Friday, December 9, 2011

Susahnya Nak Jadi Budak Baik!


Assalamualaikum w.b.t
Moga sahabat-sahabat yang menjenguk dan mengintai blog ini dalam keadaan sihat fizikal dan sejahtera iman. Senyum dulu! ^__^ *wink wink! Kenyit mata!


Siapa nak jadi baik angkat tangan!!! *sambil dua-dua tangan diangkat ke atas haha* \(^_^)/

Alhamdulillah, semua nak jadi baik kan? Tapi baik tu macam mana? Cukup ke dengan tak kacau orang tu dikira baik? Cukup ke bila pakai tudung, dengar cakap mak ayah bla bla bla tu dikira baik? Adakah tak jadi orang jahat tu dikatakan sebagai baik? Hurm... Jadi apakah definisi bagi orang yang baik tu??? Orang yang sangat sempurna takde cacat cela ke? Atau orang yang macam Fahri Si Ayat-ayat Cinta ke? Atau orang yang bijak pandai tahap tak hingat ke? Hoho... Tamau pening-pening. Kita nak definisi baik yang macamana? Definisi baik dari kamus manusia atau definisi baik dari pandangan ALLAH? Kalau nak jadi baik dari pandangan Allah, senang je nak sebut. Buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang. Tapi senang ke nak buat??? Errrr... (@_@) <--- DUSH!


Kenapa ye susah nak jadi jadi baik dengan berbuat bukan bercakap? *faham ke??* Woahhhh rasa macam kena hempap batu besar atas kepala! Kenapa ada orang *tak terlepas diri sendiri* susah nak tinggalkan dosa? Sebabnya 'dosa' tu kan menyeronokkan. Inche Syaitan pun seronok jadi fire stone duk bisik-bisik kat telinga kita suh buat dosa. Bagi kita 'pahala' tu macam tak ada nilai, menyusahkan! Sebab apa? Sebab kita tak nampak 'pahala' tu macamana rupanya. Agaknya kalau hijab mata kita ni Allah bukak untuk nampak rupa 'pahala' tu, takde kot orang nak buat dosa. Dan semua ni berlaku sebab kita melihat dengan 'mata' manusia. Faham tak? Ke tak faham apa saya cakap?

Hurm... Macam ni. Kita ni macam budak kecik yang tengah tengok mak kita buat cross stitch dari bawah. Apa yang kita nampak pada cross stitch tu dari pandangan bawah? Buruk kan? Berselirat sana sini! Lepas tu kita pun komplen kat mak kita yang cross stitch tu buruk! Tak cantik! Buang masa je buat! Lepas tu mak kita pun tarik tangan kita suh duduk kat sebelah dia. Mak kita pun tunjuk cross stitch tu dari pandangan atas. It's sooooooooooooooo beautiful!!! Haaaaa...so dah dapat jawapan kenapa kita nampak kebaikan atau nak jadi baik tu susah bebenor??? Sebabnya cara kita pandang kebaikan tu yang tak betul!


Tapi nak jadi budak baik tu tetap susah kan? Like my kakak-ketua-bulatan-riang-ria cakap, dulu masa mula-mula lepas dia di'sentuh' pun, dia terasa susah sangat. Especially bab nak istiqamah ni. Nak baca ma'thurat pagi petang pun lemah je rasa. Nak habiskan baca al-Kahfi hari Jumaat, rasa macam ape je. Tu tak termasuk lagi baca al-Mulk tiap-tiap malam! Tengok orang lain baca ma'thurat laju macam air mengalir sebab dah lekat kat otak. Tapi dia terkial-kial nak bagi habis baca. Saya pun penah lalui benda yang sama. Seriously! The same things happen to me!!! Saya disentuh agak lambat. Sangat jeles kot bila tengok anak-anak pakcik makcik yang dari dalam perut lagi dah terdedah dengan benda-benda ni. Saya ni dah layak jadi bini orang baru dapat *umur 22 tahun dah layak jadi bini orang kan???* So untuk kamu-kamu yang dah dapat pendedahan dari awal, sila jangan sia-siakan. Kamu beruntung banget ok!

Bayangkanlah, umur 22 tahun baru dapat pendedahan. Dah berdaki kot habits yang tak berapa nak baik tu kat 'badan'. So it's really-really susah for me ok! Kelip mata sekali takkan boleh berpusing 360 degree! Tapi macam kakak-ketua-bulatan-riang-ria cakap, pelan-pelan kayuh. Teruskan kayuhan. Tak kisah la walaupun perlahan. Yang penting kena terus mengayuh. Kalau berhenti kayuh, jawabnya gedebuk la jatuh kalah nangka busuk. Sangat jeles ok bila tengok orang lain macam keretapi ekspress je menghafaz juz amma. Me? Ngeeeee... rasa macam nak ketuk-hantuk kepala kat dinding je.


Sebenarnya, solusi terbaik mudah je. D-O-A! Itu senjata kita. Minta pada DIA yang Menciptakan untuk bantu kita terus teguh. Tugas kita ialah usaha! Kayuh jangan berhenti. The rest, serahkan pada DIA. “We do our part, Allah will do the rest.” Allah tidak akan melihat kepada hasil, kesan atau natijah perbuatan kita tapi Allah melihat siapa yang terbaik amalannya.

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji siapakah di antara kamu yang terbaik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.”

(Al-Mulk: 2)




USAHA + DOA + TAWAKAL = KEJAYAAN

"Selamat bermujahadah dan selamat jadi budak baik!"

"Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis!"


Pssttttt... nak habiskan al-Kahfi di hari Jumaat *kebetulan hari ni pun hari Jumaat* ia agak tough bagi sesiapa yang tak biasa, tapi tak salah untuk cuba membiasakan.. Biar sampai jadi "alah bisa tegal biasa..." *ambil kain ikat kat paler, capai mushaf, then go!!* Moga ianya menjadi amalan mingguan kita insyaAllah.. Ameen ya Rabb... <---ini kata-kata Akh Ubadah Lokmah yang saya kidnap dari FB dia hoho

SHE : untuk semua lukisan comel ni, kredit untuk Kak Zira sebab kalau tader G-pen tablet tu, lukisan tu takkan jadi secomel tu ^^

Saturday, December 3, 2011

[TINTA] Sahabat Hingga Syurga!



Titipan ini khusus buat cintaku, HoneyBee~



Sahabat Hingga Syurga!

Masih segar dalam ingatan
Iftitah perkenalan
Merentas alam maya
Tanpa suara, tanpa wajah
Jemariku senang bercerita
Matamu setia mendengar

"Eh awak, kenapa senyum-senyum?"
Soalnya angkat kening double jerk
"Tak ada apa. Teringat kisah lama."
Aku kenyit mata
"Kisah mana?"
Keterujaan terzahir di wajahnya
"First kenal, first jumpa. Hebat kan aturan Dia?"
Kusandarkan belakangku di belakangnya
Dia tersenyum panjang

"Awak, saya sayang awak!"
Perlahan ia muntah dari bibirku
Dia membisu
"Awak, kalau awak bahagia, saya turut bahagia.
Kalau awak gembira, seribu kali saya gembira untuk awak"
Tuturnya penuh makna
Aku pantas menoleh
Kugenggam erat tangannya
"Awak, boleh janji sesuatu dengan saya?"
Dia senyum mengiakan
"Terus genggam tangan saya. Jangan pernah lepaskan.
Saya takkan pernah kuat tanpa awak
dan tanpa DIA..."

Bahuku diraih ke dalam pelukannya
"Insyaallah, sahabat hingga syurga..."
Mutiara jernih menitis di pipi
'Syukur Tuhan atas sahabat ini...'




[SHE]
1306
031211
Secrets
Tinta Sahabat Hingga Syurga!

Wednesday, November 30, 2011

[TINTA] Kesabaran Yang Tiada Batas!


Titipan ini khusus buat adindaku, Dang Hanum~



Kesabaran Yang Tiada Batas!

Air mata merembes di pipi
Dia melabuh punggung mengambil tempat di sisi
Bahuku dipeluk erat
Mengalirkan kekuatan buat diriku ini

"Penat ye?"
Bisiknya perlahan
"Penat, tang perasaan..."
Balasku sukar
"Sape kaco? Meh karate sikit!"
Ujarnya sambil tangan mengawang ke udara
Tingkahnya membuah tawaku
"Orang...pi karate dia!"
Ujarku sambil tangan menyapu air mata di pipi
"Meh, kita silatkan dia! Lipat 12! Haha"
Dia senyum segaris.
"Takpe, kesabaran tiada batasan. You can face it!"
Aku tunduk, kepala menekur ke bumi

"Kenapa kesabaran tu tiada batasan?"
Soalku buntu
"Kesabaran yang dikatakan ada batasnya ialah titik di mana kita tidak mahu bersabar lagi."
Kesabaran yang ada batasnya adalah satu alasan!
"Sikit je kena sabar... Sikit je... Sebab kejap lagi pelangi nak muncul!"
Dia tersenyum sambil menggenggam erat tanganku

Subhanallah! Maha Suci Allah!
Dalam sendu yang Kau titipkan
Ada kekuatan yang Kau pinjamkan
Ada penyokong yang Kau berikan
Maka nikmat Tuhanku yang manakah yang aku dustakan???


[SHE]
1700
301111
Secrets
Tinta Kesabaran Yang Tiada Batas!

Tuesday, November 29, 2011

[PUISI] Aku Rindu Saat Itu!


Puisi ini dedikasi khusus untuk Cik Moon. Saya rindu kamu!



Aku Rindu Saat Itu

Jujur!
Aku rindu saat itu
Saat bibir riang berkicau
Dan kau setia mendengar
Sambil bibir mengukir senyum

Jujur!
Aku rindu saat itu
Saat air mata merembes di pipi
Kau memelukku dari sisi
Membisikkan bicara menguat hati

Jujur!
Aku rindu saat itu
Saat kembara kita bersama
Kau menjadi nakhoda
Sedang aku di sisi gigih menghiburmu
Agar hilang segala kantukmu

Jujur!
Aku mahu saat itu berulang lagi
Saat di mana kau dan aku
Menyulam kasih kerana Ilahi


[SHE]
1754
291111
Secrets
Puisi Aku Rindu Saat Itu!

Thursday, November 24, 2011

Menjemput Senyum ^^



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum buat semua yang sudi bertandang ke laman yang lama menyepi ini. Alhamdulillah, syukur! Akhirnya Allah izinkan jemari ini mengetuk papan kekunci (baca: post new entry) Bila jenguk akaun blogger, banyak benor yang berstatus DRAFT. Satu persatu di-klik. Ada yang bertajuk, tapi tak berentry. Ada yang cuma sebaris dua ayat. Bila fikir-fikir balik, tak ingat apa benda sebenarnya yang nak disampaikan. Hihi! Akhirnya kata putus diambil. Klik! Klik! Klik! -DELETE-

Kalau diturutkan rasa hati, laman ni nak ditutup je. Tapi terasa sayang! Dah lama. Ada sentimental value. Ada kenangan. Ada senyuman. Ada air mata. Semuanya ada. Bermula pada tanggal 22 Julai 2008 <---zaman ketika masih menuntut di IIC. Saya masih ingat, seorang pensyarah yang juga saya anggap sebagai kakak pernah menyampaikan kata-kata dari seorang Ustaz. "Dia tu laptop pun tak ada, tapi boleh manage website forum!" Tu tak termasuk sakan berblog hoho... Nak tau macamana saya buat??? Ho.ho.ho. saya menggunakan sepenuhnya 150% kemudahan komputer kat library kolej. Kalau tengok kat buku 'booking' PC, hari-hari ada nama saya. Sampai abang kakak kat library tu dah kenal muka saya ^_^

Sebelum menggunakan BLOGSPOT, saya terlebih dulu menggunakan BLOGDRIVE. Nak tau sejarah saya mula berblog? Ringkasnya, saya suka menulis. Dan pada waktu yang sama saya suka membaca cerpen atau novel. Melalui website forum UPMU, saya menenemui blog seorang senior medik yang mengandungi e-novel. Apa yang buat saya teruja ialah dia budak medik dan dia seorang LELAKI!!! (Takjub kot lelaki boleh hasilkan e-novel yang best amat). Dari senior ini (saya panggil dia DrMeow hoho) jugalah saya mengenali HLOVATE ^^, Entah macamana akhirnya saya pun membina laman blog saya sendiri di BLOGDRIVE dengan tunjuk ajar DrMeow. Waktu itu tahun 2007. DrMeow juga la yang sikit sebanyak mengajar saya membuat html code untuk pautan di bahagian tepi blog. And the rest is history. Untuk DrMeow, walaupun nampak simple dan kecil, ilmu tu sangat besar nilainya tau! Saya doakan Dr dan Kak Noza dikurniakan zuriat yang soleh solehah dan bait Muslim yang di bina kekal hingga ke syurga. Ameennn... Klik SINI untuk ke laman blog DrMeow. Tapi sekarang DrMeow pun dah pindah 'rumah' ke BLOGSPOT hoho...

So berbalik semula kepada maudhu' (baca: tajuk). Ada banyak asbab sebenarnya yang menyebabkan blog ni lama menyepi. Tapi tak perlu rasanya dicanangkan di sini melainkan cerita-cerita itu ada nilai komersil dan boleh menghasilkan royalti yang berkoyan-koyan untuk saya hoho!!! Apa pun yang berlaku, saya terima ia sebagai satu proses pembelajaran yang Allah telah aturkan buat saya. Ye, ada masanya rasa sangat down! Rasa macam nak lari jauh-jauh! Rasa macam nak pinjam je pintu suka hati Doraemon tu supaya saya boleh pergi tempat lain sekelip mata! Tapi persoalannya, sampai bila saya nak lari dari masalah? LARI itu takkan dapat menyelesaikan apa-apa. Apa yang perlu dilakukan ialah berhenti berlari, dan hadapi apa pun ujian yang mendatang dengan berani! Dalam waktu yang sama jangan pernah berhenti menembak doa agar DIA Yang Menciptakan memberi kekuatan dan kesabaran buat diri. Oleh kerana DIA Yang Mencipta, maka DIA jugalah yang berkuasa ke atas diri ini. That's a lesson actually. Dan alhamdulillah, setiap hari bila menjenguk laman FB atau website Langit Ilahi, pasti ada saja pujukan-pujukan dari DIA yang disampaikan melalui sahabat-sahabat di LI.
"Untuk orang mu'min, dugaan adalah keceriaan. Kerana dia mengambil manfaat daripada cabaran, sebagai batu loncatan yang menguatkan."

Akhirnya, keputusan diambil. Start a new chapter of life! Alhamdulillah, hati semakin tenang. Ada senyuman terpancar di mata. Syukur atas nikmat ujian! Ujian yang semakin mendekatkan dengan cinta yang SATU!

Telah lama pasang azam nak hidupkan semula blog ni. Apatah lagi bila menjenguk blog adik-adik yang kat bumi sebelah sana. Yang tak nampak oleh mata. Jenguk blog Sakeena, ada senyum terukir di bibir. Ada bahagia bermukim di hati. Moga dakwah terus subur di bumi Manchester. Jenguk pula blog Aie Si Budak AsQalan yang senyap-senyap je dah terbang sampai ke Birmingham. Akak JELES ok! But I'm really proud ada junior macam kamu walaupun kamu dah buat harta nota mind map akak yang comel tu haha. Cari dan galilah PERMATA di sana. Sebab Allah dah bagi peluang pada Aie. Grab the opportunity coz u're LOGAM! Kalau tak faham, pi tanya Kak Keena apa benda LOGAM tu hoho... Jenguk pula blog Ecah Pencinta LongBean kat Kacang (baca: Walnut), California. Rindu oooo... Teruskan menulis dan berkongsi ye dik! Sangat memberi inspirasi buat akak. I luv u so much for the sake of Allah! Untuk adik-adik yang lain tu; HoneyBee dan Hanum, sila rajin-rajin update blog yek hihi...

Dan akhirnya, alhamdulillah, syukur!!! Allah beri peluang! Allah beri kesempatan! Allah beri ruang dan Allah izinkan jari-jemari ni bergerak untuk mengetuk papan kekunci dan akhirnya, terupdate juga laman blog ini. Buat Hilal Asyraf - pengasas LangitIlahi.com, teruskan memberi tips-tips yang bermanfaat untuk para blogger. Dan jangan jemu mengajak manusia kembali menjadi HAMBA. Semoga Allah redha~

Terakhir sekali, suka saya berkongsi pujukan Allah yang disampaikan melalui Akhi Hilal Asyraf yang sangat bermakna buat diri ini,
"Bangun dan berusaha menjemput senyum! Janji-janji Tuhan mendidik diri untuk terus TABAH!!!"


Jom menjemput SENYUM!!! Senyum lebaq-lebaq naaa!!! ^________^




DIA Itu Dekat!

Penat!
Lelah!
Hilang segala kudrat untuk berlari
Terbaring keletihan di dataran kehidupan
Air jernih mengalir laju
Aku penat untuk berjuang!
Angin semilir terasa di pipi
Membisikkan kata-kata menenangkan gejolak jiwa
"Ikutlah gerak kakimu yang didasari oleh gerak hatimu..
Susurilah irama kehidupan barumu
Dicoretkan oleh DIA yang paling dekat di hati...
Ingatlah,
DIA selalu DEKAT
LEBIH DEKAT dari urat lehermu...


[SHE]
1059
271011
Secrets
Puisi DIA Itu Dekat!

Wednesday, June 1, 2011

Soal Hati





Kali ini, ingin kubicarakan soal hati...
Kerana hati itu begitu dekat dengan diri kita...
Kerana hati itu begitu halus sifatnya...
Bila hati itu gelisah, seluruh afal jadi gundah...

Hati seperti lautan...
Luas, tidak kelihatan pesisirnya...
Ia juga dalam, tidak terduga dasarnya..
Jangan sampai tersesat,
bimbang tidak akan ketemu jalan pulang ke pangkalan...

Pernahkah kita koreksi kondisi hati kita?
Bersihkah?
Hitamkah?
Berkaratkah?
Atau hati kita sedang gelisah?
Atau pun hati kita sudah mati?
Astaghfirullah...

"Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku
maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit."
(Taha:124)

Mungkinkah kerana kita berpaling dari DIA, maka hati menjadi gelisah?
Mungkinkah kerana kita jauh dari DIA, maka hati menjadi gundah?

Ayuh kita koreksi kondisi hati kita...
Hati bisa jadi keras andai kita biarkan ia lalai dari mengingati Allah dan Rasulnya...
Percayalah...
Ianya benar bukan sekadar omongan kosong...

Cuba kita imbas kembali sirah Rasulullah...
Sebelum hadirnya sinar Islam,
kebanyakan sahabat berhati keras, degil...
Hingga ada di antara mereka yang tergamak menanam
anak perempuan sendiri hidup-hidup...

Namun, setelah sinar Islam muncul
mereka berubah menjadi manusia yang punya jiwa lembut...
Bagaimana ini bisa terjadi?
Kerana Rasulullah terlebih dahulu telah mendidik hati-hati mereka...

Andai hati itu mati,
pohonlah pada yang menciptakan hati...
Agar diberikan hati yang baru...

Andai hati itu sakit,
rawatlah ia...
Carilah penawarnya...

Ayuh bangunkan hati!!!




Tuesday, May 10, 2011

It's Hard to Say Goodbye



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum buat yang membaca. Terlalu lama rasanya blog ini terbiar tanpa sebarang update. Sejak post terakhir, banyak sekali yang ingin dikongsikan di sini, tetapi masa yang agak terbatas seringkali membuatkan 'semangat' menulis itu luntur. Nukilan-nukilan yang berlegar di kotak minda, akhirnya terkubur begitu sahaja.

Hari ini, 31 Mei 2011. Dan hari ini juga merupakan hari terakhir diri ini bertugas sebagai Pegawai Operasi di KRJ Motivasi atau lebih dikenali sebagai KBM Kuala Lumpur. Alhamdulillah, setahun 4 bulan menyandang jawatan itu terlalu banyak ilmu dan mutiara-mutiara berharga yang telah kukutip. Terlalu ramai yang menjadi guru tak rasmiku sama ada dalam bidang video editing, grafik design, pengurusan dan sebagainya. Terlalu mahal nilainya...


Kuala Lumpur. Sehingga kini, hampir 4 tahun diri ini berkelana di bawah langit kota besar ini. Terlalu banyak yang kupelajari dari 'universiti kehidupan' di kota ini. Susah payah, pahit manis, semuanya diharungi dengan tabah dan yakin bahawa Allah itu sentiasa ada di sisi. Dan di sini juga diri ini mula mengenal TARBIYYAH. Indahnya aturan Allah! Kalau dulu DIA meletakkan diri ini di bawah, dan dititipkan berbagai-bagai ujian sepanjang pendakian untuk ke puncak semula, hari ini diri ini telah bangkit menjadi sesorang yang berbeza. Benar kata guruku, DIA menitipkan kesemua ujian itu tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk melatih diri ini menjadi seorang yang lebih kuat dan tabah.

Dalam tempoh 4 tahun ini juga, tanpa sedar diri ini sudah punya KELUARGA BESAR biarpun diri ini hanya bersendiri saat mula-mula melangkah kaki di Kuala Lumpur. Dan kini, it's really really hard for me to say goodbye. Hanya Allah yang tahu apa yang ada di dalam hati ini. Terlalu banyak kenangan di sini. Namun, aku yakin aturan Allah itu adalah yang terbaik. Kerana apa? Kerana DIA mengatur dengan cintaNYA sedangkan aku bahkan kita semua mengatur dengan CITA.


Insyaallah, selepas ini kembaraku bakal bermula di Terengganu. Moga tarbiyyah dan dakwah di sana semakin subur dan terus subur. Biarpun payah, akan kukuatkan semangat untuk mengharunginya. Insyaallah, ini yang terbaik buat diriku. Buat semua yang bakal kutinggalkan, adik-adikku, sahabat-sahabatku, insyaallah ada rezeki kita akan berjumpa lagi. Jauh di mata, dekat di hati, senantiasa dalam untaian-untaian doa... Insyaallah... Yakinlah, kalian sangat-sangat kusayang sepenuh hati for the sake of Allah. Mohon kuundurkan diri seketika. Insyaallah, ini bukan titipan terakhir dariku.It's hard for me to make this decision and it's hard for me to say goodbye. Bergelen-gelen air mata telah tumpah. Doakan diri ini terus kuat sahabat...

Berjalan, melihat, mentafsir sepanjang permusafiran Kasih Ilahi...

Thursday, March 10, 2011

Susun-susun...




Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum buat anda yang membaca. Moga kita hari ini luar biasa hebat dari hari-hari sebelumnya.

Masa kecik-kecik dulu, kita pernah main jigsaw puzzle. Ala, yang main susun-susun tu. Dan mungkin ada antara kita sehingga ke hari ini masih bermain jigsaw puzzle.

Jiwsaw puzzle = susun-susun


Lately boleh dikatakan saya sering diajukan dengan ayat-ayat yang lebih kurang sama maksudnya dengan ayat ini :- "Dah susun?" Dan jawapan saya? Hurm... Errr... Tengah... Dan hari ini, saya paksa diri saya untuk S-U-S-U-N. Perkara pertama yang saya buat ialah, saya selongkar rak buku saya dan cari hadiah pemberian walid. Ya! Sebuah P-L-A-N-N-E-R! Planner ni dihadiahkan oleh walid sewaktu saya berziarah ke Kerteh, Terengganu.

Planner Aqsa Syarif hadiah dari walid


Setiap barang hak milik saya terutamanya buku-buku akan dilekatkan dengan
pelekat nama ini di bahagian kanan sebelah atas. At least kalau tercicir,
bolehla orang yang jumpa tu pulangkan semula kepada saya


Kalau ikut hati, saya sayang nak guna. Tapi kalau tak diguna, membazirla! Ish, ish, ish... Membazir tu kawan siapa? Jadi hari ini saya mula memasukkan aktiviti-aktiviti saya ke dalam planner. Salah satu tujuannya, supaya saya tak terlupa program-program yang perlu saya hadiri. Dan saya nak tambah job-to-do list dalam planner itu. Supaya apa? Supaya kerja-kerja saya lebih tersusun dan tidak tercicir. Inilah namanya susun-susun.

Baru isi sikit jer...


Bila saya cakap saya nak belajar susun-susun, walid kata orang sistemik macam saya sepatutnya dah tak payah nak susun-susun. Erk... Sistemik tu apa? Sistematik pernahla dengar. Jadi saya pun tanyalah kepada Pakcik-Hensem-Google. Rupa-rupanya pemikiran sistemik ni adalah kaedah memandang sesuatu secara keseluruhan manakala sistematik adalah kaedah memandang sesuatu secara berturutan atau berdikit-dikit. (Sumber) Tapi adakah saya ni berfikiran sistemik? Erm...

Bila diintai-intai semula ke dalam diri, memanglah saya ni failed bab susun-susun. Tu yang selalu jadi serabut. Dan bila diintai pula pada Muwasofat Tarbiyyah, dush!!! Salah satu sifat tak berapa nak settle lagi. Walaupun takde la nampak macam kronik sangat, tapi kalau 10 muwasofat tarbiyyah pun tak settle, macamana nak melepasi tangga Individu Muslim dalam Maratib 'Amal (Turutan Amal)? Terasa seperti kena ketuk-lagi-hantuk di situ.

Inilah 10 Muwasofat Tarbiyyah yang merupakan ciri-ciri penting dalam
pembentukan peribadi Muslim yang perlu dipenuhi oleh setiap individu Muslim.


Dan ini pula adalah Maratib Amal, turutan amal.


Apa dia muwasofat yang masih belum selesai tu?? Munazzamun fi syu'unihi, tersusun urusannya. Seorang Muslim tu kan sepatutnya lebih tersusun urusannya. Hurm... Tiba-tiba teringat kisah tentang semut. Kita semua sedia maklum, semut ni binatang yang namanya Allah sebutkan di dalam al-Qur'an dan menjadi nama bagi salah satu surah iaitu an-Naml.



Semut adalah binatang yang hidup berkelompok dan selalu bekerjasama. Semut tak hidup sekor-sekor sebab semut sedar dirinya kecik dan lemah. Namun, kebersamaan dan kerjasama membuatkan semut menjadi binatang yang tak boleh dipandang rendah. Seekor gajah pun, kalau diserang semut yang sangat banyak, gajah tu boleh mati. Macam tu la hebatnya semut yang hidup berkelompok. Selain tu semut adalah binatang yang sangat teratur hidupnya dan berdisiplin. Cuba kita tengok sekelompok semut yang berjalan. Teratur je kan? Tak ada pun semut yang nak potong baris. Sangat berdisiplin mengalahkan tentera. Kalau semut, binatang kecil yang tak berakal tu boleh hidup teratur dan berdisiplin, kenapa saya seorang manusia yang Allah dah kurniakan akal ni masih tak berjaya nak susun-susun? Dush!!! Waaaaa....malunya pada semut!

Konklusinya, saya dan anda kena lebih giat dan paksa diri untuk belajar susun-susun sampai saya dan anda berjaya. Jika tidak, lebih baik saya dan anda jadi semut (baca: malu kepada semut).

Wednesday, March 2, 2011

Entah. Dush!!!




Bismillahirrahmanirrahim...

Lama rasanya blog ni dah dibiarkan 'berhabuk' tak 'berkemas'. Mana larinya Pakcik Semangat nih? Entah. Dush!!!

Lately,kerja dah makin bertambah. Tanggungjawab pun dah makin bertambah. Konon-konon nak lepaskan sikit, sekali datang pulak tanggungjawab yang baru. Masa 24 jam yang Allah dah bagi tu terasa macam tak cukup je. Padahal, setiap manusia Allah dah bagi jumlah masa yang sama. Mana ada orang dapat 26 jam sehari, 22 jam sehari... Ade ke? Masa-masa ni barulah terasa kebenaran kata-kata As-syahid Imam Hassan Al-Banna, "Kerja kita melebihi masa yang kita ada..." Alhamdulillah, sekarang ni masih pegang title as Miss. Tapi dah rasa macam dunia ni dah jadi up-side down. Kalau dah pegang title Mrs nanti macamana pulak? Entah. Dush!!!

Bila difikir-fikirkan semula, selama ni asyik failed je dalam bab susun-menyusun ni. Pelik binti Ajaib! Bilanya la nak lulus? Kalau dah failed, nak kena buat apa? Nak jawab entah ke? Berani la jawab macam tu. Memang nak kena DUSH! So what is the best solution? Repeat la. Repeat, repeat, repeat dan repeat sampai lulus! Tak kisah la dalam bab nak susun apa pun kena susun betul-betul. Susun tugasan ke, susun emosi ke, sama je. Susun emosi? Ade ke? Entah. Dush!!!

Dalam bab susun emosi ni, memang ramai pun yang failed (termasuk yang menulis ni). Tapi kalau tengah failed nak susun emosi tu, satu perkara yang sangat penting perlu diingat. Jangan sesuka hati nak lepaskan emosi yang tak tersusun tu merata-rata (sila baca sebagai: pada sesiapa sahaja). Sila lepaskan emosi yang tak tersusun tu secara sihat (sila baca sebagai: selamat). Macamana? Entah. Dush!!!

Bila emosi tak dapat disusun dengan baik, apa nak buat? Cuba fikir. Siapa kita? Siapa cipta kita? Siapa tuan kita? Siapa susun hidup kita? Tau kan jawapannya? Jadi, mengadulah pada yang mencipta kita. Ceritalah pada tuan kita. Maklumkan pada yang mengatur hidup kita walaupun tanpa kita beritahu, DIA sudah sedia maklum. Sebab apa? Sebab DIA Maha Mengetahui. DIA Maha Melihat. DIA Maha Mendengar. Sebab DIA Maha Mendengar, adukanlah. DIA takkan pernah jemu nak dengar aduan kita. Malah, DIA menunggu-nunggu kita mengadu pada DIA. Pernah dengar tak, selangkah kita menghampiri DIA, seribu langkah DIA menghampiri kita. Kalau rasa-rasa dah tak ada kekuatan, mintaklah pada DIA. Tak susah sangat kan? So, sila jangan jawab ENTAH lagi. Noktah.



Me: Akhirnya terupdate gak blog ni. Maaf kalau entry kali ni macam makan kerepek dan menyukarkan neuron-neuron di medula oblongata anda yang membaca untuk menghantar impuls.

Friday, February 4, 2011

Istikharah Cinta ~




Bersaksi cinta diatas cinta
Dalam alunan tasbih ku ini
Menerka hati yang tersembunyi
Berteman dimalam sunyi penuh do'a

...Sebut nama Mu terukir merdu
Tertulis dalam sajadah cinta
Tetapkan pilihan sebagai teman
Kekal abadi hingga akhir zaman

Istikharah cinta memanggilku
Memohon petunjukmu
satu nama teman setia
Naluriku berkata

Dipenantian luahan rasa
Teguh satu pilihan
Pemenuh separuh nafasku
Dalam mahabbah rindu

Diistikharah cinta...

Wednesday, February 2, 2011

Al-Fateh ~ Penakhluk Konstantinople


HALAQAH, 1 FEB 2011, 10 MALAM, SELASA di TV9 bersama DR. DANIAL ZAINAL ABIDIN.

Guru al-fatih berserban putih di sebelah kuda

Nabi Muhammad SAW bersabda, "Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan." (H.R. Ahmad bin HanbalAl-Musnad 4/335)

Dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Imam Ibn Kathir, hadith ini diletakkan dalam bab yang berkaitan dengan perang Khandak kerana hadith ini Rasulullah menyebutnya ketika sedang menggali parit dalam peperangan Khandak. Dan apa yang disebutkan oleh Nabi menjadi kenyataan selepas hampir 800 tahun olehSultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Kota itu berjaya ditawan oleh sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpin di eranya.

Kenapa Sultan Muhammad Al-Fateh dikatakan sebagai sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera?

Dari sudut ibadah - Selepas berjaya menawan Konstantinople, ketika solat Jumaat yang pertama ingin didirikan, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengarahkan kesemua tenteranya berdiri dan bertanya, "Siapa yang sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu?" Tiada seorang pun di kalangan tenteranya yang duduk. "Siapa yang sejak baligh hingga sekarang tidak pernah meninggalkan solat sunat rawatib?" Separuh dari tenteranya duduk. "Siapa yang sejak baligh hingga sekarang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud?" Kesemua tenteranya duduk melainkan Sultan Muhammad Al-Fateh. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Bapa Sultan Muhammad Al-Fateh iaitu Sultan Murad II ialah seorang yang cukup baik agamanya. Baginda telah menghantar anaknya berguru dengan seorang syeikh yang hebat iaitu Syeikh Shamsuddin Al Wali. Di sini kita dapat lihat bahawa AGAMA membentuk karakter. Sultan Muhammad Al-Fateh ialah seorang yang hebat dari segi agamanya (ibadah) dan ilmunya. Baginda suka berbincang dengan para ulama' berkenaan ilmu-ilmu baru dan berbincang strategi perperangan dengan barisan panglima tenteranya. Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Percubaan menawan Constantinople.

Percubaan menawan Konstantinople sudah banyak dilakukan pada zaman sebelum Sultan Muhammad Al-Fateh. Walau bagaimanapun, kesemua percubaan yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 percubaan di zaman Kerajaan Umayyah, 1 percubaan di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 percubaan di zaman Kerajaan Uthmaniyah. Mengapa kesemua percubaan ini gagal tetapi percubaan Sultan Muhammad Al-Fateh menemui kejayaan? Selain sudah diramalkan oleh Rasulullah, teknologi di era Sultam Muhammad Al-Fateh hebat. Baginda menggunakan strategi peperangan yang hebat dan diakui oleh sejarawan Barat.Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinople apabila diserang nanti.

Apabila dihalang untuk memasuki Teluk Golden Horn, mereka membawa 70 buah kapal perang mereka melalui daratan yang menggabungkan teknologi dan kerjasama kumpulan. Taktik ini merupakan strategi peperangan yang hebat.

Selain itu, kemenangan yang diraih Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya menawan Konstantinople adalah untuk menunjukkan kehebatan umat Islam bukan sekadar di zaman Rasulullah dan para sahabat, malah kehebatan umat Islam juga ada di era-era kemudian. Ia juga untuk menunjukkan bahawa kehebatan Islam bukan hanya ada pada orang Arab. Orang Turki bukan orang Arab.

Peribadi Sultan Muhammad Al-Fateh.

Ketika menawan Constantinople, Sultan Muhammad Al-Fateh berusia 22 atau 24 tahun. Beliau ialah orang muda, remaja yang hebat! Subhanallah!

Keperibadian Sultan Muhammad Al-Fateh dibentuk oleh AGAMA, bukan sebab bangsa atau keturunan. Salah satu peribadinya ialah sifat tawadhuk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda telah mencontohi Rasulullah semasa Perang Khandak di mana Rasul turut sama bersama sahabat menggali parit. Selain itu Baginda seorang yang sangat sabar, berani dan kuat berusaha. Walaupun sudah mendapat jaminan dari Rasulullah, Baginda tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk menawan Konstantinople. Baginda mencuba dan berusaha sewaktu dihalang untuk memasuki Teluk Golden Horn dengan menggunakan kreativiti untuk menyelesaikan masalah. Baginda berani berusaha. Bukan sekadar zikir (doa, solat) tetapi dia berusaha."Aku jatuh dan aku bangun. Selagi aku bernyawa, aku jatuh dan akan terus bangun."

Anak muda hari ini perlukan idola tetapi JANGAN SILAP pilih idola!

Anak Muda (Remaja).

Anak muda jika misi dan visinya jelas berdasarkan agama, insyaallah akan bahagia di dunia, bahagia di akhirat. Kalau guru ada pengetahuan agama kelas pertama, dia bisa melahirkan ank murid kelas prtama. Kalau ibu bapa ada pengetahuan agama kelas pertama, bisa melahirkan anak pemikiran kelas pertama.

Sultan Muhammad Al-Fateh seorang yang hebat kerana guru dan bapanya mempunyai visi dan misi yang hebat. Wawasan Sultan Muhammad Al-Fateh, wawasan Al-Qur'an. Dia mengejar kebahagiaan di dunia dan di akhirat tetapi kebahagiaan dunia yang menguntungkan di akhirat. Visi Sultan Muhammad Al-Fateh dibentuk oleh Al-Quran yang diperoleh dari guru dan bapanya, Sultan Murad II. “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali beribadah (mengesakan ibadahnya) kepada-Ku" - Adz-Dzariat: 56. Disebabkan ayat ini, Sultan Muhammad Al-Fateh senantiasa ingat, "Besar mana pun aku, aku kecil di sisi Allah. Tinggi mana pun aku, aku tetap rendah di sisi Allah." Baginda ada misi yang penting - amar makruf nahi munkar. Saya berperang kerana amar makruf nahi munkar. Ini adalah visi yang sangat jelas.

Bagaimana nak lahirkan AL-FATEH?

Ianya perlu bermula dengan rumahtangga. Di rumah, solat adalah asas. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bermaksud; “Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh sebab itu, jika kefahaman dan pengetahuan agama ibu bapa rendah, sukar untuk melahirkan anak-anak yang hebat.

Pelan tindakan.

Kita perlu mewujudkan IKON seperti Sultan Muhammad Al-Fateh. Media perlu memainkan peranan penting untuk menonjolkan tokoh-tokoh yang hebat kerana media punya pengaruh yang besar. Bukan sibuk dengan kisah jembalang, hantu. Itu bukan ikon kita. Kini kita tidak lagi melahirkan generasi Al-Fateh.Yang ramai kini adalah Al-Patah.Patah semangat,patah emosi, patah segala-galanya

Bentuk peribadi dan karakter anak-anak muda berdasarkan Al-Qur'an dan Sunnah.



Monday, January 31, 2011

Rumput Vs Padi



Ada orang berkata dunia ini ibarat rumput dan akhirat itu ibarat padi. Seandainya kita menanam rumput, hasilnya rumput sahajalah yang akan tumbuh. Tetapi seandainya kita menanam padi, maka yang bakal tumbuh adalah padi dan rumput. Analogi ini sebenarnya mengajak kita untuk melihat kehidupan kita. Apakah sebenarnya matlamat kita hidup di dunia? Adakah kita ingin menjadi penanam padi atau penanam rumput?

Jika difikirkan secara logiknya, ada benarnya analogi ini. Seandainya dalam hidup kita ini, kita telah meletakkan matlamat untuk mencapai kecemerlangan di akhirat, lalu kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya, akhirnya kita bukan sekadar mencapai kecemerlangan di akhirat, malah kita akan mencapai kecemerlangan di dunia juga. Berbeza pula dengan orang yang matlamat hidupnya sekadar ingin mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia, maka itulah yang akan diperolehinya. Mengapa ini berlaku? Ini kerana orang yang mengejar akhirat adalah orang yang sibuk di dunia.

Kata ulama', dunia ini adalah tanam-tanaman untuk akhirat. Apa yang kita tanam, sama ada rumput atau padi, akan kita tuai hasilnya di akhirat nanti. Di sini jelas dapat kita lihat betapa pentingnya dunia dan akhirat. Tanpa adanya dunia, apa yang kita mahu tuai di akhirat? Dan untuk mendapatkan tuaian yang terbaik, kita perlu memastikan tanaman kita di dunia hidup subur, sihat dan baik.


Bagaimana mahu menjadi orang yang sibuk di dunia? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah dengan bagaimana kita melihat dunia ini. Apa yang kita nampak pada dunia ini. What you get is what you see. Apa yang kamu dapat ialah apa yang kamu perolehi.

Maka sahabat-sahabatku, lihatlah dunia ini melalui sudut pandangan yang mencipta dunia ini. Lihatlah dunia ini umpama hamparan sejadah. Apa yang lazimnya dilakukan apabila kita duduk di atas sejadah? Ya, beramal kebaikan. Maka, jika dunia itu umpama hamparan sejadah, maka dunia adalah satu-satunya tempat untuk kita berbuat amal kebaikan sebanyak-banyaknya umpama 'orang akhirat' yang sibuk di dunia demi memastikan dia berjaya mendapat hasil tuaian yang terbaik di akhirat nanti. Wallahu'alam.

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers