Sunday, May 10, 2009

Syabab Musafir Kasih...



SYABAB MUSAFIR KASIH karya Fatimah Syarha Mohd Nordin kali ini benar-benar menyentuh sekeping fuad ini.

Syabab, si anak yatim berusia 7 tahun yang dipinggir, dihina dan dicerca lantaran kemiskinan hidup dan afal abang-abang dan kakaknya. Hidupnya gersang dengan kasih sayang. Si ibu terpaksa bekerja siang dan malam mencari sesuap rezeki. Syabab sering dibuli dan ditindas oleh abang-abang dan kakaknya yang tidak mengenal erti simpati kepada seorang ibu dan adik yang merupakan darah daging sendiri. Namun, semua itu mengajar Syabab berdikari, bertarung untuk terus hidup. Namun kasih sayang Allah itu melangit luas. Dititipkan insan berhati suci, Nur Mumtazah untuk Syabab menumpang kasih, perhatian dan didikan. Pesan Nur Mumtazah sebelum meninggalkan kampung halaman ke bumi Syria,
"Syabab, ingat satu pesan Kak Zah. Ingat Allah sentiasa sayang. Biar manusia tak pedulikan Syabab, Allah tetap sayangkan Syabab."

Benar, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Andai merasa dipinggir manusia, usah khuatir, dekatkanlah diri pada DIA kerana selangkah kita mendekatkan diri padaNYA, seribu langkah DIA datang kepada kita.
Syabab mencampakkan puntung rokok sejauh mungkin.
"Kenapa buang? Kat sini takda siapa nampak kita?" ujar Imtiyaz.
"Allah nampak. Nanti kalau Allah bagitau Kak Zah tentu Kak Zah tak nak balik," Syabab bersuara perlahan.

Indahnya andai setiap dari kita ditanamkan kepercayaan aqidah seperti ini sedari kecil. Percaya bahawa Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar. Percaya bahawa setiap perbuatan manusia itu dalam ruang lingkup pengetahuan Allah.
Syabab mengajukan soalan sekali lagi tentang qunut.
"Maaf, saya sebenarnya tidak suka menyibukkan diri dengan perkara cabang buat masa ni kecuali ditanya atau terpaksa." ujar Ustaz Mursyid.
"Kenapa?" Syabab kehairanan.
"Anak-anak muda kita perlu dibimbing ke jalan yang betul. Gejala sosial dan keruntuhan akhlak makin kritikal. Menjadi tugas kita semua untuk menggembling tenaga ke arah usaha yang murni ini. Itu keutamaan kita. Bukannya berpecah pada perkara cabang. Ia merugikan..."

Beruntungnya andai masyarakat kita punya ramai 'Ustaz Mursyid'. Sedih melihatkan fenomena hari ini di mana segelintir golongan ilmuan agama kita bertegang leher, berseteru gara-gara membahaskan perselisihan dalam hal fiqah, perselisihan dalam hal-hal furu' (cabang). Sedih tatkala menyaksikan perselisihan itu mengakibatkan perpecahan, hilangnya keindahan budi bahasa dan kelembutan orang Melayu Islam. Terkilan kerana golongan terhormat ini sanggup saling mencerca, menghentam antara satu sama lain, memberi label-label tertentu dan yang lebih menyedihkan lagi sehingga sanggup memburuk-burukkan ulama' silam. Mereka lupa pada pemuda-pemudi ummah yang 'sakit' dan yang perlu disantuni. Mengapa tidak berlapang dada, hormat menghormati antara satu sama lain. Andai ada kesilapan di salah satu pihak, tegurlah bil hikmah. Mengapa taasub itu membutakan mata hati? Bukankah kita berpegang pada kalimah tauhid yang sama? Ketahuilah bahawa musuh-musuh Islam bertepuk tangan menyaksikan kita berpecah. Ingin sekali ana melihat ramai insan menjadi seperti Ustaz Mursyid yang sabar dan tidak mengenal erti putus asa dalam melebarkan sayap dakwah di kalangan syabab yang menjadi harapan ummah.
"Saya pergi ke Daurah pengajian bahasa. Saya juga pendengar kuliah universiti-universiti berlainan dari pagi sampai petang. Malam, ikuti pengajian di jami'-jami dengan masyaikh. Saya solat jemaah di masjid berkenaan." Bahasa Syabab lebih lancar daripada sebelumnya menjawab pertanyaan Syeikh Sobir, gurunya yang sangat dihormati.

Hebatnya kesungguhan Syabab dalam mencari ilmu. Biarpun terpaksa bersusah payah, berjalan kaki, meredah debu padang pasir, dimarahi guru namun lantaran minat dan kesedaran, Syabab sangat berdisiplin dalam mendalami ilmu.

Secara keseluruhan, novel ini punya roh dakwah yang tersendiri. Watak Syabab, Ustaz Mursyid dan Nur Mumtazah benar-benar memberi tarbiyyah buat ana, insan yang sering lupa. Watak-watak ini telah membisikkan kepada ana agar bangkit memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada kebaikan. Syukran jazilan kepada Kak Fatimah Syarha atas 'hadiah' yang cukup indah ini.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih buat emak kerana memberi kebebasan sepenuhnya kepada ana untuk memilih buku ini sebagai hadiah di hari ulangtahun kelahiran. Terima kasih, mak! Selamat Hari Ibu!!! Moga dengan tarbiyyah ini, dan usrah yang baru di bandar anggerik bisa memperbaiki diri ana dan memberi kekuatan untuk ana pula mentarbiyyah si khalifah-khalifah kecil.

Ya Allah, izinkan si anggerik desa ini memekarkan dakwah ilallah di bandar anggerik ini... Titipkanlah padaku kekuatan dan kesabaran yang jitu... Titipkanlah jua teguran-teguranMU tatkala diri ini mulai tergelincir, kerana yang bernama insan itu sering terlupa...

AD: Indahnya aturan dan ketetapan Allah... Anggerik Desa kini bermusafir di Bandar Anggerik... moga permusafiran ini menjadikan diri ini Si Musafir Kasih Ilahi...

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers