Thursday, May 6, 2010

SUKU: Sebuah Monolog Diri...




Alhamdulillah, kupanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Tuhan pemilik seluruh alam ini atas nikmat usia dan hayat yang dikurniakan. Syukur kerana hingga ke saat ini aku masih bisa bernafas. Syukur, kerana di waktu ini jantungku masih lagi berdegup. Syukur kerana tika ini, aku diberikan nikmat yang tidak terhingga dan tidak ternilai... TARBIYYAH.

Mengimbas kembali tanggal 6 Mei 1985 di waktu subuh hari. 25 tahun yang lalu seorang ibu berjuang antara hidup dan mati demi untuk melahirkan zuriatnya ke muka bumi ini tanpa suami di sisi menemani. Mengimbas lagi 9 bulan 10 hari sebelum detik keramat itu, dengan izin, rahmat dan kasih sayangNya, telah bersatu benih dari seorang ibu dan ayah yang merupakan JUARA di antara berjuta-juta sperma yang berjuang untuk menembusi dinding ovum. Dan dalam tempoh 9 bulan 10 hari itu, tidak terhitung dan terbalas jasa dan pengorbanan seorang ibu mengusung perut yang membesar dan kian membesar. Dalam keadaan yang tidak selesa itu seorang ibu tetap sabar dan tabah demi anak yang dikasihi dan dicintai.

Bergerak masa 10 bulan selepas kelahiran. Si ibu masih lagi diuji dengan anak yang tidak sihat. Tanpa suami di sisi saat itu, si ibu terpaksa nekad mengizinkan anaknya dibedah kerana masalah usus yang dihidapi si anak kecil berusia 10 bulan itu. Dan seorang ibu itu terpaksa 'berkampung' di hospital, melayani karenah jururawat yang cerewet dan tidak mesra. Namun semua itu dilalui dengan sabar.

Kini, anak itu sudah menikmati hidup selama SUKU abad. Tempoh 25 tahun berlalu terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang ditabur untuk si anak. Dan pastinya ada saban ketika air mata si ibu tumpah dan si ibu menjeruk hati kerana afal si anak. Ibu tetap seorang ibu. Begitu juga hati seorang ibu. Anak itulah racun, dan anak itulah penawar.

Dan sepanjang tempoh SUKU abad itu, si ayah tidak terkecuali berkorban sama. Berkorban wang ringgit dan tenaga usah dibicara. Berkorban hati dan perasaan itu yang tidak pernah dapat dibaca oleh si anak. Tega tidak melihat si anak membesar di depan mata. Dan bila si anak telah meningkat dewasa, bagai ada tembok yang terbina di antara si anak dan si ayah. Namun, masa dan waktu mengajar si anak bahawa kasih sayang si ayah tidak pernah berkurang buat si anak. Dalam diam dan bisu seorang ayah, melaut luas kasihnya buat si anak.

SUKU! Wahai diri, apakah yang kau lakukan dengan hayatmu di sepanjang reben kehidupanmu? Apa telah kau lakukan untuk ISLAM? Dalam tempoh suku abad itu, berapa banyak amal yang telah kau persembahkan kepada Tuhanmu? Dalam tempoh 25 tahun ini adakah kau pasti setiap amalanmu diterima Tuhan? Adakah cukup bekalanmu andai nikmat usia yang diberikan Allah buatmu cukup sekadar untuk tempoh 25 tahun ini? Adakah kau bersedia untuk bertemu dia di kampung akhirat? Adakah kau yakin kau akan berada di barisan mereka yang mendapat syafaat dari kekasih Allah?

Wahai diri, koreksilah kembali hatimu. Setelah suku abad ini kau lalui, apakah sebenarnya yang kau cari? Adakah harta kemewahan yang akan habis dibelanjakan? Atau pangkat dan jawatan yang akan hilang bila diberhentikan? Atau juga populariti yang akan hilang bila dilupakan? Amal soleh, redha dan cinta Ilahi itu, sudahkah kau kejar untuk dijadikan bekalan bertemu Tuhan?

Di bawah pohonan ini aku berteduh dari panas terik jahiliyyah...


Syukur padaMu Tuhan, dalam SUKU abad usia ini Kau anugerahkan nikmat tarbiyyah buat diri ini. Setelah jalanan berduri, gunung yang terPAKSA diharungi dan dituruni, Kau hadiahkan aku nikmat terindah ini. Di bawah pohonan tarbiyyah, aku mendidik dan memaksa diri untuk terus berjuang dalam perjuangan yang cukup akhbar ini, MUJAHADAH! Semoga Allah memberi ketetapan kepada hati ini untuk terus menelusuri jalan dakwah ini walaupun acapkali ada duri-duri yang merintangi perjalanan panjang ini, biarpun acapkali air mata, tenaga dan harta harus dipersembahkan.

Bila waktu telah terhenti, apakah yang tinggal?


Sedarlah wahai diri...
Dunia ini hanya sementara. Dunia ini hanya sebuah persinggahan untuk sebuah perjalanan yang panjang. Destinasi sebenar adalah akhirat yang kekal abadi.

Sedarlah wahai diri...
Hidup ini umpama meniti sebatang dahan yang rapuh. Hanya menanti masa untuk patah dan jatuh. Bila sampai masanya, bila masa itu akan terhenti, nasib kita tak ubah seperti pohon mati yang dipanggil menghadap Tuhannya. Tidak akan ada lagi peluang kedua untuk kita mengulang kembali waktu yang sudah terhenti.

Sedarlah wahai diri...
Bila waktu telah terhenti, teman sejati hanyalah amalan dan sepi. Cuba kau perhati dan fahami ayat cinta ini,
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (At-Taubah:111)

Ya Allah, moga aku tergolong di kalangan orang-orang yang 'menjual' kepadaMu PILIHAN yang memaksa aku untuk terus tunduk dan patuh kepada syariatMu. Dan aku yakin, andai aku berjaya 'menjual' PILIHAN itu, syurgalah yang akan menjadi galang gantinya.

Ya Allah ya Tuhanku...
Hidupkanlah aku dengan iman...
Matikanlah aku dengan iman...
Kumpulkanlah aku dengan iman...
Dan masukkanlah aku ke JannahMu dengan iman...


Sila PAUSE dulu lagu di blog ini sebelum menekan button PLAY


~Apresiasiku~


Buat emak dan ayah yang telah banyak berkorban, terima kasih yang tidak terhingga.
Buat atuk dan nenek yang banyak meyokong, moga Allah membalas pengorbanan kalian dengan sebaik-baik balasan!
Buat adik-adikku 4 HERO Malaya, terima kasih kerana faham dengan afal kakakmu. Marahku tanda sayang.
Buat keluarga besar KBM KL, terima kasih atas jalinan kasih sayang tidak bersyarat yang kalian hulurkan. Terima kasih Allah atas nikmat keluarga besar ini.
Buat mereka yang pernah dan menjadi naqibahku, jangan jemu untuk terus memimpin dan membetulkan langkahku di bawah pohonan tarbiyyah dan jalanan dakwah.
Buat adik-adik seusrah dan sehalaqah, akak sayangkan kalian lillahi taala. Moga tautan kasih ini akan berkekalan hingga ke syurga.
Buat adik-adik graduan MH-i yang nakal, akak sayangkan kalian seperti adik-adik akak sendiri. Marah akak juga tanda???

Juga buat mereka yang mengirimkan doa-doa tanda ingatan buat diri ini sempena ulangtahun kelahiran ke SUKU abad ini, diri ini terlalu menhargainya dan cukup terharu.


"Selamat Hari Lahir Kak Yong! Bersempena ulangtahun kelahiranmu, luangkanlah sedikit waktu mengenang masa dulu, yang jauh dikau tinggalkan... 25 tahun yang lalu... Di manakah dikau di saat itu? Perjalananmu sudah semakin singkat dan hampir sampai. Bukan bermakna dikau harus terus melangkah, namun seharusnya dikau menoleh ke belakangmu. Lihatlah pada silap dan dosa lalu... Ambil ia dan jadikan pedoman bagi meneruskan perjalanan. Kerlinglah kiri kananmu. Carilah apa saja yang bisa membantu memudahkan perjalananmu. Usah biar ia terlepas begitu sahaja menjadi masa silammu. Semoga dikau selamat tiba di akhirnya. Daku di sini mendoakan kebahagiaanmu di dunia dan di akhirat. Semoga peningkatan usiamu seiring dengan kematangan mindamudan ketaqwaan ke hadrat Tuhan yang satu. Kentalkan semangatmu meneruskan kehidupan duniawi. Tebalkan imanmu mengejar syurga nan abadi... I love You Kak Yong kerana Allah!"

"Semoga panjang umur, murah rezeki, diberi nikmat kesihatan yang baik supaya dapat terus-menerus beribadah kepadaNya. Teruskan perjuangan, jangan pernah penat, kerana Allah sudah menjanji kerehatan yang berpanjangan di syurga nan abadi di akhirat kelak! Ya Allah jagalah insan yang ku sayang ini, tetapkan nikmat iman dan islam dalam dirinya, jangan Engkau bolak-balikkan hatinya, lembutkan lidahnya memuji kebesaranMu dan lantangkan lidahnya dalam menegakkan agamaMu. Bersihkan hatinya dari segala kekotoron. Jauhkan dirinya dari hasad dengki manusia, fitnah manusia, sihir manusia, serta jauhkan dia dari bisikan syaitan jantan atau betina yang sentiasa membisikan kejahatan ke dalam dada manusia. Sesungguhnya Engkau mengetahui yang aku amat menyayangi dirinya seperti kakak kandungku sendiri. Titipkan perasaan kasih & sayang antara kami. Adik sayang akak! opss tertinggal lagi satu, erm semoga cepat dapat jodoh! haha..."

Terima kasih atas doa dan peringatan ini buat adik-adikku

MyEm0.Com.
Terharu nih!

2 comments:

kaduk said...

sayaaaannng..(smbgn utk penghargaan dak2 mhi)

[SHE] said...

=) good la Boboi...hoho...mmg akk sayang korang2 pun...hidup akk btmbh ceria dgn hadirnya korang2 nih hahaha...tQ sgt pd adik2 MH-i yg nakal2 tp selalu menghiburkan hati akak huhu...tQ gak utk korang2 yg sgtla prihatin dan mdoakan akk hoooo

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers