah itu tersirat seribu satu hikmah di sebaliknya. Selepas istikharah nanti, Hanan teruskanlah dengan apa yang Allah hadiahkan buat Hanan. Belajar didik hati untuk jadikan keputusan Allah sebagai satu-satunya pembimbing. Tapi kalau selepas itu Hanan masih buntu, bermusyawwarahlah pada kalangan yang ahli.” Maryam menepuk lembut bahu Hanan.

“Hanan, ingat tak pesan Rasulullah? Sebaik-baik suami atau isteri adalah sebaik-baik sahabat. Bagaimana sahabat yang baik? Adalah bila kamu memandangnya, kamu ingat pada Allah, lisannya menambahkan ilmu agamamu, dan tingkahlakunya mengingatkanmu pada kehidupan akhirat. Jelaskan petua Rasulullah dalam mencari? Insyaallah, sangat jelas....” Maryam tersenyum penuh makna memandang raut wajah Hanan.


LAGU MENUNGGU DI SAYUP RINDU dari kumpulan Maidany memenuhi ruangan kamar milik Hanan. Hanan menarik nafas lega. Dia baru saja selesai bercakap dengan ibunya di kampung. Keputusannya untuk lamaran itu sudah disampaikan dan diterangkan sebaik mungkin kepada ibunya. Alhamdulillah, ibunya dapat menerima dengan hati terbuka.

Di dalam sepi ia selalu hadir
Di dalam sendiri ia selalu menyindir
Kadang meronta bersama air mata
Seolah tak kuasa menahan duka

Hanan tersenyum sendiri mendengar bait demi bait lirik lagu itu. Dia teringat kata-kata Kak Maryam, “Apa yang Allah dah tetapkan untuk kita, itulah yang terbaik buat kita. Mungkin kita mampu kata dia lebih baik untuk kita dengan ilmu kita yang tak sehebat ilmu ALLAH yang maha luas. Tapi kalau ALLAH kata orang lain yang lebih baik buat kita maka tetap pilihan ALLAH yang tepat.”

Biarlah semua mengalir
Berikanlah kepada ikhtiar dan sabar
untuk mengejar...

Sabarlah menunggu
Janji Allah kan pasti
Hadir tuk datang
Menjemput hatimu

Sabarlah menanti
Usahlah ragu
Kekasihkan datang sesuai
dengan iman di hati

‘Bersabarlah duhai hati. Allah sudah menjanjikan yang terbaik untukmu.’ Bisik hati kecil Hanan.

Bila di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menunggu
Bila di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menanti

Bait-bait lirik lagu itu begitu menusuk di hati. Hanan mengukir senyum segaris. Dia menghela nafas panjang. 'Ya Allah, sesungguhnya aku yakin dengan janji-Mu. Bantulah aku untuk terus bermujahadah biarpun ia pahit kerana aku tahu nilai syurga-Mu itu terlalu manis. Akan aku lakukan apa sahaja untuk mendapatkan perhatian dan cinta dari-Mu...'

Hanan mencapai sebuah buku di atas meja. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Buku tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi itu digenggam erat. Dengan berbisik dia menyebut judul buku itu, 'Di Mana DIA Di Hatiku?' Buku itu dibawa ke pelukannya. Air matanya menitis ke pipi. Di membuang pandang ke luar jendela. Dari jauh kelihatan tanah perkuburan Islam yang tampak hening. 'Ya Allah, bantulah aku untuk terus bermujahadah. Tetapkanlah aku di atas jalan ini. Moga setiap gerak dan langkahku di atas muka bumi ini akan mejadi bekal untuk diri ini bertemu dengan-Mu...'


* Maidany - Menunggu Di Sayup Rindu



**TAMAT**


Tatkala Pena Menulis,
F.H.Fansuri
Kuala Lumpur
7 Julai 2010
1.30 a.m
-0707100130-

Friday, July 2, 2010

"Bagaimana Mahu Merasa ‘Izzah Dengan Islam?" (Usrah Online Kelapan)


Tajuk: “Bagaimana Mahu Merasa ‘Izzah Dengan Islam?”

Naqibah: Kak Yong
Tarikh: 1 Julai 2010
Masa: 9.00 – 10.00 malam

I'm proud to be Muslim. How about you?


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum semua...

Waalaikumsalam...

Apa khabar? Harap semua dalam keadaan sihat-sihat belaka.

Alhamdulillah...

Seperti yang dijanjikan minggu lepas, tajuk usrah online kita pada minggu ini ialah “Bagaimana Mahu Merasa ’Izzah Dengan Islam?”

Insyaallah, malam ini akak akan bertindak selaku naqibah dan akak yakin semua dah tahu bagaimana usrah online kita ini dijalankan. Jadi tanpa membuang masa, ayuh kita mulakan dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah.

(Baca sendiri-sendiri)

Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan oleh Allah untuk berkumpul di ruangan diskusi ini untuk kita saling ingat memperingati dan menambahkan pengetahuan kita, insyaallah. Sebelum tu, akak nak tanya kepada adik-adik apakah yang dimaksudkan dengan ‛IZZAH?

Hamie: bangga

Huda: bangga

Lagi?

Hamie: proud.. hihi..

Proud = bangga kan? Hehe... Yang lain? Nana?

Huda: Tak tahulah Kak Yong

Okey. Betullah tu. ‛Izzah = bangga, mulia. Jadi tajuk kita malam ni, macamana nak rasa mulia, nak rasa bangga dengan Islam itu sebagai agama kita. Nak rasa ‛izzah kena ada sumber dan asasnya. Jadi persoalannya, apakah sumber untuk kita merasa ‛izzah dengan Islam?

Sebagai contoh. Katakanlah akak ni ada anak yang akak namakan Yang Teramat Mulia, Lagi Dimuliakan, Yang Paling-paling Mulia Sipulanah binti Sipolan. Agak-agaklah kan, orang muliakan anak akak tu tak? Nama dia banyak sungguh perkataan mulia tu.

Hamie: Hurm... tak kot. Entahlah

Farhana: Tak semestinya...

Huda: Tak semestinya orang muliakan...

Haaa... Mesti orang akan tanya kan, ni kerabat mana ni? Anak raja mana ni?

Hamie: Ha’ah la

Orang tak akan muliakan anak akak sebab tak ada sumber atau source untuk dimuliakan. Tapi kalau anak akak ni memang keturunan raja, orang akan muliakan dia walaupun nama dia Cuma Tengku Sipulanah binti Tengku Sipolan. Tak ada pun panjang-panjang macam yang tadi. Tak ada pun perkataan mulia. Sebab apa? Sebab dia ada sumber untuk orang muliakan dia. Sebab dia memang keturunan raja. Jadi, kalau kita nak merasa ‛izzah, kita kena ada sumber atau asas untuk buat kita bangga dengan Islam sebagai agama kita.

Cuba kita lihat dalam surah ali-Imran ayat 85, Allah telah berfirman “Dan barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama daripadanya, dan dia di akhirat Allah menjanjikan dia termasuk orang-orang yang rugi.”

Kita tengok ayat di atas. Sesiapa yang mencari agama SELAIN AGAMA ISLAM, Allah cakap kat akhirat nanti dia adalah orang-orang yang rugi. Jadi kalau kita pilih agama ISLAM, kita ni di kalangan orang yang apa?

Huda: Beruntung

Meera: Insyaallah beruntung

Fifi: Di kalangan orang yang bertuah

Ya, orang-orang yang memilih agama Islam adalah di kalangan mereka yang beruntung, di kalangan mereka yang berjaya. Jadi, kalau kita dah memilih Islam sebagai ad-deen kita, sebagai agama kita, macamana sepatutnya kita rasa?

Hamie: Bangga?? Bertuah??

Lagi?

Huda: ‛izzah

Hamie: Beruntung??

Fifi: Rasa macam nak riak pun ada gak... tu yang takut tu

Meera: Bangga dengan orang yang bukan Islam

Farah: Pimpinlah mereka ke jalan yang benar kalau macam tu. Biar mereka pun beruntung.

Ya, sepatutnya kita merasa bangga sebab kita orang yang beruntung. Kemudian kita tengok pula dalam surah al-Baqarah ayat 132, “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”

“Kenapa ayat ini sepatutnya menjadikan kita rasa ‘izzah dengan Islam? Ada sesiapa yang nak cuba jawab?

Hamie: Sebab agama Islam je yang Allah redha kalau kita mati dalamnya.

Meera: Islam agama Allah

Huda: Kerana tak semua orang terpilih menjadi seorang Islam. Oleh itu kita haruslah bersyukur dan bangga dengannya.

Hamie: Sebab Allah yang pilih agama Islam bukan manusia

Abg Luq: Sebab Islam sahajalah agama yang diterima oleh Allah so mati dalam Islam adalah mati dalam redha Allah?

Okey, kalau kita tengok ayat kat atas tu, siapa yang bercakap di atas tu? Maksud akak, perbualan antara siapa yang ada dalam ayat tu?

Abg Luq: Ayah dan anak?

Siapa ayah dan anak itu?

Hamie: Rasul?

Fifi: Hmm...

Hamie: Nabi Ibrahim kepada anak-anak baginda

Huda: Nabi Ibrahim dan anak-anaknya.

Kita dapat lihat Nabi Ibrahim telah mengamanatkan kepada anak-anaknya, dan begitu juga Nabi Ya’qub juga buat perkara yang sama. Jika kita lihat, kedua insan ini adalah Nabi dan Rasul. Jadi agama yang kita anuti ini adalah agama para Nabi dan Rasul. Jadi sepatutnya kita merasa bangga kerana sudah menganut dan mewarisi agama para Nabi dan Rasul, betul tak?”

Hamie: Owh... betul tu!

Fifi: Ooo... na’am

Meera: Betul

Amir: Betul sama sekali

Huda: Betul

Dan kalau kita tengok lagi dalam ayat tadi, “sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untuk kamu.” Tengok, Allah dah pilih agama Islam ni untuk kita. Ini adalah satu penghormatan untuk kita. Sepatutnya kita merasa bangga Allah pilih kita, Allah pilih Islam itu untuk kita.

Fifi: Betul!

Seharusnya kita merasa bangga, merasa mulia dengan agama Islam yang merupakan agama para Nabi dan agama yang dipilih oleh Allah untuk kita.

Huda: Betul tu!

Amir: Sebaik-baik agama di sisi Allah adalah Addinul Islam!

Fifi: Memang sangat beruntung kita ni kan?

Okey. Kita tengok pula surah Al-Haj ayat 78. “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.”

Kita tengok ayat di atas. “Allah telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu...” See... Nama MUSLIM TU Allah yang bagi pada kita.

Amir: Na’am, na’am

Fifi: Betul-betul

Gelaran MUSLIM tu Allah yang pilih dan beri pada kita. Sepatutnya kita kena rasa bangga, betul tak?

Syakir: Bertuah

Huda: Betul tu

Fifi: Sangat tak sangka

Selama ni kita mungkin tak pernah terfikir dan tau kan?

Hamie: Ha’ah

Huda: Betul tu, segala pujian bagi Allah

Hamie: Jahilnya ana...

Amir: Segala puji bagi Allah yang telah mengaturkan yang terbaik untuk kita semua, insyaallah...

Cuba kita tengok. Kalau ada orang dapat gelaran Dato’, Tan Sri, Dato’ Seri, Datuk Tak Berseri, siapa yang bagi gelaran tu kat dia?

Hamie: Manusia...

Fifi: Manusia...

Siapa manusia tu?

Fifi: Kerajaan...

Raja kan?

Fifi: A’ah ek

Hamie: Raja arrr hihi...

Kalau Dato’, Tan Sri tu kalau kita panggil dia dengan nama je, tak sebut pun gelaran dan pangkat dia tu, agak-agaklah kan, dia marah tak? Bukan senang tu nak dapat gelaran macam tu...

Huda: Hmmm... mungkin

Fifi: Marah! Nanti dia kata kita tak hormat dia

Hamie: Betul-betul

Amir: Of course, for sure they will mad with us

Fifi: Tak silap nanti boleh kena saman

Hamie: Nanti dia kata kita tak setaraf dengan dia

Orang yang dah pergi haji pun marah kan kalau kita tak panggil dia Haji or Hajjah (tak semua la)

Syakir: Betul

Huda: Betul

Hamie: Sebahagian ada...

Fifi: A’ah. Kira diorang berbangga dengan gelaran tu kan?

Amir: Yup

Tapi cuba kita tengok diri kita ni. Allah dah bagi kita gelaran MUSLIM tu yang tak semua orang dapat. Tapi kenapa kita tak rasa bangga? Kenapa kita tak rasa ‛izzah?

Hamie: Alamak, terasa ni... Huuuu...

Huda: Ha’ah la... Tak terfikir...

Tak apa. Peringatan untuk diri akak juga.

Fifi: Alpa, memang bahaya.

Amir: Ramai orang beranggapan gelaran MUSLIM tidak se’special’ gelaran Dato’ Seri and whatever... Walhal gelaran MUSLIM tu lebih dipandang mulia di sisi Allah s.w.t. compare to Dato’ Seri...

Yup, betul tu.

Hamie: Setuju sangat!

Jadi adik-adik, jika kita mengamalkan Islam, jika kita hidup dalam Islam, kita nampak keindahan Islam, baru kita akan rasa mulia, barulah kita rasa bangga dan kita akan rasa ‘izzah dengan Islam. Lepas tu barulah kita boleh berkongsi dengan orang lain keindahan Islam itu sendiri. Kalau kita sendiri tak dapat rasai keindahan Islam, macamana kita nak sampaikan Islam pada orang lain?

Amir: Betul tu.

Kalau makan kek coklat, kongsikan dengan orang lain
supaya orang lain pun boleh rasai keenakkannya


Sebagai contoh, akak makan kek coklat hehe… Lepas tu akak bagitau Huda yang kek tu sedap sangat. Agak-agaklah kan, boleh tak Huda bagitau Hamie macamana sedapnya kek coklat yang akak makan tadi tu sedangkan Huda tak makan pun kek coklat tu.

Hamie: Tak boleh

Fifi: Huhu... tak mungkin

Huda kena makan kek tu dulu, kena rasa kek tu dulu. Barulah Huda boleh cerita pada Hamie macamana sedapnya kek tu. Coklat dia pahit ke, topping dia sedap ke... Samalah juga dengan Islam ni. Kita dulu yang kena rasai sendiri keindahan Islam, lepas tu baru boleh cerita kat orang.

Hamie: Ha’ah...

Huda: Ye la...

Okey, untuk yang terakhir cuba tengok ayat ni Al-Maidah ayat 3. “Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Islam tu agama yang syumul, menyeluruh dan mencakupi seluruh aspek. Islam bukan agama solat, puasa dan zakat je tau.

Meera: Betul

Jadi, jom kita amalkan Islam secara keseluruhannya dalam hidup kita. Bukan Islam yang diambil secara separuh-separuh. Dengan itu kita akan merasai keindahan Islam dan halawatul iman, kemanisan iman...

Fifi: Betul, sokong!

Abg Luq: Makan kek biar sampai licin

Okeylah, nampaknya jam pun dah pukul 10. Masa kita pun dah sampai ke penghujung.

Huda: Alaaaaa...

Hamie: Alaaaa... cepatnya...

Tak apa. Kita tutup dulu usrah ni, dan sesiapa yang nak stay untuk sembang-sembang ukhwah macam last week, kita boleh sambung.

Huda: Okey.

Meera: Insyaallah...

Jadi sebelum kita tutup usrah kita malam ini, sekali lagi akak nak ingatkan ‘Amalkan Islam secara menyeluruh, kelak kamu akan merasai keindahan Islam dan kemanisan iman…’

Hamie: Insyaallah...

Fifi: Insyaallah... ameenn

Meera: Insyaallah...

Insyaallah kita tutup dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr.

Huda: Ameennn...

Amir: Insyaallah...

Hamie: Kami akan try the best, kan semua?

Fifi: Ya

Amir: We will do our best for our lovely Islam!

Abg Luq: Izzahkanlah dirimu kerana jika tidak engkau yang izzahkan dirimu sendiri, sesungguhnya tiada siapa yang mahu mengizzahkan dirimu.

Huda: Jazakillah untuk Kak Yong juga sebab telah memberi pengisian yang sangat menarik.

Meera: Huda betul. Terima kasih Kak Yong, terima kasih semua.

Fifi: Makaseh Kak Yong.

Hamie: Dalam dunia ni tak ada insan yang sempurna. Tapi takkan nak tunggu diri sempurna baru nak dakwahkan? So, islahkan diri sambil islahkan orang lain.

Amir: Bersama mengembalikan generasi soleh wa musleh.

Abg Luq: Kalau kita makan coklat, jangan lupa untuk share dengan orang lain supaya orang lain pun dapat rasa.

Hamie: Betul tu, kalau Kak Yong makan kek coklat, jangan lupa bagi kami rasa juga hehe

Abg Luq: Macamana kalau ada orang belanja orang lain makan kek coklat tapi dia tak pernah makan kek coklat?

Hamie: Ha?? Tak faham.

Meera: Macam makcik saya. Dia ada kedai kek, tapi dia tak makan kek sebab dia x suka kek.

Orang yang mengajar orang lain tentang Islam, tapi dia tak buat apa yang dia cakap. Lebih kurang macam cakap tak serupa bikin. Macam tu ke?

Abg Luq: Itu satu jawapan. Jawapan lain?

Huda: Erm... cepatlah jawab soalan Abg Luq tu.

Abg Luq: Dia tak pernah makan kek coklat tapi dia makan cheese cake. Sedap juga.

Hamie: Ha??

Huda: Maksudnya?

Amir: ???

Meera: ????

Abg Luq: Kedai kek bukannya ada kek coklat je. Dia ada juga cheese cake, blueberry cake...

Hamie: Ha?

Amir: So?

Abg Luq: Islam itu bukan hanya pada satu sudut sahaja wahai sahabatku sekalian. Banyak kemanisan yang mungkin kita tak pernah kita rasa. Tapi orang lain dah pernah rasa.

Meera: Islam ni syumul la maksudnya?

Abg Luq: Yup!

Huda: Oooo...faham-faham...

Farhana: Kalau terlebih izzah dengan Islam, dosa besar ke?

Amir: Ana tak ada jawapan yang tepat.

Meera: Macamana tu Kak Yong, Abang Luq?

Abg Luq: Definisikan terlebih izzah dengan Islam?

Farhana: Terlalu bangga yang dia tu orang Islam, orang yang terpilih, orang yang baik-baik...

Hamie: Terlalu bangga? Macam orang Yahudi ke yang bangga dengan diri diorang?

Abg Luq: Memang patut kita rasa bangga. Dalam al-Quran, azillatin alal mukminin a’izzatin alal kafirin... merendah hati tika dengan orang mukmin tapi mengizzahkan diri tika dengan orang kafir.

Mungkin apa yang Farhana maksudkan tu bila kita ni jadi MUSLIM, kita rasa diri kita dah cukup bagus, lagi mulia dari orang lain. Tapi kita kena ingat, rasa izzah tu kena seiring dengan amal. Kalau rasa izzah tapi amalan tak ada, tak guna juga. Macam tin kosong. Isinya tak ada, bunyi je kuat. Amal tu pula kena diiringi keikhlasan. Kalau beramal tapi hati tak ikhlas dan ada rasa riak, Allah tak terima amal kita tu.

Hamie: Ha’ah la... Terasa lagi sekali... Huuu...

Huda: Betul tu

Abg Luq: Lantang bersuara tapi amalan tarak

Hamie: Jahilnya aku... T_T

Huda: Ya Allah! T_T

Tak apa dik. Sama-sama kita perbaiki dan pertingkatkan diri masing-masing. Jom jadi macam kura-kura yang berlumba dengan arnab! Insyaallah, dua minggu lagi akak akan kongsikan kisah ni ye. Ada banyak ibrah dari kisah ni yang boleh kita ambil untuk dijadikan tauladan.

Hamie: Ok, janji ye! Minggu depan tajuk apa?

Minggu depan? Insyaallah Abg Luq akan kongsikan kisah tokoh Islam.

Huda: Siapa?

Siapa? Tunggu...!!! Nanti akak hebahkan dalam forum.

Hamie: Tak apalah Huda. Yang penting tokoh. Mesti best ni. Tak sabarnya!

Fifi: Hope dapat join juga. Takut ada banyak homework.

Huda: Ala, kalau tak siap, bangunlah awal pagi. Siapkanlah...

Abg Luq: Habiskanlah cepat-cepat.

Fifi: Tak apa. Akan usahakan juga just for Islam!

Bagus semangat macam tu. Okey, dah lewat ni. Esok semua nak pergi sekolah. So, sila tidur ye sekarang. Insyaallah kita jumpa lagi minggu depan. Assalamualaikum...

Waalaikumsalam...

Thursday, July 1, 2010

Award???

Pada 20 Jun 2010 yang lalu, bila jenguk blog nih, terbaca satu pesanan kat kotak chat. MyEm0.Com Hoho... Si-Bicara-Aie-AsQalan tu tinggalkan pesanan yang berbunyi [apabila Kak Yong baca dengan suara lantang, maka berbunyilah ia],

ky, amek award kat blog sy yek :)


Ha.ha.ha... Kalau diikutkan kadar dan tahap kemalasan Kak Yong sekarang ni untuk update blog, memang la malas nak buat mende cenggini MyEm0.Com. Tapi sebab nak appreciate adik sorang ni, Kak Yong gagahkan la diri ni juga untuk buat menatang nih hoho... MyEm0.Com

Online Bestfriend Award Bicara AsQalan a.k.a Aie Hazhari


Write interesting facts about the person who gave you this award:
(Apo bondo ek den nak tulis a.k.a taip???)

1. Nama sebenar Hazhari tapi dipanggil Aie. Tak tau la mana datang AsQalan kat belakang nama dia tu ahaks MyEm0.Com

2. Duk kat Kampung Padang Balang... Hahaha... tengok Aie, betapa bagusnya akak nih sebab ingat kat mana hang duduk! MyEm0.Com

3. One of my junior kat kolej dan ambik course yang sama denganku - Childhood Education - hahaha first time kenal dia ni, macam tak percaya je dia ambik course tu huhu MyEm0.Com

4. Sangat gemar nak compete Kak Yong punyer GPA setiap semester... Tapi takpe, persaingan yang healthy tu MyEm0.Com

5. Sama-sama gila Hlovate macam Kak Yong juga. Macam pelik kan orang lelaki baca novel? MyEm0.Com Dan dia lagi seronok baca komik dari baca buku pelajaran. Sampai nak exam pun asyik lagi khatamkan segala macam jenis komik. Ikut hang la, janji exam hang score.

6. Agak terrer menggunakan Adobe Photoshop. Disebabkan kejelesan dengan kebolehan dia ni, Kak Yong selalu intai-intai MyEm0.Com camne dia guna Adobe Photoshop tu sebab dolu-dolu Kak Yong tatau nak guna pun menatang tuh haha

7. Agak kuat juga bergosip orangnya MyEm0.Com hahaha kadang-kadang mengalahkan Kak Yong

8. Dulu dia sekolah kat SMA Kuala Lumpur...MyEm0.Com

9. Dia jadi Presiden SRC a.k.a MPP untuk IIC untuk sesi selepas Kak Yong punya sesi jadi SRC tamat tempoh dan sampai ke titik deadline hahaha MyEm0.Com

10. Dah nak habis belajar dah pun kat IIC tu... Dah selamat menjalani latihan praktikal... Harap-harapnya MyEm0.Com dia tak serik dengan kanak-kanak riang ria hari raya!

11. Hah! Lupa satu benda penting! Dia ni kan pernah tolong Kak Yong tengah-tengah malam untuk print dan photostat bahan-bahan yang nak digunakan untuk program keesokkan paginya. Sanggup tu datang umah Kak Yong naik kereta...MyEm0.Com Huhu... Aie, terharu giler akak tau time tuh! Padahal rasa nak menangis je sebab benda-benda tu tak siap lagi...

Jot down 5 interesting facts bout yourself or your hobby:

1. Selalu tidur lambat. Dah tu bawah mata jadi hitam. Ada sorang kawan ni dolu-dolu masa kat Sarawak pernah panggil Kak Yong panda sebab bawah mata hitam huhu MyEm0.Com

2. Giler kat NEMO dalam Finding Nemo tu. Maybe sebab Nemo tu degil gak macam Kak Yong kot hahaha... Masa birthday Kak Yong yang ke 20 tahun, Kak Yong dapat hadiah NEMO dari Abang Wan dan Kak Ita. Huhuhu...terharu sampai nak menitis air mata je time tuh MyEm0.Com. Tapi ada benda buat Kak Yong tergelak masa dapat hadiah tu. Nak tau apa dia? Sebab Abang Wan masukkan Nemo tu dalam paperbag. Tapi ekor dia terkeluar. So, Kak Yong dah dapat tekalah apa hadiah yang Abang Wan dan Kak Ita bagi... MyEm0.Com Sampai sekarang, mana-mana Kak Yong pergi pun, Nemo tu Kak Yong akan bawak sama.

3. I'm the chocolate lovers!!! MyEm0.Com Kak Yong memang pantang betullah dengan coklat. Tak kira la, kek coklat ke, air hot choc ke, choc bar ke...yang penting ada coklat haha... Sedap weh especially kalau tengah tensen tahap tak ingat. Memang layan la kalau dapat coklat

4. Suka kumpul dan baca buku MyEm0.Com. Kat rumah ada banyak giler koleksi buku. Dari buku cerita kanak-kanak, novel penyiasatan, novel remaja, komik sampailah ke buku-buku ilmiah termasuk buku-buku yang mendidik jiwa nih.

5. Sangat tak suka bola sepak MyEm0.Com. Sebab bola sepak mengganggu waktu tidur Kak Yong (adik-adik sakan bersorak bila tengok match bola kat tv tengah-tengah malam). Satu lagi sebab, Kak Yong terpaksa berebut siaran tv dengan adik-adik. Nak buat macamana, sebab adik-adik semua lelaki, huhu terpaksa mengalah MyEm0.Com sebab diorang berempat. 4 lawan 1 mestilah 1 tu yang kalah. Tapi Kak Yong suka rugby MyEm0.Com. Kamate kamate hoooo!!! MyEm0.Com. Maybe sebab sekolah lama Kak Yong dulu selalu jadi tuan rumah rugby, dan kami 'dipaksa' jadi penonton. Best wooo time diorang rempuh-rempuh... Lawak betul bila ada yang ting-tong kepala hahaha MyEm0.Com

Pick your 10 most deserving recipients and describe them:

Kalau taknak pick sape-sape boleh tak? MyEm0.Com Alah, bolehla ye? Sebab Kak Yong tahu semua kawan-kawan Kak Yong ni kadar dan tahap kerajinan mereka untuk mengupdate blog adalah amat rendah sekali. Hahaha... Boleh la ye? MyEm0.Com Cuma sape-sape yang nak amik award ni, silah ambik. Semua orang layak je dapat award ni. Ikhlas dari hati Kak Yong bagi ni... MyEm0.Com

Me: Kenapa rasa macam ada fius terbakar dan wayar yang tercabut nih? Huhu MyEm0.Com banyak sangat makan kerepek kot

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers