Tuesday, April 6, 2010

Menjemput Bidadari


“Mungkin…” Aku tersenyum. Namun hati sebenarnya tengah berdetak-detuk.Macam mana boleh melencong masuk bab kahwin-kahwin ni? Salah putar stereng ke?

“Suka sangat dengan mungkin dia tu” Dia mengerutkan dahi. Aku jadi pelik. Kenapa pulak ada gaya merajuk semacam ni?

“Ei cik kak, hidup ni memang penuh dengan kemungkinan. Mana tahu tak dapat buat… ha, nanti kata saya mungkir janji” Aku cuba berseloroh.Aku fikir itu akan menenangkan keadaan.

“Awak memang suka macam tu kan?” Dia memalingkan tubuhnya.

“Suka macam mana? Orang Jepun?” Aku rasa pelik.

“Main-mainkan hati saya” Dia masih tidak memandangku.

Aku terdiam.

****

Suasana bilik terlalu dingin. Sekarang ni musim sejuk. Maka keadaan aku yang berbungkus dengan baju sejuk berlapis-lapis, memakai sarung tangan dan kaki juga berlapis-lapis, adalah keadaan biasa yang boleh dilihat ketika musim ini datang.

“Kau memang tak kisah ke?” Munzir sahabat serumah dengan aku mencelah menung.

Aku menoleh. Kelihatan dia membawa bersama dua cawan. Aku dapat jangka itu adalah cawan yang berisi Kopi Radix. Munzir ni memang peminat kopi popular tu. Kat Jepun pun dia mesti dengan Kopi Radix dia.

“Kau memang tak kisah ke?” Munzir meletakkan kedua buah cawan itu di atas meja rendah di tengah ruang tamu rumah.

Aku angkat kening. Ni kenapa pulak tiba-tiba tak kisah?

Munzir tersengih. “Kau jangan buat tak faham. Kau tak kisah ke dia kahwin?”

Aku mendekatkan diri ke meja. Aku tarik selimut tebal bagi menghangatkan lagi badan. Selepas itu cawan berisi kopi radix terus kugapai. Airnya kuhirup. Hangat…

Sedap.

“Nak buat macam mana. Aku pun tak cakap aku suka kat dia”

“Tapi kau suka kat dia kan?” Munzir angkat kening sambil tersenyum. Ekspresi ada makna tersirat.

“Mungkin” Aku tersenyum. Munzir menjulingkan mata ke atas siling.

“Mungkin dia tu lagi” Dia mendengus. Aku ketawa.

Aku tunduk memandang kopi radix di dalam cawan. “Aku syok sendiri” Kopi itu aku hirup.

“Kenapa tak cakap kau suka?”

“Sebab aku jauh… dan…”

“Dan…?” Munzir masih memandang aku. ‘Dan’ dari mulutnya itu macam menekan untuk aku bersuara.

Aku menghela nafas.

“Aku tak tahu dia suka aku atau tak… Tambah dengar dia nak kahwin, rasanya dia tak ada perasaan pada aku”

Suasana senyap sebentar.

“Kau bodoh” Munzir bersuara.

“Mungkin”

Dan Munzir menghela nafas.

****

Bolehkah kita menjadi penyambung

Menyambung dua hati manusia yang tak berhubung

Seperti hujan menyambungkan langit dan bumi

Yang keduanya itu nyata terpisah dalam jarak yang realiti

Sepi. Perpustakaan menjadi memang satu tempat yang sesuai untuk menghindari hirup pikuk kota. Rakyat jepun memang rakyat yang baik. Tetapi kotanya tetap sama seperti kota-kota lain di dunia. Sesak.

Aku membaca barisan sajak jepun di dalam buku himpunan sajak negara matahari terbit itu. Kebelakangan ini jiwa aku agak kurang tenteram. Jadi aku suka membaca bait-bait sajak yang sudah menjadi darah dagingku semenjak aku sekolah menengah. Namun setelah aku menghabiskan masa hamper tiga jam di sini, aku tetap tidak mendapat apa yang aku mahu. Dan akhirnya aku terhenti di bait sajak tentang hati. Dan rasa sakit yang tidak dapat aku tafsirkan di dalam hatiku timbul lagi.

“Oh, dia nak jumpa?”

“Ya,”

“Kenapa?”

“Tak tahu, dia ada masalah kut”

Aku menghela nafas. Aku melihat dia sedang berjalan mendekati kami berdua. Dia membawa seorang teman.

“Baiklah. Kau tunggu sini teman aku” Aku menepuk bahu temanku itu. Ahmad namanya.

“Baik”

Aku melangkah mendekati wanita yang sedang merapati tempat aku berdiri tadi. Aku mengalihkan wajah keluar.

“Assalamu’alaikum” Lembut suara itu kedengaran.

“Wa’alaikumussalam” Aku mengangkat tangan dengan gaya melambai.

Dia tersenyum.

Manis. Entah kenapa, hati aku rasa berbunga. Tertarik juga segaris sengih di bibirku.

“Kenapa sengih? Saya ada silapkah?”

“Mungkin” Aku bersahaja.

“Erm, awak memang suka cakap mungkin ya”

“Mungkin” Dan dia tergelak kecil. Telapak tangan kanannya menutup mulut.

Bidadari….

“Saya ada hal nak cakap dengan awak…” Dia bersuara.

“Pihak universiti minta saya buat satu projek, dan saya perlukan pembantu. Jadi saya rasa awak adalah orang yang paling sesuai untuk bantu saya. Boleh tolong?”

Riak wajahnya serius walaupun dia sedang tersenyum.

“Projek apa?”

“Projek Bulan Mahabbah”

“Kenapa perlukan saya?”

“Sebab awak ni pengerusi Kelab Pengurusan kan?”

“Mungkin”

Dan dia tertawa indah.

Kenangan lalu menyinggah. Aku menghela nafas. Sejak hari itu, memang benar-benar aku mengenalinya. Projek itu memakan masa selama dua bulan. Sebulan untuk persediaan, dan sebulan lagi semasa projek itu berjalan. Dan selama dua bulan itu aku mengenalinya dengan sebenar-benar pengenalan. Walaupun atas nama teman projek, tetapi aku tetap rasa bertuah, kerna aku sudah lama menyimpan hati terhadapnya.

Dia adalah bidadari. Suaranya lembut, wajahnya menyejuk kalbu, menutup aurat, menjaga batas-batas syara’, tutur katanya sopan, tingkahnya beradab, walaupun kuat merajuk, tetapi tetap menceriakan, walaupun suka bergurau, tapi pandai menjaga batasan. Aku rasa dia bukan wanita masa kini, tetapi dia adalah wanita abad lepas. Sungguh menarik hati. Seorang yang solehah.

Aku selak lagi buku himpunan sajak jepun. Namun hatiku telah tawar. Malah bait yang terakhir tadi seakan mencabar diriku. Hujan dengan diriku, kenapa hujan mampu dan aku tidak?

“Sebab dia pastinya tak ada perasaan terhadap aku”

Itulah jawapan hatiku yang selalu bergema. Memang, kami tiada hubungan istimewa, selepas projek itu, kami boleh kata langsung tidak berhubung. Aku hanya melihatnya dari jauh. Dan dia hanya bercakap denganku semula pada jamuan perpisahan sebelum aku menyambung pelajaran ke Jepun ini.

“Nanti pergi Jepun seorang diri ke?”

“Erm,tak”

“Pergi dengan siapa?”

“Munzir”

“Oho, Munzir yang genius dalam engine tu?”

“Mungkin”

“Ha ha…”

“Kenapa tanya?”

“Ya la, mana tahu pergi dengan buah hati”

“Oh… Mungkin cari orang jepun la. Orang Malaysia mana best”

“Serius?”

“Mungkin”

“Orang dakwah macam awak, minat juga dengan orang-orang cantik ya”

“Aik, macam merajuk je?”

“Tak adalah. Bukan ke dalam daurah yang lepas awak cakap nak kahwin dengan wanita yang juga faham dengan dakwah dan tarbiyyah?”

“Ya, saya dakwah la orang jepun tu biar dia betul-betul faham tentang ISLAM, tentang dakwah dan tarbiyyah”

“Serius?”

“Mungkin…” Aku tersenyum. Namun hati sebenarnya tengah berdetak-detuk.Macam mana boleh melencong masuk bab kahwin-kahwin ni? Salah putar stereng ke?

“Suka sangat dengan mungkin dia tu” Dia mengerutkan dahi. Aku jadi pelik. Kenapa pulak ada gaya merajuk semacam ni?

“Ei cik kak, hidup ni memang penuh dengan kemungkinan. Mana tahu tak dapat buat… ha, nanti kata saya mungkir janji” Aku cuba berseloroh.Aku fikir itu akan menenangkan keadaan.

“Awak memang suka macam tu kan?” Dia memalingkan tubuhnya.

“Suka macam mana? Orang Jepun?” Aku rasa pelik.

“Main-mainkan hati saya” Dia masih tidak memandangku.

Aku terdiam.

Dari sembang-sembang itu, aku macam dapat rasa dia ada hati dengan aku. Tetapi memandangkan aku hendak pergi jauh, aku tak berani hendak menyuarakan rasa hatiku pada dia. Tambahan, ibuku melarang keras untuk aku menyuarakan rasa cinta kepada orang lain sebelum habis belajar. Ibuku kata, ia mungkin akan membawa kepada keburukan, apabila sesuatu yang kita tidak sangka terjadi, seperti putus cinta dann sebagainya. Akhirnya aku pergi tanpa berkata apa-apa. Jadilah aku apa yang aku jadi hari ini.

****

Aku bergerak keluar dari perpustakaan.

Musim sejuk mengundang salji yang indah. Kristal kecil dari langit itu membukit menjadikan tanah jepun ini putih dengan salji. Kiri kanan kota diselaputi salji. Rimbunan pohon juga berhias putih. Awal-awal aku tiba di sini adalah musim ini. Memang ketika itu agak jakun, namun sekarang suasana ini adalah normal, malah kadangkala aku tidak suka kerana leceh. Perlu pakai tebal-tebal dan sukar mengambil wudhu kerana terlalu sejuk.

Tapi aku tahu, aku berada di sini bukan untuk melancong. Maka kesusahan menghadapi sesuatu bukanlah sesuatu yang suka aku rungutkan. Aku di sini adalah untuk menimba ilmu, sambil berusaha memuka peluang berdakwah kepada masyarakat matahari terbit yang majoritinya tidak mengenali dan megambil ISLAM sebagai cara hidup. Namun itu bukanlah sesenang bahasa diuntai, bukan seperti kulit kacang dibuka.

Masyarakat di Jepun adalah masyarakat yang beradab, bertata susila, menghormati orang lain dan berilmu. Kadar jenayah juga adalah rendah dan mereka benar-benar masyarakat yang jujur dan amanah. Suasana bandar mereka yang bersih, rumah mereka yang bersih benar-benar menggamit hati dan menyentuh jiwa. Dalam keadaan ummat ISLAM sendiri tidak mengamalkan ajaran ISLAM, mereka menjadi tidak tertarik kerana mereka tidak nampak apa yang istimewa di dalam ISLAM. Mereka sendiri yang tidak mengamalkan ISLAM jauh lebih baik dari segi adab dan tatasusila. Hal ini memang menyedihkan. Tak hairanlah kenapa Hassan Al-Banna berusaha memperbaiki ummah. Kerana ummat ISLAM sendiri menjadi fitnah kepada ISLAM yang syumul dan indah.

Benarlah kata-kata seorang ulama’

“ISLAM hari ini, dikelambu ummatnya sendiri”

Aku menghela nafas. Aku sudah hampir dua tahun duduk di sini. Berdua bersama sahabat karibku Munzir. Berdua mengambil Master, dan berdua juga menjalankan pelbagai usaha dakwah. Kami berdua sudah cuba pelbagai cara, namun memang sukar sungguh untuk membuka hati penduduk tanah matahari terbit ini. Kadang-kadang rasa kecewa timbul juga. Namun mengingatkan Seerah Rasulullah yang kubaca di dalam Raheeq Al-Makhtum, kenangan Sheikh Adil Shuwaikh dengan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, disuntik pula dengan perjuangan Al-Banna, aku menolak kekecewaan dan putus asa di dalam kamus dakwahku. Aku harus terus mengibarkan panji perjuangan.

Dakwah dan Tarbiyyah. Itulah darah dagingku. Berusaha mengajak manusia agar kembali mengambil ALLAH sebagai RABB dan ILAH. Tetapi perjalanan di atas jalan ini, bukanlah dibentangi dengan permaidani merah, malah seorang ulama’ berkata,

“Jalan ini adalah jalan yang ditaburi duri yang terpacak”

“Issam-san, konichiwa” Satu suara lembut mencelah. Menghentikan langkahanku, memadamkan lamunanku.

Aku mengangkat wajah. Sayako, jiran sebelah rumah mengangkat tangan melambai. Tangan sebelahnya memegang bola sepak. Aku tersengih sambil membalas lambaiannya.

“Konichiwa” Ucapan selamat tenghari juga kubalas di dalam bahasanya.

Dia mendekatiku. Di dalam hati aku mula rasa tak senang. Sayako adalah perempuan yang cantik, dan dia juga merupakan actress di dalam drama jepun. Dan dia sama university dengan aku. Aku sebenarnya tidak senang kerana dia suka mendekatiku. Malah dia kadangkala cuba menyentuh aku. Aku memang berusaha untuk tidak berjumpa dengannya, tetapi apa kan daya, rumah kami adalah bersebelahan.

“Daigaku no guraundo de sakka wo yarun desukedo, sanka shinai?” Dia mengajak aku bermain bola. Perempuan main bola? Ish… Pelakon kadang-kadang pelik, atau… perempuan Jepun memang pelik?

“No thanks, nemui” Aku menolak lembut sambil menyatakan aku mengantuk.

Sayako tersenyum. Dia mengucapkan selamat tinggal dan menyatakan bahawa dia nak mengajak aku keluar malam nanti.

“Sorry, I’ve work to do” Aku memberikan alasan. Sayako sekadar mengangguk dan meninggalkan aku dengan senyuman.

Huh… Susah hidup ni.

“Kena mengorat?” Munzir bersuara sebaik sahaja aku memasuki rumah.

“Mungkin” Aku menarik sengih. Munzir sudah tahu akan kebiasaan aku di sini. Walaupun dia berhadapan dengan lap topnya, dia dapat meneka dengan tepat. Munzir satu kelas dengan Sayako, mengambil jurusan komputer. Aku hormat Sayako tentang satu perkara, walaupun dia seorang pelakon, namun dia masih mengambil berat tentang pelajarannya. Sesuatu yang patut dicontohi ramai selebriti di tanah airku, Malaysia.

Munzir tertawa sambil menumpukan wajahnya dengan lap top Applenya.

“Aku rasa kau kena jemput bidadari kau”

Aku menoleh ke arah Munzir. Kening aku terangkat.

“Jemput… Bidadari?”

Munzir berpusing di atas kerusi. Dia tersengih.

“Ya, jemput, sebab bidadari kau menunggu”

Aku mengerutkan dahi.

Munzir senyum penuh rahsia.

“Mana kau tahu bidadari aku tunggu? Bidadari aku bagitahu kau ke?” Aku membalas. Aku kira dia berseloroh sahaja. Apa bidadari-bidadari tengah hari buta kat Jepun nih. Kena serang angin sejuk ke apa kawan aku seorang ni.

“Mungkin” Dua kali dia mengangkat kening. Meniru gaya ‘mungkin’ aku yang popular. Wajah Munzir mencurigakan hatiku.

“Aku pun tak kenal bidadari aku yang mana satu, kau boleh kata dia tunggu aku pulak” Aku melangkah masuk ke bilik.

“Kau tak kenal?” Munzir melaung sambil ketawa.

Aku menggeleng kepala. Terus masuk ke bilik.

Sebaik sahaja pintu bilik tertutup, hatiku berdetak-detup.

Menjemput Bidadari? Bidadari sedang menunggu?

Kau sakit ke Munzir?

Atau… aku yang sakit?

****

“Ya ALLAH, hambaMu ini sedang sakit. Maka aku kembali kepadaMu, mengadu tentang sakitnya hati ini. Aku menyukai salah seorang dari hambaMu, hatiku sudah dicuri olehnya, dan aku benar-benar cinta kepadanya, dan aku rasa aku mencintainya hanya keranaMU, kerana padaku dia boleh menjadi teman untuk aku menujuMu, untuk aku memikul tanggungjawab dakwah yang KAU berikan kepadaku, dan tanggungjawab tarbiyyah untuk diriku.

RABBI, kalaulah aku ada teman yang lebih hebat daripadaMU, nyata aku akan pergi ke arahnya, tetapi KAU adalah satu-satunya ILAH, KAU memahamiku lebih dari diriku memahami diriku, KAU tahu hambaMu ini YA ALLAH, maka aku memohon kepadaMU, berikanlah aku jalan keluar dari kesakitan ini, aku mendengar dia hendak berkahwin, sepatutnya aku merasa gembira atas kegembiraannya, mengapa hatiku sakit seakan-akan dia juga turut menangis?

Ya RABB, kasihanilah aku, pertemukanlah aku dengan wanita yang KAU janjikan untuk aku. Berikanlah aku isteri yang solehah, mujahidah, barakah, dan menyejukkan mataku memandangnya. Ya RABB, KAUlah satu-satunya pemakbul doa, KAU menyatakan di dalam kalamMu kau amat dekat, maka kasihanilah aku. Kasihanilah aku. Aku memohon belas kasihanMu untuk meniti kehidupan ini.”

Doaku di hujung malam sejuk, mujur sahaja air mataku yang meleleh tidak membeku. Tak pernah kusebut nama orang yang kusukai bila mengadu kepada ALLAH, kerana aku tidak jatuh cinta ke atas manusia, tetapi aku jatuh cinta terhadap peribadi dan aku sering berdoa kepada ALLAH agar aku berjumpa dengan peribadi yang aku suka, yang ALLAH redha.

Tetapi kenapa hati ini masih sakit?

****

Aku macam tak percaya.

Aku menggosokkan mata seperti orang bodoh. Memastikan yang aku benar-benar melihatnya. Dan matanya pula tajam memandangku. Di tengah bandar Shibuya ini, mengapa dia boleh muncul?

“Asyraff!!!” Aku menjerit.

“Issam!!!” Dia pula menjerit. Sahabatku Asyraff berlari mendapatkan aku.

Kami berpelukan. Sahabat karib di universiti lama.

“Kenapa dalam banyak-banyak tempat kat dunia ni, Festival Komik Sedunia jugak tempat aku jumpa kau?” Aku menolak tubuhnya.

“Kau pun sama. Minat dengan komik lagi ya? Tak sedar diri dah tua bangka” Asyraff menumbuk perlahan dada aku.

“Wei, kau pun sama jugak” Aku meniru perbuatannya.

“Wei, aku lain. Aku kartunis, kartunis beb” Dia menepuk-nepuk dada.

Aku menepuk dahi teringat. “Aha, betul jugak ya… Oh, kau dah jadi kartunis?”

“Weh, aku punya komik baru meletup tau, aku sekarang orang popular tambah kaya di Malaysia” Asyraff bersuara bangga. Dengan wajahnya yang kelakar, kata-katanya mengundang ketawa.

“Woi, kau ketawa kenapa? Tak percaya ke?”

“Mungkin” Aku menahan tawa.

“Kau tak berubah ya, lurus je dengan mungkin kau tu”

Aku menarik sengih. “Erm, apa kau punya tajuk komik? Cerita fasal apa?”

“Kau gerenti terkejut biawak punya”

“Kenapa?”

Asyrafff menarik sesuatu dari begnya…

“Tadaaa…” Sebuah buku didekatkan pada wajahku.

Gambar hadapannya….

“Solehah” Dia menarik buku itu sambil tersenyum nakal.

“Kenapa dia jadi orang kulit hadapan komik kau?”

“Dah aku ambil nama dia jadi tajuk, sebenarnya kau pun ada saham tau dalam komik aku ni”

Aku mula rasa tak seronok. Berada di Negara ini, aku langsung tidak membawa gambar Solehah, walaupun aku asyik terbayangkan wajahnya yang dahulu, aku sering menyatakan pada diriku bahawa dia sudah berubah mungkin, tetapi melihat dia menjadi gambar kulit depan komik Asyraff, hatiku terusik. Dia masih lawa, malah lebih menawan.

“Kenapa aku ada saham pulak?” Aku cuba menyisihkan rasa di hatiku. Sudahlah Asyraff, dia milik orang sekarang.

“Sebab aku ambil cerita kau dengan Solehah la”

“Oh, ni kira cerita sedih la ni. Hero tinggal heroin dalam keadaan dua-dua tak luah perasaan apa-apa, lepas tu heroin kahwin dengan orag lain” Aku cuba berseloroh walaupun pahit untuk disebut.

“What? Heroin kahwin lain? Kau gila ke?” Asyraff tolak aku dengan kuat. Aku terdorong sedikit ke belakang.

“Kenapa?” Aku bertanya pelik. Bukan macam tu ke penamat kisah aku dengan Solehah?

“Weh, Solehah sanggup batalkan perkahwinan yang bapa dia susun sebab tunggu kau bodoh!”

Mata Asyraff seakan api yang membakar. Aku berkerut dahi.

Apa dia?

“Dia tunggu kau! Kau tak tahu ke?”

Dia tunggu aku?

“Aku rasa kau kena jemput bidadari kau” Kata-kata Munzir minggu lepas….

“Kau tak tahu?”

Aku berfikir sejenak. Sungguh aku tidak menyangka. Adakah aku aku akan membiarkan sahaja?

Teringat doa-doa istikharahku…

Mungkinkah ini….

….Jawapan?

“Kau balik Malaysia bila?” Aku bertanya dengan nada tergesa-gesa.

“Esok”

“Aku balik dengan kau”

****

“Assalamu’alaikum”

“Walaikumussa…” Dan suara lembut itu terhenti. Aku sekadar memandang sahaja di luar pagar melihat wajah seorang perempuan beriak terkejut melihatku. Seperti melihat raksasa yang menyerang jepun sebelum dikalahkan ultraman.

“Issam?” Dia bersuara tidak percaya. Namun aku lihat dia tetap keluar. Mungkin untuk memastikan.

“Mungkin” Aku menjawab selamba, walaupun hati dah meletup-letup macam bunga api pesta kemerdekaan. Kenapa dia boleh ada di rumah? Ayo…

Kami dipisahkan pagar. “Lamanya tak jumpa awak” Dia bersuara sambil memandangku.

Aku jadi segan. Pantas membuang pandangan ke arah lain.

“Kenapa datang?” Dia bertanya pelik. Ya la, aku bukan saudara mara dia.

Aku mula berkira hendak meneruskan perancangan aku atau tidak. Terus… atau tidak?

Hati aku nekad.

Terus!

“Ayah ibu ada?” Hatiku berdegup-degup.

Wajah indah Solehah berkerut. “A..Ada… kenapa?”

Degupan di hati makin berombak kencang. Namun aku cuba bertenang dengan berzikir. Aku sudah hampir terlepas bidadariku sekali, dan aku tidak mahu ada kali kedua.

“Sebab…” Aku cuba bersuara, namun agak sukar diluahkan. Solehah memandangku dengan pandangan yang sukar aku tafsirkan.

“Sebab…?” Dia mengulang ‘sebab’ dengan suara pertanyaan.

Aku menarik nafas. YA ALLAH, KAUlah yang menggerakkan kakiku ke sini, maka kuatkanlah hatiku.

“Sebab saya nak menjemput bidadari saya” Aku menjawab yakin.

Suasana hening sebentar.

Dan titisan permata yang meleleh di tepi pipi Solehah, kemudian dia berlari anak masuk ke dalam, dan bukaan pintu pagarnya secara automatik, dan senggulan wajahnya keluar, dan bicaranya…

“Masuklah, ayah ibu ada di ruang tamu”

Dan semua itu… aku tafsirkan sebagai ‘ya, jemputlah saya’

Ya ALLAH, Alhamdulillahi kathira.

Dan dalam langkahan memasuki rumah itu, air mataku merembes.

Air mata gembira, kerana aku tidak terlepas waktu untuk menjemput bidadari hatiku.

Dan aku menjadi lebih baik dari hujan yang menghubungkan langit dan bumi dengan sementara, tetapi aku menghubungkan hatiku dengan hati bidadariku selama-lamanya hingga ke syurga insyaALLAH.

Ya ALLAH, rahmatilah aku.

Bila yakin telah tiba,
Teguh didalam jiwa
Kesabaran menjadi bunga

Sementara waktu berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Zulaikha jalani hari
Sabar menanti Yusuf sang tambatan hati
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Segera kan kujemput engkau bidadari
Bila tiba waktu kutemukan aku
Ya Ilahi Robbi keras ku mencari diri sepenuh hati
Teguhkanlahku dilangkah ini
Dipenantian hakikat diri
Dan izinkan kujemput bidadari
Tuk bersama menuju Mu sepenuh hati…

Kini yakin telah tiba
Teguh didalam jiwa
Kesabaran adalah permata

Dan waktu terus berlalu
Penantian tak berarti sia sia
Saat perjalanan adalah pencarian diri

Laksana Adam dan Hawa
Turun kebumi terpisah jarak waktu
Dipenantian mencari diri
Memohonkan ampunan dipertemukan

Bidadari telah menyentuh hati
Teguhkan nurani
Bidadari telah menyapa jiwa
Memberikan makna

-Menjemput Bidadari~Epicentrum-


By: Hilal Asyraf


Kak Yong: actually empunya badan tengah 'giler' dengan Menjemput Bidadari then tetiba terjumpa cerpen Hilal Asyraf ni. Neway, 'sesuatu' mengetuk hati bila dengar lagu ni huhu (ni apa kes?) TQVM to VERSUS~HLOVATE kerana ia empunya badan tergerak nak google lagu ni and the rest is history hahah! Moga empunya badan kan menjadi seperti bidadari dalam gayanya yang tersendiri dan menanti dengan sabar saat-saat diri ini di'jemput' oleh Inche yang empunya badan bisa luahkan, "Akulah tulang rusukmu yang hilang..." ~ terasa pelik bila empunya badan tulis benda macam ni... *sigh* ~


2 comments:

Hazhari Ismail said...

double thumbs up..

amboi k.yong... tulang rusuk sape tu? hehee..

nice cerpen fr HA. :)

[SHE] said...

ha.ha.ha. akk x jumpa lg la tuan punyer tulang rusuk tu...tgu dgn sabar, doa byk2... ^__^

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers