Saturday, March 27, 2010

[K.A.M.I] versi E-Novel


Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, puji dan syukur selayaknya buat DIA, Tuhan sekalian alam... DIA yang selayaknya berada di dalam hati kita... DIA yang menitipkan buah fikiran untuk diri ini terus mencoretkan sesuatu untuk dikongsi dan dijadikan renungan bersama.

Setelah sekian lama hajat untuk melahirkan [K.A.M.I] dalam versi e-novel tercetus, akhirnya ana diberi kekuatan dan kesempatan untuk menulis kembali setelah sekian lama dihambat kesibukan tugas-tugas yang lebih aula. Syukran jazilan buat mereka-mereka yang menjadi 'tulang belakang', mereka yang menjadi 'pasukan sorak', mereka yang menjadi 'tukang kritik' dan mereka yang menjadi 'pembaca bisu' selama ini. Juga buat bonda tercinta yang turut berkongsi minat yang sama (baca novel) walaupun diri ini menulis di luar pengetahuannya ^__^ (segan kot nak bagi mak baca hehe)

Penghujung tahun lalu telah menjadi saksi ABK yang telah diubah suai muncul dalam Risalah Pemimpin 10 (terbitan JIMedia) dalam bentuk bercetak. Moga ia menjadi pemacu untuk ana terus menulis sesuatu yang pastinya bukan 'kosong' kerana ana tidak mahu dipersoalkan kelak seandainya menghidangkan bahan bacaan yang sekadar menjadikan pembaca alpa dan terlibat dengan perkara-perkara yang lagha (ana masih mendapat saham, masih akan dipertanggungjawabkan atas apa yang ditulis).

Apapun, doakan agar ana terus diberi ruang dan kesempatan untuk menulis dan menjadikan penulisan di bidang kreatif sebagai medium dakwah. Terimalah [K.A.M.I] ~ Di Bawah Langit Cinta Ilahi...




"Meskipun kita individu yang berbeda, meskipun kita adalah entiti yang berbeza, kita masih bernaung di bawah langit yang sama... kita masih berpegang kepada aqidah yang satu... Kita masih berTuhankan Allah yang Maha Esa... Sama-sama bermujahadah agar ada DIA di hati-hati kita... Sama-sama mengorak langkah untuk mencari cintaNYA... Sama-sama bernaung di bawah langit cinta Ilahi..."


Prolog

Hujan turun renyai-renyai tatkala dia keluar dari Perpustakaan Negara. Setelah hampir setengah jam, bas yang ditunggu akhirnya tiba. Dia pantas melabuhkan punggungnya di atas satu-satunya kerusi kosong yang tinggal. Beg galas dan buku-bukunya yang sedikit basah diletakkan di atas riba. Pandangannya dilontarkan ke luar tingkap bas. Cuaca yang buruk petang ini mengakibatkan perjalanannya untuk pulang ke rumah menjadi lebih panjang kerana trafik yang sesak. Sesekali terdengar bunyi guruh sahut-menyahut di luar sana.

Dia melepaskan satu keluhan berat. ‘Kalaulah tadi aku tak menggatal nak pergi perpustakaan, sekarang ni mesti aku tengah sedap bersantai kat rumah. Hujan-hujan macam ni, dapat kopi panas dengan ubi keledek goreng mesti sedap!’ Hati kecilnya berbisik.

Hujan di luar sana langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Bas masih bergerak perlahan. Barangkali kalau diadakan pertandingan di antara dia dan Cik Siput saat ini, pastinya Cik Siput yang akan menjadi juara. Rasa sejuk mula mencengkam. Dia menggosok kedua-dua belah tangannya. Tiba-tiba matanya terpandang rantai kunci hadiah dari sahabat baiknya.

Apabila kita sedang diuji, kita kena yakin bahawa ia adalah ketentuan dari Allah. Percaya bahawa ia adalah qada’ dan qadar Allah. Jangan pula kita cakap ‘kalaulah aku buat macam ni, tentu akan jadi macam ni’. Dan bila kita asyik sebut perkataan ‘kalau’ ini, ia seolah-olah kita menidakkan dan mempersoalkan takdir dan ketentuan Allah. Jadi, bagaimana dengan keimanan dan kepercayaan kita terhadap rukun iman yang keenam iaitu beriman kepada qada’ dan qadar Allah? Perkataan ‘kalau’ sebenarnya membuka pintu perbuatan syaitan. Syaitan tak pernah berputus asa untuk menggoda dan menyesatkan anak cucu Nabi Adam.” Kata-kata sahabat baiknya itu terngiang-ngiang di kotak ingatan. Bunyi guruh yang agak kuat mematikan lamunannya.

Astaghfirullahal ‘azim...” Dia beristighfar panjang memohon ampun atas kekhilafannya. Dia jadi malu sendiri. Baru diuji dengan ujian yang tak seberapa ini dia sudah mengeluh. Rasulullah dan para sahabat yang hebat diuji dalam perjuangan menyebarkan agama Islam tak pernah langsung mengeluh dan berputus asa.

Bas mula bergerak perlahan. Dia membuang pandang melihat wajah-wajah manusia yang bersesak-sesak di dalam bas. Manusia-manusia ini keluar seawal pagi menuju ke tempat kerja masing-masing. Mengejar cita-cita adalah misi utama. Pulang di waktu petang dalam keadaan letih dan lesu. Keesokkan harinya mereka bakal melalui rutin harian yang sama. Bukankah mereka ini tak ubah seperti sebuah robot?




Adakalanya robot-robot ini cuba menghiburkan diri dengan pelbagai hiburan. Robot-robot ini menyangkakan bahawa mereka sangat gembira dengan berhibur dan bekerja. Mereka sangka mereka sudah memenuhi tujuan hidup mereka. Adakah robot-robot ini lupa bahawa dia ada TUAN? Adakah robot-robot ini lupa kenapa mereka diciptakan? Adakah robot-robot ini lupa bahawa suatu hari nanti suis mereka akan dimatikan oleh TUANnya?

Astagfirullahal ‘azim... Astaghfirullahal ‘azim... Ya Allah, Kau jauhkanlah aku dari sifat-sifat yang sedemikian. Jauhkanlah aku dari sifat-sifat lalai dan leka. Bantulah aku ya Allah untuk terus bermujahadah... Rapuh-rapuh hatiku ini, Kau kuatkanlah ya Allah kerana sesungguhnya perjuangan ini terlalu akhbar!” Empangan air matanya pecah jua. Tangisannya berlagu kesayuan menginsafi kejahilan diri seiring dengan langit yang turut menangis membasahi bumi. Langit yang cuba menyucikan bumi dari debu-debu dosa dan noda manusia yang sudah semakin lupa dan alpa.



[Bersambung...]

1 comment:

kaduk said...

perh gempak...mule2 je da sdey..=)

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers