Thursday, January 21, 2010

Buatmu yang bergelar wanita...


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum buat yang sudi bertandang ke laman ini dan ucapan salam jua buatmu yang bergelar wanita. Moga kalian yang bernama wanita ini berada di bawah lindungan rahmat dan kasih sayang Allah. Bingkisan ini adalah peringatan untuk diri ini jua untuk kalian yang bergelar wanita lantaran kasih sayangku untukmu...

Buatmu yang bergelar wanita, ana mulakan bingkisan hati ini dengan ayat-ayat cinta Allah dari surah al-A'raf ayat 26;

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.”

Jika kita lihat perkembangan fesyen di kalangan muslimah hari ini terlalu pantas rasanya. Suatu masa dulu, kita di'hangat'kan dengan fenomena tudung ala-ala Wardina. Kemudian tudung ala-ala Bienda, tudung ala-ala Waheeda dan banyak lagi. Kemudian muncul pula pelbagai jenis jubah potongan moden yang tampak lebih menarik dengan pelbagai aksesori. Dan pemakaian jubah tidak lagi menjadi 'trademark' kepada mereka yang memakai tudung 'kelambu'. Dan setahun kebelakangan ini muncul pula fesyen T-Shirt labuh muslimah. Dan fesyen ini semakin digemari dan menjadi ikutan ramai. Lebih mudah, selesa dan kasual katanya!


Apakah dia aurat wanita? Jawapan yang paling mudah dan ringkas - seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Kemudiannya, tidak mengikut bentuk tubuh badan, tidak nipis dan jarang hingga menampakkan warna kulitnya, tidak menarik perhatian lelaki untuk memandang (sederhana warnanya). Namun adakah fesyen muslimah hari ini benar-benar menepati ciri-ciri yang dituntut oleh syariah? Atau menutup aurat itu sekadar menjadi adat dan budaya? Malang sungguh, definisi menutup aurat dalam dunia hari ini menjadikan tuntutan fesyen yang moden dan menarik menjadi kayu ukur yang lebih utama.

Benarkan apa yang ana perkatakan ini? Lihatlah di sekeliling kita! Wanita kita ada yang bertudung, tetapi menampakkan leher dan sebahagian cuping telinga (yang kononnya mahu memakai subang). Berjubah yang molek itu dicemari dengan jenis fabriknya yang nipis disamping hiasan labuci dan manik-manik yang menyilaukan mata, mengalahkan lampu jalan di malam hari (^_^). Ada yang sudah bertudung elok, tapi lengan yang putih melepak itu pula ditayang percuma. Ada yang sudah menutup semua dengan sempurna, sayangnya ketatlah pula seperti sarung nangka. Ada yang menutup bahagian atas, dah cantik dah tapi, kainnya pula terbelah. Bila berjalan, tersingkaplah apa yang sepatutnya disembunyikan. Bak kata ustaz ana sewaktu ana di sekolah rendah, itulah yang dinamakan kain HALAL HARAM. Bila berjalan lalu menampakkan aurat - HARAM, bila berhenti dan tertutup auratnya - HALAL (^__^)/"

Wahai yang bergelar wanita...
Pelik bukan? Jika mahu dikatakan tidak tahu perihal aurat wanita di dalam Islam, sudah terkandung silibus ini dalam matapelajaran Pendidikan Islam sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Jika alasannya tidak tahu, jelaslah kalian ini tidur sepanjang masa kelas Pendidikan Islam. Atau apakah gejala ini timbul kerana kekeliruanmu dalam tatacara berpakaian yang dianjurkan Islam? Ataupun kerana pengaruh fesyen terkini yang menyebabkan kalian tergiur sama mencubanya? Ataupun semua ini berlaku, sebab memang diri sendiri sudah tidak kisah dengan aturan Islam dalam menutup aurat menerusi berpakaian? nau’zubillah! Mohon dijauhkan sifat itu dari diri kita...

Wahai yang bergelar wanita...
Ingatlah peringatan dari yang Khalik, "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka..." (an-Nur: 31)


Islam tidak rigid dalam menentukan jenis pakaian. Bahkan Islam meraikan perubahan zaman, keperluan tempat dan keadaan. Namun, kita ada garis panduan... Kita ada neraca yang Allah berikan iaitu Al-Qur'an. Kadang-kadang ada yang bertanya boleh atau tidak memadankan t-shirt labuh bersama seluar? Bolehkah mengenakan fesyen tudung lycra yang sedang meletup sekarang ini? Tudung saya dah menutup dada tapi tidaklah spesies 'kelambu', boleh ke? Ada seorang ustazah yang mengatakan, pakaian yang sah apabila kita memakainya ketika solat, tidak semestinya boleh dipakai di luar waktu solat. Lihatlah pada neraca kita, Al-Qur'an yang jelas menerangkan tentang aurat wanita itu. Cuba fikirkan, dalami dan fahami. Andai pakaian itu menepati ciri-ciri yang dituntut, ya silakan anda memakainya.

Wahai yang bergelar wanita...
Pakaian wanita Islam itu bukan sekadar cukup menutup seluruh tubuh sahaja tetapi juga sempurna untuk melindunginya ketika duduk, membongkok dan melakukan pergerakan lain. Ingatlah, menutup aurat itu bukan sekadar menutup tetapi juga memeliharanya dari pandangan yang tidak wajar. Di dunia akhir zaman ini, memang sukar untuk memperoleh gelaran wanita solehah. Tetapi janganlah berputus asa andai merasakan diri masih jauh dari ciri-ciri wanita solehah yang menjadi penyejuk di mata, penawar di hati. Selagi kita masih bernyawa, selama itulah gelaran 'SOLEHAH' itu masih boleh diraih dan dicapai. Yang paling utama adalah berusaha sedaya upaya.


Wahai yang bergelar wanita...
Pastinya kita tidak mahu menjadi punca ramai lelaki yang masuk ke dalam neraka. Ayuh, kita bantu diri kita dan juga ar-rijal kita dengan memelihara aurat dengan sesempurna mungkin. Kita bantu mereka untuk 'menundukkan' pandangan mereka. Ayuh kita membantu sekalian saudara kita untuk menuju bahagia di akhirat sana! Biarlah orang memandang kita naif, tidak up-to-date, kolot dalam berfesyen tetapi kita kelihatan cantik di pandangan Allah. Biarlah Allah memandang diri kita dengan pandangan rahmat dan kasih sayangnya, bukan dengan pandangan kemurkaanNya. Nau'zubillah!!!

JOM JADI SOLEHAH WA MUSLEHAH!!!



Kak Yong: sangat sedih melihatkan di mana ada institusi yang jelas tertera nama 'ISLAM' tidak mampu menjadi bi'ah solehah dek dicemari oleh agama yang dibudayakan.

Syukran jazilan buat naqibahku; Aminah Ismail yang banyak mengajar diri ini untuk lebih banyak berfikir dan memuhasabah diri. Barakallahu 'alayk. Moga ikatan kasih sayang ini akan berkekalan hingga ke jannah!!! Ameennnn...

2 comments:

Ahmad bin Ariffin said...

sgt setuju dgn kak yong..jubah dan tudung labuh dah tak jadi rebutan skrg..walaupun skrg byk jenis fesyen, tapi sy rasa yg jadi penyejuk mata tetap yg original =]

[SHE] said...

dan skrg ni pun sgt susah nk cari jubah yg menepati ciri2 tuntutan syariat Mad... klu jenis fabrik da ok, ada cutting plak kt jubah tu...huhu... other choice, baju kurung la... =)

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers