Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru!


(Istimewa buat insan-insan yang bergelar guru)


Guru Oh Guru...


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Oleh: Usman Awang.



Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat guru PERTAMAku iaitu Bondaku tercinta, Cikgu Asmah, Cikgu Lin dan Cikgu Rohaya yang mengasuhku di TBK KEMAS Air Hitam Batu 18 Muar, guru-guru yang sabar mendidikku di SK Air Hitam Batu 18 Muar, guru-guru yang tekun mengajarku di SMK Air Hitam Batu 15 Muar, guru-guru yang setia mengajarku di SMK Dato' Sulaiman Batu Pahat, para pensyarah di KMNS sesi 2003-2004, para pensyarah di Sekolah Pengajian Sains Sosial serta seluruh pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa yang mengenali diri ini, buat Miss Ayu dan Madam Idha yang sudi menjadi sahabat buat diri ini, juga buat semua insan yang bergelar guru yang secara langsung atau tidak mengasuh, mendidik, mengajar dan membentuk diriku untuk menjadi seperti hari ini. Ketahuilah, bahawa diri ini juga telah bergelar "CIKGU". Sekalung al-Fatihah buat guru-guruku yang telah pergi menghadap Ilahi... Allahyarham Cikgu Hj. Samsuri, Allahyarham Cikgu Hussin, Allahyarham Cikgu Hj. Muhammad Yusuf bin Hamdan...

Kalian adalah insan istimewa yang bertakhta di hati ini...

TERIMA KASIH

SYUKRAN JAZILAN

BARAKALLAH 'ALAYKUM


AD: pertama kali menyambut hari guru sebagai seorang guru...

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers