Wednesday, July 7, 2010

[Cerpen] Menunggu Di Sayup Rindu




“HAH! AKAK BUAT APA TU?” Hanan kaget. Pensel dalam genggamannya terlepas. Dia mengusap dadanya dan beristighfar panjang. Wajahnya dipalingkan ke belakang. Hatinya mendesak ingin tahu siapakah gerangannya yang membuatkan dia terkejut.

“Amni!!!” Hanan menjerit kecil lantas hidung mancung Amni ditariknya geram.

“Arghhh....akak...ampun kak... Lepaslah... Ampun, janji tak buat lagi...” Amni menyeringai kesakitan dan cuba melepaskan hidungnya dari pegangan Hanan. Wajahnya yang putih bersih kelihatan mula kemerah-merahan. Hanan melepaskan tangannya perlahan-lahan.

“Buatlah macam tu lagi. Kalau akak ada sakit jantung tadi macamana?” Hanan mencebik dan mencapai semula penselnya yang terjatuh tadi. Tangannya kembali menarikan pensel di atas buku lakaran.

“Gurau pun tak boleh ke? Eh, akak lukis gambar siapa ni?” Amni berdiri tegak di belakang Hanan yang sedang sibuk menyiapkan lakarannya.


“Bukan gambar sesiapa pun. Saja mengisi waktu lapang. Lagipun dah lama akak tak melukis. Dah keras tangan ni.” Jawab Hanan sambil tangannya lincah menarikan pensel di atas buku lakaran.

Amni melabuhkan punggungnya di atas katil Hanan yang terletak bersebelahan meja tempat Hanan asyik melukis. Tangannya mencapai anak patung Nemo di sebelahnya dan dibawa ke dalam pelukan.

“Akak, bila akak nak makan nasi minyak ni? Belajar dah habis, kerja dah ada. Apa yang akak nak tunggu lagi?” Soal Amni tiba-tiba sambil bibirnya mengukir senyuman manis.

“Makan nasi minyak? Jom! Bukan setakat nasi minyak, beriani gam pun akak boleh belanja Amni tau!” Hanan tertawa kecil. Amni menarik muncung panjang.

“Ish, akak ni! Amni seriuslah. Akak ni main-main pula. Bila akak nak kahwin ni?” Amni masih tidak berputus asa. Dia masih lagi menanti jawapan yang bakal meniti di bibir Hanan.

“Erm, bila ya? Kena tunggu Son Goku berubah jadi Super Saiya dulu kot. Lepas tu dia kena pinjam awan terbang dulu dari Pendekar Penyu, barulah dia boleh turun ke bumi untuk meminang akak!” Ujar Hanan sambil tersenyum simpul. Dia mengenyitkan sebelah matanya kepada Amni.

“Akak!!!” Amni menjerit kecil dan Hanan tertawa senang.

“Tapi lambat lagi rasanya. Son Goku kena cari tujuh biji mutiara naga dulu. Lepas tu nak tunggu dia besar dulu. Berguru sana-sini, barulah dia boleh jadi Super Saiya.” Selamba tutur Hanan sambil membelek-belek lukisannya yang sudah siap. Dia kemudian mengemas segala alat tulis yang bertaburan di atas meja.

“Akak ni demam ke terlebih ambil ubat? Aduh, kronik kakakku nan seorang ni!” Amni pantas menepuk tangannya ke dahi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ish, apa pula kronik? Betullah ni. Kalau Son Goku lambat sangat, Bezita pun bolehlah. Cuma dia tu macam serius sikit. Tak pun boleh je dengan Pikor. Comel kan?” Hanan tayang muka tak bersalah.

“Akak ni kan! Ish, malaslah nak layan. Amni keluarlah dulu.” Amni bingkas bangun dan menuju ke pintu bilik. Dia melangkah keluar dengan perasaan tidak puas hati. Hanan tertawa panjang melihat afal Amni Hifzah, teman serumahnya.


HANAN MENEKAN PUNAT DI KOMPUTER RIBANYA. Sementara menunggu, tangannya lincah mengemas helaian kertas yang berselerak di atas meja. Selesai mengemas, dia mengaktifkan akaun Yahoo Messengernya. Matanya pantas melihat satu persatu senarai nama yang tertera di tingkap Yahoo Messenger. Coklat panas dalam mug comel kegemarannya dihirup perlahan. Akhirnya, anak matanya terhenti pada satu nama yang memang dicari-cari. Bibirnya mengukir senyum. Tangannya pantas menggerakkan tetikus. Dan jari-jemarinya terus lincah menari di atas papan kekunci.

DurratulH: Assalamualaikum.

Sambil menanti pesanannya dibalas, Hanan menghirup lagi coklat panas dari mugnya.

Qis_zaharah: Waalaikumsalam. Hanan sihat?
DurratulH: Alhamdulillah
DurratulH: Akak?
Qis_Zaharah: Alhamdulillah semua sihat.
DurratulH: Macam mana program kat sana?
Qis_zaharah: Program dah surut sebab semua tengah exam termasuklah Abang Fathil.
DurratulH: Oh, jadi akak buat apa?
Qis_zaharah: Akak sibuk dengan DF.
Qis_zaharah: Kena juga tolong sesiapa yang tak dapat cater usrah adik-adik
Qis_zaharah: Sibuk dengan baby Zaid ni juga
Qis_zaharah: Tapi yang seronoknya dapat berjalan sana sini
Qis_zaharah: ^_^
DurratulH: Haha
DurratulH: Jauh berjalan luas pengalaman
DurratulH: Mesti baby Zaid seronok ikut ummi dia pergi usrah, pergi program
Qis_zaharah: Dia dah makin lasak sekarang ni...
Qis_zaharah: Eh, Hanan apa cerita?
DurratulH: Hanan macam inilah. Kerja, usrah, program, balik rumah...
DurratulH: Tak ada apa pun yang menarik.
DurratulH: Huhu
Qis_zaharah: Betul? Akak dengar adik akak ni dah ada yang bertanya.
Qis_zaharah: Betulkah?

Hanan terkedu. Bagaimana Kak Balqis tahu hal ini? Hurm, pastinya Kak Balqis sudah membaca e-mel yang dihantarnya pagi tadi.

DurratulH: Emm
DurratulH: Tapi...
Qis_zaharah: Kenapa? Hanan ada masalah?
Qis_zaharah: Hanan dah istikharah?
DurratulH: Dah. Tapi Hanan masih tak dapat buat keputusan.
Qis_zaharah: Hanan istikharahlah lagi
Qis_zaharah: Lagi dan lagi
Qis_zaharah: dan berdoalah banyak-banyak
Qis_zaharah: sangat banyak
Qis_zaharah: insyaallah, Allah akan tunjukkan dan bimbing Hanan dalam membuat keputusan
DurratulH: Insyaallah kak
DurratulH: Cuma sekarang ni Hanan rasa macam hulur leher di tali gantung kalau Hanan terima lamaran tu
DurratulH: ngeeee
Qis_zaharah: Sebab?
DurratulH: Orang yang melamar tu bukan orang yang ikut tarbiyyah
DurratulH: dan dia tak suka kalau isteri dia aktif di luar
DurratulH: Hanan risau kalau Hanan terima dia, selepas kahwin Hanan tak dapat nak bergerak langsung
Qis_zaharah: Apa yang Hanan fikir waktu terima lamaran tu?
DurratulH: Dakwah
Qis_zaharah: Alhamdulillah.
DurratulH: Akak pun tahu kan macamana sukarnya untuk Hanan berada di atas jalan ni?
Qis_zaharah: Akak faham Hanan. Bukan Hanan sahaja, tapi kita semua ada sejarah yang hampir serupa.
Qis_zaharah: Akak, Kak Maryam, Arwah Kak Nana, Wafa, Mai...
Qis_zaharah: Sekarang ni, Hanan istikharah sebanyak-banyaknya.
Qis_zaharah: Tanyakanlah pada yang empunya hati kita ini.
Qis_zaharah: Jangan terburu-buru.
Qis_zaharah: Kalau Hanan nak menikah atas sebab nak ikut-ikut atau kerahan sahabat-sahabat dan orang sekeliling,
Qis_zaharah: maka akak akan katakan tidak.
Qis_zaharah: Beramallah untuk cinta Allah semata-mata.
Qis_zaharah: Itulah yang terbaik.
Qis _zaharah: Dan yakinlah, Allah sudah menetapkan jodoh yang terbaik untuk Hanan.
DurratulH: Kak, entah kenapa hati ini rasa sungguh tak tenang
Qis_zaharah: Kalau macam tu, semak balik hubungan kita dengan Allah
Qis_zaharah: Apa pun, moga semua urusan dipermudahkan Allah
DurratulH: Ameen
Qis_Zaharah: Hanan...
Qis_Zaharah: Doa banyak-banyak ya ^_^
DurratulH: Insyaallah
Qis_Zaharah: Baiklah, akak nak mandi ni. Lepas tu nak tengok baby Zaid
Qis_zaharah: Apa-apa hal jangan segan-segan bagitahu akak atau Kak Maryam.
DurratulH: Tak mandi lagi?
DurratulH: Patut bau masam sampai ke sini
Qis_zaharah: Haish, di sini petang bukan macam di Malaysia dah lewat malam
DurratulH: Okey, jangan lupa nak balik Malaysia pula
Qis_Zaharah: Haha, ya balik insyaAllah
Qis_zaharah: Jaga diri, iman dan amal
DurratulH: Insyaallah. Akak pun sama. Jaga diri, baby Zaid dan Abang Fathil tu hehe
Qis_Zaharah: ^_^
Qis_zaharah: Assalamualaikum…
DurratulH: Waalaikumsalam…

Hanan termenung panjang. Ya Allah, sukarnya nak membuat keputusan! Dia bingkas bangun. Langkahnya di atur menuju ke bilik air. Sebaik kakinya melangkah keluar dari bilik air, telekung dan sejadah di ampaian terus dicapai. Ya, dia ingin mengadu pada Tuhannya. Dia ingin mengadu pada yang empunya sekeping hati ini.


“EH, KAK MAR! Jemputlah masuk. Akak sorang je ke? Husna mana?” Hanan merangkul tubuh Maryam erat. Kemudian mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Hanan mempersilakan Maryam mengambil tempat di sofa.

“Husna ikut Abi dia. Pergi cari barang sikit. Yang lain mana?” Soal Maryam. Dia memandang sekitar ruang tamu.

“Amni ada perbincangan kumpulan. Wafa ada program remaja kat Shah Alam. Mai pula balik kampung. Jadi tinggallah Hanan seorang diri. Eh, akak duduk kejap ya. Hanan nak ke dapur sekejap.” Hanan bingkas bangun dan menuju ke dapur. Dia mengeluarkan kek coklat yang dibuatnya pagi tadi dari peti ais. Dengan cermat dia memotong kek coklat itu dan meletakkannya ke dalam piring. Teh o limau kegemaran Maryam pantas dibancuh. Dia masih ingat, dulu dia sering mengusik Maryam kononnya Maryam ingin berdiet kerana gemar minum air teh o limau panas. Hanan tersenyum sendiri.

“Hah, tu kenapa senyum sorang-sorang? Makruh tau!” Hanan kaget. Maryam tersenyum di sisinya.

“Akak ni buat Hanan terkejut je!” Ujar Hanan pura-pura marah. Tangannya mencapai dulang dan menyusun dua biji cawan serta teko di atasnya.

“Kek coklat ni biar akak bawak.” Maryam mengambil piring yang berisi kek coklat dan membawanya ke ruang tamu.

“Rajin Hanan buat kek coklat?” Soal Maryam sebaik saja melabuhkan punggungnya.

“Amni dari kelmarin sibuk minta Hanan buat. Akak bukan tak tau, dia tu hantu kek coklat. Sampai tidur pun mengigau makan kek coklat.” Hanan tertawa kecil.

“Akak ingat lagi, dia pernah merajuk sebab kita belikan dia kek blueberry masa hari jadi dia. Kelakar sungguh la Amni tu.” Maryam menggelengkan kepalanya.

“Suka makan, tapi tak nak belajar buat. Akhirnya, Hananlah yang jadi mangsa. Tak pasal-pasal jadi chef peribadi dia.” Hanan menuang air teh o limau ke dalam cawan dengan cermat dan menghulurkannya kepada Maryam.

“Akak, dah lama rasanya tak dengar perkongsian dari akak. Boleh tak akak bagi perkongsian sikit berkenaan hati?” Hanan memandang tepat wajah Maryam penuh mengharap.

“Ermmm...insyaallah boleh. Mungkin perkongsian ni biasa-biasa je. Tapi kalau kita ikhlas, insyaallah ia pasti jadi luar biasa.” Maryam tersenyum manis.

“Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah, hati ni ada tiga jenis. Hati yang sihat, sakit dan mati. Tapi yang akak nak kongsikan dengan Hanan ialah hati yang sihat.” Maryam berhenti sejenak.

“Ramai orang tanya bagaimana nak dapat rasa cinta kepada Allah sepertimana kita cinta kepada insan yang kita kasihi? Bagaimana nak rasa Allah sentiasa berada di samping kita dan melihat perbuatan kita? Bagaimana nak rasa takut kehilangan cinta Allah? Jadi, akak ambil mutiara ilmu dari Ibn Qayyim al-Jauziyyah iaitu hati yang cinta dan takut kepada Allah dan rasa akan kehadiran ALLAH dalam nyawanya ialah hati yang sihat.”

“Bagaimana rupa hati yang sihat itu? Hati yang sihat ialah hati yang lembut. Untuk melembutkan hati, mulakanlah dengan berzikir. Bukankah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Bila hati selalu mengingati Allah, secara semulajadi tubuh badan yang lain juga akan begitu. Bukankah hati itu raja di kerajaan diri?” Maryam memandang wajah Hanan lama. Perlahan dia menggenggam erat tangan Hanan.

“Hanan, hati akak dapat merasakan bahawa Hanan ada masalah kan? Bila ukhwah antara kita berpaksikan iman, kita dapat merasakan apa yang ada di dalam hati sahabat-sahabat kita. Dan akak yakin dengan gerak hati akak. Sebab itu jugalah akak datang ke sini.” Hanan membalas genggaman tangan Maryam. Ada air yang menakung di tubir matanya.

“Kak, entah kenapa sejak kebelakangan ini, hati Hanan sangat tak tenang. Dah macam-macam Hanan buat. Tapi...” Akhirnya empangan air mata itu pecah jua. Esakan Hanan mula kedengaran.

Shhh... Hanan, Allah sedang mengujimu. Allah sedang merindui rintihan dan doa-doa dari Hanan. Sabarlah Hanan. Sabarlah dengan sebaik-baik kesabaran. Bagi orang yang hatinya telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah, ketika menerima dugaan yang maha hebat sekalipun, hati mereka tetap tidak berpaling dari cinta Allah. Apa yang ada di hati dan fikiran mereka hanya saat bertemu dengan Allah di syurga kelak. Menunggu kata-kata cinta dari Allah. Ujian ini baru sedikit Hanan. Jangan mudah mengalah.” Maryam merangkul tubuh Hanan ke dalam pelukannya.

“Hanan, jalan hidup yang mencari cinta Allah pada akhirat semata-mata lebih mudah dari jalan hidup mereka yang memilih untuk mencari cinta Allah pada dunia dan akhiratnya. Cuba fikir. Allah yang menciptakan Hanan. Jahilkah Allah tentang keupayaan Hanan? Pastinya tidak kan? Apakah ujian itu bagi insan yang bergelar mukmin? Bukankah ujian itu tanda sayang Allah pada kita? Bukankah ujian itu tanda Allah sedang memandang kita? Sesungguhnya kita ini manusia merancang dengan cita-cita, namun ketahuilah Allah merancang dengan cinta-Nya. Penat Hanan, runsing Hanan, semuanya Allah tahu. Begitu juga dengan sabar Hanan yang sedang Allah nilai. Allah dah janjikan cinta dia untuk Hanan andai Hanan berjaya melepasi semua ujian yang Dia titipkan.” Maryam mengusap lembut belakang Hanan.

“Cukuplah Hanan yakin dan faham ALLAH sayangkan Hanan dan kita semua, pasti insyaallah segalanya akan terpelihara dek rahmat-Nya. Ihfazhallah yahfazhuk. Jika kamu menjaga Allah, Allah akan menjagamu. Kosongkan hati Hanan hanya untuk Allah, maka apa yang tinggal kelak hanyalah hakikat cinta agung sang pencinta Allah...” Hanan tekun mendengar kata-kata yang keluar dari bibir Maryam. Hatinya dipukul kesayuan. Kepalanya bagaikan diketuk dengan batu besar.

‘Ya Allah, bagaimana aku boleh lupa akan hal ini? Di mana silapnya aku dalam menjalin cinta buat-Mu? Ampunkanlah segala kekhilafan diri ini ya Allah!’ Hanan menyeka air mata di pipinya dengan belakang tapak tangan. Dia menghela nafas panjang.

“Akak, minggu lepas ibu ada beritahu Hanan. Ada orang datang melamar Hanan. Orang kampung Hanan juga. Insyaallah, dia baik orangnya. Cuma dia bukan orang yang ikut tarbiyyah. Dan bila Hanan tanya sendiri dengan dia, kalau boleh dia nak isteri dia duduk rumah. Dia tak selesa ada isteri yang aktif dengan program-program di luar. Akak sendiri pun tahu macam mana sibuknya kita dengan program, usrah, tak termasuk kerja lagi. Dan akak pun tau macam mana susahnya Hanan nak berada di atas jalan ini. Hanan tak nak begitu mudah untuk Hanan tinggalkan jalan ni. Hanan takut kak kalau Hanan terima dia, lepas kahwin nanti Hanan jadi macam kelip-kelip. Kelip-kelip kusangka api, kalau api mana sumbunya...” Hanan kehilangan kata-kata.

“Hilang ghaib kusangka mati, kalau mati mana kuburnya...” Maryam menyambung pantun yang diucapkan Hanan. Pantun itu sangat sinonim dengan mereka. Kegalauan di kalangan akhwat andai memilih pasangan yang bukan dari kalangan ikhwah.

“Hanan, Allah sedang mengujimu. Allah nak tahu sejauh mana Hanan yakin pada keputusan Allah dan mujahadah Hanan untuk dapatkan yang terbaik dari Allah. Sekarang ni Allah sedang memberi Hanan dua pilihan. Sama ada Hanan nak yang tak berapa elok tapi cepat tanpa perlu sabar dan mujahadah, atau Hanan nak yang terbaik dari-Nya tapi lambat sedikit dan perlu banyak bersabar dan bermujahadah.” Ujar Maryam sambil tersenyum.

Istikharahlah Hanan. Tanyakan pada Allah. Ingat, izhas ta'inta fastai'nbillah.. Jika kamu memerlukan pertolongan, mintalah kepada Allah. Jangan terburu-buru membuat keputusan. Utamakan pandangan Dia dari pandangan manusia. Pada pandangan Allah itu tersirat seribu satu hikmah di sebaliknya. Selepas istikharah nanti, Hanan teruskanlah dengan apa yang Allah hadiahkan buat Hanan. Belajar didik hati untuk jadikan keputusan Allah sebagai satu-satunya pembimbing. Tapi kalau selepas itu Hanan masih buntu, bermusyawwarahlah pada kalangan yang ahli.” Maryam menepuk lembut bahu Hanan.

“Hanan, ingat tak pesan Rasulullah? Sebaik-baik suami atau isteri adalah sebaik-baik sahabat. Bagaimana sahabat yang baik? Adalah bila kamu memandangnya, kamu ingat pada Allah, lisannya menambahkan ilmu agamamu, dan tingkahlakunya mengingatkanmu pada kehidupan akhirat. Jelaskan petua Rasulullah dalam mencari? Insyaallah, sangat jelas....” Maryam tersenyum penuh makna memandang raut wajah Hanan.


LAGU MENUNGGU DI SAYUP RINDU dari kumpulan Maidany memenuhi ruangan kamar milik Hanan. Hanan menarik nafas lega. Dia baru saja selesai bercakap dengan ibunya di kampung. Keputusannya untuk lamaran itu sudah disampaikan dan diterangkan sebaik mungkin kepada ibunya. Alhamdulillah, ibunya dapat menerima dengan hati terbuka.

Di dalam sepi ia selalu hadir
Di dalam sendiri ia selalu menyindir
Kadang meronta bersama air mata
Seolah tak kuasa menahan duka

Hanan tersenyum sendiri mendengar bait demi bait lirik lagu itu. Dia teringat kata-kata Kak Maryam, “Apa yang Allah dah tetapkan untuk kita, itulah yang terbaik buat kita. Mungkin kita mampu kata dia lebih baik untuk kita dengan ilmu kita yang tak sehebat ilmu ALLAH yang maha luas. Tapi kalau ALLAH kata orang lain yang lebih baik buat kita maka tetap pilihan ALLAH yang tepat.”

Biarlah semua mengalir
Berikanlah kepada ikhtiar dan sabar
untuk mengejar...

Sabarlah menunggu
Janji Allah kan pasti
Hadir tuk datang
Menjemput hatimu

Sabarlah menanti
Usahlah ragu
Kekasihkan datang sesuai
dengan iman di hati

‘Bersabarlah duhai hati. Allah sudah menjanjikan yang terbaik untukmu.’ Bisik hati kecil Hanan.

Bila di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menunggu
Bila di dunia ia tiada
Moga di syurga ia telah menanti

Bait-bait lirik lagu itu begitu menusuk di hati. Hanan mengukir senyum segaris. Dia menghela nafas panjang. 'Ya Allah, sesungguhnya aku yakin dengan janji-Mu. Bantulah aku untuk terus bermujahadah biarpun ia pahit kerana aku tahu nilai syurga-Mu itu terlalu manis. Akan aku lakukan apa sahaja untuk mendapatkan perhatian dan cinta dari-Mu...'

Hanan mencapai sebuah buku di atas meja. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Buku tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi itu digenggam erat. Dengan berbisik dia menyebut judul buku itu, 'Di Mana DIA Di Hatiku?' Buku itu dibawa ke pelukannya. Air matanya menitis ke pipi. Di membuang pandang ke luar jendela. Dari jauh kelihatan tanah perkuburan Islam yang tampak hening. 'Ya Allah, bantulah aku untuk terus bermujahadah. Tetapkanlah aku di atas jalan ini. Moga setiap gerak dan langkahku di atas muka bumi ini akan mejadi bekal untuk diri ini bertemu dengan-Mu...'


* Maidany - Menunggu Di Sayup Rindu



**TAMAT**


Tatkala Pena Menulis,
F.H.Fansuri
Kuala Lumpur
7 Julai 2010
1.30 a.m
-0707100130-

7 comments:

'Umayr SRA said...

Hoh? Jadi dia terima ke tak?

Ibunya terima dengan hati yang terbuka?

Kak Yong said...

^_^ yang itu KY tinggalkan sbg persoalan buat yang membaca...boleh jadi dia terima...dan boleh jadi dia tolak...tapi kalau baca dan tafsirkan betul2, pembaca boleh tau apa jwpn sbnrnya...hehe..peace!

limaumaniss said...

i think she will accept it..

Mujahidah said...

the proposal has been rejected full stop

Kak Yong said...

to limaumaniss: hehe... ^_^

to Mujahid: terrer la anti teka ^_^. Yup, the proposal has been rejected. Kalau tgk ayat bghn akhir2 tu dah boleh agak da dia reject.

‘Bersabarlah duhai hati. Allah sudah menjanjikan yang terbaik untukmu.’ Bisik hati kecil Hanan.

Kat situ dah boleh agak dia tolak...sbb tu dia pujuk hati dia utk terus sabar menunggu... ^_^

aihaz said...

lsalam..

lama rasanya x menjelajah blog. sebuah kisah y manis :)

lagu pun best! penuh bermakna! :)

aihaz said...

lsalam..

lama rasanya x menjelajah blog. sebuah kisah y manis :)

lagu pun best! penuh bermakna! :)

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers