Wednesday, December 30, 2009

iNsPiRaSi


[K.A.M.I] ~ Di Bawah Langit Cinta Ilahi



[K.A.M.I]??? Kenapa dengan ia? Actually ini adalah tajuk 'nukilan' yang akhirnya telah ana putuskan. Hopefully ianya akan menjadi kenyataan... MyEm0.Com walaupun sebenarnya ada 'publisher' yang sudah bertanya-tanya tetapi masa untuk ana menulis sangat-sangatlah terhad! MyEm0.Com



Kenapa [K.A.M.I] dengan ejaan yang diputuskan dengan 'noktah' dan terdapat tanda [ ] ???

K.A.M.I ---> menunjukkan perbezaan setiap individu iaitu KAMI tetapi 'noktah-noktah' itu telah menjadi penghubung antara KAMI...

Tanda [ ] ---> menunjukkan di bawah ruang lingkup yang sama iaitu di bawah langit Tuhan...

Di Bawah Langit Cinta Ilahi ---> menunjukkan kisah yang dipaparkan dalam 'nukilan' ini tetap berkisar di bawah lingkungan kasih sayang Allah...


[K.A.M.I] juga akan menemukan Pualam Di Pinggiran, Terbanglah Rama-ramaku, Aku Bukan Khadijahmu, Cinta Teratas serta beberapa lagi coretan dan nukilan yang telah melalui proses transformasiMyEm0.Com. Insyaallah selepas Cinta Teratas (CT), akan muncul pula Di Bawah Langit Cinta (DBLC) MyEm0.Com. Doakan proses menyiapkan DBLC akan menjadi lebih mudah dengan perkongsian buah fikiran dari Inche-Penglipur-Lara... MyEm0.Com


Apa pun, doakan ana terus dititipkan ilham oleh Allah untuk terus menulis dan menulis MyEm0.Com sesuatu yang bisa memberi manfaat kepada semua. Syukran jazilan buat semua yang memberi sokongan yang tidak putus-putus MyEm0.Com . Komen-komen dan perkongsian buah fikiran dari antum amatlah ana hargai... MyEm0.Com



[kY.KAMI] - curi-curi masa men'design' cover [K.A.M.I] untuk menghilangkan stress yang melanda diri... wahai inche STRESS, pi la main jauh-jauh!!!

Sunday, December 27, 2009

Cinta Teratas [Part 2]


DERETAN CHALET yang mengunjur ke tengah laut diperhatikannya sejenak. Kemudian matanya dilarikan ke arah lautan yang bergelora, lama. Desiran ombak yang menghempas pantai bagaikan melodi indah yang menyapa cuping telinganya. Ada damai yang menusuk kalbu. Subhanallah! Maha Suci Allah yang menciptakan semua ini!

*
Semesta bertasbih padaMu

Sucikan diriMu
Lafazkan asma’Mu
Gunung-gunung bintang makhlukMu
Mentari rembulan tunduk taat padaMu

Alam raya di dalam nafasnya
Berzikir alunkan dan tak pernah berhenti
Burung yang terbang di angkasa
Di laut semua menyucikan asma’Mu

Bait-bait indah dalam lagu yang didendangkan artis dari negara seberang ini tiba-tiba menjengah kotak pemikirannya. ‘Benarkah seluruh semesta ini bertasbih memuji-muji kebesaran Allah?’ Soal hati kecilnya.

‘Benar Sumayyah. Kau dah lupa kata-kata Kak Maryam? Bukankah Allah ada berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 44 yang menyatakan bahawa langit, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Tetapi hanya kita yang tidak memahami tasbih mereka.’ Bisik hati kecilnya yang satu lagi.

Astaghfirullahal ‘azim...” Sumayyah beristighfar panjang, kesal dengan kejahilannya selama ini. Air matanya merembes keluar. Dia masih ingat kata-kata Kak Maryam itu. Fikirannya melayang pada peristiwa tiga bulan lepas.

“Gunakanlah seluruh pancaindera kita untuk mengenali Dia. Gerakkanlah minda, gunakanlah mata dan juga hati. Lihatlah kebesaranNya menerusi alam sekeliling kita serta seluruh makhluk ciptaanNya. Kenali nama dan sifat-sifatNya. Dengan mata kita melihat, dengan akal kita mentafsir dan dengan hati…” Maryam Ibtihal meletakkan tangan kanannya di dada sebelum menyambung. “Insyaallah dengan hati kita akan merasai kasihNya yang melimpah ruah.”

Air mata yang membasahi pipi dikesat dengan kedua belah tapak tangan. Ya, benar! Siang dan malam tidak pernah mungkir janji untuk menjelma. Bumi tetap setia berputar pada orbitnya. Matahari tidak jemu-jemu memancarkan sinarnya. Betapa setia dan taatnya makhluk yang tidak bernyawa dan tidak berakal ini kepada Allah yang Khalik. Tetapi aku? Bagaimana dengan aku yang dipinjamkan nikmat nyawa dan akal? Sepanjang usiaku di dunia ini, berapa banyak aku bertasbih memuji-muji kebesaran Dia?

Air mata Sumayyah merembes lagi mengenangkan kejahilannya selama ini. Tiba-tiba cuping telinganya menangkap bunyi derapan kaki melangkah ke arahnya. Semakin lama semakin hampir. Dan langkah itu mati di belakangnya.

“Mai...” Suara lembut itu cukup dikenalinya. Wafa Atiyah!

Melihatkan tiada reaksi dari Sumayyah, Wafa melabuhkan punggung mengambil tempat bersebelahan Sumayyah. Bahu Sumayyah diraih dan digosok perlahan.

“Mai, pernah tak Mai fikirkan kenapa Allah tak tetapkan jodoh Mai dengan Ammar? Kenapa bukan Mai yang bakal menjadi tunangannya? Pernah tak Mai fikirkan?” Wafa memandang wajah Sumayyah disebelahnya. Sumayyah sekadar menggelengkan kepala, perlahan.

“Mai, Allah sayangkan Mai.” Lembut Wafa bersuara. Tangan kanannya menggenggam erat tangan Sumayyah.

“Sayang?” Sumayyah pantas memandang wajah Wafa.

“Ya, Allah sayangkan Mai. Sebab itulah bukan Mai yang bakal menjadi tunangan Ammar.” Wajah Sumayyah berkerut dengan seribu tanda tanya.

“Cuba bayangkan kalau Mai yang menjadi tunangan Ammar. Pastinya Mai dan Ammar akan jadi seperti pasangan di sana tu,” Wafa menghalakan jari telunjuknya ke arah sepasang kekasih.

“Bertemu tanpa ada muhrim, berdua-duaan. Mungkin Mai dan Ammar tak akan berjumpa dalam keadaan seperti ini. Ammar kan jauh di seberang laut. Tapi, bagaimana pula dengan fikiran? Bagaimana pula dengan hati? Adat orang bercinta, pastinya selalu terkenang-kenang, rindu-merindu. Tapi itu semua adalah maksiat hati. Apa yang terjadi pada Mai adalah kerana Allah masih sayangkan Sumayyah Zahidah! Allah tak nak seorang ‘Sumayyah’ tewas dengan godaan cinta sedangkan ada tugas lain yang menantinya.” Wafa menghela nafas berat.

“Kita ini khalifah Allah, Mai. Kita inilah wakil-wakil Allah. Dalam diri kita ini sendiri ada sifat-sifat Allah. Kita boleh melihat tetapi Allah Maha Melihat. Kita boleh mendengar tetapi Allah Maha Mendengar. Kita ini penyayang tetapi Allah Maha Penyayang. Dan sebagai khalifah Allah, sudah menjadi tugas kita untuk memastikan diri kita dan orang di sekeliling kita menjadi baik dan lebih baik.” Wafa menggosok lembut bahu Sumayyah yang sedang menahan tangis.

“Wafa tahu, Mai menyimpan rasa marah pada Athirah. Ye la, teman baik sendiri ‘merampas’ orang yang Mai sayang. Mai rasa ditikam dari belakang kan? Athirah mahupun Ammar tak bersalah. Belajarlah untuk membuang rasa marah tu. Siapa kita untuk punya rasa marah atau dendam pada makhluk Allah? Layakkah kita untuk punya rasa itu sedangkan kita sendiri acapkali membangkitkan kemarahan Dia.” Wafa membuang pandang ke tengah lautan yang terhampar luas di hadapannya.

“Wafa, Mai tahu Mai tak patut berperasaan macam tu. Jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah. Betul kata Wafa, Allah masih sayangkan Sumayyah Zahidah. Mai jahil Wafa! Mai jahil! Selama ini Mai hidup dengan membawa nama Sumayyah tapi Mai tak pernah mengambil semangat dan kecekalan Sumayyah, wanita pertama syahid dalam mempertahankan aqidahnya. Cinta manusia telah membutakan mata Mai!”

Wafa tersenyum nipis memandang wajah Sumayyah di sebelahnya. “Mai, hidup kita ni tak ubah macam dalam dewan peperiksaan. Selagi kita masih berada di dalam dewan peperiksaan, selagi itu kita masih ada peluang untuk membuat pembetulan di atas kesilapan yang kita buat. Tetapi, apabila kita melangkah keluar sahaja dari situ, kita sudah kehilangan peluang untuk memperbaiki kesilapan yang telah kita lakukan. Begitulah juga kita di atas dunia ni. Selagi kita masih hidup, kita masih berpeluang untuk memperbetulkan kesilapan yang kita buat. Kita masih berpeluang memohon ampun di atas segala dosa-dosa kita. Tetapi bila kita sudah meninggalkan dunia ini, takkan ada lagi peluang dan kesempatan untuk kita memperbetulkan diri.”

“Wafa, kenapa Mai tak boleh jadi macam Wafa?” Soal Sumayyah perlahan. Bibirnya diketap dan kepalanya menengadah langit biru.

“Siapa kata Mai tak boleh? Wafa yakin Mai boleh berubah. Mai, carilah cinta Dia, insyaallah kebahagiaan itu akan Mai miliki.” Wafa meraih tangan kanan Sumayyah dalam genggamannya. Sumayyah memandang lama ke dalam mata Wafa. Perlahan, bibirnya mengukir senyuman.

“Terima kasih Wafa. Terima kasih kerana mengejutkan Mai dari ‘mimpi’ ini. Mai perlukan sokongan Wafa!”

Insyaallah, Mai jangan khuatir. Bukan setakat Wafa sahaja, tapi Mai ada Kak Mar, Kak Balqis, Hanan, Dina dan sahabat-sahabat yang lain. Kami akan sentiasa membantu dan menyokong Mai.”

Sumayyah memandang Wafa di sisinya. Tubuh Wafa dirangkulnya kejap. Dia kehilangan kata-kata. Seketika kemudian pelukan di tubuh Wafa dilepas perlahan. Sumayyah menarik nafas dalam. Ada damai yang menusuk kalbu. Hembusan bayu yang bertiup lembut bagaikan mengerti akan hatinya yang dirundung kesedihan. Sedih mengenangkan kejahilan dan kelalaian diri.

‘Sumayyah Zahidah, selangkah engkau menghampiri Dia, seribu langkah Dia menghampirimu. Carilah cinta Dia kerana Dialah Pencipta Cinta…’



SUMAYYAH MENALA PANDANGANNYA ke tengah-tengah tasik. Ada damai yang menusuk kalbu. Enam bulan sudah berlalu. Alhamdulillah syukur. Usrah telah mencetuskan perubahan dalam hidup seorang Sumayyah Zahidah dan usrah jugalah yang menjadi pembekal ilmu dan pengalaman Islam buat diri ini.

Ya Allah ya Khalik…
Ya Allah ya Malik…
Asal penciptaanku datangnya dariMu,
Engkaulah pencipta, Engkaulah pemerintah…
Sedang aku cuma makhluk yang dicipta…
Dan kerna aku ini makhluk,
tiadalah aku punya sebarang hak untuk mempersoal,
apatah lagi untuk mempertikai setiap titah perintah dariMu…

Ya Allah ya Razzaq…
Ya Alah ya Rahim…
Engkaulah yang memberi rezeki…
Engkaulah yang penyayang…
Perjalanan hidupku ini adalah belas ihsan dariMu semata…
Namun sebagai yang dinamakan makhluk,
acapkali aku terleka,
dibuai indahnya fatamorgana cinta dunia…
Sedang seharusnya aku mendambakan cinta dariMu,
wahai Pencipta cinta…

Ya Allah ya Rahman…
Ya Allah ya Rahim…
Engkaulah yang pengasih, Engkaulah yang penyayang…
Pantaskah untuk aku mencari cinta manusia?
Bila mana aku sendiri ragu adakah cintaMu sudah kumiliki…
Bila mana aku sendiri bingung,
jihat manakah kiblat cintaku ini?
Adakah jihat ini yang Kau redhai?

Ya Allah ya Muhaimeen…
Engkaulah Tuhan yang memelihara…
Bila aku hampir terleka dibuai cinta manusia,
bangunkanlah aku dari kelekaan itu,
agar aku tahu aku ini sekadar layak mencari cintaMu…
Wahai Tuhan yang menghadiahkan kehidupan…
Wahai Tuhan yang menghadiahkan kegembiraan…
Wahai Tuhan yang menghadiahkan kasih sayang…
Lantas,
nikmat Tuhanku yang manakah yang aku dustakan?

Allahumma ya Allah…
Aku pohon dariMu kasihMu,
dan kasih mereka yang kasihkanMu…
Dan aku pohon amalan yang boleh menyampaikan aku kepada kasihMu…
Wahai Tuhan yang Maha Baik…
Jadikanlah kasihMu lebih aku cintai daripada diriku,
daripada keluargaku,
dan daripada air yang dingin...
Kerana cinta dariMu adalah…
CINTA TERATAS


Dan titis air mata menemani senyum segaris di bibir seorang Sumayyah Zahidah. 'Ya Allah, nikmatMu yang manakah yang aku dustakan? Terima kasih ya Allah atas cinta ini. Sesungguhnya hanya cinta dariMu yang kudambakan wahai Pencipta cinta kerana cintaMu adalah cinta teratas!' Bisik hati kecil Sumayyah. Air mata di pipi diseka perlahan. Dia menarik nafas dalam sebelum dilepas kuat. Sayup-sayup kedengaran panggilan Kekasih teragung untuk mengabdikan diri padaNya. Beg sandang diletak di bahu kanan. Langkah kaki kembali diatur menuju ke musolla.

**
Everytime you feel like you cannot go on

You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can`t see which way to go
Don`t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

'Andai semua meninggalkan diriku sekalipun, aku masih ada Dia. Dia yang takkan pernah meninggalkanku. Dia yang selalu di sampingku.' Langkah kaki diatur lebih pantas.

Everytime you can make one more mistake
You feel you can`t repent
And that its way too late
Your`re so confused,wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame

'Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang lalu... Sesungguhnya aku ini terlalu rapuh. Dalam mengejar cintaMu adakalanya aku tersasar.' Sisa-sisa air mata dikesat dengan belakang tapak tangan.

Turn to Allah
He`s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don`t let me go astray
You`re the only one that showed me the way,
Showed me the way
Showed me the way
Insya Allah we`ll find the way

'Bantulah aku ya Allah. Jangan biarkan aku terkapai-kapai dalam perjalanan panjang mencari cintaMu... Duhai Kekasih, nantikan aku untuk tunduk sujud kepadaMu!' Daun pintu musolla dikuak perlahan. Maryam Ibtihal, Balqis Zaharah, Durratul Hanan, Addina Husna, Wafa Atiyah, Amni Hifzah dan Ilmi Nafisah sudah setia menanti.




* Opick - Semesta Bertasbih
** Maher Zain - Insya Allah



**TAMAT**


Tatkala Pena Menulis,
F.H.Fansuri
Desa Sri Anuar,
Muar, Johor
27 Disember 2009
8.00 a.m
-2712091055-

Tuesday, December 22, 2009

Under construction

Sesi tukar langsir dan mengemas rumah...

Wednesday, December 2, 2009

Cinta Teratas




“MAI, AKU NAK BERTUNANG BULAN DEPAN!” Suara Muammar di hujung talian ceria kedengaran. Sumayyah khali seketika. Terasa berderau darah turun daripada wajah. Biar benar... Suaranya tak terasa nak keluar.

“Mai? Sumayyah?”

“Err... ya...” Sumayyah menelan air liur yang terasa berpasir.

“Aku ingat kau dah tertidur. Kat Malaysia kan dah lewat malam...” Muammar tertawa kecil di hujung talian.

Sumayyah tersenyum kelat. “Err... Ammar, aku ada kerja sikit nak kena siapkan. Got to go. And... thanks for calling!”

“Okey. Siapkanlah kerja kau tu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Sumayyah terdiam seketika. “Ammar?”

“Ya?”

Congratulation for your engagement anyway. Nampaknya kau dah tinggalkan aku bertapak-tapak kat belakang.” Sumayyah tersenyum tawar.

Ketawa Muammar pecah tanpa dipaksa. “Okay, take care!”

Sumayyah mengangguk perlahan. Talian diputuskan. Dia merenung skrin telefon bimbit di depan mata. Kelopak matanya terasa pedih. Dadanya seakan berbuku. Jangan menangis, Sumayyah! Kau kena kuat! Bibir bawah diketap kuat. Akhirnya empangan air mata yang ditahan sejak tadi berderai jua.

SUMAYYAH MELEPASKAN pandangannya ke luar jendela. Dia menelan liur yang terasa seakan berpasir. Wafa Atiyah, teman sebiliknya masih belum pulang. Bertapa di perpustakaan barangkali. Dia faham benar afal temannya itu. Jika tidak mengulangkaji di perpustakaan, pastinya dia bersama Kak Maryam dan Kak Balqis. Botol lutsinar berisi bintang-bintang kecil di atas meja dicapai perlahan. Hatinya kembali terasa berbuku.

Sumayyah, kau sedih? Entah.

Kecewa? Agaknya.

Kehilangan? Sangat-sangat.

Sakit? Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Botol lutsinar itu diletakkan kembali di atas meja. Hadiah dari Muammar, sahabat baiknya yang kini menyambung pengajian di United Kingdom. Empangan air matanya pecah lagi entah buat kali keberapa. Rapuhnya dikau duhai hati...

Salah akukah kerana tidak meluah rasa yang kusimpan kemas selama ini? Adakah aku yang terlewat atau dia yang terlalu cepat? Air mata di pipi diseka perlahan. Bunyi pintu dibuka dari luar tidak dihiraukan.

“Assalamualaikum...” Wafa melangkah perlahan ke dalam bilik. Beg sandang diletakkan di atas meja.

“Waalaikumsalam...” Sumayyah mengesat baki air mata dengan kedua belah tangan.

Are you okay?” Wafa melabuhkan punggung di sebelah Sumayyah. Tingkah Sumayyah semenjak dua tiga hari yang lepas kelihatan janggal di pandangan matanya. “Kenapa ni?”

Sumayyah berpaling. Wafa merenungnya dengan riak muka penuh tanda tanya.

“Baru balik ke?” Soal Sumayyah pendek.

“Eh, taklah. Semalam lagi...” Selamba Wafa menuturkan. Jawapan Wafa itu mengundang tawa kecil di bibir Sumayyah.

“Sejak bila pulak kawan sebilik Mai ni pandai buat lawak?”

“Sejak dari kandungan Ummi lagi...” Wafa menayang gigi sebaris. “Mai ni kenapa?” Wafa menepuk lembut bahu Sumayyah. Sumayyah tersenyum nipis sebelum menala pandangannya kembali ke luar jendela.

“Ammar nak bertunang bulan depan.” Sumayyah menggumam perlahan. Kelopak matanya kembali pedih dan terasa berpasir.

“Sebab tu Mai jadi macam ni?” perlahan teragak-agak suara Wafa mencecah gegendang telinganya. Sumayyah senyum tawar.

“Jangan bazirkan air mata gara-gara seorang lelaki, Mai...”

“Siapa cakap Mai menangis sebab lelaki? Saja cuci mata la... KL kan selalu berjerebu...” Sumayyah senyum plastik.

“Sejak bila pulak kawan Wafa ni jadi Tukang Karut? Kerja sambilan ke?” Dia sengih mengusik. Sumayyah mengukir senyum kecil.

“Wafa, Mai nak tanya sesuatu boleh? Dah lama Mai nak tanya tapi...” Sumayyah bersuara perlahan. Lama dia merenung Wafa di sebelahnya. Wafa mengangguk sambil tersenyum nipis.

“Mai selalu perhatikan Wafa jarang sangat ada kat bilik. Kalau tak ‘bertapa’ kat perpustakaan, Wafa selalu jumpa Kak Maryam dan Kak Balqis. Boleh Mai tahu kenapa Wafa selalu jumpa diorang?” Wafa mengukir senyum kecil.

Usrah.” Wafa menjawab mudah.

Usrah? Apa tu?” Sumayyah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Wafa senyum segaris.

Usrah ni secara mudahnya bermaksud keluarga, tapi dalam konteks kami sekarang ni, usrah merupakan sekelompok kecil Muslim yang mempelajari dan mengamalkan Islam di bawah pimpinan dan bimbingan seorang naqib atau naqibah.”

Naqib? Naqibah? Mai tak faham la...”

Naqib atau naqibah ni berperanan sebagai ayah, ibu, guru, abang, kakak, dan juga sahabat kepada setiap ahli usrah. Mereka akan bekerjasama dengan setiap ahli usrah untuk membentuk individu Muslim yang soleh wa musleh.” Wafa bersuara tenang.

“Maksudnya individu Muslim yang baik dan mampu mengajak orang lain melakukan kebaikan.”

Sepi mula menguasai ruang bilik. “Kenapa Wafa pergi usrah? Tak penat ke? Jadual kelas yang padat, mana lagi nak buat tugasan, nak buat persediaan untuk kuiz, peperiksaan...” Lama kemudian baru Sumayyah membuka mulut.

“Mai, usrah ni sebenarnya melibatkan keterikatan hati antara sesama ahli. Inilah sahabat menangis dan ketawa, sahabat yang berkongsi suka dan duka. Setiap ahli usrah punya matlamat yang sama iaitu untuk beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Bila kita selalu ikuti usrah, kita akan dapat menambah ilmu dunia dan juga ilmu akhirat. Malah, kita dapat memperbaiki mutu ibadah kita. Kalau Mai nak tau, melalui usrahlah dakwah Islam berkembang di peringkat awal kerasulan Nabi Muhammad. Dulu Rasulullah buat usrah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam bin Abi Al-Arqam.” Lembut dan tenang Wafa memberi penjelasan.

Sumayyah memandang tepat wajah Wafa. “Tak bosan ke asyik bersila menghadap muka naqibah dalam surau?”

Wafa menggeleng perlahan. “Mai dah salah faham ni. Siapa kata kami asyik bersila dalam surau? Usrah tak semestinya duduk bersila di surau menadah kitab. Sebenarnya banyak aktiviti yang kami lakukan bersama. Contohnya memanah, main bowling, paintball, ice skating, keluar makan sama-sama, berkelah, dan banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik yang dilakukan bersama-sama. Tapi biar apa pun aktiviti yang dilakukan, tetap diselitkan pengisian yang bermanfaat. Secara tak langsung, dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah antara sesama ahli usrah.”

Sumayyah senyum pahit. Jahilnya aku! Wafa, kenapa Mai tak boleh jadi macam Wafa? Sejak kita sama-sama sambung belajar di sini, Wafa banyak sangat berubah. Kalau dulu dia tak pakai stoking, sekarang dah pakai, malah siap dengan stoking tangan sekali. Baju dia pun dah tak ada stok ‘baju adik’. Semua dah tukar spesies besar gedabak. Koleksi novel-novel cinta jiwang karat yang dia sayang sangat-sangat, dah bertukar dengan koleksi buku-buku agama yang bermacam jenis. Kalau dulu lepas solat cukup dengan doa pendek je, tapi sekarang panjang sungguh zikir munajat yang dia alunkan. Kadang-kadang aku nampak dia menangis dalam doanya yang panjang. Alhamdulillah. Tapi aku? Aku masih lagi tak habis-habis dengan urusan dunia. Membuang air mata gara-gara orang yang aku sayang dalam diam, bakal menjadi tunangan orang.

“Mai...” Suara lembut Wafa mematikan lamunan Sumayyah. Sumayyah menghela nafas panjang.

“Apa kata kalau Mai ikut Wafa pergi usrah minggu depan? Nanti bolehlah Mai berkenalan dengan Kak Maryam, Kak Balqis dan ahli-ahli usrah yang lain.” Wafa tiba-tiba bersuara girang. “Sekejap ya?” Dia bingkas bangun menuju ke meja belajarnya. Laci meja ditarik perlahan. Tangannya mencapai sesuatu dari dalam laci meja.

“Wafa rasa Mai kena baca buku ni.” Wafa mengukir senyum kecil. Lambat-lambat Sumayyah memanjangkan tangan juga menyambut buku yang dihulur Wafa. Pandangannya jatuh pada muka depan buku itu. “Apakah Ertinya Saya Menganut Islam?” Wajah Wafa dipandangnya penuh dengan tanda tanya.

“Itu buku tulisan Fathi Yakan. Mai, bacalah. Moga ada manfaat dari buku tu.” Tangan Sumayyah digenggam erat. Sumayyah membelek-belek buku itu. Matanya meniti baris kata di kulit belakang buku tersebut. Wafa nak suruh Mai baca buku ni? Dahi Sumayyah sedikit berkerut. Mampukah aku?

“APAKAH SEBENARNYA MATLAMAT kita hidup di dunia ini? Sudah pastinya mardhatillah, keredhaan Allah adalah matlamat agung bagi orang-orang yang beriman. Bagaimanakah caranya untuk kita beroleh mardhatillah? Salah satu syaratnya adalah ikhlas, iaitu dengan menjadikan Allah s.w.t. sebagai satu-satunya tujuan dalam segala amalan. Kata orang keikhlasan itu letaknya di hati. Cuba kita perhatikan hati-hati kita, adakah hati kita ini benar-benar bersih?” Maryam Ibtihal memandang satu persatu wajah-wajah ahli usrah pimpinannya.

“Andai hati kita tidak bersih, andai hati kita ini sakit, andai hati kita ini kotor, bagaimana kita akan beroleh keikhlasan? Jika keikhlasan itu tidak wujud mahupun sirna, adakah mampu untuk kita beroleh mardhatillah?” Sepi mula menguasai suasana.

“Kunci kepada mardhatillah itu sebenarnya terletak pada hati kita. Oleh itu sentiasalah kita menjaga hati-hati kita ini.”

“Kak Mar, bagaimana caranya untuk membersih dan mengubat hati yang sakit?” Addina bertanya lembut.

Maryam Ibtihal tersenyum manis. “Ada sesiapa boleh jawab soalan Dina tu?”

Penuh yakin, Hanan mengangkat tangan. “Tafaddal, silakan Hanan...”

Bismillahirrahmanirrahim... Erm... antum pernah dengar lagu Tombo Ati dendangan Opick?” soal Hanan.

“Kenapa?” Wafa memandang Hanan dengan penuh tanda tanya.

“Tombo Ati atau dalam bahasa Melayu bermaksud ubat hati. Dalam lagu ni ada disebutkan ubat kepada hati itu ada lima perkara. Yang pertama ialah membaca Al-Qur’an dan memahami maknanya. Seperti yang kita sedia maklum, dengan membaca al-Qur’an dan memahami maksudnya adalah sangat dituntut oleh Islam. Di sinilah akan terhasilnya penghayatan kepada agama dan insyaallah berolehnya ketenangan kepada hati kerana Al-Qur’an itu adalah kalam Allah, kata-kata Allah. Kedua, mendirikan malam iaitu qiamullail merupakan sumber kekuatan rohani kita.” Hanan diam seketika. Dahinya sedikit berkerut cuba mengingat kembali bait-bait lirik Tombo Ati.

“Yang ketiga, berkumpul atau berada di kalangan orang-orang soleh. Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, ada menyebutkan; diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” Hanan menarik nafas dalam.

“Ini menunjukkan bahawa apabila kita berada di kalangan orang soleh, insyaallah diri kita akan terjaga kerana afal tegur-menegur, nasihat-menasihati, tidak mudah berputus asa dan sabar dalam melaksanakan ibadah. Rasulullah s.a.w. bersabda; orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri). Justeru itu memilih sahabat yang baik adalah sangat penting kerana implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi mentaliti dan moral kita. Yang keempat, memperbanyakkan puasa dan yang terakhir ialah perbanyakkan berzikir ilaallah…” jelas Hanan satu persatu. Dia menarik nafas lega. Sumayyah terpaku. ‘Hebatnya mereka!’ Desis hati kecilnya. Satu perasaan yang sukar untuk dicerna oleh minda mula menyelinap ke lubuk hatinya.

Syukran jazilan Hanan atas jawapan yang cukup baik itu. Inilah yang akak mahukan dari antum. Berani untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan.” Maryam Ibtihal menghadiahkan senyum manis buat Hanan. Hanan tersipu malu.

Akhwat yang akak kasihi… Sekarang ni akak mahu kita semua renungkan, terlalu banyak nikmat dan kurnia Allah pada kita. Nikmat mata untuk kita melihat, nikmat telinga untuk kita mendengar, nikmat mulut untuk kita berkata-kata dan tidak terhitung banyaknya nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Namun sayangnya ramai di antara kita yang lebih menyayangi ‘hadiah-hadiah’ daripada ‘Si Pemberi Hadiah’. Bukankah ‘Si Pemberi’ itu selayaknya yang lebih disayangi? Natijahnya andai kita benar-benar menyayangi ‘Si Pemberi’, pastinya ‘hadiah’ pemberiannya akan kita jaga dengan baik dan bersunguh-sungguh.”

“Kak Mar, bagaimana nak mencintai Allah?” Soal Addina.

“Kenalilah Dia… Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta…” Tutur Maryam Ibtihal penuh makna.

“Bagaimana untuk kita mengenali Allah?” Giliran Hanan pula bertanya. Maryam Ibtihal tersenyum nipis. Dipandangnya satu-persatu wajah-wajah suci di hadapannya sebelum dia menjawab soalan Hanan dengan yakin.

“Gunakanlah seluruh pancaindera kita untuk mengenali Dia. Gerakkanlah minda, gunakanlah mata dan juga hati. Lihatlah kebesaranNya menerusi alam sekeliling kita serta seluruh makhluk ciptaanNya. Kenali nama dan sifat-sifatNya. Dengan mata kita melihat, dengan akal kita mentafsir dan dengan hati…” Maryam Ibtihal meletakkan tangan kanannya di dada sebelum menyambung. “Insyaallah dengan hati kita akan merasai kasihNya yang melimpah ruah.”

“Ibadah yang wajib kita laksanakan. Ibadah yang sunat jangan sesekali kita lupakan. Tidak cukup sekadar kita melaksanakan yang wajib, meninggalkan yang haram kerana itu hanya tanda pengabdian. Laksanakanlah yang sunat, hindarilah yang makruh kerana itulah tanda kasih dan cinta kita kepada Allah.” Maryam Ibtihal tersenyum manis.

Sumayyah menekur pandangannya ke lantai. Mata terasa seakan berpasir. Dia mengetap bibir bawah. Tingkahnya disedari Wafa yang berada di sebelah kanannya. Perlahan, tangannya menggenggam erat tangan Sumayyah. Sumayyah berpaling memandang tepat wajah Wafa. Ada senyum manis yang terukir di bibir gadis itu.



[bersambung...]

Tuesday, November 24, 2009

Dzuliman, KBM & Opick...

Salam alaik, salam ukhuwwah buat semua yang bertandang ke blog ana. Rasanya agak lama juga ana tidak berkesempatan meng'update' blog ana ini maka bersawang dan berdebulah ia... (^__^)/" Alhamdulillah, berlalu sudah hujung minggu yang sangat sibuk... huhu... walaupun sangat penat (~_*)... tapi itu yang ana 'suka'...

DZULIMAN: CONVOCATION & IHTIFAL 2009



Alhamdulillah, pada 21 November 2009 yang lepas, selesailah sudah majlis graduasi dan ihtifal bagi semua cawangan Dzuliman Smart Khalifah sekitar KL dan Selangor yang berlangsung di Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam. Majlis berlangsung bermula jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang. Sesi di sebelah pagi adalah majlis graduasi manakala sesi di sebelah petang adalah majlis Ihtifal dan khatam al-Qur'an. Ana bertugas sepanjang hari sebagai jurufoto 'tak bertauliah' bertemankan Blackie tersayang. Penat rasanya sepanjang hari mengusung Blackie ke hulu dan ke hilir... duduk bersila di hadapan pentas, dan macam-macam lagi gaya dan aksi ntah apa-apa Miss Photographer ni... Paling teruk sampai tahap dah tak lalu nak pandang dan angkat Blackie ni...



Dalam sibuk-sibuk mengusung Blackie, sempat juga ana 'menyambar' sesuatu yang ana idam dan citakan selama ini iaitu 7in1. Nak tau apa dia?
7in1 = Al-Qur'an Seven in One
Kenapa 7? Sebab dalamnya terkandung teks ayat, tajwid berwarna, terjemahan, tafsir ayat, indeks kata, indeks makna dan yang paling utama, ASBABUN NUZUL... Sudah lama ana mengimpikannya dan alhamdulillah, Allah permudahkan usaha ana untuk memilikinya dengan harga RM150 sahaja.



Biarpun letih, namun syukur kerana semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang besar berkat kerjasama dari semua warga Dzuliman dan izin dari Allah jua. Moga usaha kecil ini akan dipandang dan dinilai oleh Allah dan moga nama 'Dzuliman' ini menjadi sebutan di bumi dan di langit sana... ameennn... Dan yang pastinya insan yang paling gembira adalah anak-anak smart khalifah yang dirai...



KBM UNISEL

Usai sahaja majlis graduasi, selepas Maghrib ana serta Zarina dan Anjang bertolak ke Masjid Ubudiyyah Seksyen 19, Shah Alam di mana sedang berlangsungnya program KBM untuk mahasiswa dan mahasiswi UNISEL. Sempatlah kami ber'Demi Matahari' malam itu dan membantu sepanjang slot Meniti Angin Malam. Hampir jam 1.30 pagi kami tiba di rumah. Keesokkan paginya (22 November 2009), sekali lagi kami datang ke Masjid Ubudiyyah. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan Allah berkat doa-doa dari semua dan izin dariNya. Majlid penutup disempurnakan oleh TNC UNISEL yang sangat supportive. Jelas fikrah dan visi tuan TNC berdasarkan ucapannya dalam majlis penutup. Program KBM UNISEL ini selesai lebih kurang jam 2.30 petang.



OPICK: KONSERT AMAL



Dan seterusnya pada 22 November 2009, selepas menunaikan solat Isyak, Zarina, Anjang dan ana bergerak ke Bangsar menuju ke Dewan Serbaguna TNB bagi menyaksikan persembahan Konsert Amal Opick. Biarpun badan amat letih tanpa rehat yang cukup, kami gagahkan diri juga. Lebih kurang jam 9.10 malam, kami tiba di Dewan Serbaguna TNB. Alang Atie sedia menanti kami di dalam dewan dan membawa kami terus ke tempat duduk di hadapan pentas utama. Biarpun hati dihujani dengan pelbagai persoalan, ana turuti jua. Tatkala melihat label yang dilekatkan di kerusi-kerusi di hadapan kami, ada VVIP, VIP, hati ana tertanya-tanya lagi, 'Yang ana duduk ni kerusi apa?' Rupa-rupanya kerusi 'Eksekutif'. Syukran jazilan Alang!!! Dan kerana itulah ana dapat merakam dan 'snap' gambar-gambar dengan kualiti yang agak baik dengan menggunakan Blackie lagi. Lebih dari 10 buah lagi disampaikan oleh Opick antaranya Astaghfirullah, Maha Melihat, Takdir, Semesta Bertasbih, Di Bawah LangitMu, Alhamdulillah dan majlis turut diceriakan dengan persembahan dari Ustaz Abu, kumpulan InTeam dan kumpulan Kasturi.



Sepanjang konsert itu, ana benar-benar terhibur malah begitu terpesona dengan bait-bait indah lirik lagu-lagu dari Opick. Sesungguhnya bait-bait itu mengajak semua merenung diri (muhasabah), juga mencari cinta Allah dengan memerhatikannya melalui persekitaran, bumi dan alam ciptaan Allah... Tersangat indah... Sedikit perkongsian dari ana untuk sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir ke Konsert Amal Opick yang lalu...



Kak Yong: sangat terkesan tatkala bait-bait indah lagu-lagu dendangan Opick menyapa gegendang telinga. Dan yang pastinya ana sudah addicted dan itu juga penyebab mengapa blog ini dihujani lagu-lagu dari Opick... (yang pastinya RAPUH tersangatlah best!)


Saturday, November 14, 2009

COMPLETE Palestine Walkabout

Bismillahirrahmanirrahim

Lama rasanya ana tidak meng'update' blog ini dengan aktiviti sana-sini di hujung minggu walaupun hakikat sebenarnya setiap hujung minggu ana tidak pernah kosong. Pastinya ada saja aktiviti atau program yang ana turut serta. Terasa janggal pula andai sekadar duduk goyang kaki sahaja di rumah pada hujung minggu.

Alhamdulillah, hari ini (14 November 2009)ana dan sahabat-sahabat akhwat fasi KBM yang lain seramai 7 orang; ana - Kak Yong, Anjang Kila, Alang Atie, Ika Dekchik, Ayu Ana, kMia dan Nurull telah berkesempatan turut serta dalam COMPLETE Palestine Walkabout yang diadakan di Sunway Pyramid Shopping Mall. Ana, Anjang Kila dan Nurull tiba di Sunway Pyramid sekitar 12 tengahari. Sementara menanti ketibaan Alang Atie, kMia, Ika Dekchik, dan Ayu Ana, kami sempat singgah sebentar di Star Archery. Akhirnya hasrat ana selama ini untuk memegang busur dan anak panah telah menjadi kenyataan... (^__^)/"

Dengan bantuan staf Star Archery, ana dapat memahami teknik memanah dengan betul. Satu pengalaman yang cukup bermakna. Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah mengajar anak-anak berenang, menunggang kuda dan memanah. Alhamdulillah satu daripada sunnah Rasul berjaya ana laksanakan. Sepanjang proses 'belajar' memanah ini, minda ana bekerja keras untuk berfikir di mana relevannya sunnah Rasulullah ini. Untuk memanah sebenarnya fokus yang tinggi sangat diperlukan. Minda juga perlu tenang, dan pernafasan juga harus teratur. Dan bagi pendapat ana secara peribadi, aktiviti memanah ini dapat membantu menajamkan fokus seseorang... (^_^)v



Tamat saja permainan, kami mendapat panggilan dari Ika Dekchik. Rupa-rupanya mereka berempat sudah tiba di Sunway Pyramid dan berada di Mega Lanes (bowling alley). Kami segera menemui mereka di sana. Waktu itu jam menunjukkan hampir pukul 1 petang. Nurull akan menyertai pertandingan bowling anjuran COMPLETE manakala kami akan turut serta dalam acara ice skating. Memandangkan sudah masuk waktu Zuhur, kami - ana, Alang Atie, Anjang Kila, Ayu Ana, Ika Dekchik dan kMia mengambil keputusan untuk solat Zuhur terlebih dahulu sebelum bergerak ke Sunway Pyramid Ice. Tamam solat Zuhur, kami sempat beramah mesra dengan sekumpulan remaja perempuan yang turut menyertai kempen Boikot ISRAEL. Sebelum menuju ke Sunway Pyramid Ice, afal kami yang gemar amat 'berjalan-jalan cari pasal' meronda-ronda sekitar Sunway Pyramid Shopping Mall sambil menayangkan baju boikot ISRAEL dan baju Palestine. Pantang ada pemandangan atau area yang kelihatan menarik di mata, pasti kami singgah sebentar untuk mengambil gambar... Ada replika buaya? Kami singgah... Ada kerusi? Kami duduk... (^o^)/"



Penat 'berjalan-jalan cari pasal', kami terus menuju ke Sunway Pyramid Ice. Sampai di sana, kami membeli glove dengan harga RM8 sepasang. Almaklumlah, kami semua kecuali Alang Atie merupakan first timer. Masing-masing memilih warna pink+purple dan kuning+biru. Dan buat pertama kalinya kaki ana menyarung kasut ice skating. Setelah proses pembersihan ais selesai, kami dibenarkan masuk ke ruangan meluncur. Habis dinding cermin menjadi mangsa kami. Masing-masing tak ubah seperti cicak melekap di dinding. Ana sendiri hampir setengah gelanggang asyik berpaut pada dinding walaupun beberapa kali Alang menawarkan untuk membawa ana ke tengah... Seriau, takut jatuh... itulah antara alasannya. Dan akhirnya daripada kami berenam, analah orang yang terakhir sekali berjaya ke tengah. Syukran jazilan buat coach tak bertauliah dan tak berbayar, Alang Atie dan juga Ayu. Hebat juga Ayu ni walaupun sama-sama first timer macam ana... (^__^)/"



Akhirnya setelah separuh gelanggang ana susuri dengan berpaut pada dinding, separuh lagi ana habiskan dengan berpaut pada Ayu. Tapi dalam pada berpaut, ana terjatuh juga. Gara-gara gagal mengimbangkan badan, ana terduduk di atas ais yang sejuk tu... huhu... Dan selepas tu ana berjaya membuat 3 pusingan secara solo tanpa henti. Bila terasa penat, ana keluar seketika untuk berehat dan tak lama selepas itu, masuk semula ke gelanggang. Tapi kali ini, nasib tidak berapa baik buat ana. Sekali lagi ana jatuh terduduk kerana seseorang secara tidak sengaja terlanggar ana dari arah belakang. Syukur, ana sekadar jatuh terduduk bukannya tergolek... haha... Dan bila sudah lama meluncur, orang pun semakin ramai, ais mulai cair. Dan sekali lagi ana jatuh terduduk setelah beberapa kali hampir-hampir terjatuh tapi berjaya mengimbang semula badan.

Sesuatu ana pelajari dari aktiviti ice skating ini. Melucur ais ini boleh kita tamsilkan seperti hidup kita ini. Bagi first timer seperti ana, perasaan takut untuk jatuh itu pastinya ada. Seboleh-bolehnya ana tidak mahu terjatuh kerana takut sakit. Tapi bila jatuh, ana berusaha untuk bangun dan dari situ ana belajar bagaimana untuk mengawal imbangan badan dan mengelakkan diri dari terjatuh lagi. Dan bila ana terjatuh, ada saja tangan-tangan yang sukarela menghulur bantuan untuk ana kembali bangkit berdiri walaupun mereka langsung tidak mengenali ana. Begitulah juga dengan hidup kita ini. Dalam hidup, kita seboleh-bolehnya tidak mahu menghadapi kegagalan (jatuh). Tapi bila kita terjatuh, kita akan berusaha sedaya upaya untuk bangkit semula dari kegagalan yang kita alami. Dan adakalanya tanpa disangka-sangka, ada tangan-tangan yang menghulur bantuan kepada kita. Dari kegagalan dan kejatuhan itulah kita akan pelajari satu ilmu yang sangat bernilai. Dan bagi diri ana secara peribadi, saat kita diuji dengan kegagalan dan kejatuhan itu, Allah sedang berbicara dengan kita. Allah sedang mengajar kita tentang erti sabar. Dan Allah juga sedang melatih kita untuk menjadi 'somebody'.



Alhamdulilah, selesai meluncur ais kami semua sepakat untuk mengisi perut masing-masing yang sudah menyanyikan lagu keroncong, lagu melayu asli dan bermacam-macam lagi lagu rakyat yang diputarkan dari corong radio KLASIK... NASIONAL... hehe. Kami sepakat untuk ke Restoran Sri Bidara yang terletak bersebelahan Sunway Pyramid. Tapi dalam perjalanan hendak ke car park, berputar-putar kami di aras LG2 gara-gara tidak ingat di mana letaknya pintu keluar menuju ke kereta Nurull. Dalam sibuk-sibuk mencari pintu keluar pun, kami-kami ini masih lagi sempat nak berposing. Nampak replika unta, terus keluar ayat ini dari mulut... "Nak bergambar kat sini! Jom, jom!!!" Hasil usaha kuat Anjang yang tanpa rasa malu dan ragu, akhirnya bertemu jua kami dengan 'jalan lurus'.

Dan seterusnya, aksi berani mati dari kami... hehe... bila al-Viva bertukar menjadi MPV... hoho... macam sardin cap ayam sungguh. Tapi, inilah indahnya ukhwah... (^__^) Seharian bersama akhwat tersayang pastinya menjadi lembaran baru memori terindah dalam diari hidup ana.



Ukhwah fillah abadan abada... insyaallah... Uhibbukum fillah...


Kak Yong: mata hatiku berkata, indahnya andai semangat bantu-membantu sewaktu bermain ice skating itu tanpa mengira kenal atau tidak, diaplikasikan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar di gelanggang luncur ais...

Wednesday, November 11, 2009

Cinta Teratas



(Istimewa buat sahabat-sahabatku serta saudara-saudara seakidahku)


Ya Allah ya Khalik…
Ya Allah ya Malik…
Asal penciptaanku datangnya dariMu,
Engkaulah pencipta, Engkaulah pemerintah…
Sedang aku cuma makhluk yang dicipta…
Dan kerna aku ini makhluk,
tiadalah aku punya sebarang hak untuk mempersoal,
apatah lagi untuk mempertikai setiap titah perintah dariMu…

Ya Allah ya Razzaq…
Ya Alah ya Rahim…
Engkaulah yang member rezeki…
Engkaulah yang penyayang…
Perjalanan hidupku ini adalah belas ihsan dariMu semata…
Namun sebagai yang dinamakan makhluk,
acapkali aku terleka,
dibuai indahnya fatamorgana cinta dunia…
Sedang seharusnya aku mendambakan cinta dariMu,
wahai Pencipta cinta…

Ya Allah ya Rahman…
Ya Allah ya Rahim…
Engkaulah yang pengasih, Engkaulah yang penyayang…
Pantaskah untuk aku mencari cinta manusia?
Bila mana aku sendiri ragu adakah cintaMu sudah kumiliki…
Bila mana aku sendiri bingung,
jihat manakah kiblat cintaku ini?
Adakah jihat ini yang Kau redhai?

Ya Allah ya Muhaimeen…
Engkaulah Tuhan yang memelihara…
Bila aku hampir terleka dibuai cinta manusia,
bangunkanlah aku dari kelekaan itu,
agar aku tahu aku ini sekadar layak mencari cintaMu…
Wahai Tuhan yang menghadiahkan kehidupan…
Wahai Tuhan yang menghadiahkan kegembiraan…
Wahai Tuhan yang menghadiahkan kasih sayang…
Lantas,
nikmat Tuhanku yang manakah yang aku dustakan?

Allahumma ya Allah…
Aku pohon dariMu kasihMu,
dan kasih mereka yang kasihkanMu…
Dan aku pohon amalan yang boleh menyampaikan aku kepada kasihMu…
Wahai Tuhan yang Maha Baik…
Jadikanlah kasihMu lebih aku cintai daripada diriku,
daripada keluargaku,
dan daripada air yang dingin...
Kerana cinta dariMu adalah…
CINTA TERATAS


(Petikan dari cerpen CINTA TERATAS)



Tatkala Pena Menulis,
F.H.Fansuri
Bandar Anggerik,
Selangor
11 November 2009
5.10 p.m
-1111091710-


Kak Yong: Insyaallah cerpen CINTA TERATAS masih dalam proses...doakan yang terbaik agar segala urusan dipermudahkan oleh Allah...

Saturday, November 7, 2009

SileNt...



Assalamualaikum buat semua yang berkunjung ke blog ana ini. Rasanya agak lama juga blog ini berada dalam 'silent mode' lantaran kekangan masa sejak kebelakangan ini. Terlalu banyak urusan yang perlu diutamakan dan rancangan untuk 'melahirkan' "Cinta Teratas" juga mungkin sedikit lari dari jadual asal. Apa pun, sesuatu yang sangat mengujakan bakal berlaku dan angan-angan yang dianyam selama ini mula menjadi realiti di bulan Disember nanti. Insyaallah akan ana war-warkan hal ini kelak. Moga ianya bakal menjadi langkah iftitah buat pencapaian yang lebih akhbar! Dan insyaallah, di awal Disember nanti ana akan tampil dengan cerpen terbaru yang berjudul "Di Bawah Langit Cinta" istimewa buat seorang adik. Sesungguhnya kisahmu membuatkan hati ini sungguh terkesan!




Kak Yong: sempat 'sambar' buku "Jadi, anda mahu menulis?" sewaktu pertandingan nasyid aulad anjuran JIM Petaling di PKNS minggu lalu. Moga buku ini bisa memacu penaku untuk terus menari...

Saturday, October 10, 2009

Dzul Iman oh Dzul Iman...

Alhamdulillah, setelah melalui sehari yang agak sibuk ana berkesempatan juga untuk 'menyapu sawang dan debu' yang dah memenuhi 'rumah' tersayang ini. Sedar tak sedar, bulan ini masuk bulan ketiga ana bertugas di Dzul Iman cawangan Seksyen 7, Shah Alam dan insyaallah jika masih diberi peluang oleh Allah untuk menghirup udara segar di bumi Allah pada 20 Oktober ini, maka genaplah tiga bulan ana menabur khidmat bakti di Dzul Iman. Rasanya masih banyak lagi yang perlu ana pelajari di Dzul Iman dalam usaha untuk mendidik anak-anak kecil khalifah Allah. Syukran jazilan yang tidak terhingga buat my big bos; Kak Lin juga da principal; Mummy atas semua tunjuk ajar, nasihat serta perkongsian ilmu dan pengalaman. Syukran kathiran buat barisan lembaga pengarah; Kak Bada, Kak Nani, Kak Haza dan Kak Chik yang banyak bagi peluang dan ruang buat diri ini mengembangkan bakat yang terpendam (^__^)


AIDILFITRI 1430H @ DZUL IMAN

Pada 1 Oktober 2009 yang lalu, alhamdulillah telah berlangsungnya majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dzul Iman Seksyen 7, tempat ana bertugas. Semua khalifah kecil comel dan ceria berbaju raya yang indah berwarna-warni...lebih kurang macam dalam lirik lagu raya... "warna-warni di Aidilfitri...warna-warni di Aidilfitri..." Mereka juga turut membawa 'pot luck' yang beraneka macam. Ada biskut, kek, spagetti juga kerepek. Di pihak Dzul iman, kami menyediakan sate beserta ketupat dan kuah kacang.


Khalifah kecil comel dan ceria berbaju raya beraneka warna


Sate, ketupat, bawang, timun dan kuah kacang


Majlis pada hari itu dimulakan dengan persembahan dari semua khalifah mengikut kelas. Persembahan pertama dimulakan dengan nyanyian lagu 'Balik Kampung' dari khalifah yang berumur 4 tahun. Terhibur rasa hati melihat telatah dan gelagat Amsyar Fahim, Amni dan rakan-rakannya yang lain. Persembahan kedua merupakan persembahan dari khalifah yang ana didik sendiri yang berusia 5 tahun dengan nyayian lagu 'Selamat Hari Raya'. Alhamdulillah dalam tempoh dua hari ana berjaya melatih khalifah-khalifah ini. Agak mencabar juga untuk mereka menghafal lirik lagu tersebut. Persembahan diteruskan lagi dengan nyanyian lagu 'Suasana Hari Raya' dari khalifah 6 tahun hasil tunjuk ajar Teacher Akila dan Teacher Zarina. Persembahan mereka sangat-sangat menarik minat dan perhatian khalifah-khalifah yang menonton.


Inilah dia persembahan dari anak-anak kesayanganku

Setelah selesai semua persembahan, tibalah masanya untuk menjamu selera, dan menerima duit raya dari Teacher Lin (my big bos) tapi hanya untuk khalifah sahaja...bukan untuk guru-guru (^__^)/"


"Thank you Teacher Lin!"


Dan majlis diakhiri dengan sesi bergambar di mana ana sendiri yang beraksi sebagai jurukamera (one of my task di Dzul Iman for any events).


FAMILY DAY @ PANTAI BAGAN LALANG

Hari ini 10 Oktober 2009, buat pertama kalinya ana telah turut serta dalam program sambutan Hari Keluarga Dzul Iman 2009 yang bertempat di Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor. Kami dari Dzul Iman Seksyen 7, Shah Alam seramai 11 orang seawal jam 8 pagi telah bertolak ke destinasi dengan keadaan hujan renyai-renyai sepanjang perjalanan. Alhamdulillah setibanya kami di Bagan Lalang, hujan yang turun renyai-renyai mulai berhenti.


Kak Yong was here...


Sewaktu kami tiba, staff-staff dari Tronoh, Seksyen 13, MBSA, USJ dan Putra Height telah tiba lebih awal. Kak Bada, Kak Chik dan Kak Haza juga sudah tiba. Sempat kami bersalaman dan beramah mesra sementara menanti staff-staff lain dari TM Dynamic Kids dan Putrajaya tiba. Setelah semua selamat tiba, majlis dimulai dengan bacaan doa dan sedikit taklimat dari pengerusi majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan dan beberapa pengumuman penting dari Kak Bada.


Usai ucapan dari Kak Bada, program diteruskan dengan beberapa pertandingan untuk para bapa, ibu @ staff dan kanak-kanak. Pertandingan untuk kategori kanak-kanak ialah tiup belon sampai pecah dan lumba makan kacang bersama ayah. Ana dan teman-teman dari Dzul Iman Seksyen 7 telah menyertai pertandingan 'Mencari Barang', 'Membina Istana Pasir' dan 'Menganyam Ketupat'. Setiap kumpulan terdiri dari 5 orang ahli. Ana, Anjang, Syafiqah, Dhila dan Ain memilih nama PENYU TERBANG sebagai nama kumpulan. Untuk pertandingan mencari barang, kami dikehendaki mencari duit syiling 5 sen, handpone jenama LG, kamera jenama PANASONIC, kasut berwarna merah, dan pampers kanak-kanak. Alhamdulilah, kami berjaya mencari kesemua barang melainkan kamera PANASONIC...kalau jenama Olympus senang je, sebab jenama kamera ana ialah Olympus. Tebal muka juga ana dan teman-teman sepasukan yang lain mengikut langkah Anjang yang bertanya pada orang-orang di sekeliling kami kalau-kalau mereka memiliki kamera berjenama PANASONIC. Namun usaha kami itu gagal.

Pertandingan seterusnya adalah membina istana pasir. Kami diberi masa selama lebih kurang 45 minit untuk menyiapkan istana pasir tersebut. Sepanjang proses membina istana pasir tu, sempat ana berkejaran dengan Anjang yang susah sungguh nak serius. Setiap masa mengusik orang dan bergelak ketawa. Akhirnya, siap juga istana kami yang dinamakan ISTANA PASIR PENYU TERBANG!!! Penyu pasir tu hasil kreativiti Anjang dan Syafiqa.


Kak Yong with Istana Pasir Penyu Terbang!


Selesai pertandingan membina istana pasir, ana dan Ain turut serta dalam pertandingan menganyam ketupat. Dan tanpa disangka-sangka, ana orang pertama yang berjaya menganyam ketupat paling pantas... (^__^)/"


Aksi juara menganyam ketupat!!! (^__^)/"


Selesai semua pertandingan, tibalah saatnya sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan dan sesi bertukar-tukar hadiah. Majlis selesai pada jam 1.30 petang tetapi kami berehat sebentar di chalet yang disediakan untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Zuhur. Lebih kurang jam 3.00 petang, kami bertolak pulang ke Shah Alam.

Saturday, October 3, 2009

Tatkala Penaku Menulis Lagi...

Bismillahirrahmanirrahim...
Lama rasanya jemari ini tidak ditarikan di papan keyboard untuk menyalurkan rasa di jiwa, cerita di minda ke layar maya dalam bentuk pengkisahan mengikut acuanku agar dapat dikongsi bersama teman-teman dan sahabat. Insyaallah, tidak lama lagi ana akan kongsikan kisah terbaru yang selama ini hanya berevolusi dan bercambah segala macam plotnya di minda yang terhad ini. Insyaallah dengan karya terbaru... AKU BUKAN KHADIJAHMU...



Sedikit sedutan...

Aku Bukan Khadijahmu

“AKU TERIMA NIKAHNYA Addina Husna binti Abdul Hakeem dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai…” Alhamdulillah, dengan sekali lafaz Dina sudah bergelar seorang zaujah. Terasa wajahnya merona merah, ada rasa hangat yang menjalar di wajah. Mata tiba-tiba seakan berpasir. Debar di dada semakin kuat. Di bahu sudah ditambah tanggungjawab yang baru, sebagai zaujah. Kolam mata hampir pecah namun segera diseka air yang hampir tumpah dari tubir mata tatkala mendengar ada derap langkah yang kian menghampir.

“Assalamualaikum…” lafaz salam itu perlahan namun jelas kedengaran di cuping telinga Dina. Dina menekur pandangannya ke lantai. Dijawab perlahan lafaz itu tanpa memandang wajah insan yang berdiri di hadapannya. Insan yang kini sudah halal buat dirinya. Insan yang suatu tika dulu tertulis namanya di Luh Mahfuz sebagai jodohnya. Dan kini insan itu sudah bergelar zauj buat dirinya. Inilah insan yang kini perlu ditumpahkan sepenuh ketaatan!

Tiba-tiba ada tangan yang menyentuh lembut jemarinya. Sebentuk cincin disarungkan ke jari manisnya. Dina khali seketika namun suara Wafa yang menyeru namanya mengembalikan dia ke alam nyata. Dengan perlahan, Dina mengucup lembut penuh hormat tangan yang sebentar tadi menyarungkan cincin ke jari manisnya, lama. Dia masih gentar untuk memandang wajah insan di hadapannya. Perlahan, dagunya disentuh dan dahinya dikucup lembut. Setitis demi setitis air jernih mengalir dari pelupuk matanya. Ya Allah, terima kasih atas anugerah terindah ini!

“Terima kasih kerana sudi menjadi isteriku, Addina Husna. Dirimu adalah permata yang selama ini kucari. Inilah nikmat teragung kurniaan Ilahi pada diriku. Insyaallah, abang takkan sia-siakan Addina. Uhibbuki fillah…abadan abada…” perlahan bicara itu dibisikkan ke telinga Dina.

Teragak-agak, Dina memandang tampang di hadapannya ini. Ada senyuman di wajah itu. Senyuman yang penuh makna! Inilah dia suamiku... Ameer Fikri bin Khaleed!

Mabruk! Moga Baitul Muslim yang di bina ini berkekalan hingga ke jannatul FirdausBarakallahu ‘alaykum…” Wafa tersenyum nipis memandang dua orang sahabatnya yang kini sudah bergelar suami isteri.



Insyaallah, kisah penuh akan dikongsikan tidak lama lagi.

KY: baru kutemu kembali 'feel' nak menulis...

Monday, September 28, 2009

Kisah Seminggu

Assalamualaikum, salam lebaran, salam ceria, salam ukhuwwah... (berapa banyak salam daa...) Alhamdulillah, hari ni kita dah berada di hari yang ke 8 dalam bulan Syawal 1430H. Dah lebih seminggu blog ni tak bersapu dan tak berkemas (^__^)/" memandangkan tuan rumahnya balik ke desa terchenta... Kalau masih ingat, telah ana khabarkan bahawa ana pulang ke desa terchenta pada tanggal 18 September bersamaan 28 Ramadhan. Dan insyaallah dalam entry kali ini ana akan berkongsi cerita-ceriti kisah seminggu di desa terchenta.

PULANG KE DESA

Alhamdulillah, seperti yang dijadualkan ana bakal menaiki bas Transnasional KL - Batu Pahat pada jam 6.00 petang. Jadi, selepas Zuhur Ukhti Zar telah menghantar ana ke stesen komuter Shah Alam. Terima kasih daun keladi ye Zar!!! Setelah agak lama menunggu, akhirnya train tiba tepat jam 2.30 petang. Train yang ana naiki agak penuh dan memaksa ana untuk berdiri hampir setengah jam. Akhirnya pada jam 3.30 petang, ana tiba di stesen komuter Bank Negara. Kelihatan lautan manusia mula memenuhi ruangan stesen komuter bank negara. Ana bergegas ke stesen LRT STAR - Bandaraya. Barisan manusia yang beratur untuk membeli tiket di kaunter agak panjang. Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit menanti LRT pun tiba dan destinasi ana yang seterusnya adalah stesen LRT Bukit Jalil. Tatkala jarum jam melewati pukul 4.30 petang, ana tiba di perkarangan tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil di mana bas-bas ekspress yang menuju ke selatan ditempatkan di sini.

Tempat yang ana tuju setelah mengenalpasti 'platform' untuk bas Transnasional ialah musolla. Disebabkan waktu Asar sudah tiba, ana langsung menunaikan solat Asar sebelum 'berehat' sementara menunggu jam 6.00 petang (tidur sebenarnya...penat sangat walaupun tau tak elok tidur lepas Asar). Jam 5.30 petang ana terjaga lalu meneruskan langkah ke 'platform' bas Transnasional. Setelah beberapa ketika menjeling-menjeling kubertentang dengan beberapa deretan bas, akhirnya berjumpa jua ana dengan bas Transnasional KL - Batu Pahat (^0^)/"

Bas bergerak meninggalkan perkarangan tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil kira-kira jam 6.10 petang. Alhamdulillah, trafik berjalan lancar dan inilah kali pertama ana berpengalaman berbuka puasa di dalam bas. Dan akhirnya ana selamat tiba di pekan Parit Sulong kira-kira jam 9.30 malam. Adik sudah sedia menunggu dengan kereta proton emak. Tapi bila tangan ana disalami boleh pulak Adik suruh ana drive sendiri balik rumah. Bertuah sungguh adik yang seorang ini. Rupa-rupanya dia dah ada rancangan lain dengan kawan-kawannya. Nak tak nak ana drive la juga. Alhamdulilah tak banyak lagi kenderaan di jalan raya sedangkan kebiasaannya waktu-waktu begini jalanraya di pekan sudah mula sesak dengan kenderaan mereka-mereka yang pulang ke kampung.

Destinasi pertama ana ialah rumah Atuk dan Nenek. Yang sangat-sangat best adalah Nenek dah siap masakkan my favourite yang memang tak boleh dapat kat kedai. Cuma boleh didapati di dapur rumah nenek dan rumah mak je... (^__^)/" Khalas menjamu selera dan melepaskan rindu pada Atuk dan Nenek, ana pun terus pulang ke rumah yang hanya kira-kira 10 minit perjalanan dari rumah Atuk dan Nenek.

MEMBELI DAN MEMBELAH

Seawal jam 7.30 pagi di hari Sabtu yang indah ana beserta Emak, Ayang dan Nenek pergi ke Pekan untuk menjemput Aji yang baru tiba dari Tronoh selain pergi ke pasar dan bazaar untuk membeli beberapa keperluan untuk hari raya. Ana sangat-sangat teruja sewaktu sesi membeli dan membelah kali ini kerana inilah pertama kalinya ana dapat membelanjakan duit ana sesuka hati sesedap oren untuk membeli beberapa barangan untuk Atuk, Nenek, Emak, Iwan, Aji, Ayah dan sudah semestinya untuk Ayang yang sudah siap sedia pelan rancangan 'ketuk-mengetuk'. Dialah yang paling sakan raya tahun ni. Walaupun banyak juga 'Ringgit Kasorga' yang melayang tapi ana tak kisah sebab dah lama ana simpan hasrat nak berbelanja untuk mereka-mereka yang ana sayangi. Alhamdulillah tercapai jua... Ayat yang keluar dari bibir Ayang, "Penatlah tapi seronok!!!" Seronoklah sebab serba serbi dapat...heh! Tapi ayat yang paling buat ana macam nak gantung dia kat pokok tauge ialah, "Ayang teringin la nak ada abang ipar..." Sungguhlah dia tu tak sedar diri, abang-abang dia kan dah berderet!

1 SYAWAL 1430H

Alhamdulillah Syawal tiba lagi walaupun terasa sayu di hati mengenangkan Ramadhan yang telah berlalu pergi. Lebaran bagi keluarga ana serba sederhana dari semua sudut. Kalau dari segi masakan dan juadah, kai lebih selesa dengan hidangan Soto Ayam sahaja. Boleh dikatakan setiap kali tibanya lebaran, itulah menu kami. Lagipun Nenek pastinya sudah menyediakan ketupat nasi, rendang, kuah kacang, dan kuah lodeh. Dan jika kami bertandang ke rumah pakcik ana di Sungai Balang di sebelah petang 1 Syawal, nak tak nak memang kami kena makan juga hidangan yang serupa. Ini sekadar strategi untuk mempelbagaikan juadah...haha...sedangkan hakikat yang sebenar adik-adik ana sangat cerewet dalam bab makan. Yang ni tak suka rendang, yang sorang tak suka itu ini begitu begini...

Usai bersalaman dan bermaaf-maafan, kami sekeluarga menuju ke rumah Atuk dan Nenek. Kemudian ke rumah pakcik-pakcik yang ada di kiri kanan dan belakang rumah Atuk dan Nenek. Kemudian sesi ber'posing' berjamaah. Dan kali ini adik-adik lelaki ana ni senang pula nak disuruh bergambar sama-sama sedangkan mereka-mereka ni selalunya agak liat nak bergambar tak macam kakak diorang yang pantang nampak kamera ni...haha...


Gambar family ana bersama Atuk dan Nenek



Selepas Zuhur, kami meneruskan ziarah lebaran ke rumah pakcik sebelah ayah di Sungai Balang, Muar. Inilah rutin kami setiap tahun di lebaran yang pertama.

MARHABAN

Dilahirkan sebagai anak Jawa dan dibesarkan di dalam lingkungan masyarakat Jawa, tradisi Marhaban dari rumah ke rumah atau dikenali sebagai BARA'AN di kalangan masyarakat Jawa sudah sebati dalam diri. Biasanya di kampung ana, marhaban untuk kaum lelaki diadakan pada hari raya kedua dan marhaban untuk kaum wanita pada hari raya ketiga. Itulah juga sebabnya ana dikenakan 'perintah berkurung' pada kedua-dua hari ini. Kumpulan marhaban ini akan bergerak dari satu rumah ke satu rumah, bersalawat dan bertujuan menziarahi jiran tetangga serta bermaaf-maafan di hari lebaran. Kelebihan marhaban ini ialah tak perlu susah payah lagi untuk kami beraya dari sebuah rumah ke sebuah rumah di kampung. Kalau dah ikut marhaban, kira dah pergi beraya sekampung la!

SAKIT ITU NIKMAT

Di hari raya keempat hingga keenam ana tidak begitu sihat. Batuk yang melanda diri semenjak sebelum Ramadhan semakin teruk. Ditambah dengan sakit tekak, sampai hilang suara ana. Alhamdulillah setelah berehat, tahan nafsu makan terhadap segala macam kerepek, telan Breacol dan panadol, keadaan bertambah baik. Si-Kayu dan Si-Kelapa sudah tidak memberi kesan lagi pada ana sehingga ana terpaksa beralih kepada Breacol. Mohon maaf pada sesiapa yang ana tidak dapat jawab panggilan-panggilan telefon anda... Allah tarik sebentar nikmat suara itu...

(Si-Kayu: ubat batuk jenama WOODS dan Si-Kelapa: ubat batuk cap kelapa laut Afrika)

WALIMAH

Tanggal 26 September bersamaan 7 Syawal yang lalu ana dan Aqilah (teman sewaktu di angku sekolah menengah) menghadiri majlis walimah teman ana Siti Sharmimi dan pasangannya Suhaimi. Siti Sharmimi ini merupakan teman sebelah meja dan sebelah kerusi sewaktu ana berada di tingkatan 4 dan 5 di SMK Dato' Sulaiman Batu Pahat. Di sana kami bertemu teman-teman lama yang suatu tika dulu menjadi teman sekelas, yang dulu menjadi lawan bertekak, yang dulu menjadi lawan bercakap... Ana hampir tidak mengenali beberapa orang teman terutamanya yang lelaki. Wajah masing-masing banyak berubah seiring pertambahan usia. Gembira rasanya berpeluang bertemu kembali setelah bertahun-tahun tidak bersua muka.

PERGI BERAYA

Pulang saja dari majlis walimah S&S (Sharmimi & Suhaimi) ana singgah sebentar di rumah Aqilah. Dia merupakan teman yang duduk di meja belakangku. Kami pernah digelar 'kembar' oleh seorang cikgu di sekolah kerana sering 'ukur sekolah' bersama-sama. Almaklumlah, hanya kami berdua sahaja pengawas perpustakaan di kelas sewaktu tingkatan 4, jadi kemana-mana sahaja, pasti kami berdua. Dia kini bertugas sebagai guru matematik di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat. Selesai rumah Aqilah, ana singgah ke rumah Ella, teman ana sedari ana sekolah tadika. Dia kini bertugas sebagai guru J-QAF di sebuah sekolah rendah di daerah Muar. Dan ana kemudiannya 'menyeret; Ella bersama ke rumah teman ana Lili yang khabarnya sudah berbadan dua. Alkisahnya teman ana itu tinggal tunggu masa je nak melahirkan. Dia juga bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Port Dickson, N9. Hurm...rata-rata teman-teman ana menjadi pendidik.

BALIK BANDAR


Setelah seminggu di desa terchenta, akhirnya tibalah saat dan waktunya untuk ana kembali semula ke Bandar Anggerik untuk memulakan kembali tugas ana sebagai pendidik. Sayu je rasa di hati terkenangkan ayam itik, pokok getah, pokok kelapa sawit yang bakal ditinggalkan..ahaks... =) Ana menaiki bas Mayang Sari ke Kuala Lumpur dari bandar Muar pada jam 9 pagi dan akhirnya tiba di Bukit Jalil pada jam 11.30 pagi. Ana mengambil LRT ke Titiwangsa dan Ina, teman ana sedia menanti di sana. Seterusnya kami terus pulang ke Shah Alam melalui Lebuhraya Duke - Lebuhraya KESAS. Tamatlah sudah cerita-ceriti kisah seminggu ana berhari raya di desa terchenta.

KY: Mohon maaf pada mereka-mereka yang tidak dapat ana ziarahi...kondisi badan tidak mengizinkan... 'Asif khatiran...

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers