Monday, September 28, 2009

Kisah Seminggu

Assalamualaikum, salam lebaran, salam ceria, salam ukhuwwah... (berapa banyak salam daa...) Alhamdulillah, hari ni kita dah berada di hari yang ke 8 dalam bulan Syawal 1430H. Dah lebih seminggu blog ni tak bersapu dan tak berkemas (^__^)/" memandangkan tuan rumahnya balik ke desa terchenta... Kalau masih ingat, telah ana khabarkan bahawa ana pulang ke desa terchenta pada tanggal 18 September bersamaan 28 Ramadhan. Dan insyaallah dalam entry kali ini ana akan berkongsi cerita-ceriti kisah seminggu di desa terchenta.

PULANG KE DESA

Alhamdulillah, seperti yang dijadualkan ana bakal menaiki bas Transnasional KL - Batu Pahat pada jam 6.00 petang. Jadi, selepas Zuhur Ukhti Zar telah menghantar ana ke stesen komuter Shah Alam. Terima kasih daun keladi ye Zar!!! Setelah agak lama menunggu, akhirnya train tiba tepat jam 2.30 petang. Train yang ana naiki agak penuh dan memaksa ana untuk berdiri hampir setengah jam. Akhirnya pada jam 3.30 petang, ana tiba di stesen komuter Bank Negara. Kelihatan lautan manusia mula memenuhi ruangan stesen komuter bank negara. Ana bergegas ke stesen LRT STAR - Bandaraya. Barisan manusia yang beratur untuk membeli tiket di kaunter agak panjang. Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit menanti LRT pun tiba dan destinasi ana yang seterusnya adalah stesen LRT Bukit Jalil. Tatkala jarum jam melewati pukul 4.30 petang, ana tiba di perkarangan tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil di mana bas-bas ekspress yang menuju ke selatan ditempatkan di sini.

Tempat yang ana tuju setelah mengenalpasti 'platform' untuk bas Transnasional ialah musolla. Disebabkan waktu Asar sudah tiba, ana langsung menunaikan solat Asar sebelum 'berehat' sementara menunggu jam 6.00 petang (tidur sebenarnya...penat sangat walaupun tau tak elok tidur lepas Asar). Jam 5.30 petang ana terjaga lalu meneruskan langkah ke 'platform' bas Transnasional. Setelah beberapa ketika menjeling-menjeling kubertentang dengan beberapa deretan bas, akhirnya berjumpa jua ana dengan bas Transnasional KL - Batu Pahat (^0^)/"

Bas bergerak meninggalkan perkarangan tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil kira-kira jam 6.10 petang. Alhamdulillah, trafik berjalan lancar dan inilah kali pertama ana berpengalaman berbuka puasa di dalam bas. Dan akhirnya ana selamat tiba di pekan Parit Sulong kira-kira jam 9.30 malam. Adik sudah sedia menunggu dengan kereta proton emak. Tapi bila tangan ana disalami boleh pulak Adik suruh ana drive sendiri balik rumah. Bertuah sungguh adik yang seorang ini. Rupa-rupanya dia dah ada rancangan lain dengan kawan-kawannya. Nak tak nak ana drive la juga. Alhamdulilah tak banyak lagi kenderaan di jalan raya sedangkan kebiasaannya waktu-waktu begini jalanraya di pekan sudah mula sesak dengan kenderaan mereka-mereka yang pulang ke kampung.

Destinasi pertama ana ialah rumah Atuk dan Nenek. Yang sangat-sangat best adalah Nenek dah siap masakkan my favourite yang memang tak boleh dapat kat kedai. Cuma boleh didapati di dapur rumah nenek dan rumah mak je... (^__^)/" Khalas menjamu selera dan melepaskan rindu pada Atuk dan Nenek, ana pun terus pulang ke rumah yang hanya kira-kira 10 minit perjalanan dari rumah Atuk dan Nenek.

MEMBELI DAN MEMBELAH

Seawal jam 7.30 pagi di hari Sabtu yang indah ana beserta Emak, Ayang dan Nenek pergi ke Pekan untuk menjemput Aji yang baru tiba dari Tronoh selain pergi ke pasar dan bazaar untuk membeli beberapa keperluan untuk hari raya. Ana sangat-sangat teruja sewaktu sesi membeli dan membelah kali ini kerana inilah pertama kalinya ana dapat membelanjakan duit ana sesuka hati sesedap oren untuk membeli beberapa barangan untuk Atuk, Nenek, Emak, Iwan, Aji, Ayah dan sudah semestinya untuk Ayang yang sudah siap sedia pelan rancangan 'ketuk-mengetuk'. Dialah yang paling sakan raya tahun ni. Walaupun banyak juga 'Ringgit Kasorga' yang melayang tapi ana tak kisah sebab dah lama ana simpan hasrat nak berbelanja untuk mereka-mereka yang ana sayangi. Alhamdulillah tercapai jua... Ayat yang keluar dari bibir Ayang, "Penatlah tapi seronok!!!" Seronoklah sebab serba serbi dapat...heh! Tapi ayat yang paling buat ana macam nak gantung dia kat pokok tauge ialah, "Ayang teringin la nak ada abang ipar..." Sungguhlah dia tu tak sedar diri, abang-abang dia kan dah berderet!

1 SYAWAL 1430H

Alhamdulillah Syawal tiba lagi walaupun terasa sayu di hati mengenangkan Ramadhan yang telah berlalu pergi. Lebaran bagi keluarga ana serba sederhana dari semua sudut. Kalau dari segi masakan dan juadah, kai lebih selesa dengan hidangan Soto Ayam sahaja. Boleh dikatakan setiap kali tibanya lebaran, itulah menu kami. Lagipun Nenek pastinya sudah menyediakan ketupat nasi, rendang, kuah kacang, dan kuah lodeh. Dan jika kami bertandang ke rumah pakcik ana di Sungai Balang di sebelah petang 1 Syawal, nak tak nak memang kami kena makan juga hidangan yang serupa. Ini sekadar strategi untuk mempelbagaikan juadah...haha...sedangkan hakikat yang sebenar adik-adik ana sangat cerewet dalam bab makan. Yang ni tak suka rendang, yang sorang tak suka itu ini begitu begini...

Usai bersalaman dan bermaaf-maafan, kami sekeluarga menuju ke rumah Atuk dan Nenek. Kemudian ke rumah pakcik-pakcik yang ada di kiri kanan dan belakang rumah Atuk dan Nenek. Kemudian sesi ber'posing' berjamaah. Dan kali ini adik-adik lelaki ana ni senang pula nak disuruh bergambar sama-sama sedangkan mereka-mereka ni selalunya agak liat nak bergambar tak macam kakak diorang yang pantang nampak kamera ni...haha...


Gambar family ana bersama Atuk dan Nenek



Selepas Zuhur, kami meneruskan ziarah lebaran ke rumah pakcik sebelah ayah di Sungai Balang, Muar. Inilah rutin kami setiap tahun di lebaran yang pertama.

MARHABAN

Dilahirkan sebagai anak Jawa dan dibesarkan di dalam lingkungan masyarakat Jawa, tradisi Marhaban dari rumah ke rumah atau dikenali sebagai BARA'AN di kalangan masyarakat Jawa sudah sebati dalam diri. Biasanya di kampung ana, marhaban untuk kaum lelaki diadakan pada hari raya kedua dan marhaban untuk kaum wanita pada hari raya ketiga. Itulah juga sebabnya ana dikenakan 'perintah berkurung' pada kedua-dua hari ini. Kumpulan marhaban ini akan bergerak dari satu rumah ke satu rumah, bersalawat dan bertujuan menziarahi jiran tetangga serta bermaaf-maafan di hari lebaran. Kelebihan marhaban ini ialah tak perlu susah payah lagi untuk kami beraya dari sebuah rumah ke sebuah rumah di kampung. Kalau dah ikut marhaban, kira dah pergi beraya sekampung la!

SAKIT ITU NIKMAT

Di hari raya keempat hingga keenam ana tidak begitu sihat. Batuk yang melanda diri semenjak sebelum Ramadhan semakin teruk. Ditambah dengan sakit tekak, sampai hilang suara ana. Alhamdulillah setelah berehat, tahan nafsu makan terhadap segala macam kerepek, telan Breacol dan panadol, keadaan bertambah baik. Si-Kayu dan Si-Kelapa sudah tidak memberi kesan lagi pada ana sehingga ana terpaksa beralih kepada Breacol. Mohon maaf pada sesiapa yang ana tidak dapat jawab panggilan-panggilan telefon anda... Allah tarik sebentar nikmat suara itu...

(Si-Kayu: ubat batuk jenama WOODS dan Si-Kelapa: ubat batuk cap kelapa laut Afrika)

WALIMAH

Tanggal 26 September bersamaan 7 Syawal yang lalu ana dan Aqilah (teman sewaktu di angku sekolah menengah) menghadiri majlis walimah teman ana Siti Sharmimi dan pasangannya Suhaimi. Siti Sharmimi ini merupakan teman sebelah meja dan sebelah kerusi sewaktu ana berada di tingkatan 4 dan 5 di SMK Dato' Sulaiman Batu Pahat. Di sana kami bertemu teman-teman lama yang suatu tika dulu menjadi teman sekelas, yang dulu menjadi lawan bertekak, yang dulu menjadi lawan bercakap... Ana hampir tidak mengenali beberapa orang teman terutamanya yang lelaki. Wajah masing-masing banyak berubah seiring pertambahan usia. Gembira rasanya berpeluang bertemu kembali setelah bertahun-tahun tidak bersua muka.

PERGI BERAYA

Pulang saja dari majlis walimah S&S (Sharmimi & Suhaimi) ana singgah sebentar di rumah Aqilah. Dia merupakan teman yang duduk di meja belakangku. Kami pernah digelar 'kembar' oleh seorang cikgu di sekolah kerana sering 'ukur sekolah' bersama-sama. Almaklumlah, hanya kami berdua sahaja pengawas perpustakaan di kelas sewaktu tingkatan 4, jadi kemana-mana sahaja, pasti kami berdua. Dia kini bertugas sebagai guru matematik di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat. Selesai rumah Aqilah, ana singgah ke rumah Ella, teman ana sedari ana sekolah tadika. Dia kini bertugas sebagai guru J-QAF di sebuah sekolah rendah di daerah Muar. Dan ana kemudiannya 'menyeret; Ella bersama ke rumah teman ana Lili yang khabarnya sudah berbadan dua. Alkisahnya teman ana itu tinggal tunggu masa je nak melahirkan. Dia juga bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Port Dickson, N9. Hurm...rata-rata teman-teman ana menjadi pendidik.

BALIK BANDAR


Setelah seminggu di desa terchenta, akhirnya tibalah saat dan waktunya untuk ana kembali semula ke Bandar Anggerik untuk memulakan kembali tugas ana sebagai pendidik. Sayu je rasa di hati terkenangkan ayam itik, pokok getah, pokok kelapa sawit yang bakal ditinggalkan..ahaks... =) Ana menaiki bas Mayang Sari ke Kuala Lumpur dari bandar Muar pada jam 9 pagi dan akhirnya tiba di Bukit Jalil pada jam 11.30 pagi. Ana mengambil LRT ke Titiwangsa dan Ina, teman ana sedia menanti di sana. Seterusnya kami terus pulang ke Shah Alam melalui Lebuhraya Duke - Lebuhraya KESAS. Tamatlah sudah cerita-ceriti kisah seminggu ana berhari raya di desa terchenta.

KY: Mohon maaf pada mereka-mereka yang tidak dapat ana ziarahi...kondisi badan tidak mengizinkan... 'Asif khatiran...

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers