Wednesday, December 31, 2008

Taman-taman Syurga...

“Apabila kita berada di dalam majlis ilmu, kita umpama berada di dalam taman-taman syurga. Para malaikat akan memayungi kita.”

Taman-taman Syurga muncul kembali setelah seketika menyepi. Syukur ke hadrat-MU atas nikmat tak ternilai ini. Sukar untuk digambarkan perasaan yang terbuku di hati. Gembira, bahagia, teruja, terharu...semuanya bercampur menjadi satu. Halaqah Cinta yang masih bertatih, kini bertemankan Taman-taman Syurga yang bisa mencantikkan lagi perjalanan Halaqah Cinta.



Barakallahu 'alayk ila Ustaz Abu Muadz al-Fauzani di atas kesudian memperuntukkan sedikit waktu buat kami para du'at yang dahagakan ilmu. Setiap dari kita wajib untuk mencari ilmu dan wajib juga untuk menyampaikan ilmu berdasarkan hadith Nabi s.a.w.:

“Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim.”

[Riwayat Ibn Majah & Abu Ya'la dari Anas b. Malik r.a.]


“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.”

[Riwayat al-Bukkhari dari Abdullah bin Amr r.a.]


Dalam kita menyampaikan ilmu, kita tidak perlu untuk menunggu sehingga kita menjadi 'alim tetapi kita perlu ada ilmu untuk disampaikan. Sesungguhnya ganjaran untuk orang yang menyampaikan ilmu itu sangat besar. Namun dalam keghairahan kita untuk menyampaikan ilmu, kita juga harus berhati-hati kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Siapa yang mengadakan ikutan yang baik dalam Islam, ia mendapat ganjaran amalan itu dan ganjaran orang yang mengamalkan selepasnya tanpa kekurangan sedikit pun. Dan siapa yang mengadakan ikutan yang buruk dalam Islam, ia mendapat dosa daripada amalan itu dan dosa orang yang mengamalkan selepasnya tanpa kekurangan sedikit pun.”

[Riwayat Muslim]

Lantaran itu kita seharusnya mengelakkan diri dari menyampaikan ilmu secara membabi buta tanpa kita mengkaji akan kesahihannya, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan Sunnah kerana Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan:

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta dengan namaku, maka dia telah mempersiapkan tempat duduknya dalam api neraka.”

[Riwayat Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah]


Inilah asbab kita dilarang bertaqlid buta (mengikut tanpa mengetahui sumber). Ramai di kalangan masyarakat Islam hari ini yang lebih selesa bertaqlid buta gara-gara budaya instant-isme yang kian menular. Masing-masing suka mengambil perkara yang mudah dan segera tanpa perlu mengkaji dan menyelidik.

Perkara yang paling utama untuk kita lakukan dalam kehidupan ini ialah kembali kepada wahdatul fikr kita iaitu al-Qur'an dan Sunnah tanpa mengambil kira faktor apa jemaah kita waima apa ideologi politik kita. Insyaallah, andai kita berpegang teguh kepada al-Qur'an dan Sunnah kita akan selamat. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Aku tinggalkan kamu yang mana kamu tidak akan sesat selepasnya selagi mana kamu berpegang dengan kitab Allah dan Sunnah Rasul.”

Alhamdulillah, dengan kehadiran Taman-taman Syurga dan Halaqah Cinta, telah kutemui kembali spirit yang hilang... Moga kita semua kan beroleh halawatul iman (kemanisan iman)... amiinn...

“Dapat merasai kemanisan iman, orang yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Rasul.”

[Riwayat Muslim]


Kak Yong: Berlaku 'adillah dalam menilai manusia kerana 'adil itu dekat dengan taqwa... Moga diri ini tergolong dalam golongan hamba yang bertaqwa...amiinn...

Tuesday, December 30, 2008

Terbaru!!!

Salam alaik buat semua pengunjung blog ini...
Alhamdulillah, hari ini kita masih lagi berpeluang bernafas di bumi milik ALLAH ini. Terbaru dari Kak Yong - Halaqah Cinta!!! Ikuti kisah ini di sini.


“Tugas berdakwah terletak di pundak setiap dari kita. Menyeru manusia kepada Allah S.W.T. adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Fushilat ayat 33 yang bermaksud: Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.

Menyeru manusia kepada Allah S.W.T. menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar serta tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: Jika Allah s.w.t memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari. Hadith diriwayatkan oleh at-Tabrani.”

Ya Allah, betapa besar dan beratnya tanggungjawabku ini...

“Ada tujuh marhalah dalam dakwah fardiyah iaitu ta’aruf, bina iman, taat syari’at, Islam syumul, tanggungjawab mendirikan daulah (Mas’uliah Ammah), memahami berjamaah dan bersama jamaah. Setiap marhalah ini perlu diikuti satu persatu demi menjamin kejayaan sesuatu dakwah.”

*marhalah – peringkat
*ta'aruf - perkenalan
*mas'uliah ammah - tanggungjawab umum
* dakwah fardiyah – dakwah perseorangan






Kak Yong: dalam halaqah ini, aku mencari CINTA...

Monday, December 29, 2008

Wajah Baru!!!



Alhamdulillah, hari ini blog ini berwajah baru. Tak adalah baru mana, setakat tukar 'langsir' pintu masuk blog je. Kak Yong suka 'langsir' baru ni atas beberapa sebab:
1. Kak Yong yang create sendiri
2. cute + comel + cun
[bagi Kak Yong la...]

Ada beberapa sebab juga kenapa Kak Yong buat design macam ni:
1. Gambar gubahan bunga mawar berbentuk hati itu sebagai tanda azam Kak Yong nak jadi seindah mawar berduri dan pada waktu yang sama mawar berduri itu mencari the true love - cinta ILAHI
2. Gambar Kak Yong sedang menulis itu sebagai tanda Kak Yong sebagai pelajar yang dahagakan ilmu dan sampai bila-bila pun Kak Yong akan bergelar pelajar biarpun setelah tamat belajar di IIC kerana proses pembelajaran bukan sekadar di tempat-tempat yang khusus.
3. Gambar al-Qur'an sebagai lambang surat cinta DIA yang menjadi peneman sepanjang hidup
4. Gambar latar awan dan padang yang menghijau sebagai tanda perjalanan yang telah dan bakal dilalui...

So sweet kan? Sekian dulu...
Ilal liqa'

Kak Yong: teruja dengan 'langsir' baru ni!

Hijrahku...

Satu Muharram detik permulaan,
Perkiraan tahun Islam Hijrah,
Perpindahan Nabi dan umat Islam,
Dari Kota Mekah ke Kota
Madinah...


Hmmm...lagu ini lazimnya akan berkumandang tatkala menjelangnya Awal Muharram. Jika kita amati keseluruhan lagu ini, ia menceritakan tentang kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan umat Islam Mekah ke Kota Madinah. Penghijrahan itu juga telah menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hijrah? Hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu kepada suatu yang lain. Menurut hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Amr r.a., Nabi s.a.w. bersabda:


"Seorang Muslim adalah orang yang menyelamatkan Muslimin yang lain dengan lidah dan tangannya. Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan larangan Allah."

Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan larangan Allah. Jadi hijrah juga membawa maksud meninggalkan larangan Allah atau dengan kata lain, meninggalkan perbuatan yang buruk kepada perbuatan yang lebih baik.

Kak Yong pasti, setiap dari kita pernah melakukan penghijrahan. Bagi Kak Yong sendiri, hijrah itu terlalu besar pengertiannya.


Muar - Kuala Pilah - Kota Samarahan - Kuantan - Kuala Lumpur

Pengalaman berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebenarnya banyak mendidik dan mengajar Kak Yong tentang banyak perkara. Di sepanjang perjalanan itu Kak Yong berjalan, jatuh, bangun semula, jatuh ke dalam lubang, keluar daripada lubang, berjalan lagi, memanjat bukit, jatuh dari bukit, bangun semula, berjalan lagi, tersadung, membalut luka, dan terus berjalan lagi. Dan di sepanjang perjalanan itu juga tidak kurang umpat keji dan kata-kata yang bisa mematahkan semangat, terpaksa Kak Yong dengar. Inilah perjalanan yang perlu Kak Yong lalui sehinggalah ke hari ini. Sukar, kan?

Perjalanan menuju ke destinasi yang diimpikan ini memang terlalu sukar hinggakan pernah satu ketika, saat Kak Yong jatuh dan terluka, rasa putus asa bertandang. Namun, DIA titipkan surat cintaNYA untuk membujuk sekeping hati yang terluka.

"Bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar."
[al-Anfal: 46]


"Tidak ada musibah yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin ALLAH dan sesiapa beriman kepada ALLAH, ALLAH akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar). Ingatlah! ALLAH Maha Mengetahui setiap sesuatu."
[at-Taghabun: 11]


ALLAH bersama orang-orang yang sabar... sesiapa beriman kepada ALLAH, ALLAH akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar... Subhanallah... Bukankah itu suatu janji dan pujukan yang sangat indah? Pujukan inilah yang telah menguatkan semangat Kak Yong untuk meneruskan perjalanan.

Di sepanjang perjalanan ini juga, sedikit demi sedikit telah , merubah diri Kak Yong. Penghijrahan dari suatu perkara buruk kepada perkara yang lebih baik. Alhamdulillah, Kak Yong telah dipilih untuk menghadapi setiap cabaran, onak dan duri di sepanjang perjalanan ini... ALLAH Maha Mengetahui setiap sesuatu. Setiap hamba pastinya diuji apatah lagi orang yang mengaku beriman padaNYA. Semakin hampir seseorang kepada 'destinasi'nya, semakin kuatlah ujian ALLAH.

Sahabat-sahabat sekalian, dalam perjalanan kita menuju ke destinasi yang diimpikan, pasti disulami dengan pelbagai ujian dan cabaran. Ujian dan cabaran yang bisa melunturkan semangat kita. Ingatlah kata kunci dalam surat cintaNYA,

Berimanlah. Allah akan memimpin hati kita supaya menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar.


Inilah janji Pencipta kita, Tuhan kita, Tuhan yang Maha Agung. Adakah perkara lain dalam kehidupan ini yang lebih baik daripada janjiNYA?

Hari ini, bermulanya hari baru dalam tahun Islam 1430H. Satu azam Kak Yong tanamkan di dalam hati. Kak Yong ingin menjadi seindah bunga mawar. Cantik dan harum kan? Pastinya bunga mawar itu indah dengan durinya. Cuba bayangkan bunga mawar tanpa duri, pelik kan? Oelh itu, Kak Yong ingin menjadi seindah mawar berduri. Cantik, harum, namun sukar untuk dipetik lantaran duri-duri tajam di sekelilingnya. Hanya insan yang selayaknya bisa memetik mawar berduri itu. Marilah bersama-sama kita menjadi seindah mawar berduri!



Hari ini, alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk terus bernafas di tahun yang baru 1430H. Oleh itu sahabat-sahabat, ayuh kita mengambil peluang ini untuk berhijrah dari perkara yang buruk kepada perkara yang lebih baik. Lakukanlah sekarang... Jom?


SALAM MAAL HIJRAH 1430!!!


Kak Yong: jatuh, bangun, terluka, onak dan duri... semua ini telah mewarnai perjalanan Kak Yong. Kanvas kehidupan Kak Yong lebih berwarna-warni, cantik kan?

Wednesday, December 24, 2008

Guru, Cikgu...

"Untung kalau jadi cikgu ni. Pahala tu tak putus-putus, dan sampai bila-bila pun orang akan panggil cikgu. Waima kalau kita dah meninggal sekalipun, orang tetap akan panggil cikgu juga..."

Itulah cakap-cakap atau kata-kata yang sering diungkapkan oleh kebanyakan orang. Dan bagi yang pernah menonton kisah SANG MURABBI, pastinya akan ingat kata-kata Ustaz Rahmat kepada ibunya...

"...jadi guru itu justeru hartanya banyak...kasi ilmu aje kerjaannye..."

Masih segar dalam ingatan sewaktu pertama kali Kak Yong bergelar "CIKGU". Waktu itu usia Kak Yong sekitar 20 tahun. Menjadi seorang guru tadika swasta di sebuah daerah di negeri Pahang merupakan satu pengalaman yang cukup berharga. Pengalaman ini jugalah yang menyebabkan Kak Yong mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Awal Kanak-kanak di Kolej Islam Antarabangsa.

Ketika Kak Yong bergelar cikgu tadika dulu, tanpa sedar sebenarnya diri ini telah menjadi dai'e kepada sekumpulan khalifah kecil. Bukan mudah sebenarnya nak mengajar kanak-kanak berumur 4 tahun untuk mengenal huruf-huruf al-Qur'an. Kak Yong mengalaminya sendiri sewaktu di tadika dulu dan sama juga seperti hari ini kerana emak Kak Yong mengajar anak-anak jiran mengaji. Bila balik ke kampung, Kak Yong yang akan mengambil alih tugas emak.

Di IIC pun Kak Yong berpeluang menjalani latihan pra-praktikal di nursery. Seronok dapat menimba pengalaman menjaga baby dan kanak-kanak kecil. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah menjaga 'anak kesayangan' Kak Yong iaitu Izzah dan Wardah. Macam-macam karenah mereka. Waktu itu usia mereka 8 bulan sahaja dan Kak Yong sempat menjaga mereka hingga usia mereka mencecah setahun tiga bulan. Sekarang usia mereka hampir mencecah 2 tahun. Bila melihat Wardah dan Izzah kini yang hampir mencecah usia 2 tahun, suatu perasaan yang sukar digambarkan bersarang di dalam hati. [erm...bila ye nak ada zuriat sendiri yang comel dan nakal macam mereka berdua? Insyaallah, satu masa nanti... ]

Al-Sayyid Sabiq ada mengatakan pentarbiahan anak ialah usaha untuk membentuk mereka dari segi jasmani, akli, rohani, perasaan dan sosial sehingga menjadi ahli anggota masyarakat yang berguna kepada masyarakatnya. Oleh itu tugas mentarbiah anak-anak kecil bukanlah suatu tugas yang enteng. Tugas mentarbiah ini melibatkan semua pihak namun, pihak yang paling berpengaruh dalam membentuk peribadi anak adalah keluarga. Ibu bapa adalah pihak yang paling berkuasa dalam mencorak sahsiah anak itu sendiri. Ramai ilmuan Islam yang lahir pada masa dahulu adalah hasil didikan ayah ibu yang berpegang pada hadis yang bermaksud:

"Sesiapa di kalangan kamu mengajar anaknya adalah lebih baik baginya daripada bersedekah setengah gantang makanan kepada orang miskin."

Oleh itu, bagi Kak Yong setiap ibu bapa harus merebut peluang untuk mendidik anak mereka sendiri kerana ibu bapa adalah GURU pertama bagi anak-anak. Pendidikan anak-anak bukannya bermula di sekolah mahupun rumah tetapi sepatutnya pendidikan anak-anak harus bermula sejak anak itu berada dalam kandungan lagi. Dan bagi Kak Yong, emak Kak Yong adalah guru pertama dan guru yang terbaik untuk Kak Yong. Nak tau kenapa? Sebab emak adalah insan yang sabar mengajar Kak Yong untuk mengenal ABC dan juga mengenal huruf-huruf al-Qur'an. Alhamdulillah, sewaktu Kak Yong berusia 4 tahun, Kak Yong sudah boleh mengenal huruf dan ketika berusia 5 tahun Kak Yong sudah boleh membaca dengan lancar.

Sewaktu Kak Yong berusia 5 tahun juga, Kak Yong sudah boleh membaca muqaddam biarpun masih belum lancar. Itulah hasil tangan emak yang mendidik Kak Yong. Tidak dinafikan juga peranan cikgu di sekolah kerana Kak Yong mula memasuki tadika sewaktu berusia 4 tahun, namun disebabkan ketegasan emaklah yang menyebabkan proses pembelajaran itu menjadi lebih cepat dan berkesan. [senyum] Masih lagi terbayang-bayang tangan emak memegang erat rotan di tangan sewaktu mengajar Kak Yong mengaji sehinggakan Kak Yong menangis teresak-esak.

Apa yang dapat Kak Yong simpulkan, tugas mendidik ini dapat menjadikan diri Kak Yong lebih sabar malah sikap panas baran juga dapat dikikis. Sesungguhnya tugas seorang pendidik adalah satu tugas yang bukan mudah dan tugas yang mulia. Guru, jasamu melangit luas. Tanpamu guru, aku pastinya tidak akan menjadi seperti hari ini. Ya Allah, ampunilah segala dosa guru-guruku, rahmatilah mereka ya Allah. Tempatkanlah mereka di kalangan hamba-hambaMU yang beriman...Amiinn...



Gambar-gambar bersama anak-anak didik sewaktu bertugas di Tadika Jezs Indah



Bersama Wardah (kiri) dan Izzah (kanan)

Kak Yong: Al-Fatihah buat Allahyarham Cikgu Hj. Samsuri (2001), Allahyarham Cikgu Husin bin Hasan (1999) dan Allahyarham Cikgu Hj. Yusuf bin Hj. Hamdan (2006). Syukran jazilan atas semua jasa dan pengorbanan yang telah ditaburkan oleh semua guru-guru yang telah mencorak insan bernama FIZA HASNI MD EHSAN. Terima kasih cikgu!

Monday, December 22, 2008

Kembara Bersama KBM...

KBM BAKIT (BADAN KEBAJIKAN ISLAM TELEKOM)
20-21 DISEMBER 2008
AGROTEK GARDEN RESORT, HULU LANGAT BATU 14 1/2

Assalamualaikum, salam pertemuan, salam pembuka bicara. Alhamdulillah setelah agak lama tidak mengisi hujung minggu dengan program KBM, akhirnya DIA memberi kesempatan dan peluang buat Kak Yong untuk berprogram bersama adik-adik kasih dan sayang dari BAKIT (Badan Kebajikan Islam Telekom) yang berlangsung pada 20 dan 21 Disember yang lalu, bertempat di Agrotek Resort, Hulu Langat.

Kali ini buat pertama kalinya team KBM KL melancarkan 3 penerbangan serentak di lokasi berbeza termasuk KBM BAKIT iaitu KBM SSQ+5R (Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa), dan KBM alumni SRIP-Sekolah Rendah Islam Pintar (Bukit Cerakah, Puncak Alam).

Kembara perjalanan Kak Yong, Sakeena dan Anjang bermula dari IIC pada 19 haribulan menuju ke Masjid Muaz bin Jabal lebih kurang jam 9.15 malam, lewat sedikit dari perancangan asal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kali ini Wira milik Sakeena setia membawa kami ke destinasi. Lantaran jalan yang agak sesak, kami tiba hampir jam 10.15 malam. Sempat kami beramah mesra dengan Ummi Ida dan Ukhti Nurull yang agak lama tidak kami temui. Agak teruja rasa di hati apabila mendengar suara yang sudah lama tidak kedengaran di cuping telinga. Rupa-rupanya, Pak Lang turut hadir menjayakan KBM SSQ. Sempat juga kami mengikuti sedikit slot bersama Pak Lang sebelum Kak Yong, Sakeena dan Ukhti Nurull bersama Pak Long bertolak ke lokasi KBM BAKIT di Agrotek Resort. Anjang, Pak Kay dan Damia pula bertolak ke KBM SRIP, Puncak Alam.

Perjalanan kami ke Agrotek Resort agak mencabar gara-gara jalannya yang mempunyai banyak selekoh dan gelap. Seketika kami kehilangan bayang kenderaan Pak Long di hadapan. Kerisauan turut bertandang, namun kami pasrahkan semuanya pada DIA. Panjang doa Kak Yong di dalam hati agar perjalanan kami dipermudahkanNYA dan dilindungi.

Hampir jam 11.45 malam kami tiba di Agrotek Resort. Terpukau juga kami dengan keindahan lampu-lampu di sekitar resort, apatah lagi bila masing-masing dapat mendengar bunyian air sungai yang berlarian [senyum sendiri].

Setelah check-in, kami berkumpul di dewan untuk membuat persiapan tempat, termasuk PA System [KY banyak belajar PA System bila join team KBM]. Setelah semuanya selesai, lebih kurang jam 2 pagi, kami balik ke bilik penginapan. Jarum jam menunjukkan hampir ke pukul 4 pagi, namun Kak Yong masih bersengkang mata meng’editpowerpoint untuk slot KMKY. Pertama kalinya Kak Yong diberikan amanah untuk menjadi ‘Kak Laptop’ alias pilot pesawat KRJ. Biasanya Kak Yong hanya menjadi 'Kak Laptop' untuk program follow-up KBM sahaja. Disebabkan itu Kak Yong harus membuat persiapan selengkapnya bagi mengelakkan masalah teknikal. Akhirnya tepat jam 5 pagi, barulah Kak Yong melelapkan mata dan jam 6.15 pagi Kak Yong bangun. Ermm…satu jam suku sahaja sempat melelapkan mata. Namun setelah hampir 9 bulan Kak Yong menjadi sebahagian team KBM KL, perkara seumpama ini sudah menjadi lumrah.

20 Disember 2008...
Alhamdulillah, seawal jam 8 pagi kami barisan pengendali dan fasilitator menyambut kedatangan para peserta di meja pendataran dan menguruskan penempatan mereka di dorm yang telah siap ditempah. Penyertaan kali ini berjumlah 63 orang; 28 adik-adik sayang dan 35 adik-adik kasih. Penyertaan kali ini melibatkan adik-adik dari sekolah dan background yang berbeza. Dan ini juga KBM yang pertama bagi Kak Yong para pesertanya terdiri dari adik-adik yang 'berbeza' dan perlu sangat didekati. Inilah apa yang terdetik di hati Kak Yong.

Barisan pengendali kali ini terdiri dari Pak Long, Pak Ngah, Pak Andak, Pak Am, Akh Wan, dan Kak Yong. Turut membantu kami kali ini, pengendali dari team Melaka, Abang Lang dan Akh Azmir. Syukran jazilan... Barisan fasilitator ikhwah terdiri dari Akh Helmi, Akh Ubadah, dan Akh Anas dari Kolej Intisor, Kajang. Tidak ketinggalan, kami juga mendapat bantuan dari adik-adik alumni KBM iaitu Adik Arul dan Adik Salam. Fasilitator akhwat pula terdiri dari Ukht Nurull, Ukht Sakeena, Ukht Fatimah, dan Ukht Najihah.

KBM kali ini bagi Kak Yong memang banyak memberi cabaran kepada kami. Biarpun dengan jumlah kekuatan yang agak sedikit, tapi kami berusaha sebaik mungkin untuk menjayakannya. Alhamdulillah, berkat kerjasama semua, segala kekurangan dan kelemahan dapat diatasi. Pengalaman baru bagi Kak Yong apabila pertama kali menjadi 'Kak Laptop' sangat menarik. Almaklumlah gara-gara jadi 'bidan terjun'. Agak kelakar sewaktu slot MAM, Kak Yong terlelap sesaat dan TERtekan 'enter'. Apa lagi, slide pun beralih. Nasib baik cepat-cepat ditangani. Ini semua gara-gara kurang tidur. Tak terkira rasanya gula-gula Mentos yang Kak Yong telan untuk hilangkan rasa mengantuk. Pertama kali juga Kak Yong membaca skrip MAM serentak menjaga laptop. Pada awalnya memang tiada keyakinan, tapi apabila mendapat kata-kata semangat dari Kak Sodd, Kak Yong kuatkan tekad. Malam kedua di Agrotek di akhiri pada jam 3 pagi.

21 Disember 2008...
Akhirnya KBM BAKIT selesai juga pada jam 1.00 petang. Usai bersalaman dengan ibu bapa yang hadir, adik-adik kasih dan sayang, kami menikmati makan tengahari di kantin. Apa yang ingin Kak Yong rumuskan dalam KBM kali ini, KBM memang sesuatu yang sangat bermakna bagi Kak Yong. Biarpun hampir saban minggu bersama KBM, rasa jemu tidak pernah bertandang. Bagi Kak Yong, KBM adalah medium untuk Kak Yong me'refresh' kembali tahap iman, muhasabah diri dan membersihkan hati. Namun, KBM memang Kem Bengkak Mata sebab setiap kali KBM, Kak Yong tak pernah lepas dari mengalirkan air mata. Apa pun, KBM BAKIT memang mencabar bagi kami dan adik-adik peserta kerana kami terpaksa memanjat bukit seperti 'Bukit Tonggek' di UiTM untuk sampai ke dewan. Bila sampai di dewan, masing-masing tercungap-cungap [sengih]. Ada juga peristiwa yang mendebarkan telah berlaku sewaktu slot MKMS sedang berlangsung. Kak Yong dikhabarkan kereta Akh Wan dan van Pak Long mengalami sedikit kemalangan gara-gara ingin membawa para ibu bapa yang tidak larat hendak memanjat bukit. Alhamdulillah, tiada sesiapa yang mendapat kecederaan.

Jam 4 petang kami memulakan perjalanan pulang. Jalanraya agak sesak, namun kami tetap sabar menempuh perjalanan pulang. Syukran jazilan atas berkata doa dari semua yang telah melancarkan perjalanan program. Apa pun, KBM tetap dekat di hati... Terharu rasa apabila seorang adik kasih membisikkan lafaz terima kasih tatkala kami berpelukan.
"Kak Yong, terima kasih banyak-banyak. Saya dah sedar sekarang ni..."
Ya Allah, KAU berikanlah hidayah kepada adik-adik ini, lapangkanlah hati mereka, lembutkanlah hati-hati mereka agar mereka dapat merasai keindahan ISLAM...
Bersama mencari keindahan bersama ALLAH, RASULULLAH, IBU AYAH dan
SAHABAT...


Dari beranda bilik fasilitator akhwat


'Bukit Tonggek' Agrotek Garden Resort yang mencabar kami

Kak Yong: 'asif, kualiti gambar tak berapa elok...tengah tunggu gambar dari Ukht Sakeena. Erm...rasanya inilah entry terpanjang dari Kak Yong... =)

Friday, December 19, 2008

Halaqah Cinta Yang Dipertahankan...

CINTA. Apa itu cinta? Rasanya pengertian cinta itu terlalu universal, terlalu luas. Entah mengapa diri ini masih lagi tercari-cari cinta. Cinta yang bagaimana? Biar diri ini dan DIA sahaja yang mengetahui kerana hanya DIA yang memahami diri ini.

Dalam kecelaruan mencari sebuah cinta, terdetik di kotak fikiran...
"Halaqah cinta ini harus dipertahankan!"
Lantaran kesibukan yang menghimpit, diri ini terlupa seketika akan adik-adik yang masih hijau, adik-adik yang masih mentah dengan permainan dunia. Ya Allah, alangkah zalimnya diri ini! Syukur ya Allah kerana Engkau memberikan aku cahaya kesedaran.

Kini, kukuatkan azam, kutanamkan tekad biarpun tercalit jua tinta keraguan di dinding atmaku, ragu andai diri tidak mampu membahagikan masa seadilnya. Namun, akal yang beraja meyakinkan atma ini kembali...
"Sesungguhnya DIA itu Maha Mengetahui. Dianugerahkan 24 jam sehari yang sangat mencukupi andai kita bijak mengaturnya..."

Akhirnya, Halaqah Cinta ini terlaksana jua. Semangat dan kemahuan adik-adik ini semakin meyakinkan aku untuk terus mengorak langkah. Buat adik-adikku, moga kita kan terus bersama untuk mempertahankan Halaqah Cinta kita ini...

Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu bahawa hati-hati ini telah bersatu, berhimpun dalam naugan cintaMU, bersatu dalam ketaatan, berpadu dalam perjuangan, menegakkan syariatMU...

Ya Allah, berikanlah kami kekuatan,ketabahan, kesabaran dan permudahkanlah jalan kami untuk membantu agamaMU ini...

Amin ya Rabbal 'alamin...


Kak Yong: masih dan terus mencari cinta sejati, cinta yang tidak menipu dan cinta yang tidak bersyarat...

Wednesday, December 17, 2008

Tragedi Bukit Antarabangsa: Ujian atau Musibah?



"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman! Sedangkan mereka tidak akan diuji (dengan sesuatu cubaan)?" ~ al-Ankabut:2

Secara peribadi, Kak Yong berpendapat tragedi Bukit Antarabangsa yang menggemparkan setiap daripada kita merupakan satu teguran dari Allah S.W.T. kepada semua umat manusia. Lihatlah, betapa kerakusan dan sikap tamak manusia itu sendiri dalam mencari nikmat duniawi tanpa menghiraukan kesannya kepada orang lain telah mengakibatkan nyawa orang lain tergadai.

Ayuh, kita renung kembali tujuan kita dijadikan di dunia ini. Kita adalah khalifah yang bertanggungjawab untuk mentadbir alam ini. Namun, ramai di antara kita yang lalai dan leka lantas tanpa segan silu merosakkan alam ini.

Kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, takziah dari Kak Yong. Anggaplah apa yang berlaku sebagai ujian dari Allah untuk mengukur tahap keimanan kita. InsyaAllah, bersama kesusahan ada kemudahan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersembunyi. Tabahkan hati, jangan bersedih kerana Allah senantiasa bersama orang-orang yang sabar...

Kak Yong: hanya doa yang dapat dikirimkan buat semua mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Moga terus tabah.

Thursday, December 11, 2008

Program Aulad!


Alhamdulillah, dalam kesibukan Kak Yong di permulaan semester baru, Allah masih memberi ruang dan kesempatan buat diri ini untuk menyumbangkan tenaga dalam program Aulad anjuran Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kuala Lumpur yang diadakan di Pondok Penyayang Raudhah, Gombak. Program ini telah berlangsung pada 2 Disember 2008 yang lalu.

Seawal jam 8.15 pagi Kak Yong dan Sakeena tiba di perkarangan Sekolah Islam Al-Amin, Gombak. Tidak lama kemudian Mak Long, Makcik Jam dan makcik-makcik yang lain tiba. Tepat jam 8.30 pagi, kami bergerak menuju ke lokasi.

Setibanya di lokasi, kami di sambut oleh pihak pengurusan Pondok Penyayang Raudhah. Seramai 63 orang adik-adik dari JIM KL dan adik-adik dari Pondok Penyayang Raudhah telah mengambil bahagian.

Slot ice breaking telah dikendalikan oleh Kak Nina dan diteruskan dengan slot Kami Khalifah Allah. Slot ini memperingatkan adik-adik tentang tanggung-jawab terhadap Allah & Rasul, kedua ibubapa, sahabat dan alam. Program seterusnya adalah sukaneka & treasure hunt yang dikendalikan oleh pihak Raudhah.

Sejurus selepas itu, adik-adik telah diberi peluang untuk membuat 'palm print' di atas kad manila yang disediakan. Program diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah/cenderahati dan makan tengahari. Secara keseluruhannya adik-adik kelihatan seronok dan Kak Yong sendiri mendapat banyak pelajaran dan pengalaman menarik di sini.









Kak Yong: tempohari Doc Meow ada tanya pada KY, rajinnyer jadi fasi... Tau apa KY jawab? Bagi KY inilah peluang untuk KY deal dengan adik-adik because this is my field and indirectly I can apply all the theory that I had learned in the class. Besides I got the opportunity to improve my soft skills... Sebagai contoh, masa adik-adik kena buat 'palm print' kami arahkan adik-adik untuk guna satu warna sahaja tapi ada antara adik-adik ni yang guna pelbagai warna. As the person who take the early childhood education, Kak Yong tak boleh larang adik-adik ni sebab itu adalah kreativiti diorang. Tugas Kak Yong just observe. Inilah yang dinamakan child-centered learning. [senyum]

Dan tak sangka juga hari tu KY terjumpa Abang Hafiz (my senior)... teringat waktu program Mc Lead yang dikendalikan oleh Abang Hafiz and the gang di Kem Sri Raudhah awal tahun ini... lagi la pelik-pelik diorang bagi kat kami termasuk senaman 'Ayam Belanda' dan 'Gorila'... [sengih lagi]

Perhimpunan Karisma Nasional 2008



Wednesday, December 3, 2008

KBM Kembali di SMK Seri Mutiara

Alhamdulillah pada 11 November 2008 yang lalu, Kak Yong telah berkesempatan untuk menjejakkan kaki semula ke SMK Seri Mutiara, Cheras bersama-sama Pak Long, Abang Bai, Kak Ngah dan Kak Mira bagi menjayakan program KBM Kembali.

Kami tiba di SMKSM agak lewat sedikit dari waktu yang dijanjikan gara-gara kesesakan lalu lintas. Abang Bai yang baru tiba dari JB pada pukul 6 pagi turut mengalami nasib yang sama. Kedatangan kami disambut mesra oleh ustazah, guru-guru serta adik-adik kasih dan sayang. Kelihatan juga wajah adik-adik yang rain menjenguk blog Kak Yong seperti adik Nisha dan Naziem.

Program KBM Kembali ini meerupakan follow-up KBM yang telah diadakan di SMK Seri Mutiara pada bulan Ogos yang lalu. KBM Kembali telah dikendalikan oleh Abang Bai dan Kak Yong memainkan peranan sebagai 'Kak Laptop'. Slot dimulakan dengan sesi perkenalan dari Abang Bai dan tidak ketinggalan adik-adik sempat dihiburkan dengan soalan teka-teki dari Abang Bai. Program diteruskan dengan slot "From Zero To Hero". Dalam slot ini adik-adik kasih dan sayang berkesempatan untuk berSatu Tekad, berTeman Sejati dan berDemi Matahari. Kemudian slot "BARU" dan "Kekalkan Perubahan" pula menyusul. Di akhir sesi, adik-adik kasih dan sayang telah diberikan sehelai kertas A4 dan diminta untuk mencatatkan 10 perubahan yang telah mereka lakukan selepas KBM yang lalu. Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dari pihak sekolah kepada team KBM KL.

Lebih kurang jam 11.30 pagi, kami meninggalkan perkarangan SMKSM dan sempat singgah di Tesco Ampang untuk menjamu selera di Restoran Nasi Kandar!


Gambar-gambar sekitar KBM Kembali!:


Abang Bai sedang mengendalikan slot KBM Kembali


Adik-adik tekun mendengar apa yang disampaikan oleh Abang Bai



Adik-adik sedang membuat simulasi




Abang Bai sedang berdoa sambil diaminkan oleh adik-adik




Penyampaian cenderahati dari pihak sekolah



Kami di Tesco Ampang





Kak Yong: sempat 'lari' ikut KBM Kembali walaupun dalam minggu exam...

Sunday, November 30, 2008

'Negara Syurga'


Disebabkan mata yang enggan lena di kala insan lain yang bernama manusia sedang asyik diulit mimpi nan indah pagi tadi, KY sempat menonton filem ‘Negara Syurga’ (Kingdom of Heaven) lakonan Si-Mata-Biru Inche Orlando Bloom sehingga jam menunjukkan hampir pukul 4 pagi. Terdetiknya keinginan di hati untuk menonton filem ini bukanlah disebabkan oleh tarikan tunggak utama Si-Mata-Biru yang KY tak berapa nak kenal, tapi hati ini begitu ingin menonton kisah perjuangan seorang panglima Islam, Salahuddin al-Ayyubi. Segalanya bermula dengan siri animasi Saladin yang ditayangkan di saluran Astro juga lagu dendangan kumpulan nasyid AlarmMe (Adakah Kau Lupa). Entah mengapa tatkala telinga ini menangkap setiap bait-bait lirik dalam lagu tersebut, suatu perasaan yang sukar untuk ditafsirkan terbit di dalam lubuk hati ini. Credit to Hlovate (novelis JS) kerana bisa membuatkan hati KY terdetik untuk menonton filem ‘Negara Syurga’ ini. Sesungguhnya 5T5B banyak membantu diri ini untuk mencari satu turning point dalam usaha untuk menjadi seseorang yang lebih baik biarpun bukan yang terbaik.

Akhirnya, setelah beberapa kedai-kedai menjual VCD/DVD hatta di kalangan lanun cetak rompak telah diintai, akhirnya KY berjaya juga memperoleh DVD filem ‘Kingdom of Heaven’ atas bantuan ‘anak usrah’ KY iaitu Sakeena (jazakumullahu khairan kathira). Agak sukar untuk mencari DVD ini lantaran filem ini sudah agak lama dihasilkan. Terasa diri ini seperti sudah tertinggal kapal angkasa lagaknya. Orang lain sudah tiba di bulan, KY baru nak melangkahkan kaki masuk ke dalam kapal angkasa... [-.-‘]

Mungkin penonton hanya dapat mengetahui tidak sampai 1% dari keseluruhan sejarah perjuangan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubi dengan menonton filem arahan Ridley Scott ini, namun ada beberapa nilai yang dapat kita ambil sebagai pelajaran jua iktibar. Secara peribadi, kisah ini dapat memberikan kesedaran kepada generasi umat Islam masa kini betapa semangat perjuangan yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan kalimah Lailahaillallah Muhammad Rasulullah terus kekal di muka bumi ini. Lihatlah betapa strategi dalam suatu peperangan itu sangat penting. Masih jelas tergambar bagaimana cantiknya Salahuddin menyusun strategi peperangan (diawal cerita), iaitu dengan teknik kepungan dari kedua-dua bahagian sisi di mana tentera di bahagian hujung laju mara ke hadapan dan mengepung tentera pimpinan Balian dari Ibelin.


Kemudian sewaktu tentera Islam menyerang Kota Jerusalem yang dikenali sebagai perangan Hattin yang diketuai oleh Balian (Si-Mata-Biru) yang mempertahankan kota Jerusalem di waktu alam diselubung kepekatan malam. Terimbau kembali pada kenangan sewaktu latihan ‘Serang Khemah Musuh’ dalam pasukan ROTU di mana 3 platun junior disusun untuk menyerang khemah musuh (tentera regular dari Kor Armor Diraja – KAD memainkan peranan sebagai musuh olok-olok). Latihan itu dilakukan seawal jam 4 pagi.


Melalui filem ini juga, penonton dapat melihat betapa Islam itu adalah satu agama yang cukup syumul melalui perwatakan Salahuddin yang ditonjolkan dalam kisah ini. Melalui kaca mata KY, watak Salahuddin yang dilakonkan oleh Ghassan Massoud dalam filem ini bisa menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Islam merupakan satu ajaran yang mengajak umatnya melakukan keganasan. Ini terbukti dalam filem ini apabila pasukan tentera Islam hanya menyerang pasukan tentera Kristian apabila penganut Islam dizalimi dan dibunuh oleh Reynald, orang kanan Guy de Lusignan, Raja Jerusalem yang baru setelah Raja Baldwin IV yang mangkat. Turut terkorban dalam serangan Reynald itu adalah adik perempuan Salahuddin sendiri. Kata-kata keramat Salahuddin kepada Balian semasa rundingan juga turut menyangkal dakwaan bahawa Islam agama keganasan di mana Salahuddin menyatakan bahawa beliau berbeza dari tentera Kristian. Apabila pihak lawan (Kristian) telah menyerah kalah, beliau tidak akan menghapuskan seluruh orang Kristian sepertimana tentera Kristian yang akan menghapuskan seluruh umat Islam yang mereka serang.



Kesimpulannya, usaha Salahuddin untuk menyebarkan Islam bukanlah usaha dalam sehari dua, namun ia merupakan usaha yang memerlukan banyak pengorbanan. Diharapkan generasi Islam masa kini bisa mencontohi semangat para pejuang Islam silam dalam usaha menegakkan kalimah tauhid Lailahaillallah Muhammad Rasulullah di atas muka bumi ini. Ingatlah, bahawa Islam pernah menaungi dua pertiga dunia suatu tika dulu... Ingatlah...


Kak Yong: ingat lagi dua gerakan sewaktu menembak; ulat beluncas dan lompat katak juga peristiwa peringkat junior didenda beramai-ramai oleh ketua jurulatih, Mejar Abd Razak di dalam sungai gara-gara miscommunication sewaktu latihan khemah tahunan, suatu pengalaman dan ilmu yang cukup berharga... =) Dulu sewaktu latihan kami gunakan M16, LMG, mortar etc tapi bila tengok filem ni terbayang di kotak fikiran di akhir zaman nanti tatkala peperangan antara Islam dan Kristian meletus, keadaan akan kembali seperti dalam kisah ‘Negara Syurga’ ini disebabkan kesemua sumber bahan api telah habis. Kita akan kembali berperang dengan menggunakan kuda, pedang, busur etc. Hmm…mungkin TTS (tempur tanpa senjata) juga diperlukan... =) huhuh... KY tak khatam pun belajar TTS nih... huhuhu...
[-.-‘] Lepas ni giliran 'The Traitor' lak untuk ditonton...

Monday, November 17, 2008

Jadilah Seperti Katak Yang...

Arakian tersebut alkisah di sebuah perkampungan katak, telah berlangsungnya satu pertandingan terbuka memanjat menara kepada semua katak-katak di perkampungan tersebut. Maka, banyaklah katak-katak yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut tidak mengira kecil atau besar, tua atau muda. Semuanya berbondong-bondong mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut kerana tertarik hati dengan hadiahnya yang sungguh lumayan.

Dijadikan cerita, tibalah saat yang ditunggu. Semua katak-katak yang mengambil bahagian terkejut kerana menara yang perlu mereka panjat terlalu tinggi. Maka adalah beberapa ekor katak yang mula menarik diri sebelum pertandingan tersebut berlangsung.

Apabila pertandingan telah dimulakan, para penonton mula bercakap-cakap. Ada yang mengejek-ejek, ada yang mengata, pendek kata semua katak-katak yang menonton mengeluarkan kata-kata negatif. Maka, seekor demi seekor katak-katak yang sedang memanjat menara tersebut jatuh hingga tinggal beberapa ekor sahaja katak yang masih meneruskan perjuangan untuk memanjat menara tersebut.

Akhirnya setelah menunggu agak lama, seekor katak kecil telah berjaya sampai ke puncak menara. Semua katak-katak di perkampungan tersebut sangat hairan dan terkejut. Apabila katak kecil tersebut turun dari menara, masing-masing bertanya bagaimana katak tersebut boleh sampai ke puncak. Jawapannya adalah kerana katak kecil tersebut...

PEKAK!!!


Jadi, disebabkan katak kecil tersebut pekak, dia tak dapat mendengar segala tohmahan dan kata-kata negatif yang dilemparkan oleh katak-katak yang menonton. Dan disebabkan kepekakan katak kecil itu jugalah, dia berjaya muncul sebagai juara pertandingan memanjat...

Mesej dalam kisah katak ini sebenarnya boleh dikaitkan dalam kehidupan kita seharian. Dalam usaha kita untuk mencapai sesuatu pasti banyak kata-kata negatif yang kita dengar dari orang sekeliling yang bisa mematahkan semangat kita. Namun apa yang kita boleh lakukan adalah dengan tidak mengendahkan apa jua yang mereka perkatakan kerana jika kita asyik mendengar dan mengambil kira apa yang orang di sekeliling kita kata, pastinya kita akan jadi seperti katak-katak lain yang jatuh sebelum sampai ke puncak menara. Selain itu, kita juga boleh jadikan ejekan atau kata-kata negatif mereka sebagai satu cabaran atau booster untuk kita memacu perjalanan kita. Kesimpulannya, jadilah seperti katak yang pekak...




Kak Yong: pernah mengalami situasi seperti ini suatu masa dulu. Tapi, seperti yang KY nyatakan diatas, jangan ambil pusing apa yang mereka perkatakan. Ignore je...

Sunday, November 16, 2008

Seronotnyer!!!



Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini diumumkan bahawa, tuan tanah @ tuan rumah @ tuan blog ini secara rasminya telah...

MERDEKA!!!

Ya, alhamdulillah tepat jam 10.30 pagi 16 November 2008 KY telah merdeka sebab dah habis menduduki peperiksaan akhir bagi Semester 1 sesi 2008/2009. Insyaallah, keputusan rasmi GPA akan diketahui pada tarikh 30 November 2008. Pada 1 Disember 2008 KY akan memulakan Semester 2 bagi sesi 2008/2009 yang juga merupakan semester terakhir KY di IIC sebab semester seterusnya KY akan menjalani latihan praktikal di tadika.
[tak sabar nak grad...hehehe]

Tapi dalam keseronokan tu, KY tetap tak dapat balik ke desa terchenta sebab KY kena bertugas untuk mengagihkan jubah konvokesyen. Pada 22 November 2008 akan berlangsungnya Konvokesyen IIC buat kali ke-4. Jadi pada 23 November baru KY akan balik ke kampung.


Dikesempatan ini KY ingin mengucapkan

MABRUK!!!

kepada semua yang bakal berkonvo pada 22 November depan
[sama hari dengan besday Ina, my ex-housemate]

terutamanya my ex-housemate, Ina dan Piah dan juga my ex-neighbour Dzilah...



Kak Yong: tak sabar nak tunggu Ina datang KL...nak gi jalan-jalan...rindu sangat kat dia...

Friday, November 7, 2008

Spider!!!


Salam alaik kepada semua pengunjung blog Catatan Seorang Daie... [macam la ramai sangat yang datang...huhuhu]

Untuk makluman semua, blog ini bakal 'bersawang' dan dihuni spider bermula pada hari esok, 8 November 2008 hingga 30 November 2008. Insyaallah blog ini akan dikemas oleh tuan rumah pada 1 Disember 2008. Ini berikutan tuan rumah bakal menduduki peperiksaan akhir semester pada 12, 14 dan 16 November 2008 dan bercuti di desa terchenta hingga tarikh yang dinyatakan. Doakan agar tuan rumah dipermudahkan urusan olehNYA, amiin...

Kak Yong: huhuhu...gambar yang tiada kaitan dengan entry...tu my pet...Jojie namanya...dulu geli nak pegang, sekarang okeh jer...cute kan?

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers