Wednesday, September 16, 2009

Inilah Ramadhanku!

PEJAM CELIK, pejam celik, sedar tak sedar hari ini kita sudah memasuki hari ke 26 dalam bulan Ramadhan. Entah mengapa, ana merasakan Ramadhan kali ini terlalu pantas berlalu jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang sudah. Adakah kerana rutin harian ana yang terlalu padat? Seawal 7 pagi sudah menguruskan anak-anak sehingga jam menunjukkan pukul 7 malam. Atau inikah salah satu tanda kiamat sudah semakin dekat? Astaghfirullahal 'azim... Sayu terasa di hati, menitis air jernih dari kelopak mata... Ya Allah, benarkah Ramadhan ini akan berakhir tidak lama lagi?

KBM (Keindahan Bersama Mu) VERSI RAMADHAN

Alhamdulillah, pada 5 dan 6 September yang lalu ana turut sama menyumbang khidmat bakti dalam KBM IPT di Technology Park Malaysia College, Bukit Jalil. KBM kali ini membawa sedikit kelainan kerana dijalankan di bulan Ramadhan dan beberapa perubahan waktu untuk beberapa slot. Alhamdulillah, kali ini seramai 40 orang adik-adik pelajar di TPMC telah menyertai KBM kali ini yang bagi ana sangat berjaya dan memberi impak yang besar. Ana sendiri terkena tempiasnya gara-gara penangan Ummi Ida tersayang. Dua tiga kali juga ana terpaksa keluar ke tandas gara-gara sesi 'hujan lebat' dan 'banjir' yang melanda. Hati ana juga turut bergetar hebat. Moga-moga hati yang bergetar dan air mata yang mengalir di pipi itu sebagai tanda hidayah itu telah dilimpahkan oleh Allah buat diri ana. Moga nikmat IMAN dan ISLAM ini terus tetap di dalam hati.



Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Hiswadi aka Mr Campro atas keterbukaan dan kerjasama baik yang diberikan. Moga Allah membalas setiap usaha dan sumbangan Ustaz Hiswadi dengan balasan yang sebaik-baiknya.

Dan rasanya KBM kali ini permusafiran ana lebih panjang dan jauh dengan menaiki pengangkutan awam. Seawal jam 6 pagi ana sudah keluar dari rumah menuju ke stesen komuter Padang Jawa. Syukran jazilan buat teman serumah ana di IIC dulu yang kini menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam atas kesudian menghantar ana ke stesen komuter. Insyaallah, akan ada balasan dan ganjaran untukmu lantaran bantuan yang dihulur demi melestarikan kerja-kerja dakwah. Dari Padang Jawa menuju ke stesen Bank Negara, bertukar ke LRT STAR menuju ke Bukit Jalil untuk bertemu Kak Muss, Kak Wani dan Kak Jannah, dan akhirnya tiba di TPMC. Moga Allah memberkati perjalanan ini.



Apa pun sedikit kenangan ana bersama Kak Muss sewaktu sama-sama bertugas sepanjang KBM TPMC kali ini sangat-sangatlah indah. Pastinya tatkala ana melihat meja, akan terlintas wajah Kak Muss di ruangan kotak pemikiran ana... Dan apabila Kak Muss melihat loker/almari pastinya wajah ana yang terlintas (^__^)/" Biarlah hanya kami yang mengetahui rahsia antara kami...






Berita lanjut di sini


MESYUARAT AGUNG JIM DAERAH BATU

Selesai sahaja berKBM di TPMC pada 6hb September, ana 'terbang' pula ke Sekolah Al-Amin Gombak bagi menghadiri Mesyuarat Agung JIM Daerah Batu. Ana selaku ahli baru JDB pun melaksanakan tanggungjwab ana dengan hadir ke majlis tersebut dan mengundi untuk AJK sesi baru bagi JDB, JIM KL dan JIM Pusat. Alhamdulillah, Pak Long telah dilantik sebagai YDP JDB, Pak Kay sebagai setiausaha agung, dan Kak Nina sebagai AJK JDB. Nampak gayanya makin sibuklah Pak Long...boleh jadi YB nampaknya lepas ni...hehe... Mabruk!




ZIARAH MUJAHID KECIL

Pada 7hb September yang lalu, ana dan adik-adik yang lain beserta Kak Nina dan Damia berkesempatan menziarahi Kak Teh Misah (ex-naqibah ana) yang telah selamat melahirkan seorang mujahid kecil yang diberi nama Ammar Mujahid bin Azahari pada 30 0g0s yang lalu. Bayangkan kami seramai 7 orang (Alang Atie, Kak Chik, Kak Yong, Uda, Andak, Adik, dan Ihsan) menaiki sebuah kereta... hehe... macam sardin cap ayam kot... ahaks (^__^)/" Apa pun syukran jazilan kepada Alang Atie atas kesudian menumpangkan kami ini.



Mabruk kepada Kak Teh Misah atas kelahiran yang dinanti-nantikan. Moga kedua-dua mujahid dan mujahidah ini akan menyerikan lagi kehidupan Kak Teh Misah... ameen...



IFTAR

Ramadhan pastinya meriah dengan aktiviti iftar bersama keluarga, sahabat serta rakan sekerja. Malangnya bagi diri ana, sehingga ke hari ini ana masih tidak berpeluang beriftar malah bersahur bersama keluarga di kampung disebabkan beberapa kekangan. Insyaallah, besar harapan ana untuk bersahur dan beriftar bersama keluarga pada hari Sabtu ini; 19hb September bersamaan 29hb Ramadhan 1430H kerana insyaallah ana akan pulang ke desa terchenta pada 18hb September ini menaiki bas menuju ke Batu Pahat (ana bukan orang BP tapi rumah dah dekat-dekat sempadan BP-Muar) pada jam 6 petang.

Pada 4hb September yang lalu, Dzul Iman Islamic Kidergarten tampat ana bertugas telah menganjurkan Iftar bersama anak-anak serta staff Dzul Iman cawangan lain. Lebih 50 orang yang hadir memeriahkan majlis. Program ini juga turut dihadiri oleh petugas dari Khalifah Institute yang sudi menjadi imam bagi solat Isyak dan solat sunat tarawih serta memberikan sedikit pengisian yang bertajuk; Manusia.



Seterusnya pada 7hb September yang lalu ana berkesempatan menghadiri Iftar Mahabbah Akhawat IIC yang diadakan di rumah Makcik Nor di Taman Koperasi Polis Fasa 2. Alhamdulillah ramai akhwat yang menghadiri diri sama ada yang lama mahupun yang baru dalam sistem tarbiyyah KARISMA IIC. Syukur ke hadrat Ilahi kerana iftar ini berjaya menemukan kami kembali setelah ramai di antara kami yang sudah menamatkan pengajian di IIC dan sudah bertebaran di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Walau bagaimanapun, terasa ada kekurangan iftar kali ini iaitu adik yang ana kasihi; Anjang Kila tidak dapat turut serta kerana berada di Teluk Intan, Perak. Terasa sangat ketidaklengkapan kami bila mana insan yang sering membuatkan kami tertawa dengan gelagat dan tingkahnya tiada bersama.



Seterusnya pada 12hb September sekali lagi ana menghadirkan diri ke Majlis Iftar Hidayah Center yang bertempat di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Precint 3 buat kali yang kedua. Seperti tahun lalu, ana turut membantu persiapan dan perjalanan program walaupun nama ana tidak tertera sebagai salah seorang jawatankuasa. Bagi ana, nama itu tidak penting kerana yang lebih utama adalah sumbangan yang ana hulurkan. Jika tahun lalu ana menjadi penyambut tetamu tidak bertauliah, tahun ini ana membantu mengagihkan minuman dan sedikit juadah kepada para tetamu yang hadir untuk mereka membatalkan puasa sebelum solat Maghrib berjamaah dan jamuan makan. Apa yang paling menggembirakan ana ialah kehadiran Anjang Kila. Terubat rasanya rindu di hati setelah lebih dua bulan kami tidak bersua muka. Syukur alhamdulillah padaMu ya Allah atas kurniaan pertemuan yang indah ini.




IKTIKAF

Usai iftar Hidayah Center dan solat tarawih di Kompleks Perbadanan Putrajaya, ana dan sahabat-sahabat yang lain menuju ke Masjid Wilayah untuk beriktikaf. Alhamdulillah, tertunai jua niat ana untuk beriktikaf. Walau bagaimanapun, kami sedikit diuji dalam perjalanan menuju ke Masjid Wilayah. Disebabkan ingin membeli makanan untuk bersahur, kami membuat keputusan ke Hentian Duta. Entah macamana, kereta yang dipandu Ukhti Nurull terlepas simpang ke Hentian Duta. Atas pandangan Damia, kami memilih untuk mengikuti jalan Taman Duta. Waktu itu jam menunjukkan pukul 12 malam.

Sampai di satu simpang tiga, kami hilang punca. Jalan mana yang perlu diambil? Ana pun kata, "Kanan lebih afdal." Damia pula berkata, "Kalau ikut logik akal, sebelah kiri." Ukhti Nurul hanya pandang wajah ana. Dan akhirnya ana pun berkata, "Okey, kiri." Kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai lagi ke satu simpang tiga. Ana pun bertanya, "Sekarang nak pilih mana?" Damia penuh rasa yakin berkata, "Kiri." Ukhti Nurul pun membelok ke kiri dan AKHIRNYA................ JALAN MATI!!! Hahaha... Ana pun berkata kepada Damia sambil tersengih, "Kananlah Mia..." Kami berpatah balik semula dan mengambil jalan ke arah kanan. Dan akhirnya kami sampai lagi di satu simpang tiga (berapa banyak simpang tiga daa???) Namun ada sesuatu yang membantu kami di situ... papan tanda HENTIAN DUTA ---->

Kami mengikut arah yang ditunjukkan dan entah macamana terjumpa lagi JALAN MATI. Nasib menyebelahi kami bila ana nampak ada beberapa orang pemuda di hadapan sebuah rumah. Kami bertanya arah kepada salah seorang pemuda itu dan akhirnya kami bertemu jalan yang betul untuk ke Hentian Duta. Wah...macam-macam sungguh! Selesai membeli makanan, kami bertanya pada Abang Gerai Wafer dan Jagung Manis jalan menuju ke Masjid Wilayah almaklumlah kami menaiki kereta. Kalau jalan kaki bolehlah kami sekadar menyeberang jalan dari Hentian Duta. Kini giliran ana pula untuk memandu. Dan akhirnya kami selamat sampai di Masjid Wilayah sekitar jam 1 pagi.



Ana sempat solat sunat dan tilawah Al-Qur'an sebelum melelapkan mata. Sekitar jam 3.30 pagi ana terjaga dan waktu itu hujan renyai-renyai. Sewaktu ana melangkah kaki ke bilik wudhuk, ana sempat memandang ke arah langit. Kelihatannya begitu cerah. Waktu itu ana tidak memikirkan apa-apa dan terus berlalu ke bilik wudhuk. Selesai bersahur, solat Subuh berjamaah dan mengikuti kuliah Subuh, kami berkemas-kemas untuk berangkat balik. Pagi itu sungguh nyaman. Udaranya pun sejuk. Tiba-tiba terlintas sesuatu di fikiran, 'malam tadi Lailatul qadar ke?'


MAKAN ANGIN

Setelah meninggalkan perkarangan Masjid Wilayah, kami (Ana, Anjang, Damia dan Nurull) memutuskan untuk membeli kain ela di Jalan Masjid India untuk dibuat tudung. Namun oleh sebab jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi, dan kedai-kedai masih belum beroperasi, kami sepakat untuk berehat di Taman Tasik Perdana.



Kami sakan melepaskan geram bermain buaian di taman permainan walaupun jika dihitung umur masing-masing, dah terlebih had. Sesekali, apa salahnya kan? Hehe... Sempat juga kami termenung melihat air pancut yang ada di situ. Geram je... rasa macam nak mandi je... Lebih kurang sejam di Taman Tasik Perdana kami menuju pula ke Masjid As-Syakirin di KLCC. Ana mengambil kesempatan untuk membersihkan diri, solat sunat dhuha, tilawah al-Qur'an dan tidur sebentar. Jam 11 pagi kami bergerak menuju ke Jalan Masjid India. Jalan raya sangat-sangatlah sesak!!! Letih sungguh menunggu dalam kereta. Akhirnya kami berjaya juga meletakkan kereta di tempat meletak kereta di bangunan Semua House. Niat di hati nak belikan kemeja untuk ayah, brooch untuk emak, jubah dan kain ela (nak buat tudung) untuk diri ana sendiri. Tetapi apabila melihat orang yang terlalu ramai, ana akhirnya membeli barang-barang yang dihajatkan itu di PKNS Shah Alam. Letih memang letih, tapi yang buat ana rasa seronok ialah apabila dapat menghabiskan masa dengan sahabat-sahabat juga bersama Anjang Kila.


Alhamdulillah, ana masih lagi diberikan peluang oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Tetapi, akan adakah lagi Ramadhan untuk ana tahun hadapan? Adakah akan ada lagi Ramadhan untuk orang lain di tahun hadapan? Apakah akan ada lagi Ramadhan tahun depan? Ana sendiri merasakan bahawa Ramadhan kali ini alhamdulillah lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Ana diberi peluang untuk solat tarawih berjamaah di surau A-Rayyan, di Masjid Sultan Salahuddin, di Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Masjid Wilayah malah ana juga diberi peluang oleh Allah untuk beriktikaf tahun ini di Masjid Wilayah. Namun sesuatu yang buat ana cukup terkilan ialah ana merasakan Ramadhan tahun ini terlalu pantas berlalu. Terasa bagaikan baru semalam ana bertemu dengan 1 Ramadhan 1430H namun beberapa hari saja lagi, Ramadhan akan meninggalkan diri ana. Entah mengapa air mata bagaikan mahu luruh bila memikirkan Ramadhan yang bakal pergi. Ianya sesuatu yang diluar kebiasaan ana. Apa pun, moga segala amal ibadah ana diterima oleh Allah, insyaallah ameenn... RAMADHAN, pemergiamu ditangisi...


Kak Yong: maaf, entry kali ini sangatlah panjang kerana ini merupakan entry terakhir sebelum ana pulang ke kampung pada hari Jumaat ini (18hb September). Doakan perjalanan ana selesa dan selamat sampai ke desa terchenta. Rindu teramat di hati pada kelarga, atuk dan juga nenek yang hampir 2 bulan tidak ditemui.

1 comment:

Sakeena Zahidah said...

wah2.. alhamdulillah... bestnyerrrr braya kat kampung! hehe.. selamat hari raya kyong. maaf zahir batin!

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers