Wednesday, December 2, 2009

Cinta Teratas




“MAI, AKU NAK BERTUNANG BULAN DEPAN!” Suara Muammar di hujung talian ceria kedengaran. Sumayyah khali seketika. Terasa berderau darah turun daripada wajah. Biar benar... Suaranya tak terasa nak keluar.

“Mai? Sumayyah?”

“Err... ya...” Sumayyah menelan air liur yang terasa berpasir.

“Aku ingat kau dah tertidur. Kat Malaysia kan dah lewat malam...” Muammar tertawa kecil di hujung talian.

Sumayyah tersenyum kelat. “Err... Ammar, aku ada kerja sikit nak kena siapkan. Got to go. And... thanks for calling!”

“Okey. Siapkanlah kerja kau tu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Sumayyah terdiam seketika. “Ammar?”

“Ya?”

Congratulation for your engagement anyway. Nampaknya kau dah tinggalkan aku bertapak-tapak kat belakang.” Sumayyah tersenyum tawar.

Ketawa Muammar pecah tanpa dipaksa. “Okay, take care!”

Sumayyah mengangguk perlahan. Talian diputuskan. Dia merenung skrin telefon bimbit di depan mata. Kelopak matanya terasa pedih. Dadanya seakan berbuku. Jangan menangis, Sumayyah! Kau kena kuat! Bibir bawah diketap kuat. Akhirnya empangan air mata yang ditahan sejak tadi berderai jua.

SUMAYYAH MELEPASKAN pandangannya ke luar jendela. Dia menelan liur yang terasa seakan berpasir. Wafa Atiyah, teman sebiliknya masih belum pulang. Bertapa di perpustakaan barangkali. Dia faham benar afal temannya itu. Jika tidak mengulangkaji di perpustakaan, pastinya dia bersama Kak Maryam dan Kak Balqis. Botol lutsinar berisi bintang-bintang kecil di atas meja dicapai perlahan. Hatinya kembali terasa berbuku.

Sumayyah, kau sedih? Entah.

Kecewa? Agaknya.

Kehilangan? Sangat-sangat.

Sakit? Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Botol lutsinar itu diletakkan kembali di atas meja. Hadiah dari Muammar, sahabat baiknya yang kini menyambung pengajian di United Kingdom. Empangan air matanya pecah lagi entah buat kali keberapa. Rapuhnya dikau duhai hati...

Salah akukah kerana tidak meluah rasa yang kusimpan kemas selama ini? Adakah aku yang terlewat atau dia yang terlalu cepat? Air mata di pipi diseka perlahan. Bunyi pintu dibuka dari luar tidak dihiraukan.

“Assalamualaikum...” Wafa melangkah perlahan ke dalam bilik. Beg sandang diletakkan di atas meja.

“Waalaikumsalam...” Sumayyah mengesat baki air mata dengan kedua belah tangan.

Are you okay?” Wafa melabuhkan punggung di sebelah Sumayyah. Tingkah Sumayyah semenjak dua tiga hari yang lepas kelihatan janggal di pandangan matanya. “Kenapa ni?”

Sumayyah berpaling. Wafa merenungnya dengan riak muka penuh tanda tanya.

“Baru balik ke?” Soal Sumayyah pendek.

“Eh, taklah. Semalam lagi...” Selamba Wafa menuturkan. Jawapan Wafa itu mengundang tawa kecil di bibir Sumayyah.

“Sejak bila pulak kawan sebilik Mai ni pandai buat lawak?”

“Sejak dari kandungan Ummi lagi...” Wafa menayang gigi sebaris. “Mai ni kenapa?” Wafa menepuk lembut bahu Sumayyah. Sumayyah tersenyum nipis sebelum menala pandangannya kembali ke luar jendela.

“Ammar nak bertunang bulan depan.” Sumayyah menggumam perlahan. Kelopak matanya kembali pedih dan terasa berpasir.

“Sebab tu Mai jadi macam ni?” perlahan teragak-agak suara Wafa mencecah gegendang telinganya. Sumayyah senyum tawar.

“Jangan bazirkan air mata gara-gara seorang lelaki, Mai...”

“Siapa cakap Mai menangis sebab lelaki? Saja cuci mata la... KL kan selalu berjerebu...” Sumayyah senyum plastik.

“Sejak bila pulak kawan Wafa ni jadi Tukang Karut? Kerja sambilan ke?” Dia sengih mengusik. Sumayyah mengukir senyum kecil.

“Wafa, Mai nak tanya sesuatu boleh? Dah lama Mai nak tanya tapi...” Sumayyah bersuara perlahan. Lama dia merenung Wafa di sebelahnya. Wafa mengangguk sambil tersenyum nipis.

“Mai selalu perhatikan Wafa jarang sangat ada kat bilik. Kalau tak ‘bertapa’ kat perpustakaan, Wafa selalu jumpa Kak Maryam dan Kak Balqis. Boleh Mai tahu kenapa Wafa selalu jumpa diorang?” Wafa mengukir senyum kecil.

Usrah.” Wafa menjawab mudah.

Usrah? Apa tu?” Sumayyah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Wafa senyum segaris.

Usrah ni secara mudahnya bermaksud keluarga, tapi dalam konteks kami sekarang ni, usrah merupakan sekelompok kecil Muslim yang mempelajari dan mengamalkan Islam di bawah pimpinan dan bimbingan seorang naqib atau naqibah.”

Naqib? Naqibah? Mai tak faham la...”

Naqib atau naqibah ni berperanan sebagai ayah, ibu, guru, abang, kakak, dan juga sahabat kepada setiap ahli usrah. Mereka akan bekerjasama dengan setiap ahli usrah untuk membentuk individu Muslim yang soleh wa musleh.” Wafa bersuara tenang.

“Maksudnya individu Muslim yang baik dan mampu mengajak orang lain melakukan kebaikan.”

Sepi mula menguasai ruang bilik. “Kenapa Wafa pergi usrah? Tak penat ke? Jadual kelas yang padat, mana lagi nak buat tugasan, nak buat persediaan untuk kuiz, peperiksaan...” Lama kemudian baru Sumayyah membuka mulut.

“Mai, usrah ni sebenarnya melibatkan keterikatan hati antara sesama ahli. Inilah sahabat menangis dan ketawa, sahabat yang berkongsi suka dan duka. Setiap ahli usrah punya matlamat yang sama iaitu untuk beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Bila kita selalu ikuti usrah, kita akan dapat menambah ilmu dunia dan juga ilmu akhirat. Malah, kita dapat memperbaiki mutu ibadah kita. Kalau Mai nak tau, melalui usrahlah dakwah Islam berkembang di peringkat awal kerasulan Nabi Muhammad. Dulu Rasulullah buat usrah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam bin Abi Al-Arqam.” Lembut dan tenang Wafa memberi penjelasan.

Sumayyah memandang tepat wajah Wafa. “Tak bosan ke asyik bersila menghadap muka naqibah dalam surau?”

Wafa menggeleng perlahan. “Mai dah salah faham ni. Siapa kata kami asyik bersila dalam surau? Usrah tak semestinya duduk bersila di surau menadah kitab. Sebenarnya banyak aktiviti yang kami lakukan bersama. Contohnya memanah, main bowling, paintball, ice skating, keluar makan sama-sama, berkelah, dan banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik yang dilakukan bersama-sama. Tapi biar apa pun aktiviti yang dilakukan, tetap diselitkan pengisian yang bermanfaat. Secara tak langsung, dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah antara sesama ahli usrah.”

Sumayyah senyum pahit. Jahilnya aku! Wafa, kenapa Mai tak boleh jadi macam Wafa? Sejak kita sama-sama sambung belajar di sini, Wafa banyak sangat berubah. Kalau dulu dia tak pakai stoking, sekarang dah pakai, malah siap dengan stoking tangan sekali. Baju dia pun dah tak ada stok ‘baju adik’. Semua dah tukar spesies besar gedabak. Koleksi novel-novel cinta jiwang karat yang dia sayang sangat-sangat, dah bertukar dengan koleksi buku-buku agama yang bermacam jenis. Kalau dulu lepas solat cukup dengan doa pendek je, tapi sekarang panjang sungguh zikir munajat yang dia alunkan. Kadang-kadang aku nampak dia menangis dalam doanya yang panjang. Alhamdulillah. Tapi aku? Aku masih lagi tak habis-habis dengan urusan dunia. Membuang air mata gara-gara orang yang aku sayang dalam diam, bakal menjadi tunangan orang.

“Mai...” Suara lembut Wafa mematikan lamunan Sumayyah. Sumayyah menghela nafas panjang.

“Apa kata kalau Mai ikut Wafa pergi usrah minggu depan? Nanti bolehlah Mai berkenalan dengan Kak Maryam, Kak Balqis dan ahli-ahli usrah yang lain.” Wafa tiba-tiba bersuara girang. “Sekejap ya?” Dia bingkas bangun menuju ke meja belajarnya. Laci meja ditarik perlahan. Tangannya mencapai sesuatu dari dalam laci meja.

“Wafa rasa Mai kena baca buku ni.” Wafa mengukir senyum kecil. Lambat-lambat Sumayyah memanjangkan tangan juga menyambut buku yang dihulur Wafa. Pandangannya jatuh pada muka depan buku itu. “Apakah Ertinya Saya Menganut Islam?” Wajah Wafa dipandangnya penuh dengan tanda tanya.

“Itu buku tulisan Fathi Yakan. Mai, bacalah. Moga ada manfaat dari buku tu.” Tangan Sumayyah digenggam erat. Sumayyah membelek-belek buku itu. Matanya meniti baris kata di kulit belakang buku tersebut. Wafa nak suruh Mai baca buku ni? Dahi Sumayyah sedikit berkerut. Mampukah aku?

“APAKAH SEBENARNYA MATLAMAT kita hidup di dunia ini? Sudah pastinya mardhatillah, keredhaan Allah adalah matlamat agung bagi orang-orang yang beriman. Bagaimanakah caranya untuk kita beroleh mardhatillah? Salah satu syaratnya adalah ikhlas, iaitu dengan menjadikan Allah s.w.t. sebagai satu-satunya tujuan dalam segala amalan. Kata orang keikhlasan itu letaknya di hati. Cuba kita perhatikan hati-hati kita, adakah hati kita ini benar-benar bersih?” Maryam Ibtihal memandang satu persatu wajah-wajah ahli usrah pimpinannya.

“Andai hati kita tidak bersih, andai hati kita ini sakit, andai hati kita ini kotor, bagaimana kita akan beroleh keikhlasan? Jika keikhlasan itu tidak wujud mahupun sirna, adakah mampu untuk kita beroleh mardhatillah?” Sepi mula menguasai suasana.

“Kunci kepada mardhatillah itu sebenarnya terletak pada hati kita. Oleh itu sentiasalah kita menjaga hati-hati kita ini.”

“Kak Mar, bagaimana caranya untuk membersih dan mengubat hati yang sakit?” Addina bertanya lembut.

Maryam Ibtihal tersenyum manis. “Ada sesiapa boleh jawab soalan Dina tu?”

Penuh yakin, Hanan mengangkat tangan. “Tafaddal, silakan Hanan...”

Bismillahirrahmanirrahim... Erm... antum pernah dengar lagu Tombo Ati dendangan Opick?” soal Hanan.

“Kenapa?” Wafa memandang Hanan dengan penuh tanda tanya.

“Tombo Ati atau dalam bahasa Melayu bermaksud ubat hati. Dalam lagu ni ada disebutkan ubat kepada hati itu ada lima perkara. Yang pertama ialah membaca Al-Qur’an dan memahami maknanya. Seperti yang kita sedia maklum, dengan membaca al-Qur’an dan memahami maksudnya adalah sangat dituntut oleh Islam. Di sinilah akan terhasilnya penghayatan kepada agama dan insyaallah berolehnya ketenangan kepada hati kerana Al-Qur’an itu adalah kalam Allah, kata-kata Allah. Kedua, mendirikan malam iaitu qiamullail merupakan sumber kekuatan rohani kita.” Hanan diam seketika. Dahinya sedikit berkerut cuba mengingat kembali bait-bait lirik Tombo Ati.

“Yang ketiga, berkumpul atau berada di kalangan orang-orang soleh. Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, ada menyebutkan; diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” Hanan menarik nafas dalam.

“Ini menunjukkan bahawa apabila kita berada di kalangan orang soleh, insyaallah diri kita akan terjaga kerana afal tegur-menegur, nasihat-menasihati, tidak mudah berputus asa dan sabar dalam melaksanakan ibadah. Rasulullah s.a.w. bersabda; orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri). Justeru itu memilih sahabat yang baik adalah sangat penting kerana implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi mentaliti dan moral kita. Yang keempat, memperbanyakkan puasa dan yang terakhir ialah perbanyakkan berzikir ilaallah…” jelas Hanan satu persatu. Dia menarik nafas lega. Sumayyah terpaku. ‘Hebatnya mereka!’ Desis hati kecilnya. Satu perasaan yang sukar untuk dicerna oleh minda mula menyelinap ke lubuk hatinya.

Syukran jazilan Hanan atas jawapan yang cukup baik itu. Inilah yang akak mahukan dari antum. Berani untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan.” Maryam Ibtihal menghadiahkan senyum manis buat Hanan. Hanan tersipu malu.

Akhwat yang akak kasihi… Sekarang ni akak mahu kita semua renungkan, terlalu banyak nikmat dan kurnia Allah pada kita. Nikmat mata untuk kita melihat, nikmat telinga untuk kita mendengar, nikmat mulut untuk kita berkata-kata dan tidak terhitung banyaknya nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Namun sayangnya ramai di antara kita yang lebih menyayangi ‘hadiah-hadiah’ daripada ‘Si Pemberi Hadiah’. Bukankah ‘Si Pemberi’ itu selayaknya yang lebih disayangi? Natijahnya andai kita benar-benar menyayangi ‘Si Pemberi’, pastinya ‘hadiah’ pemberiannya akan kita jaga dengan baik dan bersunguh-sungguh.”

“Kak Mar, bagaimana nak mencintai Allah?” Soal Addina.

“Kenalilah Dia… Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta…” Tutur Maryam Ibtihal penuh makna.

“Bagaimana untuk kita mengenali Allah?” Giliran Hanan pula bertanya. Maryam Ibtihal tersenyum nipis. Dipandangnya satu-persatu wajah-wajah suci di hadapannya sebelum dia menjawab soalan Hanan dengan yakin.

“Gunakanlah seluruh pancaindera kita untuk mengenali Dia. Gerakkanlah minda, gunakanlah mata dan juga hati. Lihatlah kebesaranNya menerusi alam sekeliling kita serta seluruh makhluk ciptaanNya. Kenali nama dan sifat-sifatNya. Dengan mata kita melihat, dengan akal kita mentafsir dan dengan hati…” Maryam Ibtihal meletakkan tangan kanannya di dada sebelum menyambung. “Insyaallah dengan hati kita akan merasai kasihNya yang melimpah ruah.”

“Ibadah yang wajib kita laksanakan. Ibadah yang sunat jangan sesekali kita lupakan. Tidak cukup sekadar kita melaksanakan yang wajib, meninggalkan yang haram kerana itu hanya tanda pengabdian. Laksanakanlah yang sunat, hindarilah yang makruh kerana itulah tanda kasih dan cinta kita kepada Allah.” Maryam Ibtihal tersenyum manis.

Sumayyah menekur pandangannya ke lantai. Mata terasa seakan berpasir. Dia mengetap bibir bawah. Tingkahnya disedari Wafa yang berada di sebelah kanannya. Perlahan, tangannya menggenggam erat tangan Sumayyah. Sumayyah berpaling memandang tepat wajah Wafa. Ada senyum manis yang terukir di bibir gadis itu.



[bersambung...]

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers