Tuesday, August 25, 2009

Ramadhanku...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah
, tahun ini DIA berikan lagi peluang buat ana untuk bertemu dengan Ramadhan. Syukur yang tidak terhingga ya Allah kupanjatkan ke hadratMU...


KEMATIAN

Dua tiga hari ini ana banyak dikhabarkan dengan berita kematian. Ramadhan pertama yang lalu, ana dikejutkan dengan SMS dari emak yang memaklumkan Nek Ngah (nenek saudara Abang Bai) telah meninggal dunia jam 3 pagi. Kelu lidah ini. Hanya Al-Fatihah yang mampu kuhadiahkan. Terimbas kembali kenangan sewaktu kecil dahulu bersama-sama arwah. Rumah Nek Ngah lebih kerap kami ziarahi berbanding rumah Nek Maria (nenek Abang Bai). Ana suka benar bermain di tangga batu rumah Nek Ngah. Rumah itu terlalu istimewa... rumah tradisional Melaka. Beranda... tangga batu... segalanya menggamit memori yang indah... Kali terakhir ana bertemu muka dengan Nek Ngah sewaktu walimah Abang Bai di Teluk Mas, Melaka tahun lalu. Nek Ngah tampak sudah uzur. Dia juga hampir tidak mengenali ana. Apabila disebut nama emak, barulah dia tersenyum. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman... ameen...

Ramadhan kedua juga ana dikhabarkan dengan dua berita kematian di kampung ana. Seorang warga tua dan seorang lagi remaja berusia 15 tahun. Remaja itu seusia adik ana. Belum sempat menduduki peperiksaan PMR. Menurut cerita emak, remaja ini menunggang motorsikal ke rumah jirannya (arwah warga tua) untuk menghantar gula bersama kakaknya. Balik dari rumah jirannya, motorsikal yang ditunggang remaja itu dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta kenari. Adik sepupu ana yang berada di tempat kejadian berusaha untuk membantu remaja terbabit tetapi Allah telah menetapkan bahawa remaja itu akan kembali padaNYA. Kakak remaja terbabit mengalami kecederaan patah kaki.

Ramadhan ketiga, ana mendengar khabar seorang pelajar UIA meninggal dunia gara-gara lemas di kolam renang pada jam 3 pagi. Lihatlah bagaimana Allah hendak mengambil nyawa kita. Kadang-kadang orang yang sihat walafiat tiba-tiba dijemput kembali dengan tidak disangka-sangka. Dari kisah-kisah di atas mungkin kita dapat lihat punca kematian yang berbeza namun pengakhirannya tetap sama iaitu -----> MATI. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sudah bersedia? Bagaimana dengan amalan kita? Adakah kita yakin kita dapat menjawab soalan-soalan malaikat Mungkar dan Nakir dengan mudah? Adakah bila ditanya, 'MA ROBBUKA?' lidah kita mampu membalas 'ALLAHU RABBI'? Sesungguhnya setiap yang bernama insan itu pasti akan merasai mati...


GURU

Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan pertama ana setelah bergelar seorang guru. Walaupun Ramadhan bermula pada cuti sekolah, bagi ana yang bertugas di sektor swasta, cuti ana hanya dua hari. Tetapi oleh kerana nak menggantikan cuti hari raya (ana cuti lebih awal), ana harus bekerja sepanjang cuti sekolah. Walaupun cuti sekolah, tadika tempat ana bertugas menyediakan perkhidmatan 'Day Care'. Lebih dari sepuluh orang anak-anak yang dihantar untuk Day Care. Nak tergelak rasanya melihat gelagat anak-anak kecil ini belajar berpuasa. Puasa Aisyah akhirnya 'lebur' dek coklat Nazmi. Terngiang-ngiang lagi kata-kata Aisyah tatkala ana bertanya sama ada dia masih berpuasa atau tidak...

Aisyah : Kita tak nak, tapi Nazmi yang bagi...
KY : Habis tu awak makan tak coklat tu?
Aisyah : Makan... tapi kita tak nak...
KY : (Sengih je la)


Gelagat Abang Danish pun tak kurang hebatnya...

KY : Abang puasa tak? (waktu tu jam dah menunjukkan pukul 4.00 petang)
Abang Danish : Puasa...
KY: Abang makan tak tengahari tadi?
Abang Danish : Makan...
KY : Aik??? Macamana pulak abang kata abang puasa, tapi tengahari tadi abang makan?
Abang Danish : Ye la, abang puasa la ni...
KY: Abang, puasa ni kita tak boleh makan dan minum dari pagi sampai masuk waktu maghrib... Macam Upin dan Ipin tu... Abang kan suka tengok Upin dan Ipin, betul tak apa teacher cakap?
Abang Danish : (merah muka - malu agaknya)



Apa pun, ana yang beruntung. Waktu berbuka tak perlu masak. Panaskan saja lauk yang Kak Sham (tukang masak) dah masak waktu tengahari untuk anak-anak... "\(^__^)/"


TARAWIH

Oleh kerana semua rakan setugas pulang ke kampung masing-masing, ana menyambut Ramadhan pertama di rumah sewa ex-housemate ana di IIC dulu yang kini belajar di UiTM kampus Shah Alam. Tarawih Ramadhan pertama ana di rumah sahaja. Seawal pagi Sabtu, kami bertolak ke rumah pakcik teman ana itu di Perumahan PDRM, Kelompok Cempaka, Setiawangsa. Malam Ramadhan kedua, ana bersolat tarawih di Surau At-Taqwa, Perumahan PDRM. Pada hari Ahad, selepas solat Zohor kami bertolak pulang ke Shah Alam. Malam Ramadhan ketiga, ana bersolat tarawih sendirian di rumah (sebab tinggal sorang-sorang je kat rumah). Alhamdulillah, malam Ramadhan keempat ana dan Ukht Zarina berkesempatan solat tarawih di Surau Ar-Rayyan, Seksyen 7. Surau agak sesak sehinggakan kami terpaksa solat di bawah khemah yang di pasang di perkarangan surau. Tamam solat sunat tarawih, ana sempat bertegur sapa dengan dua orang anak murid ana; Naema dan Mumtaz (international student - Nigeria) yang turut bersolat tarawih di Surau Ar-Rayyan bersama ibunya. Pastinya jamaah di Surau Ar-Rayyan kehairanan melihat ana dan Ukht Zarina berbual dengan foreigner (speaking tu!).


Harapnya, suasana seperti di Surau Ar-Rayyan ini akan kekal sehingga ke akhir bulan Ramadhan. Bukan sekadar meriah di permulaan sahaja. Lazimnya kita melihat rata-rata masjid dan surau meriah hanya di permulaan Ramadhan tetapi lama-kelamaan jamaah yang ramai itu, M.I.A (Missing In Action). Di penghujung Ramadhan, apa yang biasanya dapat kita saksikan ialah semakin bertambahnya jamaah yang 'solat tarawih' di shopping complex dan bazaar Ramadhan. Dan jangan dilupakan amalan-amalan sunat yang lain seperti tadarus al-Qur'an, solat berjamaah, solat sunat dhuha, mathurat, infaq, menjamu orang lain berbuka puasa dan banyak lagi. Akhirul kalam, moga MADRASAH RAMADHAN tahun ini akan menjadi medan tarbiyyah terbaik buat setiap dari diri kita. Selamat beramal!!! (^__^)/"


KY: azam tahun ni nak khatamkan lagi 30 juzu' Al-Qur'an...

No comments:

The Rest of My Life...


Reben Kehidupanku...

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers