Thursday, August 27, 2009

Aduhai...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, jemari ini masih mampu menari-nari di lantai keyboard setelah tamam solat sunat tarawih di Surau Ar-Rayyan. Syukur ke hadrat Allah, masih diberi nikmat bernafas di muka bumi ini, dan masih di beri peluang untuk menunaikan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

LUKA

Hari ini seperti hari-hari dalam cuti sekolah, ana dan guru-guru lain bergotong royong membersihkan kawasan sekolah. Waktu tengah sibuk mencuci, terpandang pada sebuah akuarium lama. Apa lagi, teruja rasa di jiwa sebab ada la tempat nak letak kura-kura (dah pasang niat nak bela kura-kura dalam kelas). Disebabkan akuarium tu dah lama tak digunakan, ana pun cucilah. Sedang asyik membasuh, tiba-tiba... ADUH!!! Dan darah merah pun mengalir. Tak perasan pula di bahagian bucu akuarium itu 'retak menanti belah' dan akhirnya tapak tangan ana yang menjadi mangsa. Pedih dan bisanya usah dikata. Darah asyik mengalir walaupun sudah dilap dengan tisu. Tak cukup tanah ana mencari First Aid kit. Alhamdulillah, dulu ana ambil subjek First Aid Course jadi barang-barang dalam kotak tu taklah kelihatan seperti 'alien'.



Pengajaran dari peristiwa di atas,

1. Perlu lebih berhati-hati di lain masa
2. Jangan excited sangat bila buat kerja sampai tak toleh kiri kanan
3. Dah tau rabun tu, pakailah cermin mata (hehehe...)

Sebenarnya kalau ana melihat peristiwa ini pandangan mata hati, mungkin ia merupakan satu 'teguran' dari Allah. Mungkin tangan ini ada mengambil sesuatu yang bukan hak... Mungkin tangan ini tidak digunakan dengan sebaiknya... Ya, mungkin tangan ini ada 'terbabas' singgah pada anak-anak... (ada ke? hurm...) Apa pun, yang pentingnya sentiasa cermin-cerminkan diri. Lihatlah 'cermin-cermin' di sekeliling kita. Muhasabah diri... Dan lakukanlah perubahan... Ramadhan; Time To Transform!


TARAWIH

Alhamdulillah, malam ini merupakan malam kedua ana berkesempatan menunaikan solat tarawih di Surau A-Rayyan, Seksyen 7 setelah dua hari solat di rumah sahaja (sebab tak ada kawan nak dibuat teman jalan kaki ke surau). Saat ayat-ayat cinta Allah yang dialunkan indah oleh imam menyapa cuping telinga, terasa sebak di hati. Indahnya nikmat iman dan Islam! Dan peluang nak berinfaq di bulan Ramadhan ini terbentang luas di depan mata. Di Surau Ar-Rayyan ini sendiri terdapat dua jenis tabung, iaitu tabung kebajikan surau dan tabung sumbangan untuk pembinaan masjid Seksyen 7. Apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang merebut pahala berinfaq di bulan Ramadhan!



Jika dalam entry yang lalu, ana ada menceritakan bahawa kami terpaksa solat di bawah khemah yang disediakan di perkarangan surau gara-gara jamaah yang terlalu ramai, tapi malam ini ana bersolat di dalam surau. Kenapa agaknya ya? Adakah kerana ana datang awal? Jawapannya tidak. Ini adalah kerana jamaah malam ni tidak ramai seperti tempoh hari. Nampaknya keadaan yang ana jangkakan telah mula menampakkan diri. Erm... tapi yang sebaiknya, husnudzon. Mungkin disebabkan petang tadi hujan lebat hingga ke waktu Maghrib menyebabkan ramai jamaah yang tidak hadir. Mungkin mereka ada majlis iftar di tempat kerja masing-masing... mungkin...


TADARUS



Bulan Ramadhan merupakan bulan di mana setiap umat Islam berlumba-lumba melakukan amal ibadat termasuklah bertadarus Al-Qur'an. Ana ingin kongsikan satu kisah yang mungkin dapat kita jadikan ingatan buat diri-diri kita. Sejuk rasanya hati ana bila melihat anak-anak seawal usia 7 dan 9 tahun mampu bertadarus Al-Qur'an seawal pagi. Tapi kadang-kadang kita yang lebih dewasa ini tak mampu pun nak lakukan perkara seperti itu. Ya, hambatan kerja seringkali menjadi alasan kita. Apa yang mengecewakan ana, ada sesetengah dari kita yang mengisi waktu siang di bulan Ramadhan dengan tidur dengan alasan keletihan berpuasa. Tidur di waktu tengahari sehingga terlajak waktu Zuhur. Bukankah lebih elok andai kita qailullah dalam setengah jam kemudian bangun dan solat Zuhur serta bertadarus? Satu juzu' sehari mungkin terasa berat bagi sesetengah orang, tapi kita boleh bertadarus sekurang-kurangnya 4 muka surat setiap kali lepas solat fardhu. Andai kita konsisten, 1 juzu' itu pastinya tidak menjadi sebarang masalah. Bagi golongan muslimah mungkin perlu melebihkan sedikit bacaan, satu juzu' setengah misalnya untuk cover 'waktu istimewa' itu. Dan bagi yang sudah biasa mengkhatamkan 30 juzu' setiap kali Ramadhan, apa kata Ramadhan tahun ini kita cantikkan lagi dengan khatam 30 juzu' al-Qur'an beserta terjemahannya. Bagaimana? Menarikkan? Bertadarus disamping mengetahui maksud ayat-ayat cinta Allah yang kita alunkan itu. (ye la, bagi ana yang tak bisa berbahasa Arab bagai air mangalir ni, memang menarik!)


CINTA SEMPURNA

Kelmarin sewaktu ana 'menerjah' laman Ustaz Hasrizal (Saifulislam.Com), terbaca entry beliau mengenai 'Cinta Sempurna' yang merupakan sebuah drama 20 episod yang ditayangkan di saluran Astro Oasis. Cerita asal drama ini adalah buah tangan Ustaz Hasrizal sendiri.



Bagi yang tidak memiliki connection Astro, pilihan yang ada adalah melalui YouTube. Berdasarkan komen para penonton, ramai yang sedikit kecewa dengan beberapa perkara. Oleh kerana drama ini dikatakan sebagai salah satu medium dakwah, feedback dari para penonton perlu diambil serius. Setelah menonton sendiri drama ini melalui YouTube, ana akui apa yang dikatakan oleh sebilangan penonton itu benar belaka. Baik dari segi pakaian para pelakon yang ditampilkan, beberapa dialog yang sedikit boleh mengelirukan masyarakat umum yang cetek pemahaman atau kurang terdedah dengan beberapa isu perlu dihuraikan dengan lebih jelas agar tidak berlaku kekeliruan atau salah faham. Dan lebih menyedihkan lagi, aksesori yang dipakai oleh peran utama terpapar lambang salib. Perkara ini perlu dipandang serius.

Mungkin ada pengikut setia Saifulislam.Com mahupun insan-insan yang mengenali Ustaz Hasrizal secara dekat yang kecewa saat menyaksikan drama bersiri Cinta Sempurna ini sebagaimana kecewanya penonton filem Ayat-ayat Cinta. Mudah-mudahan filem terbaru yang diangkat dari novel Ustaz Habiburrahman iaitu Ketika Cinta Bertasbih mampu mengubati kekecewaan para peminat filem berbentuk dakwah dan islamik.


Dan ana bersetuju dengan salah satu komentar dalam Saifulislam.Com yang mengatakan seharusnya drama ini dikatakan sebagai perkongsian idea dari Ustaz Hasrizal, bukannya cerita asal kerana ada beberapa scene yang tidak berapa kena. Sebagai contoh adegan Ustaz Nazri dan Doktor Najihah 'dating' sewaktu masih dalam ikatan pertunangan. Ia menggambarkan seolah-olah ia dibenarkan atau dihalalkan oleh Islam. Perkara seperti ini mungkin kelihatan kecil tetapi boleh memberi salah tafsir kepada masyarakat yang menonton drama ini. Apa pun, tahniah buat Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zabidi Muhamed (penulis skrip) atas usaha menghasilkan drama bercorak islamik sebagai medium dakwah.


KES SEBAT KARTIKA


Ini satu lagi isu yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia sekarang ini. Bagi ana secara peribadi, inilah bahana masyarakat tidak memahami kaedah hukuman hudud itu sendiri. Apa yang tergambar di fikiran mereka apabila disebut hukum huduh ialah potong tangan, rejam sampai mati, sebat dan sebagainya tanpa mereka cuba memahami konsep hudud itu sendiri. Hukum hudud itu tidak sewenang-wenangnya dijatuhkan. Sebagai contoh kes rogol, mungkin berlaku kesukaran untuk mencari 4 orang saksi (mengikut syarat-syaratnya seperti lelaki, Islam etc). Dan jika di dalam konteks dunia moden hari ini, mungkin kita boleh menggunakan bantuan rakaman CCTV namun ia akan jatuh kepada kategori hukum ta'zir. Hukum ta'zir ialah hukum yang diputuskan oleh manusia berdasarkan kemaslahatan umum di sesuatu tempat dan masa. Hukumannya akan menjadi berbeza.

Bagi ana secara peribadi, mungkin golongan ilmuan agama di Malaysia boleh menggunakan peluang ini untuk menjelaskan atau menerangkan konsep sebenar hukum hudud itu agar salah tafsir di kalangan masyarakat Islam negara ini dapat diatasi. Sedikit pandangan dari ana yang dhaif lagi cetek ilmu ini. Wassalam `ala man ittaba`a al-huda.

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers