Wednesday, February 11, 2009

Siapa Aku???

"Bismillahirrahmanirrahimalhamdulillah, setiap dari antunna dah bentangkan tugasan yang akak berikan iaitu objek yang mewakili diri antunna. Alhamdulillah, ada yang memilih pokok, mentol, lilin, air, kapal layar, labah-labah dan macam-macam lagi. Jadi sekarang ni tibalah giliran akak pula. Barulah adil, kan?" Aku tersenyum memandang wajah-wajah di hadapanku, anak-anak usrah yang sangat aku kasihi lantaran kami berpegang kepada aqidah yang sama.

"Insyaallah, objek yang akak pilih bagi mewakili diri akak adalah gelas yang berisi air. Diri akak diwakili oleh gelas itu sahaja manakala air itu melambangkan sebagai ilmu dan pengetahuan. Asalnya gelas tu kosong. Tapi saban hari ada air yang akan mengisi gelas, maksudnya diri akak pada asalnya waktu lahir ke dunia dulu, kosong… nothing… tak tau apa-apa. Tapi setiap hari banyak ilmu yang akak perolehi. Ilmu ni tak semestinya ilmu yang akak dapat dalam kelas. Ilmu ni mungkin ilmu menulis, membaca, memasak, membasuh, menjahit dan macam-macam lagi.
Tapi cuba kita fikirkan, kalau setiap hari air dalam gelas tu bertambah, pastinya air dalam gelas tu akan melimpah keluar. Jadi di sini air dalam gelas tu perlu diagih-agih pada gelas-gelas lain untuk mengelakkan air dalam gelas tu dari melimpah keluar. Samalah juga macam akak, ilmu yang akak perolehi wajib akak ajarkan pada orang lain. Tak kisah la walau sikit pun sebab hukum menyampaikan ilmu itu wajib. Sabda Rasulullah S.A.W., 'Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat...' Hadith ini menunjukkan betapa pentingnya kita menyampaikan ilmu. Dan kerana itulah juga Halaqah Cinta ini akak wujudkan agar ia menjadi wadah dan medan untuk kita saling bertukar dan menyampaikan ilmu." Adik-adik di hadapanku kelihatan khusyuk mendengar.

"Jadi, itulah diri akak… Baiklah, itu sahaja rasanya. Tapi akak suka nak mengulas tentang objek yang menjadi pilihan Ina, iaitu bunga mawar. Secara peribadi pilihan Ina itu adalah pilihan yang agak tepat." Wajah Ina kupandang. Ina tersenyum malu.

"Bunga mawar memang sinonim dengan wanita. Kebiasaannya bunga mawar ni menjadi pilihan untuk dihadiahkan kepada wanita. Mungkin kerana kecantikan dan keharuman si bunga mawar. Tapi bagi akak, kecantikan bunga mawar sebenarnya terletak pada duri-duri yang mengelilinginya. Duri-duri inilah yang menyebabkan nilai bunga mawar begitu tinggi. Begitulah juga dengan wanita. Seorang wanita tu akan tinggi 'nilai'nya andai ada 'duri-duri' yang menghiasi diri seseorang wanita itu." Aku menghadiahkan senyuman penuh makna buat adik-adik di hadapanku.

"Hurm... akak, boleh tak kalau ana nak tambah sikit?" Ain memandangku dengan wajah penuh mengharap.

"Silakan... tafaddhal..." Aku mengangguk.

"Erm... dulu masa ana sekolah, ada seorang akak senior ni cakap pada ana tentang nilai seorang wanita. Dia kata, sebagai wanita kita kena jadi bak bunga di atas puncak gunung. Nilai kecantikan seorang wanita tu bukan terletak pada kecantikan luarannya tapi terletak pada sehebat mana dia menjaga maruah diri."

"Baik. Bagus Ain. Akak setuju dengan pendapat Ain, tapi akak nak tambah sikit. Bagi akak, apa kata kalau kita upgrade sikit... dari menjadi bunga mawar berduri, sebagai wanita jom kita jadi seperti mawar berduri di puncak gunung. Kenapa akak cakap macam tu?" Kupandang setiap wajah-wajah di hadapanku. Masing-masing membisu.

"Seorang wanita yang tinggi nilainya boleh ditamsilkan seperti mawar berduri di puncak gunung kerana ia tidak mudah untuk dimiliki. Lokasinya yang terletak di atas puncak gunung ini menyukarkan si pemburu untuk memilikinya. Si pemburu perlu mengharungi pelbagai rintangan sebelum sampai ke puncak gunung contohnya batu-batu besar, binatang liar dan macam-macam lagi. Bila dah sampai di puncak gunung, si pemburu perlu menghadapi duri-duri yang mengelilingi bunga mawar sebelum berjaya memetik si mawar berduri.

Samalah juga andai seorang wanita menjaga maruah dirinya umpama mawar berduri di puncak gunung. Batuan keras di sepanjang gunung menunjukkan ketegasan seorang wanita dari pujuk rayu seorang lelaki. Duri-duri di sekitar bunga mawar pula menggambarkan bagaimana seorang wanita itu begitu memelihara aurat dan maruah dirinya dari menjadi tatapan mata-mata yang tidak halal untuk memandangnya." Aku berhenti seketika.

"Jadi, sebagai konklusinya, ayuhlah kita sama-sama menjadi seperti mawar berduri di atas puncak gunung. Kembalilah meletakkan nilai diri kita di anak tangga yang paling teratas kerana tingginya nilai diri seseorang wanita itu bukanlah terletak pada kecantikan luarannya, tapi bergantung kepada bagaimana hebat dia menjaga maruah dan kesucian diri."

"Kak, tak cukup ke kalau kita dah tutup aurat?" Soal Razia. Aku tersenyum memandangnya, seorang adik yang begitu kuat azamnya untuk menjadi seorang yang baru. Niqab yang menutupi kecantikan wajahnya menambahkan kekagumanku pada semangat dan tekadnya.

"Okey, maruah diri atau nilai seorang wanita bagi akak tak cukup dengan menutup aurat sahaja. Kita juga perlu menjaga pergaulan, akhlaq, dan yang paling penting hati kita. Suka akak nak ingatkan adik-adik dan diri akak juga, dalam kehidupan seharian kita pastinya ada antara kita yang terlalai dalam menjaga pergaulan dan juga hati. Akak nak tekankan di sini tentang ikhtilat antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Ikhtilat yang akak maksudkan di sini ialah dalam kita bermuamalah, kita kena jaga tingkah laku. Bila kita berkomunikasi dengan ikhwah, jaga jarak antara kita. Elakkan dari terlalu close sebab ia boleh menimbulkan fitnah apatah lagi ramai di antara adik-adik yang mengambil jurusan islamik kontemporari. Masyarakat di IIC memandang tinggi kepada antunna dan besar harapan akak untuk antunna dan semua ikhwah wa akhwat DIC menjadi qudwah hasanah, contoh ikutan bagi masyarakat IIC amnya. Dan yang paling penting, elakkan zina hati. Sebagai contoh, kita asyik berSMS dengan ikhwah tentang perkara-perkara yang tak penting dan lagha. Lama-kelamaan timbul perasaan yang tidak halal dalam hati. Itu boleh dikatakan sebagai zina hati. Memang perasaan itu fitrah manusia dan bukan senang untuk dikikis. Tapi, kita kena berbalik kepada yang menciptakan hati tersebut, iaitu Allah S.W.T.. Mintalah pada DIA agar menjaga hati kita kerana DIA yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati kita. Insyaallah, DIA pasti akan membantu kita." Aku berhenti sejenak.

"Dan di sinilah letaknya kepentingan tegur-menegur antara satu sama lain kerana kita adalah insan yang tidak dapat lari dari lupa dan lalai. Kalau akak sendiri buat silap, jangan segan-segan untuk menegur akak. Sebab akak pun tak lepas dari buat silap. Akak tak mahu jadi orang yang hanya pandai berkata-kata dan menasihat orang lain tapi dalam masa yang sama akak tak buat apa yang akak katakan. Allah S.W.T. ada berfirman dalam surah as-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud, 'Wahai orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.' Jadi kalau akak sendiri buat silap, akak mohon pada antunna untuk tegur akak atas dasar kasih sayang sesama mukmin." Terasa kelopak mataku seakan berpasir.

"Kak, kalau seseorang tu pernah buat silap satu masa dulu, boleh ke kalau nak jadi macam mawar berduri atas puncak gunung?" Syira tiba-tiba bersuara.

"Hurm...bagi akak, apa yang dah lepas tak perlu kita pandang lagi. Setiap dari kita pastinya tak terlepas dari buat salah dan silap macam yang akak cakap tadi. Akak sendiri secara peribadi, akui yang akak ni tak ubah macam batu kerikil kat tepi jalan. Tak ada nilai dan tak dipandang sesiapa pun. Tapi 'batu kerikil' ni ada cita-cita dan impian nak jadi macam permata dalam peti besi. Tak perlu nak hirau apa kata orang lain, yang penting keazaman kita untuk berubah. Jihad kita dengan diri sendiri itu adalah jihad yang paling besar. Insyaallah, andai kita berjaya dalam jihad itu, kita akan rasai kemanisan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata...." Aku melepaskan satu keluhan berat.

"Ya, akak ni cuma 'batu kerikil' dan betapa peritnya akak berjihad melawan nafsu, nak merubah diri, nak menjawab setiap persoalan-persoalan yang bersarang dalam kepala ni, hanya Allah yang tahu. Biarlah apa orang lain nak kata tentang akak, tapi akak lebih kenal siapa diri akak dan apa yang akak buat. Dan cukuplah akak punya DIA sebagai tempat bergantung dan mengadu." Empangan air mataku pecah jua akhirnya. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan... Kutarik nafas panjang lama.

"Satu yang akak nak ingatkan, bila berada di atas jalan dakwah ni, ujiannya bukan sedikit dan jangan sesekali kita mengimpikan 'permaidani merah' sebab jalannya penuh berduri. Dan sekali kita 'sign' kontrak untuk jadi seorang da'ie, tidak ada istilah cuti. Ingat, bergelar seorang pelajar, pelajaran tetap nombor satu tapi kerja-kerja dakwah bukan nombor dua. Kedua-duanya kena berlaku serentak." Kupandang lagi wajah-wajah di hadapanku satu-persatu.

"Insyaallah, rasanya setakat ini dulu untuk halaqah kita minggu ni. Sebelum bersurai seperti biasa, akak akan bacakan doa dan mohon antunna untuk aminkan bersama-sama. Insyaallah...."

"Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji hanya milik-MU ya Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan seluruh kaum keluarganya.
Ya Allah, Engkau mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-MU, bertemu untuk mematuhi perintah-MU, bersatu dalam memikul beban dakwah-MU, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-MU, maka eratkanlah ya Allah, eratkanlah ya Allah, eratkanlah ya Allah akan ikatannya...

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini, penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-MU yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-MU. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat tentang-MU, dan jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-MU, Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Wahai Tuhan yang menciptakan hati...
Wahai Tuhan pemilik hati-hati ini...
Wahai Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati ini...
Seandainya kami jatuh cinta, cintakanlah kami pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-MU agar bertambah kekuatan kami untuk mencintai-MU...
Ya Muhaimin... jika kami jatuh hati, izinkanlah kami menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-MU agar tak terjatuh kami dalam jurang cinta nafsu...
Ya Rabbana... jika kami jatuh hati, jagalah hati kami padanya agar tidak berpaling dari hati-MU...
Ya Rabbul izzati... jika kami rindu, rindukanlah kami pada seseorang yang merindui syahid di jalan-MU...
Ya Allah... jika kami menikmati cinta kekasih-MU, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-MU...
Ya Allah, jika kami jatuh hati pada kekasih-MU, jangan... jangan biarkan kami tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-MU...
Ya Allah, jika Engkau halalkan kami merindui kekasih-MU, jangan biarkan kami melampaui batas sehingga melupakan kami kepada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-MU...
Namun ya Allah, andai Engkau tidak menghalalkan kami merindui kekasih-MU, hilangkanlah resah gelisah di hati-hati ini kerana Engkaulah Tuhan yang mencipta hati-hati ini... kerana Engkaulah Tuhan pemilik hati-hati ini... kerana Engkaulah Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati ini...

Ya Allah, kami berlindung pada-MU dari rasa sedih dan gelisah... kami berlindung pada-MU dari sikap bakhil dan pengecut... Ya Allah, jangan Engkau biarkan kami jauh dari-Mu ya Allah... jangan Engkau biarkan kami terkapai-kapai dalam perjalanan mencari cinta-MU... pandanglah diri kami ini... terangilah jalan hidup kami... tetapkanlah hati-hati ini untuk terus berada di atas jalan yang Engkau redhai... cucurilah hati-hati ini dengan nur hidayah-MU... tetapkanlah nikmat iman dan Islam di dalam hati-hati ini ya Allah.. sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Besar, Tuhan yang Maha Tinggi, Tuhan yang Maha Berkuasa... Perkenankanlah doa kami ini ya Allah... perkenankanlah ya Allah... Amin ya rabbal ‘alamin..." Setitis demi setitis air mataku mengalir di pipi. 'Ya Allah, perkenankanlah doa kami ya Allah...'



Usai berdoa dan melafazkan tasbih kafarah dan surah al-'Asr, aku bersalaman dengan setiap anak-anak usrahku.

"Akak, terima kasih banyak-banyak untuk halaqah hari ini... Ana sayang akak... Uhibbuki fillah... Kalau ana ada buat silap, tolonglah tegur ana..." bisik Aida.

"Akak pun sayang Aida juga. Sayang kerana Allah, insyaallah abadan abada..."




Kak Yong: moga halaqah cinta ini kan terus subur dalam hati-hati kami dan moga ikatan hati-hati ini akan berkekalan hingga ke Jannah nanti... ameen... uhibbukum fillah abadan abada...

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers